Dulu Benci, Sekarang Suka
Bab 11
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 18 Jun 2013
Benci! Itulah yang Hazrel Hardy rasakan setiap kali bertemu dengan Nur Ain Zafira. Pelbagai rancangan diatur untuk mengenakan gadis itu. Disebabkan perbuatan seseorang, mereka terpaksa bernikah tanpa rela.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
3207

Bacaan






“MACAM nilah, aku cadangkan kita buat pamphlet dan edarkan pada beberapa buah pasar raya dan mini mart. Dalam pamphlet tu, kita mention yang Cahaya ada menerima tempahan dan mengedar barangan runcit serta barang keperluan yang lain. Mungkin dari situ kita dapat tarik beberapa customer untuk mengikat kontrak dengan Cahaya,” terang Izzuddin, jelas dan nyata.

Hazrel mengangguk faham. Matanya masih lagi menatap kertas kerja yang disediakan Izzuddin. Kertas kerja bagaimana untuk menarik customer untuk memborong di Cahaya Sdn. Bhd. Terangguk-angguk dia sambil cuba memahamkannya.

“Selain tu, jika ada mana-mana syarikat yang membuka tender berkaitan dengan businesskita ni, kita boleh jugak memohon. Dari situ kita dapat keuntungan dan jugak nama Cahaya Sdn. Bhd. akan terkenal,” sambung Izzuddin lagi.

“Bagus jugak cadangan kau ni, Izz. So, aku nak kau siapkan kertas cadangan ni semula berserta beberapa olahan yang dah aku tandakan. Aku akan bentangkan kertas cadangan ni pada papa aku bila aku balik ke sana nanti,” sahut Hazrel dan menyerahkan semula kertas kerja itu kepada Izzuddin. Kemudian dihalakan matanya ke muka Izzuddin.

“Baiklah, aku akan betulkan apa yang dah kau tandakan ni. Lepas tu aku serahkan pada kau semula,” balas Izzuddin sambil mencapai kertas kerja itu.

“Aku dengar Ain cedera di lengan disebabkan kau, betul ke?” soal Izzuddin.

Berkerut dahi Hazrel mendengarnya. Bagaimana Izzuddin mengetahui perkara itu?

“Mana kau tahu?” tanya Hazrel mematikan pertanyaan Izzuddin.

“Aku tahu daripada Ain. Aku call Ain malam tadi,” jawab Izzuddin.

“Kau call dia? Macam mana kau calldia?”

“Aku call mak su dia.”

Hazrel mengangguk faham. Dia menyandarkan badan ke belakang.

“Aku ingat nak pergi lawat Ain petang nanti. Kau nak ikut tak?”

“Huh! Tak nak aku. Mesti rumah dia lebih kurang rumah kau. Lagipun aku nak balik rumah parentsaku petang ni.”

Izzuddin menggeleng. Hazrel tidak pernah nak berubah.

“Kau sebagai bos, kenalah ambil berat pasal pekerja. Kalau kau tak nak orang label kau sebagai ketua atau bos yang tak berperikemanusiaan, ada baiknya kau melawat Ain.”

“Aku tak hairanlah kalau dia orang nak gelarkan aku macam tu. Lagipun bukan disebabkan aku dia jadi macam tu. Dia sendiri yang cuai, tak pandai nak jaga diri sendiri.”

“Rel...Rel...sampai bila kau nak bersikap macam ni? Ego tak bertempat. Kalau kau tak nak pergi melawat Ain, tak apalah. Aku pergi dengan Fauziah dan Encik Latif aje,” balas Izzuddin seraya bangun.

“Aku balik bilik dulu. Banyak kerja yang nak diuruskan. Sebelum tu kau jangan lupa perjumpaan kita malam ni,” sambung Izzuddin dan melangkah ke muka pintu bilik.

“Perjumpaan apa, Izz?” tanya Hazrel kurang mengerti.

“Kau ni Rel, macam orang tualah. Perjumpaan kawan-kawan universiti kita dulu kat restoran tepi tasik tu,” jawab Izzuddin mengingatkan.

“Oh, sorry. Aku memang tak ingat. Nasib baik kau ingatkan aku. Tengoklah, kalau aku tak jadi balik rumah parents aku petang ni, aku datanglah,” balas Hazrel.

“Tak apalah. Tapi kalau boleh, joinlah malam ni. Bukan senang kita nak jumpa kawan-kawan kita balik,” ujar Izzuddin dan berlalu pergi dari bilik itu.

Hazrel hanya memandang. Keluhan ringan dilepaskan. Hatinya berkira-kira. Perlukah dia menyertai perjumpaan itu atau balik ke rumah sahaja?

“Encik Hazrel,” tegur Fauziah dari arah pintu bilik.

Hazrel mengangkat wajah. Matanya tepat ke wajah Fauziah.

“Ada apa, Fauziah?”

“Ada orang nak jumpa Encik Hazrel. Dia tunggu kat bilik mesyuarat.”

“Kenapa tak suruh aje dia ke sini?”

“Saya dah suruh, tapi dia degil. Dia nak bincang perkara serius dengan Encik Hazrel dalam bilik mesyuarat tu.”

Hazrel mendengus kasar. Siapa yang cuba mengarahnya begitu?

“Baiklah. Dalam lima minit lagi saya ke sana.”

Fauziah mengangguk faham. Dia segera beredar dari situ menuju ke tempat duduknya semula. Atas permintaan Eddie sendiri agar tidak memberitahu Hazrel akan kehadirannya di situ.

Hazrel mengatur langkah menuju ke bilik mesyuarat. Sepanjang perjalanannya itu, dia merungut. Suka hati aje nak mengarah aku ke bilik mesyuarat. Belum kenal lagi aku ni siapa, cebik Hazrel dalam hati.

“Ya, nak apa?” tanya Hazrel sebaik sahaja tiba di bilik mesyuarat itu.

Eddie menoleh. Sebuah senyuman pahit dihadiahkan buat Hazrel.

“Huh! Kau ke? Aku ingatkan siapa. Kenapa tak ke bilik aku aje? Kenapa jumpa kat sini pulak?” tanya Hazrel tidak puas hati sambil melabuhkan punggung di kerusi.

“Aku tak nak orang dengar perbualan kita. Sebab tulah aku suruh kau ke sini,” terang Eddie turut sama melabuhkan punggung di kerusi berhadapan Hazrel.

So, apa masalahnya?” soal Hazrel sinis. Dia berpeluk tubuh menghadap Eddie.

“Aku yang bermasalah atau kau yang bermasalah, Rel?” tanya Eddie memulangkan pertanyaan Hazrel tadi.

“Aku? Aku bermasalah? Aku tak pernah ada masalah. Hidup aku tenteram dan damai selama ni. Tapi sejak aku kenal dengan minah kampung tu, hidup aku jadi kucar-kacir dan tak tenteram. Ke mana aje aku pergi, mesti ada masalah yang aku hadapi. Sebelum ni tak pernah aku alami apa-apa masalah,” bentak Hazrel, keras.

Eddie melepaskan keluhan ringan. Matanya tajam ke muka Hazrel yang beriak selamba. Jika diikutkan hatinya yang panas, mahu sahaja dia melayangkan sebiji penumbuk ke muka Hazrel.

“Kau yang cari masalah kau sendiri, Rel. Ain tak salah apa-apa. Tapi kau yang menciptakan kesalahan Ain.”

Hazrel mencebik. Kata-kata Eddie antara dengar ataupun tidak. Malas untuk mendengar ceramah free daripada Eddie.

“Yang kau bela sangat dia tu, kenapa? Disebabkan perempuan tu, kita berdua bergaduh. Cuba kau fikir, pernah tak kita bergaduh sebelum ni? Pernah tak kita bertekak sebelum ni? Pernah tak kita berselisihan faham sebelum ni?” jerkah Hazrel pantas berdiri.

Nafasnya berombak menahan kemarahan. Tangannya sudah mengepal penumbuk.

“Aku bukan bela dia, Rel. Aku tak sampai hati tengok Ain dibuli kau. Ain dah banyak menderita sebelum ni dan aku tak nak kau tambah penderitaan Ain!” Suara Eddie, meninggi turut sama berdiri.

Hazrel merenung tajam Eddie. Bertambah panas hatinya ketika itu.

“Suka hati kaulah. Malas aku nak bertekak dengan kau,” ujar Hazrel dan berkira-kira untuk keluar dari bilik itu.

“Berapa yang Ain perlu bayar pada kau? Aku bayarkan untuk Ain,” tanya Eddie sebelum Hazrel berlalu pergi dari dalam bilik itu.

Hazrel menghentikan langkah. Wajah Eddie di hadapan dipandang geram.

“Huh! Kenapa kau perlu bersusah payah kerana budak tu? Aku akan beritahu pada kau berapa jumlahnya lepas aku selesaikan masalah aku dengan dia.”

“Apa maksud kau, Rel? Masalah apa yang Ain timbulkan lagi?”

“Aku nak dia sendiri yang bayar dan aku tak nak duit kau!”

“Kau dah melampau, Rel!” marah Eddie seraya memegang kolar baju Hazrel.

“Aku yang melampau atau kau yang melampau? Kalau kau nak bayar, aku akan kenakan dua kali ganda bayaran yang dia perlu bayar pada aku,” balas Hazrel, tinggi sambil menolak tangan Eddie daripada memegang kolar bajunya.

“Kau sebut aje berapa dan aku akan bayar untuk dia.”

“Okey, kau jangan menyesal bila aku sebut berapa jumlah yang kau perlu bayar pada aku nanti,” sindir Hazrel mengejek.

“Aku takkan menyesal, tapi kau yang akan menyesal. Aku akan bayar berapa jugak jumlah yang kau mintak asalkan kau tak ganggu dan buli Ain lagi,” bidas Eddie, keras dan beredar dari situ.

Hazrel mendengus kasar. Matanya memandang ke arah Eddie yang melangkah keluar dari bilik mesyuarat itu. Semakin benci dan menyampah dengan Nur Ain.



DATANG dengan siapa, Gie?” tanya Humaira, berbasa-basi.

“Dengan Encik Izz, Mai. Encik Latif kata nak datang, tapi ada hal pulak. Dia kirim salam aje kat Mai dan Ain. Teruk ke luka kat tangan Ain tu?” ujar Fauziah, prihatin.

Humaira melepaskan keluhan ringan. Dulang air yang ditatang sebentar tadi diletak di atas meja di ruang tamu.

“Tak adalah teruk sangat. Cuma luka kecil aje.”

“Luka kecil pun Mai, boleh merebak jadi besar.”

“Itulah, Mai dah tegur Ain. Tapi dia tu degil sangat. Ikut aje cakap Rel tu.”

Fauziah meneguk air dari dalam gelas. Dihalakan mata ke arah Nur Ain yang sedang berbual mesra bersama Izzuddin di halaman rumah.

“Apa yang Encik Hazrel dah buat dengan Ain?”

“Ain tu lurus sangat, Gie. Ikut aje cakap Rel tu sampai bahayakan diri sendiri. Tak pasal-pasal luka lengan tu disebabkan Rel. Benci betul Mai dengan Rel tu.”

“Encik Hazrel memang jenis orang yang macam tu, Mai. Gie pernah jugak kena marah dengan dia. Siap kutuk lagi pun ada. Sakit jugak hati dengar kata-kata pedas dia tu. Mulut memang tak ada insurans,” luah Fauziah, geram.

“Biarkan ajelah, Gie. Suatu hari nanti ALLAH akan balas kesemua kejahatan dia. Mai doakan biarlah dia berkahwin dengan orang yang setaraf dengan kita, Gie. Biar dia tahu langit tu tinggi atau rendah,” doa Humaira, geram.

“Kau jangan, Mai. Dibuatnya anak saudara kau terkahwin dengan Encik Hazrel macam mana? Tak ke termakan sendiri doa kau tu. Aku sekadar mengingatkan aje,” tegur Fauziah.

“Kalau dah jodoh, nak buat macam mana. Terima dengan hati yang terbuka dan ikhlas. Reda dengan ketentuan-NYA,” balas Humaira pula berserta keluhan ringan.

“Kalau betul pun apa salahnya, Mai. Bolehlah Ain ubahkan Encik Hazrel tu. Gie tengok sesuai sangat Ain dengan Encik Hazrel. Orang macam Encik Hazrel tu lawannya Ain. Sekurang-kurangnya Encik Hazrel akan lebih bersikap penyabar dan tenang apabila berhadapan dengan Ain. Dapat mengawal sikap pemarah dia jugak,” jelas Fauziah sekadar memberi pendapat.

Humaira mengangguk. Mungkin ada benarnya dengan kata-kata Fauziah itu. Jauh di sudut hati, dia tidak mahu mengorbankan masa depan Nur Ain. Dia lebih rela Nur Ain tidak berkahwin asalkan bukan dengan orang seperti Hazrel itu.



HAZREL menghumbankan tubuh ke katil. Terasa penat badannya waktu itu. Niat untuk balik ke rumah parentsnya dibatalkan begitu sahaja. Apa yang tidak kena dengan dirinya itu? Entah macam mana dia boleh memandu ke rumah Nur Ain. Bagaiman dia boleh tahu di mana rumah gadis itu? Yalah, aku kan check biodata dia tadi. Bodoh betullah kau ni Rel, kutuk Hazrel pada diri sendiri. Nafas berat terlepas daripada bibirnya.

Hazrel mengiringkan badan ke kanan. Matanya tertancap ke bingkai gambar yang elok terletak di atas meja di sisi katil. Rindu terhadap insan yang berada di dalam gambar itu.

“Rel, kalau suatu hari nanti Rel jatuh cinta dengan perempuan yang abang cintai, Rel nak buat apa?” tanya Hazrul sekadar ingin menduga perasaan adiknya itu.

Hazrel ketawa mendengar pertanyaan abangnya itu. Matanya dikalihkan ke wajah Hazrul yang sedang beriak tenang.

“Rel, abang tanya ni. Apa yang Rel akan buat kalau Rel jatuh cinta dengan perempuan yang abang cintai?” ulang Hazrul sedikit menekan. Geram dengan perangai acuh tak acuh Hazrel.

“Kalau Rel jatuh cinta dengan perempuan yang abang cintai?” ulang Hazrel, tergelak.

Hazrul mengangguk. Matanya menjamah wajah Hazrel.

“Rel takkan rampas hak abang. Walau bagaimana sekalipun, tidak sesekali Rel akan merampasnya. Rel sayangkan abang. Rel nak abang bahagia.”

“Kalau abang tak ada dan dalam masa yang sama Rel jatuh cinta dengan girlfriend abang, Rel masih nak teruskan tackle girlfriend abang tu ke atau Rel nak lupakan aje?”

“Kalau abang tak ada?” ulang Hazrel berkerut dahi.

“Mestilah Rel akan tackle girlfriend abang tu. Rel takkan lepaskan kalau girlfriend abang tu cantik.”

“Dia cantik kat mata abang, Rel,” ujar Hazrul, perlahan.

Wajah Nur Ain bermain di tubir matanya ketika itu. Senyuman bahagia terbias di bibirnya.

Hazrel mencebik. Raut wajah Hazrul diperhatikan. Geli-geleman melihat Hazrul yang berjiwang karat dengan tiba-tiba di hadapannya itu.

“Ada macam Erra Fazira tak, bang?”

“Rel boleh janji dengan abang?”

Berkerut dahi Hazrel mendengarnya.

“Janji? Janji apa?”

“Andai suatu hari nanti, ALLAH menjemput abang terlebih dahulu daripada Rel. Andai suatu hari nanti ALLAH termukan Rel dengannya sekali gus jatuh cinta dengannya. Janji dengan abang yang Rel akan jaga dia sepertimana Rel menjaga nyawa Rel sendiri. Sayangi dan cintainya sehingga nafas terakhir Rel nanti. Abang yakin hanya Rel yang boleh penuhi permintaan abang ni,” pinta Hazrul seraya menarik nafas lembut dan dilepaskannya perlahan.

Bertambah berkerut dahi Hazrel mendengar permintaan Hazrul itu. Dah buang tebiat ke abang aku ni? Boleh pulak dia suruh aku jaga girlfriend dia? Gila ke apa? Bisik Hazrel dalam hati.

“Apa abang merepek ni? Abang demam ya?”

“Abang tak demam dik dan abang tak merepek. Abang serius dan abang nak Rel janji dengan abang yang Rel akan jaga girlfriend abang tu baik-baik seandainya Rel jatuh cinta dengan dia,” bidas Hazrul, tegas.

Hazrel menggaru-garu kepala.

“Rel,” seru Hazrul. Menanti jawapan daripada adik kembarnya itu.

“Jomlah, bang. Dah lewat ni. Nanti mama cari pulak,” dalih Hazrel seraya bangun.

Getaran telefon menyentak lamunan Hazrel yang panjang. Segera tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar dan mengeluarkan telefon bimbit.

“Hazrel Hardy!” jerkah suara dari hujung talian.

Kus semangat. Nasib tak gugur jantung aku dibuatnya, rungut Hazrel sambil mengusap lembut dadanya yang berombak kencang.

“Kenapa tak balik?” tanya suara itu, lantang.

Hazrel berkerut dahi. Mama ni kalau tak jerkah aku, tak sah gamaknya.

“Ma, Rel...” ujar Hazrel tergagap-gagap.

“Yang tergagap-gagap tu, kenapa? Rel dah janji dengan mama yang Rel nak balik petang ni. Kenapa tak sampai lagi?” jerit Datin Salina pula.

Mak ai! Mama aku ni kalau tak jerit-jerit tak sah gamaknya. Dia ingat ni pertandingan menjerit ke? Gurau Hazrel dalam hati dan ketawa kecil.

“Kereta Rel masuk bengkellah, mama. Tu yang Rel tak boleh nak balik petang ni.”

“Rel jangan nak bohong dengan mama. Rel tu bukannya betul sangat. Ada aje alasan yang nak diberikan pada mama,” bidas Datin Salina, tegas.

“Ma, Rel tak bohong. Kereta Rel masuk bengkel. Ni pun Rel mintak tolong Izz hantarkan Rel balik rumah. Kalau mama tak percaya, mama boleh call Izz.”

“Rel kan dah janji nak balik hari ni. Dah dua kali Rel buat mama macam ni.”

Hazrel menelan liur. Bukan niatnya untuk berbohong. Entah kenapa dapat dirasakan sesuatu daripada desakan Datin Salina itu. Sudah pastilah ada kena-mengena dengan Qistina.

“Rel dengar tak apa yang mama cakap ni?” jerkah Datin Salina.

“Ya...ya ma, Rel dengar. Okeylah mama, Rel nak mandi ni. Kalau tak ada apa-apa, dalam minggu depan Rel balik. Byemama. I love you,” balas Hazrel kemudian segera mematikan talian.

“Kus semangat, nasib baik lepas.”

Hazrel bingkas bangun daripada pembaringan. Dia menuju ke jendela dan membuang pandang di situ. Kata-kata Eddie dan Izzuddin terngiang-ngiang di minda. Kenapa kedua-dua kawan baiknya itu membela perempuan kampung seperti Nur Ain? Apa yang mereka berdua pandang pada perempuan itu? Huh! Keluhan berat terlepas daripada bibirnya.

Aku nak ajar kau erti hidup yang sebenar, Ain. Aku nak tengok sejauh mana kekampungan kau tu, bisik hati Hazrel tersenyum sinis. Semoga rancangannya berjaya.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku