Dulu Benci, Sekarang Suka
Bab 7
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 18 Jun 2013
Benci! Itulah yang Hazrel Hardy rasakan setiap kali bertemu dengan Nur Ain Zafira. Pelbagai rancangan diatur untuk mengenakan gadis itu. Disebabkan perbuatan seseorang, mereka terpaksa bernikah tanpa rela.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
3622

Bacaan






DATO Ridzuan menatap fail di hadapannya. Matanya meneliti askara yang terdapat di dalam fail itu. Laporan kewangan milik Syarikat Cahaya Sdn. Bhd. yang sudah dua tahun menjadi anak syarikatnya. Keluhan terlepas daripada bibir.

Dato Ridzuan menutup fail dan bangun daripada duduk. Ingatannya terus mengingati arwah anaknya yang sudah tiga tahun pergi meninggalkan mereka sekeluarga. Sedih hatinya tatkala tarikh 25 hari bulan itu menjelma setiap tahun. Dan pada tarikh itu juga dia akan melawat kubur arwah. Setiap kali dia ke sana, pasti dia akan terlihat pusara sudah ditaburi dengan bunga. Entah siapa yang melawat kubur arwah, dia tidak pasti.

Bingkai gambar yang terletak di atas meja dicapai lalu menatapnya. Gambar mereka sekeluarga ketika melancong ke luar negara beberapa tahun yang lepas. Begitu gembira dan bahagianya mereka ketika itu. Tetapi semuanya berubah dalam sekelip mata sahaja. Keinginan Hazrul untuk melamar seorang gadis turut mengeruhkan lagi kebahagiaan mereka sekeluarga. Hazrul bersungguh-sungguh ingin meminang gadis itu tetapi ditentang hebat Datin Salina.

“Papa tak faham isi hati Rul. Cuba papa letakkan diri papa kat tempat Rul, pasti papa akan buat macam mana Rul buat. Rul sayang dan cintakan dia. Rul nak hidup dengan dia,” jelas Hazrul sambil menggenggam tangan Dato Ridzuan.

Dato Ridzuan mengeluh berat. Sukar untuk membuat keputusan. Jika dia bersetuju, apa pula kata Datin Salina? Jika dia menolak, pasti Hazrul akan bertindak lebih daripada apa yang mereka sangkakan.

“Papa faham perasaan Rul. Tapi Rul sendiri tahu perangai mama Rul macam mana.”

“Rul tahu, papa. Sebab tu Rul nak mintak sokongan daripada papa.”

“Tapi Rul, kalau papa setuju, mustahil mama Rul akan turut setuju. Rul tahukan dari dulu lagi mama Rul tak sukakan perempuan kampung. Rul tahukan sejarah mama dulu macam mana.”

“Rul tahu, papa. Tapi tu tak bermakna semua perempuan kampung sama aje.”

“Papa akan cuba pujuk mama. Tapi papa tak boleh nak janji dengan Rul. Kalau mama tak bersetuju, papa tak boleh nak buat apa.”

“Terima kasih, papa. Rul janji, kalau mama bersetuju dengan permintaan Rul, Rul akan dengar cakap papa dan mama. Kalau papa dan mama mintak Rul ke luar negara untuk sambung belajar sama macam Rel, Rul akan ikut asalkan papa dan mama bersetuju untuk meminang Ain,” janji Hazrul berserta senyuman gembira.

Walaupun ia sekadar harapan kosong, tapi dia yakin papanya dapat memujuk mamanya untuk meminang Nur Ain.

“Papa,” tegur Hazrel dari muka pintu.

Dato Ridzuan tersentak. Dia menyeka air mata yang hampir gugur. Bingkai gambar diletak semula ke tempat asal dan menghalakan pandangan ke arah Hazrel.

“Ada apa, Rel?” tanya Dato Ridzuan sambil berjalan menuju ke sofa. Dilabuhkan punggungnya di situ.

“Rel nak bincang dengan papa tentang Cahaya Sdn. Bhd. Papa ada masa tak?” jawab Hazrel turut sama menuju ke sofa.

“Kenapa dengan Cahaya Sdn. Bhd.?” tanya Dato Ridzuan berkerut dahi.

“Rel ingat nak full time kat sana,” jawab Hazrel seraya melabuhkan punggung.

Full time? Maksud Rel, nak uruskan sepenuhnya Cahaya Sdn. Bhd.?”

Hazrel mengangguk kecil.

“Baguslah kalau macam tu. Papa nak Rel kembangkan Cahaya. Papa tengok laporan kewangan Cahaya tak memberangsangkan. Papa nak Rel fikirkan cara yang strategik untuk menarik ramai pelanggan untuk memborong barang kat Cahaya.”

“Rel akan cuba, papa. Cuma Rel mintak papa carikan rumah untuk Rel kat Shah Alam tu. Malaslah Rel nak ulang-alik dari sini ke sana. Lepas tu tidur kat hotel pulak,” rungut Hazrel.

“Baiklah, nanti papa mintak orang carikan rumah untuk Rel. Tapi kan Izz ada kat sana. Kenapa Rel tak tinggal aje dengan Izz?”

“Tak naklah, Rel. Izz sewa rumah, bukannya beli rumah. Lagipun Rel nak tinggal seorang, tak nak kongsi,” bentak Hazrel, keras.

“Baiklah, nanti papa usahakan untuk Rel,” putus Dato Ridzuan.

Ikutkan sajalah. Nanti kalau tak ikutkan, memberontak pulak anak aku ni. Perangai sama aje dengan mamanya, bisik Dato Ridzuan dalam hati.

“Rel tak ke Cahaya hari ni?”

“Esok baru Rel ke sana. Papa sediakan rumah tu hari ni jugak. Esok Rel nak terus masuk,” arah Hazrel seraya bangun.

“Rel ni tak menyempat betullah. Cuba bawak bersabar sikit. Rel ingat senang ke urusan beli rumah tu? Sehari boleh selesai ke? Rel duduklah dulu dengan Izz. Bila dah ada rumah nanti, barulah Rel pindah masuk,” jelas Dato Ridzuan, keras.

“Rel tak nak. Papa jangan paksa Rel boleh tak? Yang penting, papa carikan rumah untuk Rel,” bentak Hazrel kemudian berlalu pergi dari situ.

Dato Ridzuan menggeleng. Entah bilalah anaknya itu akan berubah. Sikap memberontak dan panas baran Hazrel tidak pernah hilang. Mungkin sikap Hazrel diwarisi daripada isterinya, Datin Salina. Berbeza dengan Hazrul, abang kembarnya. Hazrul lebih bersikap tenang dan berfikiran terbuka. Sikap yang diwarisi daripadanya. Namun ALLAH lebih menyayangi Hazrul. Pemergian Hazrul amat dirasai mereka sekeluarga.



ADA apa, Encik Latif?” tanya Nur Ain sebaik sahaja berada di dalam pejabat Encik Latif.

“Saya nak awak keluarkan surat perlantikan untuk Encik Izzuddin Hanif dan serahkan pada saya hari ni jugak. Awak faham, Ain?” arah Encik Latif, tegas.

“Surat perlantikan? Saya tak tahu nak buat, Encik Latif.”

“Ya ALLAH, awak boleh tengok contoh yang sedia ada kat dalam fail, Ain.”

“Baiklah, Encik Latif.”

“Sebelum tu, mari saya kenalkan awak dengan pengurus pemasaran yang baru. Encik Izzuddin, kenalkan ni Nur Ain Zafira Ibrahim, kerani pentadbiran kat sini,” ujar Encik Latif.

Izzuddin menoleh. Alangkah terkejutnya dia melihat gadis yang sedang berdiri di hadapannya itu. Gadis yang dicarinya selama sebulan ini.

“Nur Ain,” ujar Nur Ain seraya menundukkan muka sebagai tanda hormat.

“Izzuddin Hanif,” balas Izzuddin tersenyum.

“Kalau tak ada apa lagi, saya mintak diri dulu. Nanti saya keluarkan surat perlantikan Encik Izzuddin,” pamit Nur Ain dan berlalu pergi.

Izzuddin dan Encik Latif sekadar mengangguk. Ekor mata mereka sahaja yang mengekori langkah Nur Ain hingga hilang di sebalik pintu bilik.

“Kat mana bilik saya, Encik Latif?”

“Bilik Encik Izzuddin bertentangan dengan pejabat pekerja dan bersebelahan bilik pejabat Encik Hazrel. Mari saya tunjukkan bilik Encik Izzuddin.”

“Encik Latif panggil saya Izz aje. Lagi mudah, kan?”

Encik Latif mengangguk. Dia berjalan keluar dari bilik dan menuju ke bilik yang sudah dikhaskan buat Izzuddin.

Izzuddin membuntuti Encik Latif. Sesekali matanya mengerling ke arah Nur Ain yang sedang ralit membuat kerja. Ada sesuatu yang menarik pada gadis itu.

“Ni bilik Encik Izz. Semua yang berada dalam bilik telah disediakan Encik Hazrel. Dan Encik Hazrel mintak Encik Izz kaji pemasaran Cahaya Sdn. Bhd.,” terang Encik Latif.

“Baiklah, terima kasih, Encik Latif,” ucap Izzuddin berserta senyuman di bibir.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya mintak diri ke bilik dulu. Kalau Encik Izz nak apa-apa fail atau maklumat syarikat, Encik Izz boleh rujuk pada Ain,” terang Encik Latif pula.

“Terima kasih, Encik Latif. Saya akan mintanya daripada Ain nanti,” balas Izzuddin.

Encik Latif segera keluar dari bilik Izzuddin. Lega hatinya dengan kehadiran Izzuddin, merangkap pengurus pemasaran.

Izzuddin melabuhkan punggungnya di kerusi. Matanya meninjau sekeliling bilik pejabat. Cantik dan kemas teratur peralatan dan perabot yang berada di dalam bilik itu. Walaupun biliknya tidak sebesar bilik Hazrel, tapi dia bersyukur kerana menempatkan dirinya di bilik itu. Sekurang-kurangnya, dapatlah dia melihat wajah Nur Ain dari dalam biliknya.

“Nur Ain!” panggil Izzuddin dari dalam bilik.

“Ain, ada orang panggil tu,” beritahu Fauziah tatkala terdengar nama Nur Ain dipanggil.

“Hah, siapa?” tanya Nur Ain.

“Lelaki dalam bilik tu. Bilik sebelah pengurus besar,” jawab Fauziah.

Nur Ain menoleh ke arah bilik yang disebutkan Fauziah. Diamati lelaki yang berada di dalam bilik itu.

“Oh, tu Encik Izzuddin Hanif, Pengurus Pemasaran yang baru.”

“Pengurus pemasaran? Sejak bila pulak syarikat kita ada pengurus pemasaran?” tanya Fauziah, kehairanan. Kepalanya yang bertudung digaru-garu beberapa kali.

“Hari ni hari perlantikan Encik Izzuddin. Ain nak buat surat perlantikan dia. Kak Gie tahu tak kat mana Ain boleh tengok contoh surat perlantikan tu?” beritahu Nur Ain sambil tangannya lincah mencari fail yang berkenaan.

“Tak tahu pulak akak, Ain. Dalam komputer Ain tak ada ke?”

“Tak ada, Kak Gie. Fail dia pun Ain tak jumpa.”

“Nur Ain!” panggil Izzuddin lagi.

“Alamak Ain, dari tadi lagi Encik Izzuddin tu panggil Ain. Takkan Ain tak dengar?”

“Hah? Ya ke? Tak perasan pulak. Tak apalah, Ain masuk dulu. Mesti ada benda yang dia nak tanya,” ulas Nur Ain kemudian berjalan menuju ke bilik Izzuddin.

Fauziah hanya mengangguk dan memerhati.

“Hmm... boleh tahan handsome mamat tu. Macam sesuai buat Ain aje,” ngomel Fauziah seraya tersenyum.

“Ada apa, Encik Izzuddin?” tanya Nur Ain sebaik sahaja tiba di hadapan Izzuddin.

“Panggil Izz aje. Tak perlulah sebut full namesaya,” ujar Izzuddin.

“Ada apa, Encik Izz?” ulang Nur Ain berserta anggukan kecil.

“Saya nak fail laporan pemasaran dan kewangan syarikat ni pada tahun lepas. Awak letak atas meja saya nanti,” arah Izzuddin.

“Baiklah, Encik Izz. Ada apa lagi yang boleh saya bantu?”

Izzuddin menghela nafas pendek. Matanya tertancap ke wajah Nur Ain yang menunduk.

“Saya nak ucapkan terima kasih pada awak kerana selamatkan saya daripada dilanggar sebulan yang lepas. Kenapa awak pergi macam tu aje? Puas saya cari awak selepas insiden tu.”

Nur Ain mengangkat muka. Wajah Izzuddin ditatap dengan kerutan di dahi. Otaknya dikerah supaya mengingati wajah lelaki itu. Seminit kemudian dia tersenyum tatkala mengingati.

“Oh, jadi enciklah yang nyaris dilanggar sebulan yang lepas.”

Izzuddin mengangguk sambil tersenyum.

“Tak ada apa yang perlu diterima kasih kan. Kalau orang lain berada kat tempat tu, sudah pasti mereka akan buat perkara yang sama,” ujar Nur Ain tersenyum.

“Saya tahu, Ain. Apa-apa pun saya ucapkan terima kasih pada awak. Kalau bukan kerana awak, mustahil saya akan berada kat sini.”

“Ajal dan maut di tangan ALLAH. Kalau ALLAH berkehendakkan sesuatu berlaku, dengan sekelip mata perkara itu akan berlaku. Betul tak, Encik Izz?”

“Ya, betul tu, Ain,” akui Izzuddin.

“Kalau tak ada apa lagi, saya mintak diri dulu. Nanti saya letakkan fail yang Encik Izz mintak atas meja Encik Izz,” pinta Nur Ain sambil melangkah keluar daripada bilik itu.

Izzuddin hanya mengangguk. Ekor matanya sahaja mengekori langkah Nur Ain. Gembira tatkala berjumpa dengan Nur Ain. Gadis yang dicari selama ini.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku