Dulu Benci, Sekarang Suka
Bab 6
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 18 Jun 2013
Benci! Itulah yang Hazrel Hardy rasakan setiap kali bertemu dengan Nur Ain Zafira. Pelbagai rancangan diatur untuk mengenakan gadis itu. Disebabkan perbuatan seseorang, mereka terpaksa bernikah tanpa rela.
Penilaian Purata:
(14 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3349

Bacaan






“AIN nak ikut mak su keluar makan tak?” tanya Humaira, berbasa-basi.

“Ain tak lapar, mak su. Mak su pergilah,” jawab Nur Ain, lemah.

Humaira melangkah menghampiri Nur Ain yang sedang duduk menghadap jendela. Entah apa yang sedang difikirkan anak saudaranya itu.

“Kenapa ni, Ain? Mak su tengok Ain macam ada masalah aje. Cuba Ain ceritakan pada mak su. Mungkin mak su boleh tolong.”

Nur Ain melepaskan keluhan berat. Bagaimana untuk menceritakan pada Humaira tentang permintaan pengurus besar syarikatnya itu? Perlukah dia bercerita kepada Humaira?

“Syarat apa, encik?” tanya Nur Ain tidak sabar.

Hatinya berlagu riang tatkala dirinya tidak dipecat Hazrel.

Hazrel tersentak daripada lamunannya yang pendek. Serta-merta dia melangkah menghampiri sofa dan melabuhkan punggung di situ. Nafas pendek dilepaskan.

“Aku nak kau jadi orang gaji aku selama aku berada kat sini. Dari situ kau tak perlu bayar duit seribu tu dan aku takkan berhentikan kau kerja.”

“Orang gaji? Maksud encik?” soal Nur Ain kurang mengerti.

“Kau kena ikut ke mana aje aku pergi selama aku berada kat sini. Kat syarikat ni, kau kena sediakan keperluan aku,” beritahu Hazrel sambil menyilang kaki.

“Ikut encik ke mana aje encik pergi? Siang ke malam?” tanya Nur Ain, lurus.

“Tak kiralah malam atau siang. Kau kena jugak ikut aku.”

“Tapi saya jarang keluar malam,” ujar Nur Ain jujur.

Hazrel melepaskan ketawa sebaik sahaja mendengar penjelasan polos daripada Nur Ain itu.

“Mustahil kau jarang keluar malam. Aku tak percaya. Bukan ke setiap malam kau buat part timemengemis? Kalau tak, mustahil aku boleh langgar kau pada malam tu. Jangan-jangan dengan lelaki lain pun kau buat macam tu tak? Menagih simpati daripada orang kaya macam aku.”

Tersentak Nur Ain mendengarnya. Hina sangatkah dia di mata lelaki itu? Sehingga tergamak lelaki itu mengeluarkan kenyataan seperti itu. Walaupun Nur Ain kurang berharta, belum pernah lagi dia menagih simpati atau mengemis daripada orang lain. Dia akan cuba berusaha untuk mencari rezeki yang halal dan bukan dengan cara mengemis.

“Encik nak suruh saya buat apa?” tanya Nur Ain sambil cuba menahan rasa pilu di hati.

“Nanti aku beritahu kau. Sekarang kau boleh keluar. Aku bagi amaran pada kau, kalau kau lewat lagi dalam bulan depan, aku tak teragak-agak untuk pecat kau. Ingat tu!” pesan Hazrel, keras.

Dia bingkas bangun dan melangkah keluar dari pejabat. Sesak nafasnya berhadapan dengan gadis itu. Sakit matanya melihat penampilan gadis itu. Lebih lama dia berada di dalam bilik itu, boleh jadi gila dibuatnya.

“Ya ALLAH, mengelamun pulak budak ni,” gerutu Humaira, keras.

Nur Ain tersentak. Lamunannya tadi hilang begitu sahaja.

“Tak ada apa, mak su. Ain teringatkan arahan bos Ain siang tadi. Dia nak Ain jadi pembantu dia.”

“Oh! Apa yang dia suruh Ain buat?”

“Tak ada apa, mak su. Dia suruh Ain sediakan minuman dia setiap pagi,” bohong Nur Ain lagi. Mana mungkin dia memberitahu perkara sebenar pada Humaira.

“Abang Die ada beritahu mak su. Kalau Ain nak jumpa Hazrel, dia boleh uruskan.”

“Untuk apa?”

“Kan Ain jugak yang suruh Abang Die uruskan. Ain nak ucapkan terima kasih dan bayar hutang pada Hazrel tu.”

“Tak payahlah, mak su. Ain dah jumpa dia pun.”

“Hah? Kat mana Ain jumpa dia?” tanya Humaira sedikit terkejut.

“Kat ofis. Dia bos besar Ain,” jawab Nur Ain tersenyum.

“Dia ada buat apa-apa kat Ain tak?”

“Tak ada, mak su. Janganlah risau.”

“Kalau dia ada sakitkan hati Ain, cepat-cepat beritahu mak su. Tahulah mak su macam mana nak ajar dia nanti.”

“Insya-ALLAH tak ada, mak su,” dalih Nur Ain tersenyum.

“Kalau macam tu, mak su keluar dulu,” pamit Humaira seraya melangkah keluar dari bilik.

Eddie sudah pun menunggunya di luar rumah.

Nur Ain mengangguk. Otaknya masih ligat memikirkan arahan Hazrel. Bagaimana kalau Hazrel memintanya keluar pada malam hari? Jika perkara itu berlaku, bagaimana untuk memberitahu Humaira?



KAU mesti nak tergelak tengok rupa budak perempuan tu, Izz. Baru aku gertak sikit, dah merayu meraban kat aku. Orang susah memang macam tu kut,” kutuk Hazrel berserta ketawa.

“Kau ni Rel, tak baiklah cakap macam tu. Dia pun manusia jugak, punya hati dan perasaan,” tegur Izzuddin kurang senang.

“Alah, aku peduli apa. Dah memang macam tu, nak bela sangat tu, kenapa?” cebik Hazrel, meluat.

Gelas di hadapan dicapai dan meneguk rakus air dari dalamnya. Lantunan muzik yang dimainkan dalam restoran begitu mendamaikan.

“Suka hati kaulah, Rel. Asalkan kau puas hati. So, bila aku boleh startkerja?”

“Dalam minggu depan. Nanti aku suruh kerani keluarkan surat perlantikan untuk kau. Tapi kau kena pastikan syarikat aku tu berkembang, jangan merundum dahlah. Kau kan tahu syarikat tu hampir bankrap masa papa aku beli syarikat tu dulu,” jelas Hazrel berupa arahan.

“Insya-ALLAH, Rel. Aku akan cuba buat yang terbaik untuk syarikat kau tu. Terima kasih kerana bagi aku peluang bekerja bawah kau,” balas Izzuddin, ikhlas.

“Kau tu yang bodoh. Ada syarikat keluarga sendiri tak nak kerja. Buat apa nak susah-susahkan diri kerja dengan orang lain? Sengaja cari pasal,” kutuk Hazrel, selamba.

“Aku ada sebab, Rel. Aku nak cuba hidup berdikari dan tak nak terikat dengan keluarga. Aku nak timba pengalaman kat tempat orang. Bila aku dah ada pengalaman, baru aku fikirkan nak kerja dengan papa aku atau tak,” jelas Izzuddin.

“Ikut suka kaulah, Izz. Janji kau bahagia,” ujar Hazrel, mengalah. Malas hendak membincangkan perkara itu lagi. Buat habis air liurnya sahaja.

“Die!” panggil Izzuddin.

“Hah kau, Izz. Buat apa kat sini? Rel, kau pun ada?” balas Eddie tersenyum.

“Aku ikut Rel tinjau kawasan kat sini. Sambil-sambil tu cari rumah sewa. Insya-ALLAH, dalam minggu depan aku start kerja kat syarikat Rel,” jelas Izzuddin tanpa dipinta.

“Oh, kenapa kau tak kerja dengan papa kau? Kan papa kau ada syarikat sendiri?”

“Aku nak hidup berdikari. Sekurang-kurangnya aku dapat timba pengalaman kat tempat lain,” beritahu Izzuddin. “Awek kau ke?” tanyanya pula. Matanya tertancap pada gadis yang bertudung di sisi Eddie.

“Haah, awek aku, Humaira,” jawab Eddie sambil mengerling sekilas ke arah Humaira di sisi.

“Hai, saya Izz. Rakan universiti Die dulu,” beritahu Izzuddin berserta senyuman.

“Humaira,” balas Humaira seraya membalas senyuman Izzuddin.

“Yang kau senyap aje ni Rel, kenapa? Takkan kau dah tak kenal dengan Die?” tegur Izzuddin tatkala menyedari kebisuan Hazrel.

“Aku tak suka perempuan tu ada dalam perbualan aku,” sindir Hazrel, pedas.

Berbahang Eddie mendengarnya. Mahu sahaja dilayangkan penumbuk ke muka Hazrel. Dapat dirasakan genggaman tangan Humaira di tangannya. Cuba menyabarkan dirinya daripada bertindak lebih pada Hazrel.

“Aku mintak diri dulu, Izz,” pamit Eddie. Tidak mahu berlama di situ.

“Oh ya Rel, sebelum aku terlupa, berapa hutang yang perlu Ain bayar pada kau? Aku akan bayar bagi pihak Ain,” soal Eddie sebelum meninggalkan tempat itu.

“Kau tak perlu baik hati sangat nak bayar untuk dia. Dia sendiri yang akan bayar hutang-hutang tu semua,” ujar Hazrel, selamba.

“Apa maksud kau, Rel?” tanya Eddie, terkejut.

Humaira di sebelah turut sama terkejut. Hazrel mendengus kasar seraya bangun daripada duduk.

“Dia pekerja aku kat Cahaya. Aku suruh dia jadi orang gaji aku selama aku berada kat sini untuk tebus hutang dia pada aku. Dan dia dah pun setuju,” jelas Hazrel masih selamba.

“Apa?” Eddie terjerit kecil.

Kolar baju Hazrel dicengkam.

“Kau dah melampau, Rel!”

Izzuddin yang melihat segera bangun dan cuba meleraikan pegangan Eddie. Risau kalau-kalau perkara buruk akan berlaku di antara mereka berdua.

Humaira yang mendengar turut berasa panas hati. Sanggup Hazrel meminta Nur Ain menjadi orang gajinya semata-mata untuk menebus hutang. Kenapa Nur Ain tidak memberitahu padanya? Adakah Nur Ain sengaja tidak memberitahunya?

“Yang kau lebih-lebih ni, kenapa? Dia sendiri yang setuju, nak buat macam mana. Bukannya aku paksa dia. Lagipun prestasi kerja dia tak bagus selama ni. Selalu datang lambat dan memang aku berniat nak berhentikan dia kerja. Tapi disebabkan aku masih ada rasa kasihan, aku tak jadi buang dia. Dan sebagai pertukaran, aku mintak dia jadi orang gaji aku selama aku berada kat sini uruskan Cahaya Sdn. Bhd. Salah ke tindakan aku tu?” jelas Hazrel, meninggi.

Ditolak tangan kasar tangan Eddie yang sudah mencengkam leher bajunya itu.

“Aku boleh bayar bagi pihak dia. Berapa yang kau nak, Rel? Cakap!” tanya Eddie. Dadanya berombak menahan nafas di dada.

“Dahlah Die, Rel. Kenapa nak gaduh-gaduh ni? Malu orang tengok,” tegah Izzuddin yang sejak tadi membisu. Cuba meleraikan pertelingkahan kedua-dua rakan baiknya itu.

“Die, dahlah. Jom kita balik. Kita tanya perkara ni pada Ain dulu,” tegah Humaira pula. Tidak mahu disebabkan anak saudaranya, Eddie dan Hazrel bergaduh.

“Aku akan bayar, Rel. Aku tak nak kau buli dia. Kalau aku tahu, nasib kau aku kerjakan,” ujar Eddie memberi amaran keras seraya beredar dari ruang restoran itu.

Humaira yang melihat segera mengekori Eddie dari belakang. Sempat juga dia melempar senyuman kepada Izzuddin. Dia perlu mententeramkan perasaan Eddie. Dari dulu lagi, Eddie akan bersikap seperti ini jika melibatkan Nur Ain. Kadang-kadang dia tidak faham dengan sikap Eddie. Keprihatian Eddie terhadap Nur Ain melebihi keprihatinannya sebagai ibu saudara Nur Ain.



ABANG Die tak nak Ain dengar cakap dia. Abang Die boleh bayar bagi pihak Ain,” tegas Eddie.

Nur Ain menunduk. Tidak berani bertentangan mata dengan Eddie yang berwajah tegang. Kecut perutnya mendengar ketegasan Eddie itu.

“Kan Abang Die dah cakap. Kalau Ain tak ada duit, Abang Die boleh bayarkan untuk Ain. Abang Die tak mintak Ain ganti balik. Abang Die ikhlas nak tolong Ain,” sambung Eddie lagi.

“Dahlah, Die. Jangan marah budak tu lagi. Ain pun tak mintak semua ni berlaku,” tegah Humaira, lembut sambil meletakkan gelas minuman di atas meja makan.

“Die bukannya apa Mai, Die tak suka Rel tindas Ain. Kalau setakat menghukum disebabkan kelewatan Ain hadir ke tempat kerja, Die boleh terima lagi. Tapi kalau dia mintak Ain jadi orang gaji dia, Die tak boleh nak terima. Itu dah melampau, Mai,” jelas Eddie, kesal. Kesal dengan sikap Hazrel yang tidak pernah nak berubah.

“Ain mintak maaf. Ain tak nak susahkan Abang Die atau mak su,” ujar Nur Ain, perlahan.

“Abang Die tak pernah rasa susah disebabkan Ain. Abang Die ikhas dengan Ain. Tapi Ain selalu menolak dan pertikaikan keikhlasan Abang Die tu,” keluh Eddie pula.

“Ain...” Sukar untuk Nur Ain meneruskan kata-kata.

“Dahlah, Die. Mari minum untuk hilangkan rasa panas Die tu. Nanti Mai nasihatkan Ain.”

Eddie melepaskan keluhan berat. Dia bingkas bangun seraya menuju ke meja makan dan melabuhkan punggung di situ. Humaira turut sama duduk di hadapan Eddie. Air dituang ke dalam gelas dan diserahkan kepada Eddie.

“Hazrel tu bos Ain ke?”

“Haah,” balas Nur Ain, sepatah.

“Bukan ke bos Ain Encik Latif? Sejak bila pulak tukar Hazrel?”

“Kak Gie kata, dah dua tahun Encik Hazrel ambil alih syarikat tu. Encik Hazrel datang ke syarikat kalau ada meetingatau perkara penting aje. Encik Latif sekadar pengurus kat situ,” jelas Nur Ain sambil berjalan menuju ke meja makan.

“Dua tahun? Jadi syarikat tu bukan milik Encik Latif lagilah,” duga Eddie.

“Haah, syarikat tu hampir bankrap dan Encik Hazrel beli syarikat tu.”

“Oh, patutlah Abang Die tak tahu pasal ni. Lagipun dah lama Abang Die tak jumpa dengan Rel. Baru bulan lepas Abang Die jumpa dengan dia.”

“Habis tu Ain nak kerja kat situ lagi ke?” celah Humaira.

“Ain sayangkan kerja Ain sekarang. Mak su dan Abang Die janganlah risau. Insya-ALLAH, takkan ada apa-apa berlaku pada Ain,” ujar Nur Ain. Cuba meyakinkan Eddie dan Humaira.

“Tak apalah. Kalau Rel buli Ain, tahulah Abang Die macam mana nak kerjakan dia. Tentang duit tu, biar Abang Die yang uruskan. Ain tak perlu risau,” celah Eddie seraya bangun.

“Die mintak diri dululah, Mai. Dah jauh malam ni. Tak manis pulak kalau Die berlama kat rumah anak dara. Lainlah kalau Mai dah jadi isteri Die. Berapa lama pun Die sanggup.”

“Hisy, ada-ada ajelah Die ni. Malulah sikit depan Ain,” bidas Humaira, malu.

Nur Ain yang mendengar sekadar ketawa kecil. Semoga hubungan mak su dan Abang Die berkekalan hingga ke jinjang pelamin, doa Nur Ain dalam hati.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku