Dulu Benci, Sekarang Suka
Bab 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 18 Jun 2013
Benci! Itulah yang Hazrel Hardy rasakan setiap kali bertemu dengan Nur Ain Zafira. Pelbagai rancangan diatur untuk mengenakan gadis itu. Disebabkan perbuatan seseorang, mereka terpaksa bernikah tanpa rela.
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3976

Bacaan






“SIAPA pulak yang ganggu aku pagi-pagi ni? Menyusahkan betul!” rungut Hazrel sambil meraba-raba mencari telefon bimbit.

Where are you, Hazrel Hardy? Kenapa tak balik semalam?” jerkah suara di hujung talian sebaik sahaja telefon bimbit dilekap ke telinga.

Terkejut Hazrel dengan jerkahan itu. Diangkat tubuh dan bersandar ke kepala katil. Nama panggilan di skrin telefon dilihat. Mama! Detik hati Hazrel.

“Kenapa tak balik, Rel?” ulang Datin Salina, meninggi.

Morning, mama,” ucap Hazrel, lembut.

“Mama bukan suruh Rel ucap selamat pagi pada mama. Mama tanya, kenapa Rel tak balik semalam? Bukan ke Rel janji nak balik malam tadi? Mama tunggu Rel sampai ke pagi. Batang hidung Rel tak jugak muncul-muncul. Mama callRel, tak dapat. Rel pergi mana?” tanya Datin Salina bertubi-tubi tanpa full stop.

Hazrul menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Apa jawapan yang harus diberikan?

“Rel ada perkara yang nak diurus, mama. Petang ni Rel baliklah.”

“Rel jangan nak bohong mama. Rel dah sangkut dengan perempuan kat sana ke?”

“Eh, mana ada, mama. Tak ingin Rel dengan perempuan-perempuan kat sini. Bukannya cantik pun. Semuanya miskin dan menyusahkan.”

“Kalau mama dengar cerita yang tak baik tentang Rel, tahulah macam mana nak kerjakan Rel. Ingat pesan mama. Jangan sesekali terpikat dengan perempuan kat sana. Jangan sesekali terpikat dengan orang miskin,” pesan Datin Salina, keras.

“Ya, mama. Rel ingat dan Rel tak pernah lupa itu semua.”

“Qis ada callRel tak?”

“Tak ada, mama. Kenapa?”

“Kata Qis, Rel dah janji nak bawa dia pergi shoppinghari ni, betul ke?”

“Alamak! Rel lupalah, mama. Memang Rel ada janji nak temankan dia hari ni.”

“Patutlah pagi-pagi lagi dia dah tarik muka masam. Tak apalah, nanti mama beritahu dia yang Rel tak sempat nak balik semalam dan janji akan temankan dia esok,” cadang Datin Salina.

“Terima kasih, mama. Rel nak mandi ni. Tengah hari nanti, Rel gerak ke KL,” balas Hazrel kemudian mematikan talian.

Jika tidak dimatikan, entah apa lagi yang akan dibebelkan Datin Salina. Letih telinganya mendengar bebelan mamanya itu.

Hazrel membaringkan semula badannya. Telefon bimbit dicampak ke tepi katil. Fikirannya ligat memikirkan peristiwa malam tadi. Rasa menyesal kerana menghantar perempuan itu ke hospital. Tidak pasal-pasal keretanya dipenuhi dengan kesan tompokan darah. Disebabkan itu dia mengambil keputusan untuk tidak balik ke Kuala Lumpur malam tadi. Dia perlu menghantar keretanya ke workshop, membersihkan kesan tompokan darah itu. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia membakar keretanya itu. Benci dengan bauan yang melekat di dalam kereta. Bauan daripada darah perempuan kampung itu.

Hazrel mendengus keras. Pertengkaran kecilnya di antara Eddie turut terngiang-ngiang di fikiran. Kenapa Eddie membela perempuan itu? Eddie juga bercinta dengan perempuan bernama Humaira. Sudah berkali-kali dia menasihati, namun nasihatnya itu dipandang sepi oleh Eddie. Entah apa yang dipandang Eddie pada Humaira, dia sendiri tidak tahu. Nak kata cantik, cantik lagi bibik aku kat rumah tu. Nak kata kaya, jauh panggang dari api. Dari mana dia jumpa pun aku tak tahu, kutuk Hazrel dalam hati.

“Huh! Daripada aku fikirkan pasal Die, baik aku bawa kereta aku ke workshop. Rasa nak termuntah aku dengan bau perempuan tu,” gerutu Hazrel pula.

Dia bingkas bangun daripada katil dan melangkah ke bilik air. Dia perlu menguruskan keretanya terlebih dahulu sebelum balik ke Kuala Lumpur.



AINmacam mana hari ni? Dah sihat?” tanya Humaira, risau.

“Ain tak ada apa-apa, mak su. Dah kurang sakitnya ni,” jawab Nurul Ain. Tidak mahu merisaukan hati Humaira.

“Macam mana boleh accident? Ain tak tengok kiri kanan ke?” tanya Eddie pula.

“Ain tak perasan ada kereta masa tu, Abang Die. Lagipun masa tu memang Ain tengah mengelamun,” akui Nur Ain, jujur.

“Mengelamun? Apa yang Ain lamunkan? Ain tahu tak bahaya berjalan sambil mengelamun. Samalah jugak dengan bawa kereta,” bebel Humaira.

Nur Ain hanya menunduk. Kesal dengan apa yang terjadi. Nasib baiklah kaca yang tertusuk di lengannya dapat dikeluarkan. Jika tak, akan memudaratkan dirinya nanti. Dia mengeluh dalam hati. Bagaimana untuk mengelak daripada dibuang kerja? Sungguh, itulah yang difikirkannya sehingga ke hari ini.

“Tengok tu, mengelamun lagi. Apa yang Ain fikirkan? Cuba beritahu mak su. Ain ada masalah ke? Pasal duit?” tegur Humaira pula.

“Bukan pasal duit. Ain risaukan kerja Ain. Mungkin Ain akan dibuang kerja nanti.”

“Kenapa pulak dibuang kerja? Ain buat hal kat tempat kerja ke?” tanya Eddie, prihatin.

“Ain tak buat hal. Cuma dalam bulan lepas, hampir sepuluh kali Ain lambat ke tempat kerja. Disebabkan itu, bos besar nak ambil tindakan pada staf yang bermasalah termasuklah Ain,” jelas Nur Ain berserta keluhan berat.

“Kalau Ain kena buang, Ain kerja dengan Abang Die aje. Habis cerita,” putus Eddie.

“Betul jugak tu. Tempat mak su pun ada jugak kosong. Kalau Ain kena buang, Ain boleh kerja dengan mak su atau Abang Die,” cadang Humaira tersenyum.

Nur Ain tersenyum pahit. Tidak mungkin dia akan menerima cadangan Humaira dan Eddie. Tidak mahu menyusahkan Humaira. Begitu juga dengan Eddie. Walaupun Eddie baik dengannya, itu tidak bermakna dia akan mengambil kesempatan di atas kebaikan itu.

“Ain kenal tak siapa yang langgar Ain malam tadi?” tanya Eddie, berbasa-basi.

“Tak kenal. Tapi lelaki tu jugak yang hampir langgar Ain pagi semalam,” jawab Nur Ain, jujur.

Apa gunanya dia menyembunyikan kebenaran? Ada baiknya dia berterus terang kerana itulah sifatnya yang semula jadi. Jujur dan berterus terang.

“Pagi semalam?” ulang Humaira sedikit menjerit.

“Maknanya, Rel langgar Ain sebanyak dua kali dalam sehari,” rumus Eddie.

“Rel?” ulang Nur Ain berkerut dahi.

Eddie dan Humaira mengangguk serentak.

“Hazrel kawan baik Abang Die. Dia jugak yang bawak Ain ke sini. Kalau dia lambat hantar Ain, mungkin luka Ain akan dijangkiti kuman,” terang Eddie.

“Kalau macam tu, Ain dah terhutang budi dengan dia. Jadi Ain kena ucapkan terima kasih pada dia sebab hantarkan Ain ke hospital.”

“Orang macam tu buat apa nak berterima kasih. Dia bukannya faham maksud terima kasih tu!” bentak Eddie, keras.

“Tapi Abang Die, dia dah...”

“Dia mintak Ain bayar kos keretanya yang calar dengan kusyen yang terkena darah Ain semalam,” pintas Humaira.

Membuntang mata Nur Ain mendengarnya.

“Kalau Ain tak bayar, dia akan cari Ain sampai dapat,” sambung Humaira.

“Mana Ain nak cari duit?” keluh Nur Ain, perlahan.

“Tak apa, Ain. Biar Abang Die bayarkan untuk Ain.”

“Mak su pun boleh bayarkan untuk Ain.”

“Ain boleh bayar, mak su, Abang Die. Nanti Abang Die tanya Encik Hazrel, berapa yang Ain perlu bayar?”

“Abang Die boleh tolong bayar untuk Ain,” tegas Eddie.

Nur Ain menggeleng. Tidak sama sekali dia akan menerima pertolongan Eddie dan Humaira. Dia yang mendatangkan masalah, maka dia juga yang akan menyelesaikannya.

“Ain ada duit. Ain boleh guna duit simpanan Ain untuk bayar. Abang Die tolong tanyakan pada Encik Hazrel,” putus Nur Ain seraya membaringkan badan. Tidak mahu membincangkan tentang itu lagi. Keputusannya muktamad!



ANAK mama dah balik?” sahut Datin Salina, girang seraya memeluk anak bujangnya itu.

“Rel dah makan? Kalau belum, mama mintak Mak Tun siapkan.”

“Tak apalah, ma. Rel tak lapar. Papa mana?” tolak Hazrel sambil melabuhkan punggung di sofa. Keletihan amat dirasai waktu ini.

“Papa ada meetingkat luar. Malam nanti baru papa balik,” beritahu Datin Salina turut sama melabuhkan punggung bersebelahan Hazrel. Wajah anak kesayangannya itu ditatap kasih.

“Oh, meetingapa?”

“Apa lagi kalau bukan Syarikat Pemborong Intan tu.”

Hazrel mengangguk. Matanya terasa berat ketika ini. Terasa juga sengal-sengal di badan akibat memandu terlalu lama.

“Mama, Rel naik atas dululah. Penat.”

“Rel, malam nanti temankan mama ke majlis Puan Sri Ainun. Mama nak kenalkan Rel dengan kawan-kawan mama. Mama dah ajak Qis sekali.” Suara Datin Salina.

“Ma, Rel penatlah. Mama pergi ajelah dengan Qis,” tolak Hazrel.

“Tak boleh. Mama dah janji dengan Puan Sri nak kenalkan Rel dengan dia.”

“Tapi mama...”

“Pukul 8.00 malam, Hazrel Hardy,” tegas Datin Salina seraya bangun.

Kemudian dia berjalan menuju ke bilik di tingkat atas. Dia perlu mencari pakaian yang sesuai untuk ke majlis malam nanti.

Hazrel melepaskan keluhan. Bukannya dia tidak mahu menemani mamanya ke majlis-majlis seperti itu. Dia cukup rimas dengan suasana hingar-bingar dan ramai orang. Tambahan pula rakan-rakan Datin Salina suka mengusiknya. Dan dia tidak suka situasi begitu.

“Sayang!” Qistina terjerit kecil dari muka pintu.

Terkejut Hazrel dengan jeritan itu. Dia segera menoleh dan membuntang matanya melihat penampilan Qistina yang hanya berskirt pendek berserta t-shirtsendat.

“Sayang! Bila you balik? Kenapa you tak callI?” rengek Qistina, manja sambil mengucup mesra tangan Hazrel. Senyuman manis terbias di wajahnya.

Terkedu Hazrel dengan tingkah laku Qistina. Belum pernah Qistina berkelakuan seperti itu. Dahinya berkerut memandang Qistina dengan pandangan pelik.

“Sayang, kenapa ni? Dahi tu berkerut kenapa? Sayang fikirkan apa?” tanya Qistina sambil mengusap lembut dahi Hazrel.

“Tak ada apalah. I nak naik atas. Nak berehat,” bidas Hazrel sambil menolak lembut tangan Qistina.

Langkah diatur menuju ke bilik di tingkat atas. Tetapi ditahan Qistina.

“You ni memang tak sayang I ke? You janji nak balik sini malam tadi dan temankan I hari ni. Tapi you mungkir janji. Sekarang you buat muka monyok you tu. Sakit hati I ni, Rel,” rajuk Qistina sambil berpeluk tubuh. Dia menarik muka memandang ke sisi lain.

Hazrel mengeluh berat. Dia menggeleng kecil melihat perangai mengada-ngada Qistina itu. Bukannya dia tidak mahu melayan Qistina, keletihan yang dialami menguasai segala-galanya. Otaknya sudah penat untuk berfikir. Malah, peristiwa semalam masih terngiang-ngiang di fikiran. Sehinggakan dia sendiri tidak tahu apa yang terjadi pada dirinya itu.

“Qis, I betul-betul penat ni. Malam nanti kita berbual ya,” balas Hazrel sambil berjalan meninggalkan Qistina di situ keseorangan.

Qistina mendengus geram. Dia menghentak kaki menahan kemarahan. Rajuknya tadi tidak memberi apa-apa makna terhadap Hazrel. Bagaimana caranya untuk memikat hati Hazrel? Sudah diusahakan pelbagai cara untuk membuatkan Hazrel jatuh cinta dengannya. Namun satu pun tidak mendatangkan hasil.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku