Dalam Hati
Bab 20 - Degree
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 30 April 2013
Penilaian Purata:
(14 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
21957

Bacaan






Azmi perhatikan dewan kuliah yang bertingkat-tingkat dan luas. Dia terasa janggal berada di dewan itu. Azmi perhatikan pula pelajar-palajar yang sudah duduk di kerusi dewan kuliah. Ramainya nampak macam orang-orang yang professional; ada kerjaya di pejabat. Dia cuma mekanik bengkel yang seharian bermandi peluh dan berlumur minyak enjin. Azmi gagahkan dirinya duduk di kerusi hujung paling hampir dengan pintu belakang.

Enam semester, pujuk Azmi pada dirinya. Hanya enam semester yang perlu dilaluinya. Dia tidak mengharapkan kepujian dalam mana-mana kertas yang diambilnya. Dia faham dia manusia yang menjangkau empat puluh tahun yang fikirannya sudah lama tidak diasak dengan ilmu-ilmu dunia dan otaknya sudah lama tidak diasah untuk mentelaah dan mengulangkaji pelajaran tetapi dia kuatkan semangat untuk melalui enam semester itu sebagai melali rindunya kepada Fatin Alia Maisara.

Rindu yang semakin panas bahangnya walau siang harinya Azmi tenggelamkan dirinya dalam kerja-kerja berat di bengkel tetapi malam-malam hari yang tiada lagi mamanya untuk dijaga dirasakan terlalu panjang dan sunyi. Setiap malam Azmi akan baca Al Quran agar Al Quran itu menenang hatinya dan Al Quran itu juga yang akan membawanya kepada lena. Tetapi ada malam yang dia akan berharap wajah Alia yang beribu batu jauhnya itu muncul di skrin komputer di depan matanya.

Azmi berharap sangat tambunan kerja dari program jarak jauh untuk Ijazah yang bakal diambilnya akan melenyapkan sakit rindu itu seketika.

“Boleh duduk sini ko?”

Azmi angkat muka dan senyum kepada lelaki muda yang berambut ikal dan berkulit sawo matang sepertinya meminta izin duduk di sebelahnya.

 

“Husin.” Kata pelajar itu menghulur sebelah tangan sementara sebelah lagi meletak beg galas di kaki.

“Azmi.”

“Semester pertama ko?” Tanya Husin yang nampak ramah.

“Iyo.”

“Samo.” Jawab Husin tersenyum, “Ado geng.”

“Khijo mano?” Tanya Azmi memerhati kemeja yang dipakai kemas oleh Husin berbanding dengan hanya T-shirt berkolar yang dipakainya.

“Kerani. Pejabat daerah sini.” Jelas Husin mengeluarkan buku dan pen untuk mengambil nota, “Mu?”

“Mekanik jah.” Jawab Azmi merendah diri.

“Bak po ambil degree penguruse ni? Nok jadi tauke bengkel pulok ko?” Tanya Husin yang terfikir mekanik sepatutnya mengambil kursus-kursus praktikal di kolej komuniti untuk meningkatkan pengetahuan membaiki kereta. Perlu apa segulung ijazah untuk seorang mekanik?

 

“Buleh jadi…” Azmi tidak mahu sesiapa tahu dia sudah punya tiga buah bengkel dan kedai tayar di Kelantan dan dia berkemampuan mengurus semuanya dengan baik tanpa perlu sehelai kertas bergelar ijazah tetapi dia terfikir bila Pak Cik Hassan cadangkan dia menyambung pelajaran adakah hanya sekadar mengisi masanya yang kerinduan atau orang tua itu masih ada perasaan malu bila suatu hari nanti ditanya siapa menantunya; hanya mekanik bengkel yang tidak punya kelulusan.

Azmi cekalkan dirinya, dia perlu ada segulung ijazah supaya bapa mertuanya akan bangga dan isterinya tidak akan mengelak dari menjawab soalan rakan-rakan yang pasti akan bertanya, ‘suami awak tu jurusan apa ye dulu?’

“Alia.” Panggil Azmi kepada skrin komputer di depannya.

“Ya, bang.” Senyum Alia yang malam itu bertudung merah yang pada mata Azmi menyerlahkan kulit putih mulusnya. Kenapa rindu yang Azmi harapkan berlalu menjadi ombak yang beralun rancak dalam hatinya?

“Abang kena buat assignment ni, Alia.”

“Assignment?” Tanya Alia keliru, “Abang ambil kursus apa yang kena buat assignment ni?”

 

“Abah suruh ambil degree.” Jawab Azmi.

“Abah siapa?” Tanya Alia walau dia tahu siapa yang Azmi maksudkan.

 

“Abah Alia.”

“Hmmm, abah Alia belum jadi abah abang lagi.” Senyum manis nakal Alia kepada Azmi.

 

Azmi cemekkan mukanya, “Baka tok tua suruh ambil degree. Dio malu nantu mace abe nih.”

 

“Abah Alia tak macam tu, bang.” Marah Alia yang tahu abahnya sudah lama sayangkan Azmi; Azmi seperti mana Azmi yang dijumpai di bengkel kereta buruk di Kota Bahru dulu.

 

“Alia hok nok ado PhD tu, malu baka suami…”

 

“Alia tak macam tu, bang.” Potong Alia dengan muka masam dan tangannya dengan cepat mencapai suis komputer cuba menutup talian.

“Alia! Jangan off komputer tuh.” Rayu Azmi tanpa dipedulikan oleh Alia.

 

Azmi cepat-cepat buka email dan mula taip “Fatin Alia Maisara, maafkan abang.” Tetapi ayat itu sudah terlalu kerap digunakannya. Azmi padam ayat yang sudah lusuh itu dan taipkan pula, “Alia, sayang, maafkan abang.”

Alia yang masih berada di depan komputer di bumi sejuk United Kingdom itu baca email berani Azmi tapi hatinya belum mahu melayan perkataan sayang yang cuma memancing pertolongannya.

“Mohon bantuan, puan lecturer.” Taip lagi Azmi.

“Cik.” Balas Alia kepada Azmi yang tersenyum membaca email.

 

“Pelajar tua yang tak sepandai mana merayu bantuan puan.” Email Azmi kembali.

“Cik.” Balas Alia yang Azmi tahu sudah membalas senyumannya.

“Soalan susah, puan.” Taip Azmi yang dengan pantas ‘on’kan kembali video call yang terhenti sekejap tadi.

Alia renung kamera komputer didepannya, “Panggil Alia puan sekali lagi, Alia cari suami biar betul jadi puan nanti.” Marah Alia.

 

“Jange! Mati abe sini.”

 

Alia getab bibirnya dan balingkan pandangan amaran kepada Azmi.

 

“Cik Fatin Alia Maisara, come rupa gitu.” Sakat Azmi.

“Abang nak Alia tolong abang ke tak?” Tanya Alia dengan rimas.

“Abe nok Alia tolong abe. Kelah pertama nih ‘People and Work Systems in World Class Operations’.” Azmi baca tajuk yang tertera pada buku tebal di atas meja.

“Abang ambil degree Human Resource ke?” Tanya Alia.

 

“Dok. Business Management mace Alia jugok.” Jawab Azmi bangga yang satu hari nanti dia boleh duduk bersama Alia dan berbincang soal-soal pengurusan perniagaannya dengan istilah-istilah dan teori-teori canggih yang biasa disebut Alia dalam kuliahnya.

Alia senyum kepada lelaki yang sanggup melakukan banyak perkara untuk memanjat langit darjat sedangkan bagi Alia langit sudah lama menjejak kaki di bumi, “Apa soalannya bang?”

 

“Ene soale. Bahaso Inggerih sumo. Jawak pung keno dale Bahaso Inggerih. Kena buak karange seratus patoh perkatae setiak jawape. Abe email ko Alia? Alia buak ke?” Tanya Azmi dengan penuh harapan mendapat bantuan Alia.

 

“Mana boleh Alia buatkan.” Kata Alia yang berpegang teguh dengan etika pensyarah tidak kira siapa pun yang meminta bantuannya.

 

“Please, please, Alia.” Rayu Azmi yang hampir lemas dengan soalan-soalan yang sudah dibacanya berpuluh kali tanpa faham kerana dia lebih fasih dengan Bahasa Arab daripada Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris baginya bahasa asing yang sudah berpuluh tahun berkarat di dalam otaknya.

Alia tahan senyum mendengar rayuan Azmi, “Abang email soalan, Alia translate. Lepas tu abang tulis jawapan kalau boleh dalam Bahasa Inggeris atau abang tulis dalam bahasa rojak. Nanti Alia tolong translate dalam Bahasa Inggeris untuk abang.” Kata Alia walau terasa bersalah membantu menterjemah kerja-kerja Azmi.

“Thank you.” Ucap Azmi dengan mata bersinar berjumpa kembali harapan meneruskan perjuangan pembelajarannya.

 

“Dapak A mu, Mi?” Husin terkejut melihat kertas assignment yang dikembalikan oleh pensyarah. Husin bandingkan kertas kerjanya yang cuma mendapat C, “Mu baya oghe ko buak assignment nih?’ Tanya Husin.

 

“Dok.”

“Mu, buak sendiri?” Husin masih tidak percaya.

 

“Iyo.” Senyum Azmi yang merasa penat bertengkar dengan Alia setiap kali dia menghantar assignment untuk disemak pensyarah universiti itu.

 

“Canggih Bahaso Inggerih nih.” Komen Husin yang membaca ayat-ayat yang di taip kemas oleh Azmi.

“Hok tuh, baka isteri tulung.” Azmi terpaksa mengaku kelemahan dirinya.

“Isteri nombor berapo?” Tanya Husin yang menganggap kawan yang mencecah empat puluh tahun itu sudah lama berumahtangga.

 

“Satu.”

“Buke mu ado anok tigo doh?” Tanya Husin.

 

“Dok. Tok dok isteri. Ado tune. Pensyarah Universiti Malaysia Kelate. Dok UK buak PhD.” Umum Azmi dengan bangga.

Pensyarah universiti itu sumber inspirasi dan kekuatan baginya menghabiskan program jarak jauh yang kini tidak lagi terasa jauh perjalanannya berbanding dengan Fatin Alia Maisara yang sudah hampir setahun menetap beribu batu di Birmingham. Pak Cik Hassan silap kerana rindu tidak terubat tetapi semakin kuat dan besar ombak yang menghempas hatinya kerana sumber rindu itu, Fatin Alia Maisara, itulah nadi yang membolehkan Azmi melangkah setiap minggu ke dewan kuliah.

 

Wajah Fatin Alia Maisara itulah yang ditatapnya hampir setiap malam di depan komputer semasa dia cuba memahami apa yang tertulis dalam buku-buku tebal yang bertambun dan semasa dia cuba menyiapkan setiap kerja yang diminta pensyarahnya.
Pada setiap senyum, pada setiap sakat, pada setiap masam, pada setiap cemek, pada setiap marah dan merajuk Alia, Azmi rasakan rindu yang semakin memuncak.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku