KUBUR BERNYAWA
BAB 5: Geng-Geng Kolej Imansyah Cabut Lari!
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 April 2013
Sekumpulan remaja dari Kolej Imanshah telah mengadakan perkhemahan di Hutan Simpan Kaffi ketika bermulanya cuti semester pertama di tahun yang terakhir itu.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1365

Bacaan






Kumpulan pelajar Imansyah terus mendapat van yang disewa dan memboloskan diri masing-masing masuk ke dalamnya. Firdee Aqasha selaku pemandu van terus memecut sehingga van itu sampai ke bawah. Dia tidak memandang langsung pada cermin belakang untuk melihat adakah nenek tua itu mengikut mereka ataupun tidak. Resah dadanya masih dilambung ombak tsunami. Aturan pernafasannya masih belum kembali normal.

“Kita nak balik terus ke?” tanya Zunika.

“Entah. Aku pun tak pasti. Dah tengah malam ni. Aku takutlah nak drive. Risyam macam mana? Dah sedar?” Firdee Aqasha memberitahu dan sekaligus bertanyakan perihal keadaan Husnarisyam.

Jhaznarul mengerling ke arah Husnarisyam yang masih mengakukan dirinya. Tiada tanda-tanda dia akan bergerak. Terkejut sangat gamaknya sehingga jatuh trauma begitu.

“Belum. Keadaan dia masih kaku macam tadi. Sekali tengok persis patung cendana versi moden.” Era Kasmiran memberitahu sambil tergelak melalui hidung. Tidak tahan dia melihat Husnarisyam sebegitu. Hisy, tak baik sungguhkan ketawakan teman yang di dalam kesusahan.

“Kau jangan nak buat lawaklah Miran. Aku tengah risau ni tengok keadaan Risyam macam tu.” Jhaznarul tidak senang melihat pada sikap Era Kasmiran yang seolah-olah tidak ambil berat akan apa yang terjadi pada Husnarisyam.

“Maaf. Maaf. Aku tak sengaja. Yang, kat depan tu bukan motel ke? Kita singgah di situ sajalah malam ni. Esok pagi baru kita berangkat pulang.” Era Kasmiran memohon maaf pada Jhaznarul dan pada lewat itu juga skrin matanya dihamparkan dengan bangunan yang bercahaya. Dia yakin di situ memang terdapat motel.

Kini kesemua mata yang berada di dalam van itu melurus ke arah di mana terdapatnya bangunan kecil yang ditunjukkan oleh Era Kasmiran. Ya. Terdapat tulisan ‘Motel Mamu Arries’ di situ. Alhamdulillah, malam ini mereka sudah ada tempat untuk berteduh. Lebih baik tidur di motel daripada tidur di tengah hutan yang diganggu.

“Okey, malam ni kita berehat di Motel Mamu Arries saja. Mudah-mudahan masih ada lagi bilik kosong buat kita. Aku pun tak larat nak drive ni. Masih tegang dengan kejadian tadi.” Firdee Aqasha membuat keputusan bagi pihak teman-temannya.

“Lain kali buat lagi benda yang tak senonoh. Seronok kena kacau?” sindir Nisrinah berperisa cili padi.

“Aku buat apa?” Firdee Aqasha pura-pura tidak tahu.

“Tepuk dada tanyalah diri kau sendiri apa yang telah kau buat. Jom masuk, aku dah penat ni.” Nisrinah malas mahu membuka gelanggang persilatan kata dengan Firdee Aqasha. Badan yang penat harus direhatkan barang seketika.

Kesemua mereka masuk ke dalam Motel Mamu Arries dan terus ke meja pendaftaran. Ada seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40an sedang berdiri di situ sambil tersenyum. Mereka terasa senang dengan sambutan mesra yang diberikan oleh penyambut tetamu di situ.

“Kami nak dua bilik pak cik. Masih ada bilik kosong?” Syed Dahuri mendahului yang lain dalam urusan pendaftaran.

“Bilik kosong masih ada. Nak tempah berapa malam?” tanya pak cik penyambut tetamu itu.

“Untuk malam ni saja pak cik. Esok pagi kami dah nak balik.” Syed Dahuri menjawab lagi.

“Oh. Panggil saja pak cik ni Mamu Arries. Daripada mana ni?” tanya penyambut tetamu itu yang ingin dipanggil Mamu Arries.

“Kami berkhemah di dalam hutan sana. Tapi kami semua berasa tak sedap hati, sebab itulah kami turun dari sana ke sini,” jujurnya Syed Dahuri menceritakan perihal mereka.

Mamu Arries menggangguk sambil mencatat sesuatu sebelum menyerahkan dua kunci bilik kepada mereka. “Ini kuncinya. Eh, budak perempuan tu pasai apa? Nampak macam terkejut saja? Dia tersampuk ka atau ternampak sesuatu?” terserlah kepekatan dialek utara Mamu Arries. Tersengih mereka dalam diam.

“Sebenarnya Mamu Arries, kami ternampak sesuatu. Kawan saya ni tak pernah tengok benda tu, terus jadi kaku macam ni,” terang Aziham pula.

“Dah jadi patung cendana moden pun.” Era Kasmiran masih tidak lupus kata gurauannya.

“Miran!” marah Zunika dan Nisrinah serentak. Manakala Jhaznarul dan yang lain hanya menjeling geram pada Era Kasmiran yang cuba menyembunyikan tawanya tetapi terlepas juga melalui hidung walaupun mulut tertutup.

Sekali lagi Mamu Arries mengangguk kepalanya. Pasti depa telah mengganggu sesuatu ketika di sana. Kalau tak, aku tak yakin budak perempuan ni akan tersampuk sampai macam ni sekali. Hati Mamu Arries kuat menyatakan pendapatnya. Jarang sekali perkara seumpama ini terjadi kerana sudah berpuluh pelajar yang membuat perkhemahan di sana, tidak ada satu kumpulan pun yang mengalami keadaan seperti ini.

“Tak pa. Biaq Mamu Arries ubat dia. Kita serah pada ALLAH. Mudah-mudahan kawan hangpa ni akan pulih seperti sedia kala.” Mamu Arries terlebih dahulu mengambil wuduk sebelum menjalan sesi perubatan pada Husnarisyam. Kemudian, dia mengambil semangkuk dan sebaldi air serta tujuh biji limau purut sambil membaca sesuatu ke dalam mangkuk dan baldi air itu. Selesai sesi membaca ayat-ayat suci al-Quran, Mamu Arries memerahkan pula limau purut ke dalam baldi air itu. Baldi diserahkan pada kaum Hawa untuk memandikan Husnarisyam. Selepas gadis itu sedar, Mamu Arries meminta mereka untuk meminumkan Husnarisyam dengan air penawar yang dibacanya.

Kesemua arahan Mamu Arries dituruti dan alhamdulillah berkat keyakinan pada ALLAH yang Maha Satu, akhirnya Husnarisyam dapat dipulihkan semangatnya dari terus menjadi patung cendana. Roman wajah Husnarisyam masih pucat tidak bermaya. Badan Husnarisyam agak lembik sedikit. Namun, syukur segala-galanya telah kembali pulih sebagaimana biasa.

“Alhamdulillah. ALLAH telah membantu kita dengan menyelamat gadis yang tak berdosa ni. Baiklah, hangpa semua pi tidoq. Berehat. Dah tentu hangpa semua letihkan? Mudah-mudahan malam ni baik-baik saja.” Mamu Arries mengarahkan mereka ke bilik masing-masing. Mereka tidak membantah kerana sememangnya mereka amat letih yang teramat sangat di kala ini.

Motel Mamu Arries ini merupakan motel setingkat sahaja. Tidak ada bertingkat-tingkat. Jadi kesemua bilik bertapak di atas tanah. Permandangan fauna yang menjadi santapan mata mereka membuatkan mereka kecut perut. Ketakutan masih bersisa. Ketika berada di dalam bilik, mereka tidak tidur berasingan. Malahan mereka berdekatan sambil memeluk sesama sendiri. Cukup takut untuk berenggang walaupun dalam jarak yang paling dekat. Mata mereka pula meliar ke sana sini. Seolah-olah sedang mengawasi sesuatu. Dalam berjaga-jaga, tidak semena-mena ...

“Argh!” Nisrinah menjerit sakan. Jeritannya bergema terlalu kuat sehingga mengejutkan teman-temannya yang sedia takut.

“Kau kenapa ni Nisrin?” Aziham menelan liurnya sambil menajam pandangannya ke arah Nisirinah yang masih belum mahu berhenti dari membuat acara jeritan sekampung.

“Tangan siapa yang pegang pinggang aku?” suara Nisrinah seakan-akan hendak menangis. Antara keluar dengan tidak.

Kesemua mata terus melorot ke arah sebelah tangan pucat hangus terbakar yang kukuh di pinggang Nisirinah. Terkedu mereka seketika tanpa sebarang lantunan suara. Seketika kemudian, mata mereka menyorot pula ke arah lubang tingkap yang sedikit renggang dan di sana kelihatanlah nenek tua yang mukanya rentung sedang memandang tajam ke arah mereka sambil menayangkan giginya yang tajam meruncing. Nenek tua itu menyeringai seketika.

“Cu .... tolong nenek cu ....” Sebaik sahaja mendengar suara yang mendayu-dayu itu berkumandang di corong telinga mereka, terus suara jeritan yang maha kuat lagi maha menggegarkan terlantun dari rongga tekak masing-masing. Mereka tidak membuang masa lagi lalu terus berlari berteraburan keluar dari bilik motel itu.

“Cu ... jangan pergi. Tolong nenek cu ...” sekali lagi suara nenek tua itu merayu-rayu pada mereka membuatkan jeritan mereka bertambah kuat.

Sebaik sahaja mereka tiba di ruang legar hotel itu, badan masing-masing terkaku apabila melihat kumpulan kaum Adam juga sudah keluar dari bilik mereka. Keseluruhan badan kaum Adam menggigil dan menggeletar. Kaum Hawa pasti, mereka juga telah diganggu oleh nenek yang sama.

“Kenapa kau orang keluar kat sini?” tanya Nisrinah pada kaum Adam.

“Aku rasa nenek tu ikut kitalah. Habis badan aku dan Firdee ditarik-tarik. Lagi mau tunggu? Kami cabut keluarlah dari bilik. Aku rasa kita tak selamatlah di sini.” Syed Dahuri menyatakan apa yang telah berlaku pada diri mereka sebentar tadi.

“Kami pun mengalami benda yang sama. Nenek tu dah mula menyentuh. Aku takut. Aku tak nak tinggal kat sini lagi. Jomlah balik.” Aziham bersependapat dengan kaum Adam.

“Kalau begitu, kita beredar sekarang. Apa kata kau orang?” Zularman tidak mahu menunggu lagi. Mereka harus keluar dari kawasan itu sekarang juga. Tidak sanggup lagi dipersendakan oleh nenek tua yang rentung itu lagi.

“Hai. Hangpa semua tak tidoq lagi ka? Buat apa kat sini? Tak rasa penat?” teguran suara Mamu Arries membuatkan mereka melontarkan jeritan sekali lagi sebelum mengurut-urutkan dada masing-masing.

“Mamu Arries buat kami terperanjat aje. Astagfirullahalazim.” Jhaznarul mengurut dadanya.

“Muka hangpa pucat semacam ni pasai apa? Apa yang dah jadi kat hangpa sebenaqnya? Cuba cerita kat mamu.” Mamu Arries yakin mereka telah mengganggu sesuatu di dalam hutan sana sehingga semangat jahat itu datang menganggu mereka sesuka hatinya.

“Masa kami berkhemah di dalam hutan tu, tak semena-mena kami terjumpa kubur sesat.” Jhaznarul mula membuka cerita.

“Kubur sesat?” Mamu Arries mengerut dahinya.

“Ya, mamu. Kubur sesat tu bernyawa. Lepas keluar asap berkepul-kepul, muncul roh nenek tua yang terbakar. Kami tak sengaja mengganggu dia.” Syed Dahuri pula menyambung cerita daripada Jhaznarul.

“Bernyawa?” sekali lagi dahi Mamu Arries berkedut seribu.

“Kami dah tak tahan lagi, mamu. Kami rasa kami kena pergi malam ni juga dari sini. Terima kasihlah mamu kerana layan dan terima kami seadanya. Ada umur kita jumpa lagi.” Khirulnizan meminta diri.

“Duit hangpa ni macam mana? Nanti mamu pulangkan balik.” Mamu Arries baru hendak membuka lacinya untuk mengambil duit sewa motel yang telah dibayar tetapi dihalang oleh Jhaznarul.

“Tak payahlah mamu. Kami halalkan saja. Jom.” Jhaznarul pantas mengajak teman-temannya mengambil beg masing-masing sebelum beredar dari Motel Mamu Arries.

Sejurus selepas mereka pergi, Mamu Arries menggeleng-gelengkan kepalanya dan terasa pelik dengan sikap mereka semua.

“Mana ada kubur sesat atau kubur bernyawa di hutan sana? Tak pernah aku dengaq pun sesiapa yang jumpa kubur tu? Aku yakin, depa ni telah membangkitkan sesuatu yang sudah lama lena. Orang lain tak pernah dikacau pun. Alih-alih depa saja yang dikacau. Hangpa tak rasa pelik ka?” Mamu Arries menutup kembali lampu motelnya sebelum masuk ke bilik istirehatnya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku