Suamiku, Encik Sotong
BAB 4 , BAB 5, BAB 6
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 Mei 2013
Erica Soffea melonjak kegembiraan. Mana tidaknya, dialah bakal peneraju Khaleeda Holding. Walaupun hubungannya dengan arwah nenda bu-kanlah baik sangat pun. Terasa macam hendak buat aksi akrobatik ketika namanya diumumkan.
Penilaian Purata:
(10 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
20704

Bacaan






BAB 4

“Papa, macam mana ni Papa?” Erica bertanya kepada Zahid. Nampaknya rancangannya gagal. Sebaliknya dia yang terperangkap.

“Macam mana apa?”

“Tak kan Papa nak tengok Rica kahwin dengan sotong tu esok?” soal Erica. Dia tidak tidur di rumah agam itu sebaliknya mengikut papanya balik ke hotel walaupun dia meluat melihat ibu tirinya, Shirin. Tetapi dia lebih meluat melihat Farish di rumah agam itu.

“Rica yang pandai-pandai cabar dia kan? Selembut mana pun dia, dia tetap lelaki. Dan lelaki ni pantang di cabar.” Bidas Zahid. Dia memang marahkan Erica. Seronok lah Tengku Atylia. Masih jelas lagi bagaimana Tengku Atylia dengan segera bangun dan memanggil Siti Sarah untuk memaklumkan keputusan mereka. Keputusan tentang perkahwinan antara anaknya dengan Farish.

“Papa pun nak salahkan Rica. Rica mana nak tahu dia lelaki,” Erica mempertahankan tindakannya.

“Sekarang ni terima lah,’ jawab Zahid bersahaja.

“Rica, kita tengok dari sudut yang positif,” Shirin bersuara, setelah mendengar semuanya.

Erica menjeling, hatinya berbisik, “ Menyampuk pula dia ni. Ada kena mengena ke?”.

“Makcik bagi cadangan. Rica kahwin sahaja dengan dia. Kan wasiat tu bagi tempoh selama tiga tahun. Kalau tak sesuai Rica bercerai lah. Tiga tahun tu bukan lama Rica. Yang penting lepas ni Rica jadi Pengerusi kat syarikat tu. Bayangkan mungkin Rica masuk world of record, Pengerusi paling muda,” Shirin sengaja menbayangkan sesuatu yang indah kepada Erica.

Erica menarik nafas yang panjang.

“Boleh tahan juga idea orang tua ni,” Erica masih berbisik di dalam hati.

“Bila Rica dah dapat jawatan, apa sahaja yang Rica nak, Rica boleh dapatkan. Sebut sahaja,” kata Shirin lagi, memancing hati anak tirinya. Dia kemudiannya memegang bahu Erica.

“Shirin, awak ni nak ke dia kahwin dengan budak Farish tu. Budak tu lembut tau tak?”

“Sebab budak tu lembutlah, Rica boleh kahwin dengan dia. Mesti dia tidak akan apa-apakan Rica. Yang penting Rica jadi Pengerusi kat situ. Lagipun tiga tahun sahaja kan? Kalau saya, saya setuju sahaja. Lepas tiga tahun cerai lah. Apa nak susah.” Jawab Shirin. Erica sudah tersenyum.

“Betul cakap makcik. Tak sangka kan, ingatkan perempuan macam makcik ni, akal pendek.” Kata Erica.

Shirin tersenyum kelat.

“Nasib baik bapak kau ada kat depan ni, kalau tak tahulah nasib kau.” Shirin bersuara, tetapi hanya di dalam hati. Sejak dari hari pertama perkahwinannya dengan Zahid setahun yang lalu memang hubungannya dengan Erica tidak berapa baik.

Hari ini tidak ramai di pejabat Agama Islam Negeri Melaka. Erica hanya mengenakan baju kurung yang berwarna hitam. Dia turut mengenakan tudung yang juga berwarna hitam. Baju yang baru dibelinya pagi tadi. Farish ada dihujung sana mengenakan baju melayu yang berwarna merah jambu. Ada manik-manik dan labuci yang menghiasi baju melayunya itu. Farish hanya ditemani Amylia. Mimik muka antara Erica dan Farish sama sahaja. Masam mencuka.

Tidak lama kemudian mereka berdua dipanggil. Amylia, Zahid dan Shirin mengikut jejak langkah mereka berdua.

“Mana bakal pengantin ni?” tanya pegawai yang memakai tanda nama Harun itu.

“Mereka berdua ni,” Zahid menjawab. Pegawai itu merenung ke arah Zahid, meminta kepastian.

“Betul Encik, yang ini memang bakal pengantinya. Dan saya Zahid, ayah kepada Erica Soffea, pengantin perempuan. Segala borang dan maklumatnya ada dalam tu. Dah siap isi pun.”

“Emm. Sebenarnya saya dah semak pun. Tapi kenapa macam ada sesuatu yang tak kena pada mereka berdua ni. Kena kahwin paksa?” soal pegawai itu lagi.

“Hek Ellah, dia ni banyak soal lah pulak,” rungut Erica perlahan, namun masih jelas butir bicaranya.

“Bukan apa, perkahwinan bukan sesuatu yang boleh di buat main. Sekarang ni banyak sangat pasangan yang berkahwin muda dan banyak sangat kes dah kahwin sebulan dua baru tahu rupanya tak serasi lah, macam-macam. Setahun dua kahwin dah nak bercerai.”

“Jangan susah hati Encik, kami ni lama lagi kalau nak bercerai pun, lepas tiga tahun baru bercerai,” sampuk Erica. Farish menjengilkan matanya.

“Encik, boleh kahwinkan kami sekarang tak? Saya dah tak sabar nak jadi suami dia ni,” kata Farish.

Pegawai itu mengelengkan kepala. Nampak sangat ada sesuatu yang tidak kena pada mereka berdua. Awal-awal lagi sudah tidak bersefehaman, bagaimana hendak hidup bersama.

Akhirnya selepas tiga kali akad nikah, Erica Soffea selamat menjadi milik Muhammad Farish Haikal. Zahid menghidupkan enjin keretanya. Shirin di sebelahnya hanya tersenyum dan melirik ke arah Erica yang masih lagi mencuka.

“Kenapa masam ni? Pengantin kena lah ceria, bukan masam macam ni?” tegur Zahid kepada anaknya.

“Papa ni, bising lah. Bila nak balik K.L?” Erica bertanya.

“Esok pagi kenapa?”

“Nak ikut,” jawab Erica ringkas.

“Rica, sekarang ni Rica dah jadi isteri orang. Kena ikut suami bukan ikut Papa,” Shirin mengingatkan. Dia kalau boleh biar Erica tinggal sahaja di Melaka ini, menyibuk sahaja kalau Erica mengikut mereka balik Ke Kuala Lumpur.

“Makcik, makcik jangan menyibuk boleh tak?” kata Erica.

“Rica,” Zahid bersuara.

Farish sedang termenung di dalam biliknya. Airmatanya mengalir walaupun tidak selaju tadi. Dia tahu dia kini sedang mempertaruhkan dirinya di kalangan Tengku-tengku di rumah agam ini. Tengku Atylia melihatnya dengan wajah yang sinis, begitu juga dengan Tengku Eddrus dan Izhan. Hanya Amylia sahaja yang masih melayannya dengan baik. Terfikir juga di benaknya dengan apa yang berlaku sebentar tadi. Dia sudah mempunyai isteri? Bagaikan tidak percaya, bagaimana jika teman-temannya tahu tentang hal ini. Farish mengeluh lagi. Dia menjenguk ke luar tingkap bila di dengarnya ada bunyi kereta yang sedang memasuki perkarangan rumah. Kereta milik Uncle Zahid.

“Farish, jom kita ke sana,” panggil Amylia. Farish bangun dengan malas. Dia mengikut langkah Amylia, masuk ke bilik bacaan yang besar dan mewah dengan bahan bacaan itu.

“Syukurlah, Erica selamat disatukan dengan Farish,” kata Siti Sarah.

“Tak payah nak panjang-panjang Puan Sarah. Sekarang ni mereka dah sah menjadi suami isteri. Seterusnya apa?” soal Tengku Atylia tidak sabar-sabar.

“Saya akan menyediakan dokumen yang diperlukan. Saya harap semua dapat bersabar. Ada satu lagi perkara yang perlu saya beritahu,” Siti Sarah berkata.

“Apa lagi, tak habis-habis dengan syarat,” marah Tengku Atylia.

“Perkara ini perlu saya beritahu setelah Erica sudah berkahwin dengan Farish. Ini adalah geran dan kunci rumah kondominium di Kuala Lumpur. Farish akan menyambung pelajarannya di sana. Segala perbelanjaan dan yuran pengajian akan di tanggung oleh Khaleeda Beuty. Erica juga akan meneruskan pengajiannya seperti biasa disamping akan belajar mengenai Khaleeda Holdings. Di bawah seliaan Dato’ Mansor yang merupakan pemangku. Selepas tiga tahun Erica akan dilantik secara rasmi. Dalam tempoh itu Erica dan Farish akan di beri elaun sebanyak RM 3500 sebulan. Manakala Tengku Atylia, Tengku Eddrus, Encik Zahid dan Cik Amylia akan menjadi penasihat kepada Erica dan Khaleeda Holdings. Dan mereka ini akan menerima imbuhan sebagai mana yang tertakluk. Sebarang perkara yang berkaitan dengan Khaleeda Holdings perlulah dirujuk terlebih dahulu kepada penasihat sebelum dibuat sebarang keputusan. Itu sahaja. Jika tiada apa masalah saya nak teruskan dengan kertas kerja dan dokumen yang diperlukan,” sambung Siti Sarah lagi. Masing-masing mendiamkan diri. Tengku Atylia gembira, selepas ini apa yang direncanakannya pasti akan berjaya.

“Papa, tolonglah Rica nak balik K.L dengan Papa,” Erica merayu sambil menarik kemaja yang dipakai oleh Zahid.

“Rica, ini keputusan Rica sendirikan? Terima sahajalah.”

“Papa, Rica tak sangka sotong tu setuju pulak. Tolonglah Papa.”

“Sorry, Papa tak ada hak atas Rica sekarang. Rica kena tanya suami Rica. Siapa pun dia dia dah jadi suami Rica dan Rica kena patuh arahan dia,” Zahid mengingatkan. Walaupun dia marah dengan tindakan anaknya tetapi jauh di hatinya dia berharap dan berdoa agar tindakan Erica berada di landasan yang betul.

“Okey, ikut suka Papa. Berbahagialah dengan bini Papa tu,” Erica sudah naik angin. Dia terus masuk ke biliknya, meninggalkan Zahid.

“Rica, Rica,” Zahid memanggil nama anaknya, namun tidak diendahkan oleh Erica.

“Sudahlah tu, biarkan dia. Lagi pun minggu depan dia balik. Jangan susah hati kat dia. Suami dia kan ada,” Shirin memujuk suaminya. Bimbang juga jika suaminya berubah hati, membawa Erica bersama-sama mereka pulang ke Kuala Lumpur.

“Shirin, Rica tu satu-satunya anak saya.” Kata Zahid.

“Habis tu? Awak yang walikan dia kan?” jawab Shirin. Zahid hanya mendiamkan diri. Malas dia nak melayan kata-kata dari isterinya itu.

BAB 5.

Erica menghidupkan pendingin udara di biliknya. Panas hatinya melihat papanya berlalu pergi tanpa langsung menghiraukan keadaannya. Sempat dia melihat wajah ceria ibu tirinya. Dia kemudiannya mengambil telefon bimbit, di dailnya nombor telefon Sarah, teman baiknya yang sedang bercuti di Singapura.

“Hello geng,” Erica bersuara.

“Rica. Pasal tak telefon kita orang. La, best gilerlah kat sini. Rugi kau tak datang,” balas Sarah. Erica dapat mendengar dengan jelas bunyi riuh rendah di hujung talian.

“Hek elleh, kau kan tahu kenapa aku tak boleh joint . Cakap banyak pulak,” marah Erica.

“Janganlah marah girl. Pasal tension-tensionni. Nanti kita plan lain. Kau macam mana okey ker? Semua dah settle?”

“Emm, okey. Malas la aku nak cerita.”

“La, kau ni Rica, macam tak seronok je? Berapa juta nenek kau tinggalkan harta kat kau. Jangan lupa belanja kita orang nanti,” usik Sarah.

“Banyak, siap tinggalkan sotong untuk aku.”

“Sotong? Nenek kau bela sotong ke?” Sarah bertanya kehairanan.

“Sotong kurita. Dah lah, malas aku nak cerita. Bila kau nak balik ni?” Erica mengalih tajuk perbualannya dengan Sarah.

“La, kan lagi dua hari kita orang kat sini. Kau dah balik K.L ke?”

“Belum. Aku pun esok lusa balik lah kot. Jumpa lah nanti. Jangan lupa beli apa-apa kat aku tau. Bye.” Erica mematikan talian. Dia kemudiannya melemparkan telefon bimbitnya ke atas katil. Dia merebahkan badannya.

Pintu biliknya di buka, Erica menoleh kelihatan Farish di hadapan pintu.

“Kau buat apa masuk bilik aku ni?” marah Erica. Menyampah dia melihat wajah ayu milik Farish.

“Bilik bini aku, salah aku masuk?” Farish menjawab dengan muka sardinnya.

“Kau cakap apa? Cuba kau ulang lagi sekali?”

“La, muka je lawa.Pekak rupanya. Aku cakap, aku masuk bilik bini aku, salah ke?”

“Uweek,” Erica membuat aksi.

“Hey,, belum apa-apa lagi dah nak muntah? Mengandung ke?” sengaja Farish ingin menyakiti hati Erica.

“Ya ALLAH. Mangkuk jamban betul lah kau ni. Kau ni ingat aku ni perempuan jenis apa? Bohsia ke?”

“Em, em,” Farish mengerakkan jari nya sambil berkata, “Jangan derhaka pada suami. Dosa.”

Erica membalingkan bantalnya ke arah Farish. Buk, terkena ke muka Farish. Dia tidak marah. Sebaliknya dia mengambil bantal itu lalu diletakkannya di atas katil.

“Sakit hati ke?” Farish berkata dengan muka yang sinis. Erica mengecilkan matanya, geram di hatinya hanya ALLAH sahaja yang tahu. Ada air mata yang ditahan. Air mata marah. Farish terus ketawa. Rasa bangga kerana berjaya menyakitkan hati Erica. Gadis cantik yang sombong dan berlagak itu. Dia kemudiannya keluar dari kamar Erica.

“Farish? Kenapa senyum ni?” tegur Amylia. Farish tersentak. Ketika itu dia baru sahaja keluar dari bilik Erica. Amylia menjenguk ke dalam bilik Erica, dia melihat Erica yang sedang menyembamkan mukanya di atas bantal.

“Er, Mama Lia. Terkejut Farish, ingatkan siapa tadi. Tak ada apa lah,” jawab Farish sambil melangkah ke hadapan.

Amylia tidak berpuas hati sebaliknya dia menarik tangan Farish.

“Farish sakitkan hati Rica ke?” tanya Amylia.

“Ish, Mama Lia ni. Mana ada. Farish ni kan suami dia. Mana ada sakit-sakitkan hati isteri ni. Tuduh je tak tau. Tak baik. Dosa,’ jawab Farish sambil membaiki jambul depan rambutnya. Amylia menjeling. Sikit pun dia tidak percaya dengan kata-kata yang keluar dari mulut Farish.

“Baguslah, kalau kenal dosa pahala. Nah, ambil ni,” Amylia menghulurkan sebuah buku kepada Farish. Sebuah lagi masih ada di dalam pegangan Amylia.

“Apa ni Mama Lia?” tanya Farish sambil mengambil buku yang telah dihulurkan kepadanya.

“PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB SUAMI PILIHAN ISTERI,” Farish membaca tajuk buku itu.

“Apa ni Mama Lia. Tak suka tau,” marah Farish.

“La, inikan buku panduan. Hadiah untuk pengantin baru,” balas Amylia. Walaupun hendak tergelak namun dia menahan.

“Saja je tau. Terima kasih. Farish tahu. Dah belajar masa sekolah tu,” jawab Farish. Dia kemudiannya terus berlalu meninggalkan Amylia yang masih di hadapan pintu bilik Erica.

Amylia mengetuk pintu bilik Erica. Erica tahu Amylia yang sedang mengetuk. Dia dengan jelas mendengar perbualan antara Amylia dengan Farish sebentar tadi. Amylia masuk dan menghampiri Erica yang sedang menangis.

“Kenapa ni sayang?” tanya Amylia.

“Sakit hati,” jawab Erica. Dia masih lagi menyembamkan mukanya ke bantal.

“Kenapa pula?”

“Farish tu lah. Sotong gila,” rungut Erica lagi.

“Rica, tak baik cakap macam tu. Farish tu kan...” kata-kata Amylia terhenti di situ.

“Apa? Mama Lia pun nak cakap yang Farish tu suami Rica. Ini semua sebab wasiat Nenda yang mengarut tu. Kalau tak Rica tak jadi macam ni tau.” Marah Erica.

“Rica, janganlah cakap macam tu. Ini semuakan takdir. Dah jodoh Rica dengan dia. Lagipun Rica, Farish tu baik orangnya. Emm walaupun dia lembut tapi gentlemen tau.”

“Tolonglah. Mama Lia tahu tak macam mana Rica nak jumpa dengan kawan-kawan Rica. Kalau kawan-kawan Rica tahu. Malunya. Kalau kahwin dengan Abang Iz okey lah juga. Hensem, macho. Gagah perkasa. Ni, lembik tak bermaya. Jambu pulak tu. Adoi. Pakai baju bunga-bunga color pink,’’ kata Erica sambil meraung. Amylia cuba menahan gelaknya. Dia sendiri mengakui di dalam hati, jika dia tidak mengenali Farish sejak dari kecil pasti dia juga mempunyai anggapan yang sama seperti Erica. Dia sendiri tidak pasti kenapa bondanya meletakkan syarat yang sedemikian. Kasihan juga melihat Erica begini.

BAB 6

Tengku Atylia sedang sibuk meneliti segala dokumen yang harus ditandatanganinya. Walaupun kepalanya pening namun semuanya perlu diselesaikan. Banyak perkara yang harus difikirkannya. Sudah dua minggu dia pulang dari Melaka, mendengar pembacaan wasiat merepek bondanya. Dia kemudiannya meletakkan penanya. Kemudian dia mendail nombor sambungan anaknya, Izhan.

“Iz, masuk jumpa Mama sekejap,” arah Tengku Atylia.

“Em, lagi sepuluh minit. Ada kerja sikit ni,” balas Izhan.

Tengku Atylia meletakkan telefonnya. Dia memicit-micit kepalanya. Memikirkan adakah anaknya akan mengikut segala kata-katanya nanti. Hanya itu sahaja caranya yang tinggal bagi memastikan segala harta milik bondanya akan berada di dalam tangannya. Tidak sepatutnya Khaleeda Holdings ada di dalam tangan gadis mentah seperti Erica Soffea.

Izhan melabuhkan punggungnya di atas kerusi empuk di pejabat Tengku Atylia. Dia membelek-belek jam tangan miliknya. Mamanya dari tadi sedang membelek dokumen.

“Apa hal Mama panggil Iz ni?” Izhan bersuara.

“Mama nak tanya Iz pasal wasiat Nenda tu?”

“Wasiat? Nak tanya apa lagi? Kan semua dah setuju. Apa yang Mama nak pertikaikan lagi?”

“Mama bukan apa. Sepatutnya Khaleeda Holdings tu jadi hak kita bukan hak Erica.”

“Memanglah. Erica tu apa yang dia tahu. Iz pun tak tahu kenapa Nenda buat macam tu. Apa motifnya? Iz pun memang tak puas hatilah. Jangan-jangan sebelum Nenda meninggal, Erica ada hasut Nenda tak?”

“Tak mungkin. Mama tahu. Erica tidak pernah sukakan Nenda. Lupakan pasal wasiat tu, yang penting macam mana kita nak dapatkan kembali Khaleeda Holdings. Nasib baik Erica sanggup berkahwin dengan Farish, kalau tidak Khaleeda Holdings akan diuruskan oleh pihak ketiga. Harapan kita untuk mendapatkannya. Hancur lebur tahu tak?” kata Tengku Atylia.

“Habis tu Mama nak buat apa?”

“Itulah yang Mama nak bincang dengan Iz. Iz ingat tak apa yang di katakan oleh peguam tu. Kalau dalam tempoh tiga tahun, perkahwinan mereka gagal, mereka boleh berpisah tapi Erica tak hilang jawatannya. Jadi, apa kata kalau Iz ambil peluang tu?” Tengku Atylia memberikan cadanganya.

“Maksud Mama?” tanya Izhan, kehairanan.

“Ialah, selepas Erica bercerai dengan Farish, Izhan pula kahwin dengan Erica.”

“Mama. Mama tahu tak apa yang Mama cakapkan ni?”

“Sedar. Dan Mama bagi idea ni pun dalam keadaan yang waras lah.”

“Iz tak mainlah bekas-bekas orang ni Mama. Lagipun Erica budak-budaklah. Lawa macam mana pun, she is not my taste.”

“Ini bukan pasal taste ke, pasal second-hand ke. Ini pasal Khaleeda Holdings. Lagipun, Farish tu ada selera ke kat Erica? Kalau dia pakai baju kurung, make-up, letak dia sebelah Erica, orang pun tak tahu yang mana satu Erica mana satu Farish. Don’t worry, comfirm dia tak sentuh Erica. Pasal Erica pula, Mama bukan suruh Iz kahwin dengan dia sampai mati. Sampai Iz dapatkan kembali Khaleeda Holdings tu sahaja. Lepas tu, pandai-pandailah Iz,” Tengku Atylia mengutarakan cadangannya.

Izhan menganggukkan kepalanya.

“Macam mana kalau mereka tak bercerai?” Izhan bertanya. Tengku Atylia hanya ketawa mendengarnya.

“Mama jangan gelak sangat,” sambung Izhan lagi.

“Iz, nasib baik wasiat tu nyatakan tiga tahun, kalau tak hari ini kahwin esok dia orang dah bercerai tau. Dia kahwin pun bukan sebab apa, sebab Khaleeda Holdings sahaja,” jawab Tengku Atylia. Izhan membatukan diri. Masih lagi memikirkan apa yang dikatakan oleh Mamanya.

“Nah, ini nombor telefon Erica. Telefon dia, curi hati dia.”

“Mama, lepas dia bercerai lah. Takkan sekarang kot,” balas Izhan. Dia pun naik pening dengan cadangan Mamanya.

“Iz, kalau nak dapatkan Z kena melalui A,B,C bukan terus pergi ke X,Y,” Tengku Atylia kemudiannya memicit bahu anaknya. Izhan mengambil nombor telefon yang diberikan oleh Mamanya dengan malas.

“I just try my luck,” jawab Izhan dengan malas.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku