Mr.Hotter Guy
Bab 42
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Jun 2013
Penilaian Purata:
(11 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
31532

Bacaan






Bab 42

Luqman Hakimi seolah tidak sabar hendak masuk ke dalam rumah. Setelah memarkirkan superbike miliknya di tempat yang disediakan, segera dia berlari masuk ke dalam rumah. Topi fullface yang tersarung di kepala, ditanggalkan dan dicampak sahaja di atas sofa ruang tamu. Kaki terus melangkah mendaki anak tangga. Mulut sudah berkali-kali memanggil ibunya.

“Mama…where are you?”. Jeritnya lantang.

Namun kelibat Puan Sri Khalida tidak juga dia nampak. Hendak bertanya pada bibik, rasanya tidak patut sangat kerana hari sudah lewat benar. Mungkin sekarang bibik itu sudah berlayar mimpi balik Indonesia barangkali. Dia menapak lagi hendak ke bilik ibunya. Namun langkahnya terhenti apabila mendengar suara esakan ibunya sedang menangis berserta sumpah seranah memarahi seseorang.

Segera dia menolak daun pintu yang sudah renggang itu. Terlihat Puan Sri Khalida sedang menangis sambil meramas beberapa keping gambar di tangannya.

“Kenapa mama?”. Soal Luqman Hakimi terkejut. Puan Sri Khalida diam sambil mengesat air mata. Gambar itu digenggam kemas lalu melangkah keluar menuju ke biliknya. Luqman Hakimi yang memerhati tingkahnya, dibiarkan saja keliru di muka pintu.

“Kenapa mama?”. Ulang Luqman Hakimi lagi.

“Jangan soal. Please, mama nak berehat. Jangan ganggu mama”. Arah Puan Sri Khalida masuk ke biliknya. Luqman Hakimi hanya melongo. Tak tahu hendak cakap apa lagi.

Tiba-tiba dia seperti tersedar sesuatu. Bukankah dia terkocoh-kocoh tadi kerana hendak bertanya sesuatu mengenai dirinya. Ah…dia ketuk dahi kerana terlupa. Mulut bergerak hendak memanggil ibunya. Namun dibatalkan niat kerana bimbang melihat keadaan Puan Sri Khalida yang monyok. Dia kembali menarik daun pintu hendak menutup pintu bilik bacaan itu, tapi tingkahnya mati saat mata tertancap pada sekeping gambar yang renyuk di kaki meja setinggi paras pinggang itu. Dia ambil gambar itu, lalu dilurut supaya menjadi rata. Debar jantungnyamenjadi kuat apabila terlihat gambar Nurin sedang berbual mesra dengan seorang wanita sebaya ibunya.

Siapa?.

Dan kenapa ibunya menangis disusuli sumpah seranah melihat beberapa keping gambar tadi. Pecah kepala dirasakan kerana terlalu misteri memikirkan kemelut yang melanda keluarganya ini.

AKU pandang Shira dengan mata berkaca. Sedih dan sakit hati bercampur baur dalam hatiku ini. Ingatkan setelah bertukar posisi kerja ke pejabat Chairman segalanya menjadi tenang. Tapi bukan tenang yang kudapat tapi bertambah kusut yang kudakap.

“Dah..Nurin…Sabar”. Ucap Shira sambil peluk tubuhku. Aku cuba senyum untuk usir rasa sedih. Tapi tak jadi. Emosi saat ini amat buruk sekali. Aku kesat airmata yang tumpah berkali-kali.

“Kenapa Shira?. Aku pun nak bahagia macam orang lain juga?”.

“Jangan persoalkan apa yang Allah tentukan dalam hidup kita, Nurin!”. Lembut Shira pujuk aku.

“Pasti ada hikmahnya. Cuma sekarang ni, mungkin kau tak nampak hikmah itu”. Tambah Shira lagi. Aku diam tidak membalas. Ada hikmahnya?. Sabar!. Itu saja perkataan-perkataan yang kerap aku motivasikan buat cik hati yang semakin lembik ini.

‘Ingin kubuang dia jauh-jauh dari ingatan dan hatiku. Tapi kenapa dia juga yang datang bertandang saat hati hendak kuserahkan pada cik tunang tersayang’. Monologku dalam hati.

“Ingat Nurin, jangan biarkan syaitan bolak balikkan hati kau. Tak lama lagi kau bakal jadi cik puan. Jangan biar emosi kacau hidup kau. Ingat tu!. Anggap saja si hotter guy tu syaitan nak melemahkan niat kau”. Amaran Shira buat aku segera menggangguk. Setuju dengan kata amarannya itu.

“Okay Shira. Aku ingat pesanan kau tu. I’m fine”. Kataku tenang sambil mengesat air mata.

“Sekarang ni aku rasa, lebih elok kalau kau tidur. Lepas tu bangun dinihari buat solat tahajud. Itu lebih afdal. Adukan saja masalah kau pada ALLAH. Dia maha mendengar dan maha penyayang”. Usul Shira untuk meleraikan kekusutan yang melanda hidupku sejak akhir-akhir ini. Aku angguk lagi setuju dengan saranan Shira itu.

Aku masuk ke bilik untuk setelah selesai membersihkan diri. Tubuh sudah kubaringkan di katil. Mata sudah hampir kupejamkan untuk segera tidur. Jam loceng yang berada di hujung kepala sudah siap aku kunci waktunya untuk aku bangun pagi nanti. Tapi bunyi mesej masuk ke Nokia murahku buat aku segera buka mata.

“Isy… tak faham bahasa betullah lelaki ni!”. Bebel aku sebelum mata melihat di skrin siapa si penghantar mesej itu. Terkejut aku melihat ada 3 panggilan tidak dijawab. Yang pasti bukan mamat tak faham bahasa yang telefon aku tadi. Tak pasal aku buat dosa kering menuduh orang tanpa usul periksa.

‘Saya bercuti. Tak pasti berapa lama. Semua urusan yang belum selesai, Luqman handle. Please refer dia untuk sebarang urusan’. Satu mesej ringkas tapi padat dari Tan Sri Abdullah Hisyam buat aku termanggu. Ujian apakah lagi?. Makin aku elak, makin aku dekat dengan dia. Banyak urusan yang perlu aku bereskan sebelum aku mula bercuti. Makin serabut jadinya untuk berurusan dengan si Lelaki Panas itu.

PUAN Shima sudah hilang fokus untuk melihat telenovela di siaran Bella itu. Jam sudah menginjak ke angka 1 pagi. Bayang Andrea masih belum kelihatan. Risau pulak memikirkan kemana anak daranya itu membawa diri untuk bertenang. Hendak menelefon hanya sia-sia kerana telefon bimbit milik Andrea sudah berkecai gara-gara menjadi mangsa amukan anak daranya itu.

Dalam hati sudah dipanjatkan beribu-ribu doa supaya Andrea selamat hendaknya. Hanya tawakal dan berserah sajalah dipahat dalam hatinya ini. Segera dia menekan butang merah pada alat kawalan tv dan astro. Sudah hilang selera hendak mengikuti kesudahan episod seterusnya drama latin itu. Baru melangkah beberapa tapak, telefon rumah berdering tiba-tiba. Puan Shima mengorak senyum. Barangkali Andrea yang menelefon itu. Hilang sekejap perasaan risau yang bertandang tadi.

“Shima…” Suara yang kedengaran sebak itu bukan milik Andrea. Puan Shima mengeluh kembali. Sudah pukul 1 pagi pun teman karibnya itu masih mengganggu. Ada masalah apa lagi. Rengusnya dalam hati. Tapi disabarkan hati. Nak tak nak kena juga ambil hati bakal besannya itu.

“Kenapa Puan Sri?. Kenapa yang sedih ni?”. Pura-pura dia bertanya, sekadar ambil berat.

“Zaimah masih hidup…masih hidup”. Kata-kata itu buat Puan Shima membuntang matanya.

‘Ah…kena sampuk agaknya’. Monolognya. Tidak percaya Puan Sri Khalida mengungkit kembali nama orang yang telah mati. Barangkali Puan Sri Khalida mengigau. Maklumlah sudah pukul 1 pagi.

“Apa semua ni, Puan Sri?. Mana mungkin orang yang mati hidup semula”. Sangkalnya sungguh-sungguh.

“Aku bukan butalah, Shima. Aku ada bukti. Kalau tak percaya, sekarang jugak aku pergi rumah kau dengan bukti sekali”. Tegas nada suara di hujung sana. Tertelan liur Puan Shima dibuatnya. Gaya dan nada Puan Sri Khalida, teman karibnya itu bukan dibuat-buat. Kedengaran amat serius sekali. Namun dia cuba memujuk. Gila apa kalau dia menggiat temannya itu. Tak pasal diapulak yang tak tidur kerana sibuk melayan kerenah Puan Sri Khalida yang macam-macam itu.

“Macam nilah…Puan Sri bertenang dulu. Tidur. Lupakan dulu soal Zaimah. Esok Puan Sri datang sini. Kita bincang puas-puas. Okey?”. Saran Puan Shima. Sebenarnya lebih kepada hendak melepaskan diri. Penat, kalau Puan Sri Khalida berkeras hendak datang juga dinihari ini. Dia pula yang bakal diserang migraine gara-gara melayan sikap Puan Sri Khalida yang cerewet 24 jam itu.

Suara di hujung talian tidak kedengaran lagi. Hanya helaan nafas saja yang tinggal. Kemudian talian dimatikan. Puan Shima jungkit bahu. Kemudian menghela nafas lega. Agaknya Puan Sri Khalida menerima saranannya itu barangkali. Telahnya pula.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku