Suamiku, Encik Sotong
BAB 3
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 Mei 2013
Erica Soffea melonjak kegembiraan. Mana tidaknya, dialah bakal peneraju Khaleeda Holding. Walaupun hubungannya dengan arwah nenda bu-kanlah baik sangat pun. Terasa macam hendak buat aksi akrobatik ketika namanya diumumkan.
Penilaian Purata:
(12 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
15405

Bacaan






Semua sedang menunggu dengan sabar. Menunggu kedatangan Puan Siti Sarah

“Mana pulak dia ni? Cakap pukul 10 pagi. Sekarang ni dah 10.05 tak nampak batang hidung lagi,” gerutu Tengku Atylia.

Erica dan Amylia saling berpandangan. Tersenyum dengan ketidaksabaran Tengku Atylia. Kemudian masuk pula Izhan dengan bergaya. Dia hanya mengenakan T-Shirt berbelang merah putih dan jeans yang berwarna biru tua. Segak sekali. Kemudian Erica sempat menjeling ke arah Farish yang turut sama melihat ke arah sepupunya itu.

“Pagi semua,” sapa Izhan. Dia kemudiannya duduk di sebelah Erica setelah bersalaman dengan Zahid dan semua yang ada.

“Iz dah makan?” tanya Tengku Atylia kepada anak bujangnya itu.

“Dah. Mana peguam ni tak datang-datang lagi,” Izhan menjawab soalan mamanya.

“Assalamualaikum,” Siti Sarah masuk dengan membawa brifcase yang berwarna hitam miliknya. Di sisinya ada seorang gadis yang bertudung merah jambu.

“Minta maaflah, saya agak lewat hari. Semua dah ada?” tanya Siti Sarah lagi. “Semua dah sampai, cuma tunggu you sahaja, Puan Lawyer,” sindir Tengku Atylia. Siti Sarah menarik nafas yang panjang. Dia maklum dengan sikap Tengku Atylia.

“Baiklah, kalau semua dah ada, kita boleh mulakan sekarang,” ujar Siti Sarah. Semua yang ada di situ menarik nafas yang panjang. Tidak sabar untuk mengetahui wasiat apa yang telah ditinggalkan oleh Tengku Khaleeda.

“Assalamualaikum. Semasa wasiat ini di baca bermakna saya Tengku Khaleeda telah 100 hari meninggalkan dunia ini. Segala apa yang bakal disampaikan oleh peguam saya, iaitu Puan Siti Sarah adalah yang telah apa saya katakan kepada beliau. Oleh itu semua yang ada perlu menerima dan akur dengan segala-galanya.” Siti Sarah berhenti sejenak dan melihat satu-satu ke wajah mereka yang berada di hadapannya. Masing-masing kelihatan gusar dan tidak tenang.

“Jadi saya akan bacakan wasiatnya sekarang,” sambung Siti Sarah. Masing-masing macam burung belatuk menganggukkan kepalanya.

“Segala wang tunai atau di dalam deposit simpanan hendaklak dibahagi sama rata di antara Tengku Atylia Tengku Imran, Zahid Ariffin dan juga Amylia Harun. Jika ada sesiapa yang membantah, bahagiannya akan dimasukkan ke Tabung Yayasan Khaleeda, yang diuruskan oleh Peguam Siti Sarah dan Rakan-rakan. Sementara itu segala aset yang lain dan syarikat yang ada akan diberikan seperti berikut.” Siti Sarah berhenti di situ. Pembantunya kemudiannya menyerahkan kepada semua yang ada salinan kertas yang berisi jumlah wang yang ada di dalam bank.

“Ini yang dalam bank, yang tunai kat rumah ni macam mana?” tanya Tengku Atylia.

“Sebelum Tengku Khaleeda meninggal, saya rasa tak banyak wang tunai yang ada di dalam rumah ini.” Terang Siti Sarah.

“Kak Ngah, bonda dah tahu ajal dia nak sampai. Percayalah semuanya telah diatur oleh Bonda dengan teliti. Kak Ngah tahu Bonda macam mana kan?” sampuk Amylia.

“Aku tahu, aku cuma nak tanya. Manalah tahu kalau-kalau ada yang terselit, dan ada pula yang nak menyelit,” jawab Tengku Atylia.

“Saya bermula dengan Tengku Atylia Tengku Imran. Tengku Khaleeda menyerahkan syarikat pembinaan KHALEEDA Cons. kepada Tengku Atylia dan keluarganya untuk diuruskan. Begitu juga dengan pegangan saham di Dinamik Industri. Di Dinamik Industri Tengku Khaleeda memegang 50% daripada saham. Semua saham itu menjadi hak milik mutlak Tengku Atylia. Disamping itu semua saham di dalam Koperasi Tengku Khalid, Kumpulan Jaya dan Setapak Maju Sdn Bhd menjadi hak milik Tengku Izhan Tengku Eddrus.” Tengku Atylia tersenyum.

“Untuk Amylia Harun pula, Tengku Khaleeda menyerahkan semua rangkaian KHALEEDA BEAUTY di bawah selian Cik Amylia Harun. Ini bermakna setelah wasiat ini dibaca Cik Amylia Harun akan menjadi pemilik KHALEEDA BEAUTY.” Amylia sekadar menundukkan kepalanya. Dadanya sebak. Untuk orang yang menumpang sepertinya rasa tidak layak untuk menerima wasiat itu. Tengku Atylia menganggukkan kepalanya. Tanda setuju dengan apa yang telah ditinggalkan kepada Amylia. Kemudian pandangannya beralih pula kepada Zahid.

“Zahid Arriffin akan menjadi pemilik sah Syarikat AutoMotor yang mana ketika ini Zahid Arriffin merupakan pengurus di situ.”

“Baiklah, setakat ini ada sesiapa yang nak membantah? Tengku Atylia?” tanya Siti Sarah. Masing-masing sekadar mengelengkan kepalanya.

“Nampaknya semua sudah setuju dengan apa yang saya sampaikan. Jadi segala urusan penukaran hak milik akan saya uruskan dengan segera.”

“Itu sahaja wasiatnya, macam mana dengan..” soal Tengku Atylia.

“Ada lagi, saya akan teruskan. Wasiat yang dibacakan nanti akan melibatkan Erica Soffea Zahid dan juga Muhammad Farish Haikal Jufri.” Erica tersentak, begitu juga dengan Farish. Mereka menunggu dengan penuh debaran dengan apa yang bakal mereka perolehi. Erica sudah membayangkan Bali. Tempat untuknya bercuti dengan harta nendanya. Farish hanya berdoa agar ada sedikit wang yang ditinggalkannya untuk dia melanjutkan pelajaran ke Paris. Dia bercadang untuk menyambung kembali pelajarannya di dalam bidang rekaan fesyen.

“Erica Soffea Zahid dilantik sebagai Pengerusi di Khaleeda Holdings tetapi perlantikannya bersyarat.”

“Apa? Budak mentah ni? Apa yang dia tahu?” Tengku Atylia bersuara.

“Aty,” panggil Tengku Eddrus. Walaupun dia turut terkejut dengan pengumaman itu. Sepatutnya isterinya yang menjadi Pengerusi di situ bukan budak mentah seperti Erica Soffea.

“Sabar Tengku Atylia. Walaupun Erica Soffea adalah Pengerusi tetapi Tengku Atylia dilantik sebagai Penasihat.” Kata Siti Sarah. Erica hampir menjerit. Dia sudah terbayang lambaian ombak di Bali. Kalau di ikutkan hati ingin dia melonjak. Yang penting dia merasa bagaikan hendak berkongsi rasa gembira dengan Izhan, sepupunya. Farish hanya menjeling, menantikan habuannya pula.

“Okey.. Puan Siti apa syarat-syaratnya?” tanya Erica, tidak sabar.

“Erica Soffea perlu mengahwini Muhammad Farish dalam tempoh 3 hari selepas wasiat ini dibaca. Dan mereka perlu bertahan dalam perkahwinan itu selama tiga tahun dan selepas tiga tahun jika mereka masih lagi gagal menyesuaikan diri di dalam perkahwinan itu, maka mereka layak membuat keputusan masing-masing yang dipersetujui. Dan kegagalan rumah tangga mereka itu tidak akan menyebabkan Erica Soffea kehilangan haknya di dalam Khaleeda Holdings. Jika syarat ini tidak dipersetujui, segala urusan di Khaleeda Holdings akan diuruskan oleh Peguam yang dilantik dan semua pewaris Tengku Khaleeda iaitu Tengku Atylia Tengku Imran, Tengku Eddrus Tengku Ekmal, Tengku Izhan Tengku Eddrus, Amylia Harun dan Zahid Arriffin hanya menerima lima peratus setiap seorang dari keuntungan tahunan syarikat. Yang selebihnya akan di masukkan ke dalam Tabung Yayasan Khaleeda. Sementara itu Erica Soffea Zahid dan Muhammad Farish Haikal Jufri hanya menerima imbuhan sebanyak RM 1000 sebulan.”

“Sekejap. Tak kan itu syaratnya?” Erica menyoal. Siti Sarah sekadar menganggukkan kepalanya.

“Saya dapat apa?” tanya Farish.

“Erica Soffea Zahid,” jawab Siti Sarah. Suasana yang tenang bertukar menjadi kecoh.

“Semua diam boleh tak?” Zahid bersuara dengan lantang. Semua yang ada terdiam.

“Puan Siti, maknanya kalau Rica tak kahwin dengan Farish pihak peguam yang uruskan syarikat tu?”

“Iya, Encik Zahid. Pihak peguam juga hanya dibayar gaji bulanan sebagai mana yang telah di persetujui.”

“Habis tu keuntungan yang lain macam mana?” Tengku Atylia pula bertanya.

“Akan di salurkan ke Tabung Yayasan Khaleeda.”

“Takkan saya hanya dapat RM 1000 sebulan? Ini wasiat apa ni?” marah Erica.

“Sebagai Pengerusi, Erica mendapat gaji bulanan disamping elaun dan juga 10% keuntungan tahunan.”

“Kami dapat apa?” tanya Tengku Atylia pula.

“Yang lain-lain akan mendapat 10% juga dari keuntungan syarikat termasuk juga dengan Muhammad Farish.”

Semua mendiamkan diri. Tengku Atylia memasamkan mukanya. Begitu juga dengan anaknya.

“Nampaknya semua telah saya bacakan. Itu sahaja wasiat dari arwah,” suara Siti Sarah memecahkan kesunyian di bilik itu.

“Saya tak setuju. Ini wasiat gila. Saya tak nak kahwin dengan si sotong ni,” Erica bersuara dengan lantang.

“Amboi sedap je mulut kau mengata kat aku. Aku pun tak ingin nak ambil perempuan macam kau ni jadi isteri aku tau. Mulut macam puaka,” Farish mempertahankan dirinya.

“Apa kau cakap? Mulut aku macam puaka? Hey sotong. Kau ni memang nak kena,” Erica meluru ke arah Farish. Dia sempat memukul badan Farish sebelum sempat Farish mengelak. Zahid mendapatkan anaknya.

“Sudahlah tu,” tengking Tengku Atylia.

“Puan Sarah. Izinkan kami berbincang terlebih dahulu. Saya minta Puan Sarah tinggalkan kami,” pinta Tengku Atylia lagi.

Siti Sarah menganggukkan kepalanya. Dia kemudiannya keluar dari bilik itu dengan diekori oleh pembantunya.

“Sekarang ni macam mana?” Tengku Atylia mula berbicara.

“Macam mana apanya? Nak buat apa lagi. Biarkan peguam yang dilantik uruskan syarikat tu. Takkan nak biarkan Erica ni kahwin dengan..” suara Zahid mati di situ. Farish hanya menjeling, dia maklum dengan apa yang hendak dikatakan oleh Zahid.

“Hey Zahid kau tahu tak, Syarikat tu lambang keluarga aku. Tak kan kita ni nak biarkan warisan dari bonda orang lain yang uruskan?” marah Tengku Atylia.

“Erica ini anak aku. Aku ada hak nak tentukan siapa yang nak jadi bakal menantu aku,” Zahid bersuara lagi. Kali ini semakin kuat.

“Sudah lah tu. Ini kan wasiat bonda. Masa bonda hidup tak ada siapa pun yang pedulikan kata-kata dia. Sekarang dia dah tak ada, salah ke kita ikut wasiat dia. Lagipun apa kurangnya Farish?” Amylia memberanikan diri mempertahankan wasiat Tengku Khaleeda.

“Mama Lia. Farish pun tak nak dijodohkan dengan Erica. Dia tak sesuai dengan Farish. Lagipun perempuan macam ni layak ke?” kata Farish.

“Wei, kau ni kan. Ingat aku ni tak layak nak jadi bini kau ke? Kau tu yang tak layak nak jadi laki aku. Sotong.”

“Tolong sikit. Kau tu bukan saja tak layak jadi bini aku. Malah tak layak untuk semua lelaki dalam dunia ni. Kau tu jenis meterial, pemalas. Malanglah siapa yang jadi laki kau.”

“Sotong, kau jangan nak cabar aku. Kau ni kan memang nak cari nahas lah,” Erica semakin panas mendengar kata-kata Farish.

“Aku tak ada masa nak cabar-cabar kau. Memang kau ni tak layak jadi bini aku. Sekarang ni kita ikut kata Uncle Zahid. Serahkan pada peguam.” Farish membuat keputusan. Dia sudah tidak peduli pasal harta itu. Yang penting adalah dia tidak akan sekali-kali menjadi suami kepada Erica Soffea.

“Baik. Dengar sini. Kita akan kahwin. Kalau kau memang anak jantan. Kau jadi suami aku.” Erica sengaja mencabar Farish.

“Rica, Rica tahu tak apa yang Rica cakap ni?” tanya Zahid. Memang Erica jenis yang pantang dicabar.

“Kau tak payahlah nak cabar-cabar aku. Aku tak inginlah nak kahwin dengan kau. Tak dapat duit pun tak apa,” balas Farish.

“Betullah, kau ni bukan anak jantan.” Sindir Erica. Dia sengaja mencabar Farish. Dia tahu Farish tidak akan sanggup berkahwin dengannya. Jika Farish sendiri yang menolak, dia tidak akan disalahkan oleh keluarganya sebaliknya Farish yang akan disalahkan kerana tidak mengikut wasiat Tengku Khaleeda. Selamatlah dia. Itu yang dirancangkan oleh Erica. Langkah seterusnya dia akan berbaik dengan Mak Ngahnya, hatinya sudah terpaut pada Izhan.

“Kau jangan nak cabar aku Erica,” kata Farish lagi. Tengku Atylia mendiamkan diri. Tetapi hatinya berdoa agar Farish menerima cabaran Erica Soffea. Sudah ada satu rancangan di dalam benaknya. Rancangannya akan bermula dengan perkahwinan antara Farish dan Erica.

“Sotong,!”

Farish bangun dari duduknya. Dia meluru keluar dari bilik itu. Erica menarik nafas lega. Nampaknya rancangan seminitnya telah berjaya. Teruklah Farish akan dimarahi oleh Tengku Atylia selepas ini. Silap-silap terus akan di halau keluar dari rumah agam ini. Erica sempat menjeling ke arah Izhan.

Tidak sampai seminit Farish meninggalkan bilik itu dia masuk kembali ke bilik bacaan itu.

“Baik, kau dengar sini Erica. Esok kita kahwin.” Kata Farish. Dia kemudian keluar dari bilik itu. Erica termangu mendengar kata-kata dari Farish. Amylia dan Tengku Atylia tersenyum. Senyuman yang berlainan makna.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku