KUBUR BERNYAWA
BAB 3: Rombongan Firdee Aqasha mencari Kubur Bernyawa
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 April 2013
Sekumpulan remaja dari Kolej Imanshah telah mengadakan perkhemahan di Hutan Simpan Kaffi ketika bermulanya cuti semester pertama di tahun yang terakhir itu.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
2155

Bacaan






Firdee Aqasha mengepalai rombongan mencari kubur bernyawa demi memenuhi keinginan hati masing-masing. Di pusat akal kaum Adam ini, sudah terlakar dengan wang ringgit yang beribu akan menjadi habuan mereka kelak jika mengena nombor tikaman mereka. Pertama kali juga mereka ingin mencuba nasib. Mudah-mudahan berjaya mendapat habuan yang besar. Itulah doa songsang mereka di dalam hati.

Puas mereka mengelilingi kawasan yang dikatakan oleh Jhaznarul di mana terdapatnya kubur sesat atau kubur bernyawa tetapi sehingga ke saat ini tidak seorang pun di antara mereka yang melihat kubur itu. Peluh mula merenik di dahi masing-masing akibat kepenatan mencari kubur bernyawa entahkan ada entahkan tiada. Firdee Aqasha, Syed Dahuri, Khirulnizan dan Zularman mula menyeka peluh yang semakin membasahi dahi mereka.

“Jhaz ni biar betul, Firdee? Aku tak nampak sebarang kubur sesat pun, apatah lagi bernyawa.” Syed Dahuri mula terangsang rasa bebalnya kerana terasa dipermainkan oleh Jhaznarul.

“Entah-entah Jhaz ni berangan tak? Entah batu apa yang dia lihat, dia cakap batu nisan,” rasa bebal Syed Dahuri kini berjangkit pula pada Firdee Aqasha. Sakit sungguh hati Firdee Aqasha apabila yang dicari tidak ditemui.

“Jom baliklah. Buang masa saja.” Khirulnizan sudah berputus asa mengajak teman-temannya pulang ke khemah semula.

“Haa ... itu aku setuju. Daripada meronda tak tentu hala di sini tanpa tujuan, lebih baik kita balik saja. Lagipun mata aku dah mengantuk ni.” Zularman cepat sahaja bersetuju dengan cadangan Khirulnizan.

“Cakap sajalah yang kau ni penakut Zular, sebab itulah cepat saja kau setuju dengan ajakan Nizan.” Firdee Aqasha membakar amarah Zularman.

“Hei, cakap sopan-santun sikit ya, aku tak takut tau. Ada kau jumpa kubur bernyawa tu? Tak ada, kan? Daripada buang masa, lebih baik kita balik saja.” Zularman mempertahankan pendapatnya.

“Aku tak kira. Dah penat-penat aku menapak di sini, kita mesti cari kubur bernyawa tu sampai dapat. Aku nak tengok, bagaimana bentuk kubur bernyawa tu. Adakah benar seperti yang diceritakan oleh Jhaz ataupun itu hanyalah khayalan Jhaz saja. Aku tak takut untuk menghadapi risiko.” Firdee Aqasha bersemangat secara tiba-tiba dan sedikit disuntik oleh perasaan geram kerana kubur bernyawa yang digelarkan oleh Jhaznarul masih belum ditemui oleh mereka.

Dada teman-teman Firdee Aqasha yang lain tertembak dengan satu perasaan yang cukup mendebarkan di saat mereka memandang semangat yang begitu tinggi timbul di dalam diri jejaka itu.

“Kau jangan celopar sangat, Firdee. Karang kubur tu muncul, kau lari tak cukup tanah kot,” marah Khirulnizan yang tidak selesa dengan bisanya lidah Firdee Aqasha. Sudahlah angka jam di tangannya hampir merangkak ke pukul dua pagi, Firdee Aqasha pula boleh bersikap sedemikian. Siapa yang tidak gerun. Kan?

“Muncullah. Ada aku kisah?” Firdee Aqasha semakin berani. Tiba-tiba sahaja ....

“Aduh!” molek sahaja Firdee Aqasha terjatuh di atas batu yang agak besar dan meruncing ke atas. Menyumpah Firdee Aqasha dengan situasi itu. Namun, di kepalanya terlintas sesuatu.

Hmm ... takkanlah tanah ni bergegar pula? Aku memang rasa gegarannya. Masakan yang lain tak rasa apa yang aku rasa. Firdee Aqasha yang masih terduduk di atas tanah mula memenandang wajah teman-temannya satu persatu.

“Lah, kenapa duduk atas tanah ni? Dah nak jadi petapa pula?” sindir Syed Dahuri galak.

“Woi, cakap sopan-santun sikit ya? Kau orang rasa tak gegaran yang aku rasa. Tiba-tiba saja tanah ni bergegar, sebab itulah aku jatuh.” Firdee Aqasha tidak mahu menyerah kalah begitu sahaja.

Syed Dahuri, Khirulnizan dan Zularman memandang sesama sendiri dengan sejuta persoalan yang membelit tali pusat akal mereka. Apa yang Firdee cakap ni? Bila masa pula terjadinya gegaran? Mungkin itulah yang terlekap di kepala masing-masing pada saat ini.

“Kau berkhayal ya Firdee? Mana ada gegaran? Kami tak rasa apa-apa pun?” Khirulnizan menyuluh tepat lampu suluhnya ke wajah jejaka itu.

“Tiba-tiba kau jatuh, kami pun hairan. Nasib baik tak tergolek sampai ke bawah. Dahlah tengah-tengah malam ni, kita pun tak tahu apa yang ada di bawah sana tu.” Zularman meluahkan kata pula.

“Aku tak tipulah. Aku rasa gegarannya. Ni atas batu apa pula yang aku terjatuh ni?” lalu Firdee Aqasha menyuluh ke arah batu itu dan seketika kemudian matanya bersianr-sinar.

“Aku dah jumpa. Aku dah jumpa.” Firdee Aqasha separuh menjerit.

Semua mata meluruskan ke arah Firdee Aqasha. Dia jumpa apa pula ni? Itulah yang berlegar di kepala masing-masing.

“Kau jumpa apa, Firdee?” Syed Dahuri agak teruja setelah mendengar suara Firdee Aqasha yang terlebih suka.

“Batu nisan dari kubur sesat,” ayat Firdee Aqasha mampu membuat tiga pasang mata lagi melorong ke arahnya.

“Tengok ni. Inilah batu nisan yang Jhaz jumpa. Tapi di mana kuburnya? Aku tak nampak pun sebarang kubur yang timbul?” Firdee Aqasha mempertikaikan lagi cerita yang telah disampaikan oleh Jhaznarul.

Sebaik sahaja selepas Firdee Aqasha bersuara, tiba-tiba sahaja tersembullah tanah di hadapan mereka seolah-olah bentuk kubur yang baru dikambus. Sekali lagi kesemua mereka yang ada di situ sedikit ternganga. Hendak menelan liur pun terasa amat payah pada waktu ini.

“Hasrat kau dah termakbul Firdee.” Zularman bersuara perlahan sahaja.

“Cepatlah kita duduk keliling kubur sesat ni. Lepas tu kita seru nenek tua tu agar dia boleh berikan kita nombor ekor. Cepat sikit jadi kaya.” Firdee Aqasha yang sudah teruja semakin teruja.

Berpeluh Zularman mendengar permintaan Firdee Aqasha. “Takkan nak duduk mengeliling kot? Duduk dekat-dekat tak boleh ke?” Zularman membantah cadangan Firdee Aqasha.

“Kali ni aku setuju dengan Zular.” Syed Dahuri dan Khirulnizan berkata serentak. Entah kenapa tiba-tiba sahaja perasaan mereka terjentik dengan rasa ketakutan. Kubur ini tiba-tiba sahaja muncul tanpa isyarat, pasti ada sesuatu yang pelik pada kubur sesat itu.

Firdee Aqasha mencebik melihat pada roman ketakutan yang terlekat pada wajah masing-masing. Kata berani, tetapi rupanya hancur. “Cepatlah, dekat dengan aku. Terhegeh-hegeh. Aku dah nak seru ni.” Firdee Aqasha sedikit menggesa mereka. Terkocoh-kocoh Syed Dahuri, Khirulnizan dan Zularman mendekati Firdee Aqasha yang sudah pun duduk bersimpuh.

Seketika kemudian, Firdee Aqasha mula menyeru agar penghuni di dalam kubur itu memunculkan dirinya dan menunaikan hajat di hati mereka yang semakin menggunung tinggi. Walaupun sedikit ketakutan, tetapi mereka tetap hendak melunasi hasrat yang terbina.

“Nek .... keluarlah nek, berikan nombor pada kami agar kami menjadi kaya-raya. Nek ....” Firdee Aqasha terus merayu dan merayu. Nenek tua yang dikatakan oleh Jhaznarul itu tetap berdegil tidak mahu memunculkan dirinya.

“Nek ... tolonglah keluar, bagi kami nombornya?” sekali lagi Firdee mencuba nasib.

“Firdee, aku rasa Jhaz main-main sajalah. Tak mungkin kubur ni akan berasap dan nenek tua tu akan muncul.” Syed Dahuri mula terasa dipersendakan oleh Jhaznarul.

“Aku pun rasa macam itulah. Jomlah balik. Aku akan ajar Jhaz sebab dia dah berjaya memainkan kita.” Khirulnizan menaikkan satu lagi oktaf suara apabila yang diharap tidak memunculkan dirinya.

Namun, perkiraan Khirulnizan tersalah langkah, apabila kubur sesat itu mula bergegar dan berasap seolah-olah bernyawa. Dalam kepulan asap yang makin marak naik, tiba-tiba sahaja muncullah seraut wajah nenek tua yang sudah rentung terbakar. Begitu juga dengan tangan nenek tua itu yang turut rentung. Nenek tua itu merenung tajam ke arah mereka berempat membuatkan Firdee Aqasha, Syed Dahuri, Khirulnizan dan Zularman meluruskan pandangan masing-masing dengan apa yang sedang tertayang di hadapan mata mereka. Hendak bersuara pun mereka sudah tidak mampu lagi. Air liur terasa bagaikan batu yang tersekat di celah-celah rengkung mereka. Percaturan nafas mereka juga sudah tidak teratur lagi.

“Cu ... tolong nenek cu ....” suara nenek tua yang mendayu-dayu itu menyentap tangkai jantung masing-masing. Aturan pernafasan mereka juga sudah berkeceramuk sekarang.

“Cu .... tolong nenek cu ....” tangan nenek tua itu cuba mencapai kolar baju Firdee Aqasha.

Tidak semena-mena Zularman bangun dan berdiri. “Aku rasa Jhaz tak main-mainlah dengan kemunculan kubur bernyawa ni. Larilah tunggu apa lagi.” Zularman mula membuka langkah seribu.

Manakala Syed Dahuri pula menolak keras badan Firdee Aqasha yang seolah-olah terkaku melihat nenek itu yang semakin hampir menggenggam kolar baju T Firdee Aqasha.

“Hei Firdee, tercegat apa lagi? Larilah. Kau nak ikut nenek tu ke?” tengkingan Syed Dahuri menyedarkan Firdee Aqasha yang terkaku sebentar tadi.

Dengan sekuat kudrat yang ada, Firdee Aqasha turut membuka langkah seribu menyertai acara pecutan rakan-rakannya yang lain. Kubur bernyawa itu benar-benar wujud. Dia menyangkakan bahawa Jhaznarul sengaja mereka cipta cerita tentang kubur itu tetapi ternyata rupanya dia silap menilai sahabatnya itu. Jhaznarul tidak pernah menipu mereka dalam hal-hal begini. Habis terbantut niat awal mereka yang ingin meminta nombor ekor. Raut wajah nenek tua itu lebih menggerunkan daripada apa yang telah dibayangkan. Cari nahaslah sekiranya mereka menunggu lagi.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku