Dulu Benci, Sekarang Suka
Bab 12
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 18 Jun 2013
Benci! Itulah yang Hazrel Hardy rasakan setiap kali bertemu dengan Nur Ain Zafira. Pelbagai rancangan diatur untuk mengenakan gadis itu. Disebabkan perbuatan seseorang, mereka terpaksa bernikah tanpa rela.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2872

Bacaan






“AKU dengar Rul meninggal disebabkan awek dia, betul ke?” tanya Badrul tiba-tiba.

“Maksud kau, Bad?” tanya Siva ingin tahu.

“Aku dengar malam tu Rul accident. Dia on the way ke rumah awek dia. Tak pasal-pasal, accident dan meninggal. Aku ada jugak dengar yang awek dia tu bawak malang.”

Mereka yang mendengar terkejut dengan penjelasan Badrul. Masing-masing berpandangan antara satu sama lain.

“Hisy, kau ni Bad. Tak baik tuduh yang bukan-bukan. Dah umur Rul tu pendek, nak buat macam mana,” bidas Azim, keras.

“Aku bukan menuduh. Aku tahu pun daripada kenalan rapat keluarga Rel,” bidas Badrul.

“Dahlah, tak perlulah kita nak ungkit kisah tiga tahun yang lepas. Kawan kita pun dah lama bersemadi kat sana. Kita yang kat sini perlulah berdoa agar rohnya dicucuri rahmat,” sampuk Eddie yang sejak tadi membisu dan mendengar.

Jika tidak ditegah, isu itu akan dibangkitkan terus-terusan dan hatinya akan menjadi sakit mendengarnya.

Badrul tertunduk. Manakala yang lain sekadar mengangguk.

“Rel tak datang ke, Die?” tanya Azim memecah kesunyian.

“Aku tak tahu, Zim. Maybe kau boleh tanya pada Izz sebab dia kerja bawah Rel,” jawab Eddie menggeleng.

“Izz kerja bawah Rel? Bukan ke papa Izz ada company sendiri?” tanya Badrul berkerut dahi.

“Aku nak cari pengalaman kat luar dulu sebelum aku kerja di bawah papa aku,” sampuk Izzuddin tiba-tiba.

Mereka yang berada di situ menoleh. Terbias senyuman di bibir masing-masing.

“Kau ada krisis dengan papa kau ke sampaikan kau kerja bawah Rel?” tanya Siva.

“Hisy, tak adalah, Siva. Aku nak cari pengalaman dulu. Lepas aku kumpul pengalaman tu, barulah aku berkhidmat bawah papa aku,” jelas Izzuddin, tegas.

“Tak apalah, mana-mana pun boleh kerja. Yang penting kesungguhan kita terhadap pekerjaan tu,” sampuk Eddie, tidak mahu mereka mempersoalkan tentang keputusan Izzuddin. Naik rimas dia mendengar komen daripada kawan-kawannya itu.

“Oh ya, Rel tak datang ke, Izz? Dah lama benar kita orang tak jumpa dengan dia. Paling last pun masa kita buat reunion setahun yang lepas,” ujar Badrul.

“Aku dah ajak dia, Bad. Katanya nak balik rumah parents dia petang tadi. Jadi dia...”

Sorrygeng, aku lambat. Jalan jammedlah,” potong Hazrel dari arah belakang.

Dilabuhkan punggung berhadapan dengan Eddie. Senyuman penuh makna dihadiahkan buat Eddie.

“Woo... bro, lama tak jumpa. Ingat kau tak datang tadi,” balas Siva tersenyum.

Tangan dihulurkan dan disambut baik Hazrel.

“Bukan ke kau kata nak balik rumah parents kau petang tadi, Rel? Tak jadi dah ke?” sampuk Izzuddin, kehairanan.

“Tak jadi. Aku balik minggu depan,” jawab Hazrel.

“Oh, habis tu mama kau tak marah ke?” tanya Eddie seakan-akan menyindir.

Hazrel mengalihkan pandangan ke muka Eddie. Tajam matanya ke muka itu. Jelas riak ketidakpuasan di wajah Eddie.

“Aku tutup telinga aje,” balas Hazrel, selamba.

“Yalah tu tutup telinga. Kau kan anak manja. Berkepit bawah ketiak mama kau aje.”

Berbahang hati Hazrel mendengarnya. Mahu sahaja dilayangkan satu penumbuk ke muka Eddie ketika itu juga.

“Apa masalah kau, Die? Yang kau nak sindir aku kenapa?”

Bro...bro...apa ni? Kita datang sini nak happy, nak enjoy, bukannya nak bergaduh,” tegah Azim tatkala menyedari kelantangan suara Hazrel.

“Dahlah Die, Rel. Kau orang berdua ni tak boleh berjumpa. Mesti ada perkara yang nak digaduhkan,” tegah Izzuddin pula.

Come on my friends. Janganlah gaduh-gaduh. Jom kita karaoke,” celah Siva pula.

“Haahlah Die, Rel. Kita baru aje berjumpa, dah jadi macam ni. Lepas ni tak payahlah kita jumpa lagi.” Suara Badrul pula yang sejak tadi membisu.

Hazrel mendengus kasar. Tanpa berlengah, dia segera beredar dari situ. Jika berlama, tidak mustahil dia akan berperang mulut dengan Eddie lagi.

“Sebelum kau pergi, aku nak tahu berapa jumlah yang perlu Ain bayar pada kau. Aku tak nak Ain berhutang dengan kau.” Suara Eddie sedikit menekan.

Hazrel menoleh ke arah Eddie. Wajah selamba Eddie ditatap marah.

“Aku tak ingin duit kau. Aku nak dia sendiri yang bayar pada aku dan bukannya kau.”

“Aku kata, aku bayar. Aku tak benarkan dia bayar,” balas Eddie pantas berdiri.

Mereka yang melihat turut sama berdiri. Risau di hati masing-masing dengan tingkah Eddie dan Hazrel itu. Izzuddin yang mendengar sudah berkerut seribu. Ain? Kenapa nama Ain meniti di bibir kedua-dua kawan baiknya itu?

Hazrel ketawa mengejek. Dia mencebik ke arah Eddie.

“Kenapa? Dia tak mampu nak bayar kat aku ke?” tanya Hazrel, sinis.

“Huh! Macam tulah orang susah. Suka ambil kesempatan pada orang kaya. Bila tak ada duit, mulalah merengek kat orang kaya. Mulalah mengurat orang kaya. Mulalah buat kerja-kerja tak senonoh untuk dapatkan duit. Lumrah hidup orang susah, macam tulah.”

“Kau dah melampau, Rel!” marah Eddie seraya menumbuk muka Hazrel.

Terjelepok Hazrel dek kerana tumbukan Eddie itu. Dia menyapu darah yang mengalir keluar daripada bibirnya itu. Matanya mencerlung ke muka Eddie.

“Die, sabar. Apa semua ni?” tegah Izzuddin, pantas memegang Eddie.

“Apa masalah kau orang berdua ni? Rosak program kita malam ni!” marah Badrul pula.

“Aku nak ingatkan kau, Rel. Aku bagi amaran pada kau. Aku takkan lepaskan kau kalau kau hina dia lagi. Aku pastikan kau akan menyesal dengan apa yang kau katakan tadi,” ugut Eddie dan berlalu dari situ. Panas hatinya mendengar kutukan Hazrel sebentar tadi.

“Aku takkan menyesal, Eddie Zakuan Zafrudin!” balas Hazrel tidak mahu mengalah.

Terhenti langkah Eddie tatkala mendengar kata-kata Hazrel itu. Dia hanya menoleh sekilas ke wajah tegang Hazrel. Kemudian dibawa langkahnya keluar dari tempat itu.



KENAPA ni, Die? Tegang aje muka tu Mai tengok. Die ada masalah ke?” tanya Humaira seraya menghulurkan segelas air kepada Eddie.

“Die tengah marah ni, Mai,” jawab Eddie sambil menyambut huluran Humaira.

“Marah? Marahkan siapa?”

“Hazrel.”

Humaira berkerut dahi.

“Apa yang Rel dah buat dengan Die?”

“Die geram sangat dengan dia. Suka hati aje nak kutuk Ain. Sakit hati Die dengar,” beritahu Eddie.

Gelas di tangan diletak di atas meja. Keluhan berat terlepas daripada bibirnya.

Humaira melabuhkan punggungnya berhadapan Eddie. Wajah Eddie ditatap mesra.

“Die dah lama kenal Rel dari universiti lagi. Memang Rel begitu orangnya. Perangai Rel pun dah sebati dalam diri Die. Tapi tu tak bermakna Rel boleh sesuka hati nak kutuk dan hina orang. Makin lama makin teruk perangai Rel,” jelas Eddie tanpa dipinta.

“Dahlah, Die. Mai dan Ain dah lali dengan semua tu. Memang kami akui apa yang Rel katakan tu ada benarnya. Kami ni tak layak nak berkawan dengan Die, anak seorang Tan Sri.”

“Mai, kenapa cakap macam tu? Die tak suka Mai ungkit tentang tu lagi.”

“Maaf, Die. Bukan niat Mai nak buat Die marah. Tapi itulah kenyataannya.”

“Mai, Die tak pernah ungkit tentang tu. Die ikhlas berkawan dan bercinta dengan Mai. Die tak kisah dari mana Mai datang atau asal usul Mai. Bagi Die, semua manusia bermula dari bawah, susah. Dengan berusaha barulah mereka jadi kaya. Mana ada orang terus kaya tanpa berusaha memperolehinya,” jelas Eddie, ikhlas. Matanya menatap wajah insan kesayangan di hadapannya.

Humaira tersenyum tawar. Sebak hatinya mendengar pengakuan jujur Eddie itu.

“Terima kasih, Die. Terima kasih kerana menyayangi Mai dan Ain.”

Eddie membalas senyuman Humaira. Cantik pada pandangan matanya. Walaupun usia Humaira lebih tua daripadanya, dia tidak peduli tentang itu. Usia bukanlah tiket untuk menghalang dia bercinta dengan Humaira. Jika bukan kerana Nur Ain juga, tidak mustahil dia akan berkenalan sekali gus bercinta dengan Humaira.

“Ain mana?” tanya Eddie memecah kebisuan di antara mereka berdua.

“Ada kat bilik dia. Mai panggil Ain sekejap,” jawab Humaira seraya bangun.

Eddie mengangguk. Matanya menghantar langkah Humaira. Gelas minuman dicapai dan meneguk baki air dari dalam gelas itu.

“Abang Die nak jumpa Ain?” tegur Nur Ain sebaik sahaja berhadapan dengan Eddie.

“Haah, Ain. Duduk. Abang Die ada perkara nak cakap dengan Ain,” arah Eddie.

Nur Ain akur. Dilabuhkan punggung berhadapan dengan Eddie.

“Lengan Ain macam mana? Dah okey?” tanya Eddie, prihatin.

Matanya tertancap ke arah lengan Nur Ain yang berbalut dengan bandage.

“Dah elok sikit,” jawab Nur Ain, lembut.

“Bila start kerja?”

“Doktor bagi MC seminggu. Insya-ALLAH hari Selasa depan Ain masuk kerja. Kenapa, Abang Die?”

“Abang Die nak pesan dengan Ain, jangan dengar sangat cakap Rel. Kalau dia suruh Ain buat apa-apa kerja di luar skop bidang kerja Ain, jangan ikut. Ingat pesan Abang Die ni,” pesan Eddie, serius. Matanya menatap mesra wajah Nur Ain.

“Baiklah. Ain ingat pesan Abang Die tu,” ujar Nur Ain, perlahan.

“Pasal duit Ain tu, Abang Die akan bayar. Berapa jumlah wang yang Rel mintak Ain bayar pada dia?”

“Err...” Nur Ain menggaru-garu kepalanya yang bertudung.

“Berapa, Ain?”

“RM1000 untuk kereta dan kusyen. RM90 ubat klinik dan...dan...”

“Dan?”

“Barang-barang yang kena curi semalam.”

“Takkan barang tu pun kena ganti?” tanya Eddie tidak puas hati.

Nur Ain sekadar mengangguk.

“Tak apalah. Nanti Abang Die tanyakan pada Rel. Ingat pesan abang, jangan ikut apa yang Rel suruh kalau perkara itu di luar skop bidang kerja Ain,” pesan Eddie lagi seraya bangun.

“Insya-ALLAH, Ain akan ingat pesan Abang Die.”

“Kalau macam tu, Abang Die mintak diri dulu. Kalau ada apa-apa, beritahu Abang Die.” Suara Eddie seraya bangun daripada duduk.

“Abang Die sayangkan Ain macam adik Abang Die sendiri. Abang Die nak Ain berfikir dulu sebelum buat keputusan. Terutama jika ia melibatkan Rel. Ingat pesan Abang Die ni,” pesan Eddie bernada tegas.

Nur Ain mengangguk perlahan. Pesanan Eddie tersemat kemas dalam kotak fikiran. Matanya menghantar langkah Eddie hingga hilang daripada pandangan mata. Kemudian dia melangkah masuk dan terus menuju ke bilik.



NUR Ain melabuhkan punggung di birai katil. Matanya menatap sapu tangan yang diberi Hazrel semalam. Kenapa hatinya rasa lain tatkala melihat sapu tangan itu? Adakah disebabkan hutangnya pada Hazrel membuatkan dia berperasaan begitu?

Nur Ain membuka laci meja solek yang berada di sisi katil. Tangannya mencapai sebuah kotak kasut dari dalam laci itu dan menatap sayu kotak kasut itu. Lama dia berkeadaan begitu. Kenangan lama menggamitnya ketika ini.

“Ni hadiah yang abang bagi masa birthday aku yang ke 19 tahun,” ujar Nur Ain perlahan.

Sebuah patung beruang sederhana kecil diletak di hadapan mata.

“Comel macam abang,” puji Nur Ain ketawa kecil.

“Dan yang ni hadiah daripada abang masa umur aku 20 tahun,” sambung Nur Ain, girang seraya mengeluarkan sehelai sapu tangan dalam kotak itu.

Tangannya menyentuh lembut tulisan nama yang tersulam di sapu tangan itu.

“Hazrul Hardy,” ucap Nur Ain, lembut.

Matanya mulai berkaca. Sebak dan pilu tatkala melihat sulaman nama itu. Kemudian dikeluarkan sepucuk surat dari dalam kotak itu. Surat terakhir Hazrul buat dirinya. Surat yang menjadi peneman sewaktu dia merindui Hazrul. Dibaca dan diamati askara yang tertulis di dalam kertas itu. 


Abang sayangkan Ain. Abang cintakan Ain. Andai kata abang pergi dulu daripada Ain, ingat pesan abang, janji dengan abang yang Ain akan jadi seorang gadis yang penyabar dan tabah. Jangan salahkan takdir seandainya ALLAH menguji Ain suatu hari nanti.


“Kenapa kata-kata ini jugak yang abang luahkan dan tinggalkan untuk Ain? Kenapa abang tinggalkan Ain?” rintih Nur Ain pula.

Air matanya sudah mengalir membasahi pipi.

“Hanya abang yang bertakhta di hati Ain. Tak mungkin Ain gantikan dengan nama yang lain,” janji Nur Ain seraya berbaring.

“Ain rindukan abang...”



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku