Dulu Benci, Sekarang Suka
Bab 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 18 Jun 2013
Benci! Itulah yang Hazrel Hardy rasakan setiap kali bertemu dengan Nur Ain Zafira. Pelbagai rancangan diatur untuk mengenakan gadis itu. Disebabkan perbuatan seseorang, mereka terpaksa bernikah tanpa rela.
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3289

Bacaan






NUR Ain menatap mesra wajah Hazrel sambil berkerut dahi. Entah sebab apa Hazrel memanggilnya masuk ke dalam bilik pejabat, dia tidak tahu. Jika diikutkan, belum pernah lagi dia lambat hadir ke tempat kerja dalam bulan ini. Kenapa Hazrel memanggilnya?

“Ada apa, Encik Hazrel?” tanya Nur Ain, ingin tahu.

Hazrel mengangkat muka. Matanya merenung tajam wajah Nur Ain. Kemudian dijatuhkan wajah dan menghadap fail di hadapannya itu.

Hisy, dia ni nak apa? Dah lama aku tercongok kat depan dia. Kalau nak bagi kerja, bagi ajelah. Buat apa senyap-senyap macam ni, rungut Nur Ain dalam hati.

“Encik Hazrel nak suruh saya buat apa?”

Hazrel mendengus kasar. Sakit telinganya mendengar suara Nur Ain itu.

“Awak boleh diam tak? Macam mana saya nak fahamkan maklumat ni kalau awak bising?”

“Habis tu, yang encik panggil saya ni kenapa?” Suara Nur Ain, geram.

“Awak melawan saya?” tanya Hazrel, meninggi.

“Encik Hazrel panggil saya masuk dalam ni untuk apa? Kalau Encik Hazrel nak bagi saya kerja, beritahu ajelah. Bolehlah saya keluar daripada bilik ni secepat mungkin. Encik Hazrel pun bukannya suka nak menghadap muka saya ni.” Suara Nur Ain turut sama meninggi.

Hazrel bingkas bangun. Sakit hatinya mendengar kata-kata Nur Ain itu. Jika diikutkan hati, mahu sahaja ditampar pipi gadis itu di atas kelancangan mulutnya.

“Awak melawan saya, Ain? Awak tahu tak hutang awak tu masih belum bayar?”

Nur Ain berkerut dahi. Air liur ditelan berkali-kali. Matanya memandang tepat ke wajah Hazrel yang sedang mencebik.

“Awak jangan ingat saya akan halalkan hutang tu. Saya tetap nak awak bayar. Tapi atas budi bicara saya sendiri, saya boleh pertimbangkan untuk kurangkan hutang awak tu,” jelas Hazrel dan bersandar di meja. Matanya menjamah Nur Ain dari atas ke bawah.

“Macam mana?” tanya Nur Ain, terketar-ketar.

Huh! Memang bodoh betul minah ni. Cepat sangat percayakan orang, kutuk Hazrel dalam hati seraya mencebik.

“Hari ni kau ikut aku ke mana aje aku pergi tanpa bersuara. Sebagai menebus hutang kau tu dan jugak telefon bimbit kau yang aku pegang selama sebulan ni.”

Nur Ain membeliakkan matanya. Telefon bimbit? Takkan dia yang jumpa telefon aku kut?

“Telefon bimbit? Maknanya, Encik Hazrel yang jumpa dan pegang telefon bimbit saya tu?” duga Nur Ain. Senyuman gembira terbias di wajahnya.

Hazrel terkedu. Matanya menatap senyuman gembira di bibir Nur Ain.

“Terima kasih, encik. Boleh saya dapatkan telefon tu balik?” Suara Nur Ain, riang.

Hazrel tersentak. Dia berjalan menuju ke sofa. Persoalan Nur Ain dibiarkan tergantung. Tidak semudah itu dia akan menyerahkan telefon bimbit itu. Hatinya belum puas mengenakan Nur Ain.

“Aku akan serahkan asalkan kau dengar cakap aku. Buat permulaan, aku nak kau buatkan aku air. Kering tekak aku ni.”

“Baiklah. Saya mintak diri dulu,” ujar Nur Ain segera keluar.

Hazrel hanya memandang. Otaknya ligat berfikir rancangan untuk mengenakan Nur Ain. Rasa sakit hatinya terhadap Eddie masih lagi bersisa.

“Aku nak tengok, berapa lama kau akan pertahankan dia.”



NUR Ain membuntuti Hazrel. Sejak tadi dia hanya menurut segala perintah Hazrel. Ke situ Hazrel pergi, ke situ jugalah dia pergi. Ke sana Hazrel pergi, ke sana jugalah dia pergi. Entah ke mana Hazrel ingin membawanya, dia sendiri tidak pasti. Adakah hari ini menjadi hari paling malang buat dirinya? Malang kerana terpaksa mengekori Hazrel ke mana sahaja lelaki itu pergi.

“Cepatlah! Yang terhegeh-hegeh lagi tu kenapa?” jerit Hazrel sedikit meninggi.

“Maaf,” ucap Nur Ain seraya melajukan langkah.

“Tak habis-habis dengan kata maaf kau tu. Cubalah cari ayat lain yang boleh disebut. Ni tak, maaf...maaf...sakit telinga aku dengar, kau tahu tak?” jerkah Hazrel pula sambil bercekak pinggang.

Terhenjut badan Nur Ain mendengar jerkahan Hazrel itu. Dia menundukkan muka daripada ditatap lelaki itu. Rasa malu tatkala berpasang-pasang mata melihat ke arah mereka berdua. Disabarkan hati melayan kerenah Hazrel.

Hazrel meneruskan langkah. Dia melangkah masuk ke dalam sebuah kedai pakaian di shopping complex itu. Teruja melihat koleksi-koleksi pakaian yang terdapat di kedai itu. Dicapai satu per satu baju yang menarik minatnya dan diserahkan kepada Nur Ain.

“Pegang ni!” arah Hazrel, keras.

Nur Ain yang sedikit mengelamun tersentak. Dicapai baju yang diserahkan Hazrel itu. Dia hanya membuntuti Hazrel tanpa berniat untuk membantah. Apa yang penting, hutangnya dapat dilangsaikan dan Hazrel mengembalikan telefon bimbitnya.

“Yang kau tercegat kat situ lagi kenapa? Bawak sini baju-baju tu semua!” tegur Hazrel tatkala menyedari Nur Ain seakan-akan mengelamun.

“Baiklah,” balas Nur Ain seraya menghampiri Hazrel.

“Tak boleh diharap langsung!” rengus Hazrel, kasar.

Dicapai baju yang berada di tangan Nur Ain dan disuakan ke badannya sendiri satu per satu di hadapan cermin. Jika tidak berkenan di hati dan matanya, dilemparkan baju itu ke arah Nur Ain. Begitulah tingkahnya selama dia berada di kedai pakaian itu. Dikerahkan Nur Ain mengambil dan meletakkan baju daripada gantungan. Puas hatinya mengenakan Nur Ain.

“Lepas ni ikut aku ke gim. Dah lama aku tak ke sana,” beritahu Hazrel sebaik sahaja keluar dari kedai pakaian itu.

Nur Ain sekadar mengangguk. Nak tak nak, terpaksa akur dengan arahan Hazrel.

“Dah tak ada mulut nak bercakap ke? Aku tak nak tengok kau mengangguk. Aku nak tahu jawapan daripada kau bila aku bertanya.” Suara Hazrel menekan.

“Baiklah, Encik Hazrel,” jawab Nur Ain menunduk.

“Kau ni asyik menunduk aje kenapa? Kau takut tengok muka aku ni atau kau takut jatuh cinta pada aku?” tanya Hazrel, sinis.

“Tak...saya...”

“Aku pun tak ingin nak tengok muka kau yang tak cantik dan berparut tu,” pintas Hazrel, meluat. Seminit kemudian, dia melangkah masuk ke dalam gim.

Tersentap hati Nur Ain mendengarnya. Air matanya bergenang di tubir mata. Kenapa Hazrel menghinanya sebegitu rupa? Dia sedar siapa dirinya. Dia bukanlah secantik Erra Fazira. Tetapi dia juga punya hati dan perasaan. Sungguh, dia terasa dengan kata-kata Hazrel tadi. Namun ditahan rasa hatinya itu. Siapalah dia untuk mempersoal semua itu?



KAU kat mana, Rel? Aku cari kau kat ofis tak ada pun. Tanya Encik Latif, dia pun tak tahu kau ke mana,” tanya Izzuddin di hujung talian.

“Aku kat luar, ada hal sikit. Kenapa?” jawab Hazrel, mendengus kasar.

“Aku nak bincang dengan kau tentang strategi pemasaran Cahaya Sdn. Bhd. Kau balik ofis ke tak?”

“Hmm... tak surelagi aku balik ofis ataupun tak. Kau letak ajelah kat atas meja aku tu dulu. Esok pagi-pagi aku baca.”

Izzuddin menghela nafas ringan. Dikerling ke jam di dinding yang sudah menghampiri ke 2.00 petang. Ke mana Hazrel pergi? Jika begini sikap Hazrel, bagaimana untuk memajukan Cahaya Sdn. Bhd.?

“Baiklah. Aku letak atas meja kau. Sebelum tu aku nak tanya, Ain ada dengan kau ke? Aku tanya Fauziah, Ain ikut kau keluar sama. Kau bawak dia ke mana?”

Hisy, penyibuk betullah Izz ni. Suka hati akulah nak bawak dia ke mana. Aku kan bos dia dan wajib dia kena dengar arahan aku, rungut Hazrel dalam hati.

Matanya dihalakan ke arah Nur Ain yang sedang berdiri tidak jauh daripada meja yang didudukinya di restoran itu. Geli hati melihat Nur Ain yang sedang memegang beberapa beg kertas berisi baju dan barangan miliknya.

“Aku bawak dia jalan-jalan tengok dunia luar. Okeylah, aku nak driveni. Nanti aku callkau balik. Itu pun kalau aku ingat nak callkaulah.”

“Kau jangan nak buli dia, Rel. Dia pun ada hati dan perasaan macam kau jugak.”

Hazrel mendengus keras. Sakit telinganya mendengar balasan Izzuddin. Kenapa Izzuddin dan Eddie membela perempuan kampung itu? Apa yang istimewa pada Nur Ain?

“Okeylah. Malas aku nak dengar ceramah freekau tu. Aku jumpa kau esok,” pamit Hazrel seraya mematikan talian.

Jika berlama, entah ceramah apa lagi yang bakal diceramahkan Izzuddin. Bertambah sakit telinganya nanti.

“Kau, mari sini!” panggil Hazrel sedikit meninggi.

Nur Ain yang mendengar segera mengatur langkah menghampiri Hazrel. Menanti arahan seterusnya daripada lelaki itu.

“Aku nak kau bawak barang-barang ni semua ke kereta aku. Lepas tu kau datang sini balik. Nah, ambil kunci kereta ni. Tapi ingat, kau jangan kotorkan kereta aku tu pulak,” arah Hazrel bernada ugutan. Dihulurkan kunci kereta kepada Nur Ain.

“Bila saya boleh balik, Encik Hazrel?” tanya Nur Ain sekadar mencuba.

“Kau jangan nak mimpi nak balik. Selagi aku belum puas, selagi tu kau kena ikut aku, faham!” Suara Hazrel sedikit meninggi.

“Baiklah.” Hanya ayat itu yang mampu dikeluarkan daripada mulut Nur Ain.

“Bagus. Kan senang kalau kau ikut arahan aku tanpa banyak bunyi. Dah, pergi hantar barang-barang tu semua sebelum angin aku naik,” arah Hazrel, keras.

Nur Ain mengangguk. Kunci kereta yang dihulur Hazrel segera dicapai. Tanpa membuang masa, dibawa langkahnya menuju ke tempat letak kereta. Ikutkan sajalah, asalkan hutang aku langsai, bisik Nur Ain dalam hati.

Hazrel hanya memandang. Puas hatinya melihat kepatuhan Nur Ain. Kata-kata Izzuddin sebentar tadi terimbas di fikiran. Buli? Sejak bila aku buli dia? Aku ajar dia macam mana nak hidup dalam dunia ni. Aku suruh dia ikut aku aje. Salah ke apa yang aku buat ni? Monolog Hazrel sendirian. Dia bingkas bangun menuju ke kedai cermin mata yang terletak berhampiran restoran itu. Malas memikirkan tentang itu lagi.

Nur Ain melangkah menuju ke parking lot. Matanya meninjau dan mencari-cari kereta Hazrel. Sungguh, dia kurang mengenali jenis, nombor plat dan warna kereta Hazrel. Dia juga lupa di mana Hazrel memarkirkan kereta. Di tingkat berapa? Di blok mana? Dia tidak tahu. Bagaimana untuk menghantar barang-barang milik Hazrel sedangkan dia sendiri kurang mengenali kereta lelaki itu?

“Ya ALLAH, apa aku nak buat ni? Mana aku ingat kereta dia,” keluh Nur Ain.

Kakinya masih lagi melangkah. Sekejap berhenti, sekejap berjalan. Peluh sudah merenek di dahi. Barang yang dibawa agak memberatkan. Mana tidaknya, baju, seluar, topi, barangan kaca, kasut, semuanya berada di tangannya. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia membuang barang-barang itu. Namun disabarkan hati. Tak pasal-pasal kena gantilah pulak, bisik Nur Ain dalam hati.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku