Mr.Hotter Guy
Bab 33
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Jun 2013
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4045

Bacaan






Andrea melangkah masuk ke dalam rumah dengan senyum riangnya. Mulut tak habis mendendangkan lagu cinta yang menjadi siulannya sejak akhir-akhir ini. Datin Shima yang berada di ruang tamu hanya memerhati pelik melihat tingkah anaknya itu. Gaya Andrea seperti dilamun cinta yang maha hebat. Dia mengerut dahi. Sibuk bercinta dengan Luqman Hakimi ke atau pelakon lelaki yang tengah naik itu?. Jenuh dia berteka-teki pula.

“Hai Drea, happy nampak. Dari mana ni?”. Soal Datin Shima pada anaknya yang sudah menghayun langkah untuk ke tingkat atas. Mati langkah Andrea saat ditegur ibunya. Dia pusing tubuh lalu menapak ke arah Datin Shima. Dia rangkul tubuh gempal ibunya lalu diberikan ciuman mesra.

“Drea keluar makan dengan kawan”. Balasnya senyum.

“Kawan?”. Soal Datin Shima pelik. Setahunya Andrea tak ramai kawan. Tapi tak tahulah kalau dia ramai kawan semenjak bergelar pelakon popular ini.

“Hmm…kawanlah. Drea ramai kawanlah mummy”. Andrea cuba membetulkan tanggapan ibunya. Memanglah dulu dia tak ramai kawan. Tapi sekarang kawannya ramai, malah tak terbilang dengan jari. Maklumlah dah bergelar pelakon popular.

“Macamana hubungan Drea dengan Luke? Okey?”. Wajah Andrea yang ceria itu berubah menjadi masam. Malas barangkali hendak mendengar nama manusia hati kering itu. Sekarang, Luqman Hakimi bukan keutamaannya lagi. Tak dapat lelaki itu pun, dia tak kisah. Yang menarik perhatiannya sekarang adalah Ariel Zen. Pasangannya dalam filem ‘Badai Rindu’. Penuh karisma dan pandai menarik perhatiannya.

“ Malaslah nak fikir. Drea dah tak ada hati pada Luke tu. Kalau tak dapat dia pun Drea tak kisah. Yang penting sekarang ni, Drea nak tumpukan pada karier Drea yang tengah naik ni”. Membulat mata Datin Shima apabila mendengar ayat yang keluar dari mulut Andrea. Terkejut. Punahlah harapannya untuk menjadi besan kepada keluarga konglomerat berjaya itu. Sia-sialah dia yang bersusah payah merancang segalanya. Akhirnya ditolak begitu saja oleh Andrea.

“Drea sedar tak apa yang Drea cakap?. Mana boleh Drea nak lupakan begitu saja. Penat, mummy usahakan selama ini. Macam tu je Drea nak lepaskan peluang?”. Marah Datin Shima bertubi-tubi. Andrea hanya tersenyum sinis. Lucu pula melihat reaksi ibunya yang bersungguh-sungguh hendak bermenantukan Luqman Hakimi itu.

“Mom…Drea dah tahulah rahsia Luke tu?”. Balas Andrea bersahaja. Datin Shima tidak keruan. Rahsia apa pulak yang sudah diketahui anaknya ini. Andrea pegang tangan ibunya lalu digosok perlahan-lahan. Seolah-olah cuba hendak menenangkan tingkah Datin Shima yang tidak tentu duduk itu.

“Rahsia apa pulak?”. Datin Shima soal tanda tidak faham. Andrea hanya tersenyum sumbing. Nampak benar ibunya sedang berlakon tidak faham.

“Rahsia Luke? Dia bukan anak kandung Puan Sri Khalida kan? Anak angkat je?. Betul tekaan Drea kan mummy”. Soal Andrea sambil mengangkat kening. Datin Shima terasa degup jantungnya bergerak pantas. Hampir pitam rasanya mendengar tekaan Andrea itu.

“Mengarut apanya Drea? Mana Drea dengar semua ni?”. Sangkal Datin Shima pantas.

“Mummy jangan ingat Drea tak tahu. Drea dengarlah apa yang mummy dan Puan Sri bincang hari tu. Siapa Zaimah, mummy?”. Sengaja Andrea mengungkit nama Zaimah pula. Hendak menguji ditahap mana ibunya dapat berlakon seolah tiada apa yang berlaku. Datin Shima sudah tidak keruan duduk. Berpeluh tangannya kerana cuba mengawal debaran di dada. Kalau rahsia sudah bocor, alamat tak selamatlah perkara yang dirahsiakan selama ini bersama Puan Sri Khalida.

“Semua tu tak benar Drea”.

“Drea tak kisahlah mummy. Tak dapat Luke pun tak apa. Dah terang-terang dia bukan anak kandung Puan Sri Khalida. Entah anak pungut mana yang Puan Sri dah pelihara. Tak naklah Drea dengan manusia tak tahu keturunan tu. Lagipun Drea menyampahlah dengan Luke yang sentiasa bongkak. Ingat dia tu bagus sangat. Rupanya berlagak dengan harta orang lain”. Andrea meluahkan rasa hati. Sebenarnya cinta sudah beralih arah. Dulu memang dia tergilakan Luqman Hakimi sehingga sanggup buat cabaran yang bukan-bukan. Sekarang, rasa cintanya sudah beralih pada Ariel Zen pula. Hendak melepaskan diri dari idea ibu-ibu yang hendak menyatukan mereka, terpaksa dia mengungkit tentang rahsia Luqman Hakimi yang terbocor itu. Moga-moga dapatlah dia meneruskan niatnya itu.

“Mummy tak peduli Drea. Mummy dah janji dengan Puan Sri…siapa pun Luke tu, dia mesti jadi menantu mummy”. Tinggi suara Datin Shima mempertahankan niatnya. Mana mungkin dia lepaskan peluang begitu saja. Sudah lama diidamkan untuk menjadi besan keluarga konglomerat terkenal itu. Soal siapa Luqman, Puan Sri Khalida sendiri dah bagi jaminan. Harta mereka tetap milik Luqman Hakimi, walau sekalipun Zaimah menuntut haknya suatu hari nanti.

Andrea bangun dari sofa yang didudukinya itu. Tangan Datin Shima ditolak kasar. Marah sebenarnya kerana tidak dapat memujuk hati ibunya. Ingatkan bila rahsia Luqman terbocor, senanglah dia dapat lepaskan diri. Tapi apa yang dihajat tidak tercapai, sebaliknya makin terjerat. Dia melangkah pantas menuju ke tingkat atas. Sakit hati bila fikir rancangan tidak berjaya. Apalah yang dikejar oleh ibunya pasal harta keluarga Luqman itu. Dia membantingkan tubuh ke atas katil. Lengan diletakkan di atas kepala. Otak ligat berfikir apa cara hendak lepas dari idea ibu-ibu yang tak sudah hendak menyatukan mereka.

TAN SRI Hisyam meletakkan buku motivasi yang dibacanya di meja kopi yang terletak di sebelah katilnya. Pandangan matanya ditala pada raut wajah sang isteri yang sedang sibuk menyapu losyen di setiap inci tangannya. Wajah Puan Sri Khalida yang serius memanjang itu membuatkan dia tampak tegang dengan keadaan sekelilingnya.

“Saya ada benda nak cakap?”. Terang Tan Sri Hisyam melihat wajah isterinya di bias cermin solek itu. Puan Sri Khalida memusingkan tubuhnya. Sepasang mata hitamnya ditala pada wajah si suami. Dia mengerut kening seolah memikir tentang apa yang hendak dibincangkan suaminya itu.

“Pasal apa?”

“Tentang Luqman”.

“Kenapa?”

“Saya tak izinkan niat awak nak satukan dia dengan Andrea?”.

“Dia mengadu pada awak ke?”. Sinis Puan Sri KHalida menyoal.

“Saya tak nak awak masuk campur urusan hidup dia. Biarlah dia yang tentukan pasangan hidupnya. Awak ni Ida…tak habis-habis nak jadi diktator. Tak cukupkah awak control hidup saya?. Dengan anak sendiri pun awak nak berkira?”. Kali ini lantang sekali suara Tan Sri Hisyam mempertahankan hak Luqman Hakimi. Puan Sri Khalida mencebik. Kenapa baru sekarang nak jadi tukang sibuk?. Dulu tak kisah pun hidup Luqman tunggang terbalik.

“Why not?. Dia anak saya. Memang patut saya masuk campur”. Bidas Puan Sri Khalida bangga.

“Sebab apa yang awak buat ada kena-mengena dengan anak kandung saya?”. Tan Sri Hisyam jegil matanya. Dia tatap lama mata Puan Sri Khalida. Seolah sedang berlawan aura siapa yang lebih kuat antara mereka. Terpana sekejap Puan Sri Khalida. Terkejut melihat keberanian si suami sejak akhir-akhir ini.

“Anak kandung? Maksud awak?”.

“Saya dah tahu siapa anak saya dengan Zaimah. Malah saya dah jumpa dengannya”. Jawab Tan Sri Hisyam dengan wajah ceria. Terlopong si isteri mendengar kata-kata si suami.

“Apa yang awak merepek? Tak akan kesan kemalangan hari tu, otak awak dah biul?”. Berani betul mulut celupar si isteri menghina si suami. Berdesing telinga Tan Sri Hisyam mendengar si isteri mengatakan dia biul. Terbangun dia dari katil yang dibaringi itu. Kali ini dia sudah menapak ke arah isteri yang dinikahi hampir 30 tahun itu.

“Awak ni memang dah melampau. Mulut celupar. Selama ni saya biarkan awak buat sesuka hati. Sekarang jangan harap.” Tan Sri Hisyam sudah menunding jari telunjuk ke batang hidung Puan Sri Khalida. Tergamam wanita itu. Tertelan air liur. Terkejut melihat reaksi suami yang semakin berani seperti seekor singa yang hendak melahap bila-bila masa. Nampaknya si tikus sudah berubah menjadi seekor singa jantan. Telah Puan Sri Khalida dalam hati.

“Woo…si tikus dah bertukar menjadi singa jantan. Tak payah berlakon beranilah. Kalau dah dasar tikus, selamanya tikus”. Tempelak Puan Sri Khalida berani. Mendidih darah Tan Sri Hisyam mendengar gelaran yang diberikan si isteri. Merudum rasanya maruah diri digelar isteri sebegitu. Tangan yang terasa ringan sudah diangkat tinggi, tunggu masa saja hendak singgah di pipi milik si isteri. Namun disabarkan hati, mengucap panjang dia apabila tersedar diri sudah dikuasai nafsu syaitan.

“Apasal tak tampar? Tak berani?”. Sengaja Puan Sri Khalida mencabar. Tan Sri Hisyam meraup mukanya. Dia pandang wajah Puan Sri Khalida. Sebak rasa hati. Kenapa isteri yang ini terlalu bongkak. Tidak tahu hadnya sebagai seorang isteri. Beza benar dengan Zaimah, isteri kedua yang dinikahi tak sampai 4 tahun itu. Bahagia yang dikecap hanya sementara. Semuanya gara-gara rancangan Puan Sri Khalida yang membuatkan dia sangka isteri kedua sudah tiada. Sudah lama mati.

“Kenapa awak macam ni Ida?. Salah saya ke kerana menduakan awak?”. Soal Tan Sri Hisyam sebak. Dia menarik nafas panjang. Sudah tiada daya hendak melembutkan hati si isteri yang berpuluh tahun hidup bersama.

“Memang salah. Cuba awak bagi tahu…ada tak dalam dunia ni isteri yang bahagia, redha kalau suami nak bernikah lain. Ada?”. Soal Puan Sri Khalida dengan mata terbeliak geram.

“Awak yang mencabar saya, awak lupa? Awak hina saya?. Kata saya mandul. Bila saya dah buktikan saya bukan mandul. Awak nak salahkan saya pulak!”.

“Argh…lelaki mana ada yang nak kalah kalau masuk bab poligami?. Memang saya akui itu salah saya. Tapi saya tak sangka pula yang awak kotakan apa yang saya kata. Awak ni memang dasar lelaki tak tahu bersyukur. Siapa yang kutip awak dari taraf peon sampai dah jadi Chairman? Siapa?. Kalau tak bapak saya. Awak jangan lupa semua tu, Hisyam!”. Kali ini Puan Sri Khalida mengungkit jasa yang telah ditabur pula. Sakit hati memikirkan perkara yang berlaku dulu. Kalau tak sebab kekasih lamanya lari macam tu je pada saat pernikahan mereka, tak mungkin dia akan menjerut rasa menikahi lelaki yang sudah menjadi suaminya kini. Memang low class. Entah di mana istimewanya peon ini yang dipilih bapa sebagai pengganti bakal suaminya itu.

“Awak jangan bangga sangat dengan semua harta kekayaan ini. Memang saya mengaku menikahi awak kerana tawaran dari bapak awak tu. Tapi saya yang membangunkan syarikat awak yang hampir muflis. Awak jangan lupa?. Semua syer saham syarikat ni saya beli dari bapak awak dengan usaha saya. Syer yang awak dapat tu pun ihsan dari saya tahu?!!!. Jangan nak berbangga sangat dengan harta bapak awak tu”. Pedas kata balas yang ditujah oleh Tan Sri Hisyam buat si isteri yang sedia bongkak itu. Terdiam sekejap Puan Sri Khalida. Sudah tiada idea hendak mematahkan hujah yang dikeluarkan suaminya itu. Memang benarlah…Tan Sri Hisyam sudah menunjukkan taring dan kuku yang selama ini disimpan lama. Suaminya kini bukan lagi suami yang patuh pada setiap bicara dan arahannya. Suaminya kini sudah berani hanya kerana munculnya Zaimah semula dalam hidup mereka. Dia mengebam bibir. Kemudian melangkah ke arah katil. Dibaringkan tubuh dan diselimut sehingga ke paras dada. Malas hendak bertekak lagi, lebih baik tidur. Desisnya pula.

“Ingat Ida. Saya tak izinkan awak masuk campur urusan teman hidup Luqman. Biar dia buat pilihan sendiri. Kalau awak ingkar, syer saham syarikat saya tarik balik. Dan jangan harap awak nak bergembira sakan dengan harta saya. Bila-bila masa saja title awak tu saya boleh pindahkan pada Zaimah.” Berdesing telinga dirasakan dan membulat matanya bila mendengar suara tegas suaminya itu. Dia bangun dari perbaringan. Dia tatap wajah suami yang serius memandangnya. Dia mendengus. Huh…sudah melampau benar ugutan yang keluar dari mulut Tan Sri Hisyam.

“Ingat…saya serius. Bukan main-main”. Tegas sekali suara Tan Sri Hisyam menguatkan amarannya lagi. Puan Sri Khalida telan liur. Sakit hati dan sakit kepala memikirkan janjinya pada Datin Shima. Kalau tak ditunaikan janji, takut pula rahsia yang disimpan berpuluh tahun itu bakal dibocorkan oleh Datin Shima. Dia bukan tak tahu niat sahabat baiknya itu. Dalam baiknya ada juga buruknya.

Dia tarik bantal dan kain selimut. Kemudian melangkah keluar dari bilik dengan muka yang mencuka.

“Hah…nak kemana pulak tu?”

“Tidur bilik tetamu. Malas nak bertekak dengan awak”. Putus Puan Sri Khalida tanpa melihat wajah suaminya itu. Sudah meluat barangkali. Tan Sri Hisyam hanya mengangkat kening. Terbit sejalur senyuman di bibirnya. Hah…baru kali ini dia rasa kemenangan. Puan Sri Khalida yang bongkak itu boleh pulak merajuk tidur di bilik lain.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku