Dulu Benci, Sekarang Suka
Bab 15
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 18 Jun 2013
Benci! Itulah yang Hazrel Hardy rasakan setiap kali bertemu dengan Nur Ain Zafira. Pelbagai rancangan diatur untuk mengenakan gadis itu. Disebabkan perbuatan seseorang, mereka terpaksa bernikah tanpa rela.
Penilaian Purata:
(20 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
13643

Bacaan






“DAH pukul berapa ni Ain, kenapa tak balik lagi?” tanya Humaira, risau.

“Ain ada kerja sikit yang nak disiapkan. Sekejap lagi Ain baliklah, mak su,” jawab Nur Ain. Tangannya masih lincah menaip surat yang diminta Hazrel.

Humaira mengeluh ringan. Dikerling jam di dinding. Masa sudah menginjak ke angka 8.00 malam. Risau di hati hanya ALLAH sahaja yang tahu. Kalau bukan perkhabaran Fauziah, mustahil dia akan mengetahui kelewatan Nur Ain itu.

“Ain nak mak su atau Abang Die ambil Ain kat Cahaya?”

“Tak apalah, mak su. Ain boleh balik naik teksi. Lagipun masih awal lagi.”

“Ain, mak su risau. Siapa lagi yang ada kat ofis Ain tu?”

“Err... Encik Hazrel, mak su.”

“Hazrel?” soal Humaira terjerit kecil.

Hisy mak su aku ni. Sakit telinga aku dibuatnya. Nasib baik tak pekak telinga aku ni, rungut Nur Ain dalam hati.

“Ain tunggu kat ofis. Mak su datang dengan Abang Die ambil Ain kat sana,” pesan Humaira, tegas.

“Tapi...”

“Tak ada tapi-tapi. Ain tunggu sana. Jangan pergi mana-mana. Dalam satu jam, mak su datang dengan Abang Die,” pintas Humaira seraya mematikan talian.

“Hisy, kenapa dengan mak su ni? Dah orang kata tak payah ambil, tak payahlah. Degil betullah mak su ni. Suka sangat menyusahkan Abang Die,” keluh Nur Ain kemudian meletakkan gagang telefon ke tempat asalnya.

“Jom,” ajak Hazrel tiba-tiba.

Terkejut Nur Ain mendengarnya. Diurut kecil dadanya yang berdegup pantas.

“Mari!” arah Hazrel lagi, meninggi.

“Ke mana?” tanya Nur Ain ingin tahu.

“Saya kata mari...marilah. Awak ni degil sangat, kenapa?” marah Hazrel, lantang.

Nur Ain menggaru-garu kepalanya yang bertudung. Wajah Hazrel ditatap sambil berkerut dahi. Ke mana Hazrel ingin membawanya malam-malam begini?

“Masuklah,” arah Hazrel sebaik sahaja enjin kereta dihidupkan.

Nur Ain yang terpinga-pinga terpaksa akur. Dengan sedikit ketakutan dia membuka pintu kereta dan memboloskan diri masuk ke dalamnya.

“Kira bagus aku bagi kau tumpang kereta aku ni. Kalau tak, jangan haraplah. Buat kotor dan busuk aje dalam kereta aku ni,” kutuk Hazrel seraya memecut kereta.

Nur Ain mengetap bibir. Menahan rasa di hati.

“Dah tahu saya ni bawa busuk dalam kereta Encik Hazrel, kenapa suruh saya masuk jugak?” sindir Nur Ain, pedas.

Hazrel mengetap gigi. Menahan kemarahan di hati. Matanya mengerling sekilas ke arah Nur Ain yang sedang membuang pandang ke luar jendela. Sakit telinganya mendengar sindiran Nur Ain itu.

“Eh, Encik Hazrel nak bawa saya ke mana ni?” tanya Nur Ain tatkala menyedari tempat yang dibawa Hazrel itu.

Hazrel hanya membisu. Senyuman sinis terbias di wajah. Dia perlu melaksanakan rancangannya untuk mengenakan Nur Ain sebagai pengajaran buat Eddie. Rasa sakit hati terhadap Eddie masih lagi bersisa.

Nur Ain melangkah keluar daripada perut kereta. Matanya memandang langkah Hazrel yang sedang menuju ke sebuah kelab malam. Seumur hidupnya, belum pernah lagi dia menjejak kaki ke kelab malam. Memikirkan untuk ke tempat itu pun tidak pernah terlintas dek akalnya. Berniat, jauh sama sekali.

“Cepatlah, bodoh! Yang kau tercegat kat situ lagi kenapa? Kau kena ikut arahan aku kalau kau nak telefon bimbit dan hutang kau tu langsai!” tengking Hazrel, meninggi.

Terkejut Nur Ain mendengar tengkingan Hazrel itu. Dalam keterpaksaan, dia membawa langkah menuju ke tempat itu.

“Hah Rel, lambatnya kau sampai? Dah lama aku tunggu kau,” tegur Faizal sedikit meninggi.

Bunyi bingit alunan muzik di dalam kelab malam itu membataskan mereka untuk bersuara perlahan.

“Aku tunggu orang gaji aku. Itu yang lambat,” jawab Hazrel seraya melabuhkan punggung di atas sofa.

Dia mengangkat tangan ke arah pelayan untuk memesan minuman.

“Ain? Maksud kau, Nur Ain ke?” soal Faizal ingin tahu.

“Haahlah. Siapa lagi kalau bukan budak kampung tu,” balas Hazrel mendengus keras.

Faizal mengangguk faham. Matanya menoleh sekilas ke arah Nur Ain yang sedang berdiri berjauhan daripada mereka. Naluri lelakinya berkocak tatkala melihat Nur Ain.

“Kenapa kau tak suruh orang gaji kau tu duduk kat sini? Boleh aku berkenalan dengan dia lagi. Maklumlah siang tadi aku tak sempat nak bertanya lebih kat dia.”

“Suka hati kaulah nak buat apa dengan dia. Aku sengaja bawak dia kat sini. Biar celik sikit mata dia tengok dunia luar. Kolot sangat. Keluar malam pun jarang,” cebik Hazrel, meluat.

Gelas minuman yang baru sahaja diletak pelayan, dicapai dan diteguk rakus air di dalamnya. Matanya menoleh sekilas ke arah Nur Ain yang sedang berdiri terpacak seperti tiang lampu di sebelah pintu masuk. Jelas riak ketakutan pada wajah itu.

“Kalau kau dah bagi green light, aku sambar aje,” seloroh Faizal ketawa.

Hazrel yang mendengar turut sama ketawa. Geli hati mendengar kenyataan Faizal itu. Mana tidaknya, Faizal memang terkenal dengan sikap ‘lelaki buaya’. Semua perempuan mahu disambarnya. Tak kira cantik atau tidak perempuan itu.



MANA Ain, Mai?” tanya Eddie, risau.

“Mai tak jumpa dia, Die. Tak tahu ke mana Ain pergi,” jawab Humaira.

“Mai dah pesan pada dia tak, suruh tunggu kita?”

“Dah. Mai dah pesan tadi suruh tunggu kita datang ambil.”

“Habis tu, mana Ain pergi?” tanya Eddie masih risau.

Humaira tiada jawapan. Risau di hati hanya ALLAH yang tahu.

“Die dah tanya guard tak? Manalah tahu dia nampak Ain ke?”

“Belum lagi. Kejap, Die pergi tanya kat guard tu,” balas Eddie seraya melangkah menuju ke pondok pengawal.

Humaira mengangguk. Matanya menghantar langkah Eddie menuju ke pondok pengawal.

“Ain kat mana ni? Kenapa suka risaukan mak su dan Abang Die,” keluh Humaira sambil bersandar di kereta.

“Macam mana, Die?” tanya Humaira tatkala Eddie menghampiri.

“Pengawal tu kata, dia nampak Ain naik kereta Rel dalam 20 minit tadi.”

“Habis, apa yang kita nak buat, Die? Ke mana Rel bawa Ain? Risau hati Mai ni, Die. Degil betullah Ain ni. Mai dah pesan banyak kali jangan ikut cakap Rel, masih tetap ikut jugak,” ujar Humaira geram.

“Sabar, Mai. Kita call Ain dulu,” pujuk Eddie, lembut.

Handphone Ain hilang sejak bulan lepas lagi. Macam mana nak call dia?”

Berkerut dahi Eddie mendengar penjelasan Humaira itu.

“Apa maksud Mai? Handphone Ain hilang? Die tak faham.”

Handphone Ain hilang sejak bulan lepas lagi. Sebab tulah Die call Ain tak dapat hari tu. Ain kata handphone dia seorang lelaki ni pegang. Lelaki tu janji nak serahkan handphone Ain pada minggu lepas. Tapi sampai sekarang handphone Ain tak dipulangkannya,” terang Humaira.

“Ain ni cuai sangat kenapa? Cuba Mai call handphone Ain. Manalah tahu kan lelaki tu jawab panggilan Mai,” arah Eddie pula.

Humaira mengangguk. Dikeluarkan telefon bimbit dan mendail nombor Nur Ain. Lama dia menanti dan akhirnya dia mengucap syukur kerana panggilannya itu berjawab.

“Siapa ni?” tanya Hazrel, kasar.

Tersentak Humaira mendengarnya. Diserahkan telefon bimbit kepada Eddie.

“Siapa ni?” ulang Hazrel semula, masih kasar.

“Rel, kau ke ni? Hazrel?” tanya Eddie seakan-akan dapat menduga suara di hujung talian.

“Aku Hazrel. Siapa ni?” akui Hazrel.

“Rel, kau ke yang ambil handphone Ain? Mana Ain, Rel?” tanya Eddie, menekan.

“Oh! Kau ke, Die. Kau nak apa?”

“Mana Ain, Rel?”

“Dia ada dengan aku. Kenapa?”

“Apa? Rel, kau kat mana sekarang?”

“Kelab malam,” ujar Hazrel terus mematikan talian.

“Rel! Rel!” panggil Eddie, meninggi.

“Kenapa, Die?”

“Ain ada dengan Rel kat kelab malam.”

“Apa? Ya ALLAH, apa yang Rel nak buat dengan Ain?”

“Die tak tahu apa yang Rel nak buat pada Ain. Die tahu kelab malam mana yang Rel selalu pergi. Jom kita ke sana,” ajak Eddie seraya memboloskan diri masuk ke dalam kereta.

Humaira mengangguk dan akur. Dia turut memboloskan diri masuk ke dalam kereta. Jauh di sudut hati, dia berdoa akan keselamatan Nur Ain.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku