Mr.Hotter Guy
Bab 34
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Jun 2013
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4225

Bacaan






Bab 34

Kami melangkah masuk ke Restoran Seri Inas yang menyediakan masakan Negeri Sembilan itu. Terkejut juga aku dibuatnya saat kaki melangkah masuk. Ingatkan selepas urusan perbincangan dengan wakil dari Menara Holding itu selesai, Tan Sri Hisyam hendak balik semula ke pejabat. Tapi lain pula lencongan yang dibuat sehingga kami masuk ke restoran ini.

“Nurin tak kisah, saya belanja makan kat sini?”. Soalnya tatkala punggung aku singgah di kerusi kayu yang disediakan di Restoran Seri Inas ini. Pantas aku menggeleng. Gila apa menolak rezeki yang dikurniakan ALLAH. Untung aku hari ini kerana save budget tak perlu keluar duit untuk makan tengahari.

“Tak…syukur saya Tan Sri nak belanja makan”. Ucapku sekadar berbasi-basa. Dia tersenyum. Manis senyumannya itu walau muka sudah berkedut dengan garis tua. Agaknya masa muda dulu tentu hensem betul Tan Sri Hisyam ini. Sempat lagi aku bermonolog dalam hati.

“Saya suka makan kat sini. Masak lemak cili apinya buat saya menjilat jari sampai ke siku”. Katanya berlelucon. Aku tergelak. Memang betullah kata-kata staf pejabat. Tan Sri Hisyam ini memang humble orangnya. Tempat makan pun tak perlu berkelas bagai macam anaknya si miang itu. Asal makan di luar mesti menu utamanya makanan Barat. Kadang naik jelak pula dibuatnya. Apalah istimewanya jika nak dibandingkan dengan makanan kita sendiri. Lengkap dengan rencah dan rasa tersendiri. Dalam hati aku membandingkan pula karektor dua beranak ini.

“Nurin pergi ambil makanan dulu. Ambik banyak-banyak pun tak apa. Saya belanja.”.

“Hish…nanti tak habis pula saya makan. Orang tamak selalu rugi Tan Sri”. Balasku pula.

“Tak apa. Kesian pula saya tengok SU saya kurus tak cukup makan. Selama ni SU saya semua besar-besar terlebih makan. Apa salahnya labur sikit untuk SU kurus ni”. Dia ketawa lagi. Aku tersenyum. Hmm…betullah tu perbandingan yang dibuat Tan Sri Hisyam kerana Cik Jamilah SU sebelum ini memang tembam orangnya nak banding aku yang kecil molek cekeding ini.

“Saya ambil makanan dulu ya”. Aku minta izin. Dia membalas dengan anggukan. Langkah kaki aku atur perlahan ke arah deretan lauk-pauk yang disusun sehingga penuh meja panjang berukuran 10 meter itu. Meleleh air liur melihat hidangan yang berbagai-bagai itu. Naik rambang mata tak tahu hendak memilih yang mana satu. Akhirnya aku putuskan untuk mengambil semangkuk masak lemak cili api ayam salai bersama ulam-ulaman. Cukuplah buat alas perut aku tengahari ini.

“Nurin masih ada ibu?”. Usai kami makan satu pertanyaan dari Tan Sri Hisyam buat aku tersentak. Kenapa soalan ini pula yang dibangkitkan pada kali pertama kami keluar bersama?. Aku hanya mengangguk laju, tiada penafian kerana aku masih mempunyai seorang ibu.

“Ayahnya masih ada?”. Masuk soalan kedua aku sudah rimas. Kenapa Tan Sri Hisyam ini seolah hendak selidik hal keluarga aku pula?. Banyak betul persoalan yang bermain di minda kala ini. Untuk soalan ini aku tidak mengangguk dan tidak juga menggeleng. Aku hanya diam tidak menjawab.

“Boleh kita pergi Tan Sri?. Makan pun dah kenyang ni”. Aku tukar topik perbualan. Mahu cepat beredar dan mahu lari daripada soalan-soalan cepu emas yang ditanya Tan Sri Hisyam. Dia mengangguk lemah. Mungkin kecewa kerana aku tidak menjawab soalan keduanya.

SAKIT matanya melihat aksi mesra bos dan setiausaha yang baru melangkah masuk ke dalam perut lif. Penuh dengan gelak ketawa. Wajah Nurin juga tampak ceria di samping Chairman Berjaya Corporation itu.

‘Hai…tak akan citarasa cik adik sayang tu pada orang tua. Aku yang muda hensem ini liat betul nak dilayan, yang tua kerepot itu pula dipandang. Tapi tua-tua banyak harta. Mana lagi kaya antara CEO dengan Chairman?.’ Soalnya berteka-teki dalam hati.

‘Tak boleh jadi, lama-lama dibiar kang, berbakal mak tiri muda pulak aku ni.’ Entah kenapa terbit rasa cemburu dalam hatinya. Kalau diikutkan cik adik sayang tidak termasuk dalam senarai hatinya kerana tidak sekufu. Tapi mulut kata lain hati jawab lain.

“Nak kena warning nampaknya cik adik sayang”. Dia tarik nafas. Bercakap pada diri sendiri. Kalau berkaitan dengan cik adik sayang, cepat saja hatinya jadi panas.

AKU masih meneliti beberapa fail yang diberikan oleh Tan Sri Hisyam tadi untuk disemak sebelum fail itu aku serahkan ke bilik fail. Ralit aku menyemak sehinggalah aku merasakan ada bayang yang berdiri di sebelahku. Segera aku angkat kepala melihat siapa gerangannya milik bayangan itu. Spontan aku menelan liur, bila wajah itu memandangku dengan sengihan yang melebar.

“Ada apa yang boleh saya tolong?. Nak jumpa dengan Chairman ke?”. Soalku formal. Dia tidak membalas. Sebaliknya dia menilikku atas bawah. Naik seram dengan sorotan matanya yang menyinggah ke batang tubuhku ini.

“Sayangkan!”. Perkataan pertama yang keluar dari celahan bibirnya buat aku mengerut dahi. Apa yang sayang?.

“Sayang wajah cantik, muda belia tapi tergilakan lelaki tua hanya kerana harta?”. Isy…tak faham betul bahasa mengarut yang digunakan itu. Siapa yang tergilakan lelaki tua berharta ni?. Buat aku pening saja fikir kata-kata dari dia. Sudahlah pening menyemak fail, sekarang tambah pening lagi dengan kata-kata teka teki dari dia.

“Apa lagi yang Encik Luke tak puas hati?”. Aku soal dia semula.

“Memang saya tak puas hati.” Dia sudah meninggi suara.

“Sungguh tak disangka Cik Nurin Kamila gilakan harta. Lelaki tua pun hadap asal harta berkepuk-kepuk. Apa saya tak cukup berharta ke sampai Chairman yang tua tu pun awak hadap?”. Dengar saja tuduhan melulu dari dia buat hatiku menjadi panas. Kenapalah mamat ini suka sangat mencari pasal denganku?. Apalagi yang dia tak puas hati agaknya. Sampai menuduh aku berskandal dengan Chairman Berjaya Corporations. Tak lain tak bukan, bapanya juga.

“Cetek betul pemikiran Encik Luke. Apa bukti yang saya gilakan Chairman?. Encik Luke tak boleh menuduh yang bukan-bukan”. Selar aku, turut tinggikan suara. Dia ni memang melampau. Sesedap mulut menuduh yang bukan-bukan. Busy body macam perempuan.

“Dengan kau, aku tak perlu bukti. Bermesra bagai siap gelak sakan lagi. Aku peliklah…bukan main lagi ya kau layan lelaki tua tu. Ingat…lelaki tua tu bapak aku. Jangan harap aku biarkan kau jadi madu mak aku”. Laharnya bertubi-tubi. Aku sudah mengangkat kening. Penat sungguh mendengar tohmahan dari mr. hottest guy ini. Ishy…tak penat ke mamat ni buat tuduhan melulu. Entah kenapa, ada saja yang tak kena aku pada matanya.

“Ikut suka Encik Luke lah nak kata apa. Malas saya nak layan”. Balasku bersahaja sambil meneruskan kerja yang terbengkalai. Dia tarik fail di depan mataku menyebabkan beberapa dokumen dalam fail habis bertaburan di lantai. Sakitnya jiwa melihat gelagatnya yang mengganggu kerjaku. Nak saja aku beri satu tempeleng maut di pipinya. Biar bisu seumur hidup. Jadi tak dapatlah dia nak melahar aku sesedap rasa. Dia senyum lihat aku yang bertungkus lumus mengutip setiap helaian dokumen yang berterabur di lantai. Satu hal pulak nak menyusun dokumen yang bertaburan itu. Sudahlah baru separuh saja fail yang aku semak. Sekarang kena buat kerja susun dokumen pula. Dia ni betul-betul menyusahkan aku. Hati mula rasa panas.

“Macam nilah…sebelum saya adu perlakuan buruk Encik Luke masa kat Penang tu pada Tan Sri. Apakata Encik Luke blah dari sini. Ya tak ya pun, mesti Tan Sri akan percaya cakap saya. maklumlah…sayakan bakal isteri muda Tan Sri merangkap madu Puan Sri KHalida. Betul tak?”. Aku angkat kening berkali-kali seolah memerli setiap tohmahan yang dilemparkan padaku tadi. Encik Luqman mengecilkan matanya. Radang barangkali dengan jawapan balas dariku. Huh…jangan ingat aku akan berlembut dengannya lagi. Lelaki ini memang tak guna berlembut. Penuh dengan egois dan sombong bodoh. Bongkak barangkali dengan harta kekayaan yang merupakan pinjaman dari ALLAH semata. Kali ini aku pula yang membuat tohmahan padanya. Sakit hati punya pasal, tak pasal aku membuat dosa percuma.

Dia melangkah pergi dengan perasaan tak puas hati. Jalan juga idea aku untuk takutkan dia dengan ugutan apa yang berlaku di Penang tempohari. Walau aku tak mahu mengingatkan peristiwa hitam itu, tapi demi untuk menyelamatkan diri dari terus-terusan diganggu dia, berguna juga helah bela diri itu.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku