Dulu Benci, Sekarang Suka
Bab 10
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 18 Jun 2013
Benci! Itulah yang Hazrel Hardy rasakan setiap kali bertemu dengan Nur Ain Zafira. Pelbagai rancangan diatur untuk mengenakan gadis itu. Disebabkan perbuatan seseorang, mereka terpaksa bernikah tanpa rela.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3774

Bacaan






“HISY, mana pulak dia pergi ni? Takkan dari tadi tak balik-balik,” rungut Hazrel seraya mengerling jam di tangan. Matanya membelingas mencari kelibat Nur Ain.

“Sengaja nak naikkan darah akulah ni!” marah Hazrel pula.

Diatur langkah menuju ke tempat letak kereta. Nafasnya berombak kencang. Menahan kemarahan. Sambil melangkah, matanya melilau melihat keadaan parkingkereta itu. Diperlahankan langkah tatkala terlihat orang ramai berkerumun berhampiran kaunter bayaran. Ada sesuatu yang menarik minatnya untuk melihat.

“Kenapa ni?” tanya Hazrel setibanya di pondok kaunter bayaran itu.

“Ada orang diragut, encik. Nasib baik cedera ringan aje,” beritahu lelaki yang berpakaian baju pengawal.

Hazrel mengangguk faham dan beredar dari situ. Tidak berminat dengan apa yang terjadi. Dia perlu mencari Nur Ain. Sakit hatinya menunggu Nur Ain yang tidak kunjung tiba.

“Saya...saya perlu ambil barang-barang tu semua. Nanti saya kena ganti pulak. Tolonglah encik,” rayu Nur Ain dalam nada esakan.

“Tapi cik, tangan cik dah luka. Cik perlu ke hospital untuk rawat luka cik tu,” nasihat pengawal yang bernama Hussin itu.

“Saya tak peduli. Tolonglah encik, saya perlu dapatkan barang-barang tu semua,” rayu Nur Ain lagi.

Bertambah laju air matanya mengalir membasahi pipi. Luka di tangan akibat terkena pisau tidak dipedulikan asalkan dia mendapat semula barang-barang milik Hazrel. Jika tidak, terpaksalah dia menggantikan kesemua barang yang sudah dirompak itu.

“Cik, mustahil cik dapat balik barang-barang tu semua. Cik jangan risau, kami dah buat laporan pada pengurusan kompleks ni. Mereka akan ambil tindakan selanjutnya. Lagipun kawasan parkingni memang bahaya kalau berjalan berseorangan. Sebelum ni dah terjadi kes yang sama,” cerita Encik Hussin lagi.

Nur Ain menunduk. Dia risau saat ini. Apa yang perlu dijawab jika Hazrel bertanyakan tentang itu? Bagaimana untuk mencari duit jika Hazrel memaksanya menggantikan barang-barang itu semula? Sudahlah hutangnya yang lepas belum lagi bayar, ditambah pula dengan hutang yang ini. Alamatnya dia terpaksa mengikat perut selama berbulan-bulan untuk membayar segala kerugian itu.

“Ain,” panggil Hazrel tatkala menyedari suara esakan itu milik Nur Ain.

Nur Ain mengangkat muka. Berderau darahnya melihat Hazrel.

“Encik ni siapa?” tanya Encik Hussin.

“Saya...saya...saya suami dia,” jawab Hazrel tergagap-gagap.

Nur Ain berkerut dahi. Suami? Sejak bila pulak dia jadi suami aku?

“Kenapa encik biarkan isteri encik berjalan berseorangan kat parking lot ni? Kawasan ni sunyi dan bahaya untuk mereka yang berjalan berseorangan. Kami dah tampal notis kat setiap bangunan dan blok. Encik tak baca ke?” tegur Encik Hussin.

“Mungkin saya tak perasan, encik,” balas Hazrel, perlahan.

Dibangunkan Nur Ain daripada duduk. Bulat matanya melihat darah yang mengalir keluar di lengan Nur Ain.

“Kenapa tak bawak isteri saya ke hospital?” tanya Hazrel tidak puas hati.

“Kami dah suruh, tapi isteri encik yang degil. Dia kata selagi barang-barang dia tak dapat, selagi tulah dia tak nak ke hospital. Barang-barang tu lagi berharga daripada nyawanya sendiri,” tegur seseorang dari arah belakang Hazrel.

Hazrel menoleh ke arah suara itu.

“Tak apalah. Saya bawak isteri saya ke hospital sekarang. Apa-apa pun saya ucapkan terima kasih pada semua.”

Orang ramai yang berada di situ sekadar mengangguk. Seminit kemudian mereka bersurai dari tempat itu. Encik Hussin hanya memandang dari jauh. Hatinya terusik dengan kesungguhan Nur Ain mempertahankan barang-barang yang dibawanya tadi.

“Saya mintak maaf,” ucap Nur Ain, perlahan.

Hazrel tidak menghiraukan ucapan Nur Ain. Dia membawa langkahnya menuju ke tempat di mana keretanya diparkirkan. Entah kenapa hatinya terasa sakit dengan tiba-tiba. Sakit yang sukar untuk dimengertikan. Sakit yang sukar untuk ditafsirkan olehnya sendiri. Huh! Apa semua ni? Rengus Hazrel dalam hati.

“Saya akan ganti barang-barang tu semua. Tapi Encik Hazrel bagi masa pada saya untuk kumpulkan duit. Kalau saya berhati-hati, mesti barang Encik Hazrel tak dicuri mereka tadi,” ujar Nur Ain kesal.

“Kau boleh diam tak? Kenapa kau nak fikirkan pasal barang-barang tu lagi? Kau tengok lengan kau tu dah berdarah. Kau tahu tak?” jerkah Hazrel, meninggi.

Terhenjut badan Nur Ain akibat jerkahan Hazrel itu. Air mata yang sempat diseka tadi mengalir membasahi pipinya semula. Sungguh, bukan itu kemahuannya. Bukan juga dia mengharapkan kejadian itu berlaku. Sudah ditakdirkan dia akan menghadapi situasi itu tadi. Dia reda jika nyawanya melayang asalkan barang-barang milik Hazrel dapat diselamatkan.

Hazrel menendang tayar keretanya sendiri. Melepaskan kemarahan terhadap tayar itu. Dibiarkan kakinya yang terasa sakit akibat tendangannya itu. Kenapa Nur Ain perlu memikirkan tentang barang-barang itu semua?

“Saya mintak maaf. Saya janji akan lebih berhati-hati selepas ni. Saya janji akan bayarnya semula,” ujar Nur Ain, sebak.

Hazrel mendengus keras. Dia memegang kepala dengan kuat. Sakit telinga mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Nur Ain. Barang...barang...tak habis-habis dengan barang. Dia tak tahu ke nyawanya hampir melayang disebabkan barang tu? Marah Hazrel dalam hati. Eh, kenapa aku emosional sangat ni?

“Mana kunci kereta aku?” tanya Hazrel sambil memandang wajah Nur Ain.

Tidak mahu membincangkan tentang itu lagi. Dia sendiri tidak tahu apa yang terjadi pada dirinya sekarang.

Nur Ain mengeluarkan kunci kereta dari dalam poket baju kurungnya. Mujurlah dia menyimpan kunci itu di dalam poket. Malah dompetnya juga disimpan di dalam poket itu. Jika tidak, pasti Hazrel akan bertambah marah dan mengamuk padanya.

“Nasib baik kau tak hilangkan kereta aku ni sekali. Kalau tak, sepuluh tahun kau kerja pun belum tentu kau dapat bayar balik,” sindir Hazrel seraya merampas kunci kereta daripada tangan Nur Ain.

Tanpa berlengah, dia segera memboloskan diri masuk ke dalam perut kereta. Dia perlu ke klinik untuk merawat luka di lengan Nur Ain.

“Kau buat apa lagi kat luar tu? Masuk! Aku hantar kau ke klinik!” tempelak Hazrel dari dalam kereta.

Nur Ain yang mendengar segera membuka pintu kereta. Hatinya berkira-kira untuk masuk ke dalam kereta. Khuatir akan mengotorkan semula kusyen kereta milik Hazrel. Sudahlah kes lepas belum lagi selesai. Berhari-hari dia terpaksa mendengar ungkitan daripada mulut Hazrel mengenai kes yang lepas. Bagaimana pula dengan kes hari ini? Adakah selama sebulan dia akan mendengar ungkitan daripada mulut lelaki itu nanti?

“Kau tunggu apa lagi? Masuk!” marah Hazrel. Sakit hatinya melihat reaksi tak berperasaan Nur Ain itu.

“Nanti kereta Encik Hazrel kotor disebabkan darah saya,” balas Nur Ain, perlahan.

Hazrel memegang kepala. Menahan amarah yang sedang berkocak. Jika diikutkan hatinya yang panas, mahu sahaja dia meninggalkan Nur Ain dan beredar dari situ.

“Masuk! Kalau kau tak masuk, aku suruh kau bayar dua kali ganda daripada harga asal sebelum ni.”

Nur Ain terkedu. Dua kali ganda? Itu bermakna dia harus membayar sebanyak dua ribu ringgit. Tanpa bersuara, dia melangkah masuk ke dalam dan menutup pintu kereta. Matanya mencuri pandang ke arah Hazrel yang masih berwajah tegang.

“Saya mintak maaf.”

Hazrel mendengus keras. Matanya diluruskan ke hadapan. Sesekali matanya dikerling ke arah lengan Nur Ain yang masih berdarah. Lengan baju kurung Nur Ain lencun dek darah yang tidak henti-henti mengalir keluar.

“Kau ambil sapu tangan ni. Tahan darah kau tu daripada keluar. Tak pasal-pasal kena pulak kusyen kereta aku ni,” arah Hazrel sambil menghulurkan sapu tangan miliknya kepada Nur Ain.

“Terima kasih,” ucap Nur Ain dan membalas huluran itu.

Disingsing lengan bajunya ke atas sedikit dan mengikat sapu tangan milik Hazrel di lengannya. Cuba menahan darah daripada terus-terusan keluar. Terasa loya ketika itu. Hampir pitam dia melihat darahnya sendiri.



APA hal, Rel?” tanya Eddie sedikit kasar dari hujung talian.

“Kau datang Klinik Rosli Seksyen 7 sekarang, ambil Ain. Aku tinggalkan dia kat situ,” beritahu Hazrel berupa arahan.

“Klinik? Apa Ain buat kat klinik?” tanya Eddie, meninggi.

“Tangan dia luka terkena pisau,” jawab Hazrel, selamba.

What? Terkena pisau? Apa kau dah buat dengan dia, Rel? Kau buli dia lagi ke?” tanya Eddie bertubi-tubi. Panas hatinya mendengar jawapan Hazrel itu.

“Kau jangan nak main tuduh, Die. Aku tak buat apa-apa pun kat dia. Dia sendiri yang cuai,” balas Hazrel, meninggi. Turut panas dengan tuduhan Eddie itu.

“Kau tunggu situ. Aku datang sekarang,” arah Eddie kemudian mematikan talian.

Hazrel mendengus deras. Matanya dihalakan ke arah Nur Ain yang sedang duduk di bangku berhampiran dengan kaunter ubat. Riak pucat jelas di wajah Nur Ain ketika itu.

“Nur Ain Zafira Ibrahim!” panggil nurseyang bertugas.

Terkejut Nur Ain dek kerana panggilan itu. Dia bingkas bangun dan melangkah ke kaunter ubat. Masih terasa sisa kesakitan di lengannya itu. Sudahlah luka sebulan yang lepas masih belum pulih sepenuhnya, ditambah dengan luka hari ini. Dia mengeluh dalam hati. Kenapa begitu malang nasibnya itu?

“Semuanya RM90,” ujar nurse itu.

Bulat mata Nur Ain mendengarnya. RM90? Ulang Nur Ain dalam hati. Lantas dikeluarkan dompet dari dalam poket baju kurung. Mencongak-congak jumlah duit yang terdapat di dalam dompetnya itu.

“Jangan lupa bayar balik,” kata Hazrel, sinis selepas menyerahkan sekeping not RM50 dan empat keping not RM10 kepada nurse itu.

Setelah mendapat resit, dia segera membawa kakinya keluar daripada klinik itu. Tidak mahu berlama di klinik itu.

Nur Ain sekadar mengekori dari belakang. Mulutnya terkunci dengan tiba-tiba. Otaknya memikirkan jumlah wang yang perlu dibayar kepada Hazrel.

“RM1000 tambah RM90 sama dengan RM1090. Itu belum masuk jumlah barang-barang yang aku dah hilangkan tadi. Duit simpanan aku ada dalam RM3000 lebih. Mana cukup aku nak bayar nanti. Mesti barang-barang dia tu dalam RM2000 lebih. Ya ALLAH, mana aku nak cari duit lagi ni?” bisik Nur Ain perlahan.

“Kau ni dengar ke tak apa yang aku cakap tadi?” tegur Hazrel, meninggi.

Tersentak Nur Ain akibat teguran itu. Dihalakan pandangan ke muka tegang Hazrel. Begitu lama dia mengelamun.

“Maaf, saya mengelamun tadi.”

“Apa yang kau lamunkan? Kau kira berapa jumlah yang kau perlu bayar pada aku ke?” soal Hazrel sinis. Matanya tajam ke muka Nur Ain.

Nur Ain mengangguk. Itulah yang sedang difikirkannya sekarang. Jumlah yang perlu dibayar kepada Hazrel.

“Huh! Susahkan jadi orang yang tak berharta macam kau ni. Kena fikir kat mana nak cari duit bayar hutang,” kutuk Hazrel, selamba.

Nur Ain yang mendengar berkerut seribu. Terasa dengan kata-kata Hazrel. Biarlah dia, suatu hari nanti dia akan sedar dengan apa yang dia cakapkan tu, bisik Nur Ain. Cuba menyedapkan hati dan perasaan sendiri.

“Ain!” panggil Humaira.

Nur Ain menoleh. Wajah Humaira dan Eddie menyapa mata.

“Eloklah kau datang, Die. Dah naik rimas aku dengan dia ni. Aku blah dulu.” Suara Hazrel seraya membawa langkah kakinya ke kereta. Dia perlu balik ke rumah dan berehat.

“Aku nak cakap dengan kau, Rel.” Suara Eddie sambil menahan langkah Hazrel.

“Aku penatlah, Die. Esok ajelah kita bincang,” tolak Hazrel.

“Aku jumpa kau kat ofis kau esok,” pesan Eddie, serius.

“Suka hati kaulah. Malas aku nak layan kau, Die,” balas Hazrel, selamba dan melangkah masuk ke dalam kereta.

Seminit kemudian keretanya menghilang di sebalik kepekatan malam.



APA yang dah jadi, Ain? Cuba Ain cerita pada mak su dan Abang Die,” tanya Humaira, keras sambil melabuhkan punggung di atas sofa.

Nur Ain menunduk. Takut melihat panahan mata Humaira dan Eddie ketika itu. Apa jawapan yang perlu diberikan pada mereka berdua?

“Ain ni tak serik-serik ke dengan apa yang Rel dah lakukan pada Ain dulu? Cuba jangan berdegil dan dengar cakap mak su dan Abang Die,” marah Humaira pula.

“Maafkan Ain.” Hanya itu sahaja yang keluar daripada mulut Nur Ain.

“Ain, Abang Die bukannya nak masuk campur dalam urusan Ain. Tapi Abang Die nak Ain berfikir sebelum menerima sebarang arahan daripada Rel. Ain kena ingat, Rel tu bukan orang yang mudah dibawa berbincang. Hatinya keras dan tegas dengan keputusannya. Dia sanggup lakukan apa aje asalkan hajatnya tercapai. Ain dengarlah cakap Abang Die dan mak su,” nasihat Eddie bernada tegas.

“Ain tahu dan Ain mintak maaf,” ucap Nur Ain, perlahan.

Eddie menghela nafas pendek. Matanya memberi isyarat pada Humaira.

“Dahlah, Ain pergi masuk bilik bersihkan diri. Baju tu tukar dan buang. Penuh darah mak su tengok. Nanti bertambah teruk luka Ain tu. Kalau Ain nak makan, mak su ada masak. Ain cari aje kat dapur tu,” arah Humaira berbaur pujukan.

Nur Ain mengangguk. Dia bingkas bangun daripada duduk dan melangkah masuk ke dalam bilik. Dia sedar akan kesilapannya itu.

Eddie dan Humaira hanya memandang. Keluhan berat terlepas daripada bibir masing-masing.

“Die balik dululah, Mai. Esok Die nak jumpa dengan Rel. Die nak tanya apa yang dia nak daripada Ain. Tak habis-habis Rel buli Ain. Apa sebabnya Rel buli Ain? Nak kata Ain buat salah dengan dia, tak adalah pulak. Kadang-kadang Die tak faham apa masalah Rel tu,” beritahu Eddie seraya bangun.

“Baiklah, Die. Jangan sampai bergaduh dahlah,” balas Humaira ketawa kecil.

“Hisy, tak adalah Die nak bergaduh dengan Rel. Apa-apa pun, Rel tu tetap kawan baik Die. Walaupun sikap dia macam tu, tapi hati dia lembut dan mudah tersentuh. Mungkin ego dia yang tinggi menenggelamkan sifat baik dia tu,” terang Eddie sambil melangkah ke muka pintu rumah.

“Die, kalau Mai tanya sesuatu boleh tak?” pinta Humaira sambil mengekori Eddie dari belakang.

“Apa dia?” tanya Eddie sambil menyarung kasut ke kaki.

“Kenapa Die ambil berat tentang Ain? Semua tentang Ain, Die perlu tahu dan apa yang terjadi pada Ain, Die akan selesaikan. Kenapa, Die?” tanya Humaira ingin tahu.

Persoalan itulah yang bersarang di fikirannya selama ini. Keprihatinan Eddie melebihi dirinya selaku ibu saudara Nur Ain. Hanya Eddie sahaja yang tahu jawapannya.

“Sebab Die anggap Ain macam adik Die sendiri. Die balik dulu, Mai. Kalau ada apa-apa nanti, jangan lupa callDie. Assalamualaikum,” jawab Eddie, cuba menyembunyikan kebenaran.

Humaira mengangguk. Matanya menghantar pemergian Eddie. Walaupun jawapan Eddie tidak memuaskan hatinya, dia pasti Eddie punya sebab, kenapa dia mengambil berat terhadap Nur Ain. Humaira akan mencari jawapannya sendiri.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku