IMPIAN BUKAN SEKADAR ANGAN-ANGAN
Genre: Umum
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 16 April 2013
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)
2794

Bacaan






Aliya, Natasha, Danish dan Farish merupakan sahabat yang akrab sejak di bangku sekolah rendah lagi. Kini, masing-masing sudah bergelar remaja. Usia mereka telah pun menjangkau 16 tahun. Tahun lalu, masing-masing mengalirkan air mata kerana berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam PMR. Maklumlah, sejak di tingkatan 1 lagi, mereka semua tidak pernah jemu untuk membelek buku rujukan, tidak pernah jemu untuk berkongsi ilmu dan tidak pernah lupa mendirikan kewajipan kepada Allah SWT.

*******

" Cikgu suruh buat karangan. Cikgu kata, esok wajib hantar." Beritahu Aliya kepada Natasha, Danish dan Farish.

" Saya tahu. Karangan berkenaan cita-cita, bukan? Saya ada cita-cita dan juga impian. Kamu ada?" balas Natasha.

Aliya, Danish dan Farish memandang kosong wajah Natasha lantas menjawab serentak,

" Sudah tentulah ada!"

Natasha tersenyum lebar. " Janganlah marah. Apa cita-cita kamu?" ujar Natasha lagi sambil membetulkan posisi tempat duduknya.

Danish terlebih dahulu mengangkat tangan. " Saya mahu menjadi seorang juruterbang! Saya mahu melihat awan di hadapan pancaindera mata serta tersenyum melihat pelangi ciptaanNya." beritahu Danish bersungguh-sungguh.

Kala itu, Aliya, Farish dan Natasha ketawa terbahak-bahak, sambil memegang perut masing-masing.

" Eh, jangan perasanlah, Danish!" ucap Aliya. Ketawanya semakin kuat kedengaran.

Belum sempat Danish membalas, Natasha pula mencelah lalu berkata,

" Bagaimana awak hendak menjadi seorang juruterbang. Tangan kiri awak sudah tiada. Awak perlu menukar impian awak," ujar Natasha sambil tersenyum.

" Betul kata Natasha itu, Danish. You have to change your ambition," tambah Farish pula.

*******

Enam tahun yang lalu, abang kepada Danish iaitu Daniel bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang. Bahkan, cita-citanya itu hampir berjaya dicapai. Namun, kerana Allah SWT lebih sayangkan Daniel, Daniel akhirnya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuala Lumpur sebaik sahaja selesai menerima anugerah sayap penerbangan di Universiti Penerbangan Malaysia.

Dalam kemalangan itu, Danish dan kedua orang tuanya terselamat. Tetapi, tangan kiri Danish terpaksa dibedah dan dibuang kerana kecederaan yang parah. Sejak dari peristiwa hitam tu, Danish tidak pernah berhenti memasang cita-cita dan impiannya untuk menyambung semula cita-cita arwah abangnya. Dia mahu menjadi seorang juruterbang, seperti mana impian arwah abangnya suatu ketika dahulu.

*******

Loceng rehat berdering kuat. Kala itu, Danish melangkah longlai menuju ke kelas 4 Semangat. Sahabat-sahabatnya yang lain, sekadar menuruti langkahnya dari belakang.

" Bukannya kami tidak menyokong cita-cita awak. Tetapi, kami tidak rasa awak berjaya mencapai cita-cita awak itu," pujuk Farish lagi.

Danish sekadar tertunduk lesu. Dia tahu, impiannya itu sekadar angan-angan kosong. Seperti tin, diketuk berbunyi, tetapi di dalamnya kosong tidak berisi.

" Fikirkanlah baik-baik, Danish."

*******

Cikgu Rizana berdiri di hadapan kelas sambil memandang wajah anak-anak muridnya.

" Baiklah, cikgu akan panggil nama seorang demi seorang. Sila berdiri, dan ceritakan kepada rakan-rakan sekelas kamu berkenaan impian kamu," jelas Cikgu Rizana.

Semua pelajar sibuk membuka buku karangan masing-masing. Ada yang tersenyum, tidak kurang juga yang berpeluh-peluh, gementar, takut dan tidak berani untuk berdiri.

" Farish Haikal!" panggil Cikgu Rizana.

Farish yang sedang berkhayal tersentak tatkala mendengar namanya dipanggil.

" Cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang doktor. Bagi saya, menjadi seorang doktor merupakan sebuah impian yang perlu saya capai. Disebabkan itu, pelajaran harus saya utamakan. Sembahyang perlu saya dahulukan. Ibu saya sudah melahirkan saya, dan saya ingin menggembirakan hati ibu saya dengan mencapai impian saya untuk menjadi seorang doktor. Bila ibu dan ayah saya telah lanjut usia, saya pastinya dapat merawat dan menjaga mereka sebagaimana mereka membesarkan saya sehingga ke hari ini," panjang lebar keterangan yang diberikan oleh Farish.

Seisi kelas bergema dengan tepukan tangan daripada para pelajar yang sebanyak 40 orang itu.

" Bagus, Farish!" puji Cikgu Rizana sambil tersenyum puas.

Setelah itu, giliran Natasha pula untuk berdiri bagi berkongsi cerita mengenai impiannya.

" Saya pula bercita-cita untuk menjadi seorang guru. Guru adalah pelita yang menghidupkan suasana. Tanpa guru, siapalah kita. Daripada gurulah kita berjaya, daripada guru jugalah kita tahu membaca, mengira dan mengeja. Dengan adanya guru, impian kita pasti akan terlaksana dengan syarat, usaha sekuat hati dan ingat Allah SWT sentiasa di hati," jelas Natasha.

" Tahniah, Natasha! Bagus impian kamu itu," puji Cikgu Rizana lagi.

Kemudian, tiba pula giliran Aliya untuk menyatakan impiannya kepada seisi kelas.

Aliya berdiri sambil menunjukkan sekeping lukisan jurutera.

" Walaupun saya seorang perempuan, tetapi itu bukanlah penghalang untuk saya menjadi seorang jurutera. Saya ingin menjadi jurutera dan membina lebih banyak masjid dan surau di dunia. Saya juga akan membina hospital untuk kemudahan semua serta sekolah sebagai tempat menimba ilmu. Saya yakin, dengan usaha yang saya lakukan, saya pasti akan mencapai impian saya ini." Terang Aliya dengan bersungguh-sungguh.

Cikgu Rizana tersenyum lagi. " Bagus impian kamu, Aliya."

Kini, giliran Danish pula untuk berdiri bagi menyampaikan cita-citanya kepada semua. Saat Danish berdiri dari tempat duduknya, semua mata melihat ke arahnya. Jelas terpancar kesedihan pada raut wajah Danish. Cikgu Rizana berkerut dahi melihat Danish bersedih sedemikian rupa.

" Danish, ceritakan berkenaan impian kamu," ucap Cikgu Rizana.

Seisi kelas menjadi senyap. Masing-masing tidak sabar untuk mendengar impian dari mulut Danish, pelajar yang sentiasa mendapat nombor 1 di dalam kelas itu dan pelajar yang dianggap sebagai pelajar istimewa kerana dapat belajar dengan baik meskipun hanya menggunakan sebelah tangan sahaja.

Danish tidak dapat menahan sebak. Danish segera menceritakan berkenaan impiannya kepada seisi kelas diselang selikan dengan tangisan air matanya.

*******

" Dan seterusnya, graduan terakhir kita pada hari ini, Muhammad Daniel Bin Hazman!" panggil pensyarah yang bernama Kapten Shahir itu.

Daniel berjalan laju menuju ke atas pentas. Kapten Shahir segera menyematkan kerongsang berbentuk sayap penerbangan ke dada Daniel. Kini, Daniel telah berjaya mencapai cita-cita dan impian yang telah ditanam sejak berusia lima tahun lagi iaitu untuk bergelar seorang juruterbang.

" Terima kasih, semua." ucap Daniel.

Ibu dan ayah kepada Daniel masing-masing mengalirkan air mata tanda gembira dan bersyukur kerana akhirnya, mereka dapat melihat anak sulung mereka berdiri di atas pentas sebagai graduan yang telah berjaya menghabiskan pengajiannya di Universiti Penerbangan Malaysia.

" Tahniah, abang!" jerit Danish.

*******

Dahulu, sebelum Daniel masuk ke Univerisiti, Danish sempat bertanyakan abangnya mengenai cita-cita abangnya itu.

" Abang! Abang!" panggil Danish.

Daniel yang sedang sibuk mengemaskan pakaiannya untuk berangkat ke universiti segera menoleh ke arah Danish.

" Ya, adik. Kenapa?" tanya Daniel, sambil tersenyum lebar.

Maklumlah, sebentar lagi Daniel akan mendaftar di Universiti Penerbangan Malaysia.

" Kenapa abang suka jadi juruterbang? Seronokkah? Tidak takut?" tanya Danish.

Daniel ketawa kecil.

" Adik hendak tahu kenapa? Mari, abang ceritakan."

Danish mengangguk laju.

" Dahulu, mak dan ayah pernah memasang cita-cita untuk pergi ke Makkah. Abang juga teringin untuk pergi ke Makkah. Adik juga pasti teringin kan? Tetapi, lihatlah. Apalah kudrat dan wang kita untuk pergi ke sana? Mak sakit, ayah pula bekerja siang dan malam untuk membiayai yuran pengajian adik. Abang memasang cita-cita untuk menjadi seorang juruterbang kerana abang mahu melihat awan benar-benar di hadapan mata abang. Abang tahu, gaji juruterbang sangat lumayan. Dan abang mahu, kita sekeluarga menjejakkan kaki ke Makkah, dengan menaiki kapal terbang yang dipandu oleh abang sendiri. Berkat usaha dan doa, abang akhirnya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di Universiti Penerbangan Malaysia. Ingat, abang mahu adik juga berjaya mencapai cita-cita adik. Abang berjanji, bila abang sudah bergelar graduan dan menjadi seorang juruterbang, abang pasti akan memandu kapal terbang dan membawa mak, ayah dan adik kesayangan abang ini ke kota suci Makkah."

Danish tersenyum tanda faham sebaik sahaja mendengar abangnya menjelaskan kepadanya.

" Ingat, impian kita bukan sekadar angan-angan."

Itulah ucapan terakhir yang dituturkan oleh abang kepada Danish sebelum arwah berangkat ke Universiti Penerbangan Malaysia.

*******

" Wah, abang sudah bergelar graduan! Esok sudah mula bekerja di dalam pesawat," puji Danish.

" Betul, adik. Alhamdulillah, akhirnya tercapai juga cita-cita dan impian abang ini."

Mak dan ayah yang berada di kerusi hadapan tersenyum. Kala itu, sebuah kenderaan pacuan empat roda tiba-tiba sahaja hilang kawalan lalu melanggar kereta yang dipandu oleh ayah. Kelihatan darah pekat membasahi pakaian juruterbang yang disarungkan abang. Tangan adik tersepit di celah kerusi. Kepala ayah cedera sedikit dan mak pula pengsan tidak sedarkan diri.

*******

" Bawa mengucap, abang...."

Kala itu, Daniel sudah semakin nazak. Sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia sempat berpesan kepada adiknya, Danish.

" Adik, tolong sambung cita-cita dan impian abang. Abang minta maaf sebab tidak dapat merealisasikan impian abang. Allah lebih sayangkan abang. Adik, ingat ya. Impian bukan sekadar angan-angan."

Dan, akhirnya Daniel menghembuskan jua nafasnya yang terakhir.

*******

Kala itu, seisi kelas mengesat air mata masing-masing setelah mendengar cerita daripada Danish.

" Disebabkan itulah, saya tidak pernah bosan dan jemu untuk memasang impian untuk menjadi seorang juruterbang. Impian ini akan saya capai dan akan saya sertakan dengan usaha yang berterusan. Ingat kawan-kawan, impian kita adalah impian ibu bapa kita. Impian kita bukan sekadar angan-angan. Buktikan, kita mampu merealisasikan impian kita meskipun seribu satu cabaran dan rintangan datang menghambat!"

Cikgu Rizana mengesat air matanya lantas berdiri dan memberikan tepukan kuat buat anak muridnya itu. Seisi kelas turut berdiri dan bertepuk tangan.

*******

Lapan tahun akhirnya berlalu,

" Cikgu Natasha, sibuk nampak?" tegur Doktor Farish.

" Maklumlah, peperiksaan sekolah semakin dekat."

" Bersemangat sahaja guru kita ini." balas Doktor Farish lagi.

Tiba-tiba, datang seorang wanita dengan membawa segulung kertas.

" Eh, projek baru lagi?" tanya Cikgu Natasha.

" Ya, saya akan membina masjid di pedalaman sabah." beritahu Jurutera Aliya.

Masing-masing tersenyum lebar.

" Eh, awak semua ada dengar apa-apa berita mengenai kawan kita si Danish? Lama tidak nampak dia," tiba-tiba Doktor Farish bertanya.

" Entahlah, eh! Tengok sana!"

Saat itu, Cikgu Natasha, Jurutera Aliya dan Doktor Farish memandang ke arah susuk tubuh seseorang yang hanya bertangan satu. Pakaian putih dengan tali leher berwarna emas tersarung kemas di badannya. Kerongsang berbentuk sayap tersemat di dada disertai dengan topi seorang juruterbang!

" Ya Allah! Bukankah itu... kawan kita? DANISH?" jerit Cikgu Natasha.

" Assalamualaikum semua," ucap Kapten Danish.

" Waalaikumussalam," balas mereka semua.

" Alhamdulillah, berkat usaha dan doa, impian saya akhirnya tercapai jua. Impian saya dan juga KITA semua. Masih ingat lagi?"

Cikgu Natasha, Jurutera Aliya dan Doktor Farish tersenyum lebar lantas menjawab,

" IMPIAN KITA, bukan sekadar ANGAN-ANGAN."

Kapten Danish mengangguk sambil menadah tangan memohon doa kepada Allah SWT.

" Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami... aamiin...."

TAMAT

_____________________________________________________________

Hak Cipta Terpelihara : Nursyafiqah Binti Roslan ( ARDANIA FIEYQA )



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku