Mr.Hotter Guy
Bab 15
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Jun 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
4135

Bacaan






Bab 15

“Zaimah…maafkan abang. Jangan tinggalkan abang”. Tan Sri Hisyam sedang meracau menyebut nama Zaimah. Berulang kali dia mengulang ayat yang sama. Puan Sri Khalida yang sibuk membaca majalah MIDI itu tersentak pembacaannya kerana terkejut mendengar nama Zaimah di sebut si suami.

“You…you…bangun!. Apahal pulak yang meracau-racau menyebut nama perempuan tu?”. Suara Puan Sri Khalida sudah meninggi. Sakit hatinya kerana nama itu juga yang disebut si suami. Sudahlah seharian dia menjadi penunggu di sisi Tan Sri Hisyam. Banyak masa terbuang menemani si tua yang tidak tahu dek untung ini. Banyak masa untuk berlibur dengan teman-teman di kelab terbazir begitu saja gara-gara menjadi penunggu di hospital ini. Alih-alih nama Zaimah juga yang meniti di bibir Tan Sri Hisyam.

Perlahan-lahan Tan Sri Hisyam membuka kelopak matanya. Terpandang wajah Puan Sri Khalida yang menyinga itu. Tiada langsung sekelumit senyuman buat si suami yang terbaring kesakitan itu.

“Kalau I tahu perempuan tu juga yang you ingat. Tak ingin I nak temankan you”. Dia merengus. Tan Sri Hisyam hanya melongo. Sedar diri sudah keterlaluan menyebut nama Zaimah. Namun dia bukan sengaja. Semuanya berlaku di bawah minda sedar. Tidak dapat dikawal dengan akal.

“Zaimah tu dah lama masuk lubang kubur. Kenapa dia juga yang awak ingat. Apa kurangnya I pada you, Hisyam?”. Tanpa peduli si suami yang masih terbaring lemah. Puan Sri Khalida sudah memuntahkan amarahnya. Sudah lama dia bersabar. Sudah berpuluh tahun dia menyulam derita.

Tan Sri Hisyam terdiam. Tiada daya untuk berbalas kata dengan isterinya itu. Bukan sengaja dia mahu melukakan hati Puan Sri Khalida. Tiba-tiba sahaja ingatannya terimbas pada Zaimah isteri keduanya itu.

“Tak ada gunanya I jadi penunggu di sini. Kalau dia juga yang you ingat. Serulah nama dia puas-puas. Biar dia bangun dari lubang kubur tu”. Puan Sri Khalida sudah berang. Dia mengambil tas tangan yang terletak di meja kopi. Dia menghayun langkah untuk segera keluar dari bilik yang dihuni sang suami itu. Dihempas pintu sekuat hati tanda marah yang bukan dibuat-buat. Tan Sri Hisyam hanya memandang beku. Diri benar-benar rasa bersalah kerana tanpa sengaja dia telah melukakan hati Puan Sri Khalida.

“SAKIT hati I tau tak?. Sehari suntuk I temankan dia. Alih-alih bila sedar nama Zaimah juga yang disebut”. Puan Sri Khalida menyampaikan rasa tak puas hati pada Datin Shima kawan baiknya itu. Kemudian dia meneguk fresh orange yang sedia terhidang di depan mata.

“Sabar Ida!”.

“Huh…sabar…sabar. Apa lagi yang kurangnya I?. Perempuan tu dah lama mati pun diingat-ingat lagi”.

Datin Shima tidak terkata. Dia mengenggam tangan Puan Sri Khalida supaya bersabar.

“Kalau tak pasal Luke. Dah lama I minta cerai”.

“Hish…you ni!...Ke situ pulak. Dah bertahun-tahun bersabar. Boleh pula sekarang ni you nak bercerai berai”. Datin Shima sudah menempelak.

“I tahulah dia kahwin dengan Zaimah dulu pasal nak buktikan yang dia tu tak mandul. I sedar tu. Memang salah I kerana selalu cabar dia. Tak sangka pula dia pilih si Zaimah tea lady yang low class tu buat madu I. Hish…bila ingat hal-hal lama. Memang I sakit hati”.

“Sabar Ida. Itulah I pun tak sangka Hisyam boleh duakan you. Elok-elok you dah ambik Luke sebagai anak angkat. Dia pasang cawangan lain pulak. Ingatkan dia bersyukur je bila dah ada Luke”.

“I pasti si Zaimah tu yang goda laki I. Berangan nak hidup senang. Dia ingat boleh kalahkan I macam tu je. Terimalah habuan. Tak pasal masuk lubang kubur”. Datin Shima tidak terkata. Dia hanya memandang sepi wajah Puan Sri Khalida yang masih berang itu. Dalam hati dia hanya mengucap syukur. Mujur bukan dia yang berada di tempat Puan Sri Khalida. Sudahlah mandul, suami pula buka cawangan baru dengan staf pejabat. Dah 2 tahun berkahwin baru rahsia terbongkar. Kalau dia di tempat Puan Sri Khalida pun memang dia makan hati.

“Hmm…Luke tahu yang selama ni dia cuma anak angkat?”. Soal Datin Shima setelah lama dia membisu. Puan Sri Khalida berhenti dari meneguk fresh orange. Dia pandang wajah teman baiknya itu. Kemudian dia menggeleng.

“Sampai sekarang kami rahsiakan perkara tu. Sebab tu Luke berbinkan Abdullah Hisyam, walaupun nama Hisyam tak ada Abdullah. Sengaja I letak macam tu. I tak nak Luke kecil hati. Sampai mati pun Luke tu tetap I anggap anak kandung kami, walau bukan I beranakkan dan susukan dia”. Balas Puan Sri Khalida sedikit sebak.

Datin Shima menarik nafas kelegaan. Nampaknya harta kawan baiknya itu tak akan kemana. Jadi milik Luqman Hakimi juga. Tan Sri Hisyam mana ada anak lain lagi. Dengan Zaimah, tak sempat anaknya nak lihat dunia. Meninggal bersama-sama Zaimah. Jauh di sudut hati, Datin Shima amat berharap dan pastikan Luqman Hakimi itu bakal menantunya. Budi harus dibalas.

“I harap you kotakan janji. I nak Luke jadi menantu I”.

“I janji. Lagipun I tak akan lupakan budi you. Kalau tak kerana idea you dan susah payah you bersama I. Tak mungkin jasad Zaimah dalam kubur sekarang ni”.

ZAIMAH hanya memerhati tubuh tua ayahnya sedang menabur biji jagung buat santapan sekawan ayam dan itik di dalam reban yang dikelilingi pagar jala itu. Tunak matanya memaku pada tubuh tua ayahnya namun fikirannya melayang entah ke mana. Sesekali dia mengeluh. Kemudian dia menarik nafas semula.

Pak Yunus yang sibuk memberi makan ayam itik, terhenti sekejap kerjanya apabila mendengar anak perempuan kesayangannya itu mengeluh. Kemudian dia mengorak langkah menuju ke arah Zaimah yang duduk bersimpuh di pangkin bawah pokok rambutan gading itu.

“Pasai apa Mah?. Semenjak balik dari Kolumpo…ayah tengok hang tak ceria. Ada yang tak kena ka?”. Soal Pak Yunus lalu duduk bersila di sebelah Zaimah. Air kopi yang terhidang di dalam cawan itu diteguk perlahan.

“Ayah tau, Mah jumpa sapa kat Kolumpu nun?”. Balas Zaimah sedikit kusut. Pak Yunus hanya menggeleng. Kemudian dia mengambil pula cekodok pisang lalu disuap ke dalam mulut.

“Mah jumpa Hisyam ayah”. Terkejut Pak Yunus. Terbatuk-batuk lelaki tua itu kerana tersedak cekodok yang dimakan.

“Habis tu, dia nampak hang?”.

“Mah…takpastilah ayah. Masa tu Mah tengah tunggu teksi. Mak terperasan ada lelaki turun dari kereta mewah di seberang jalan, terjerit-jerit panggil nama Mah. Terus Mah lari dari dia, ayah.”

“Mah…mah…sampai bila nak lari dari kenyataan?. Lambat laun Hisyam tahu juga yang kau masih hidup”. Balas Pak Yunus perlahan.

“Biarlah ayah. Biarlah Abang Hisyam fikir saya dah mati. Saya tak sanggup nak bersemuka dengannya. Dengan apa yang dah kita lalui Mah jadi takut, ayah”. Ucap Zaimah seraya mengelap air mata yang sudah luruh dengan hujung lengan baju kurung Kedah.

“Mah…sampai masa kita tak boleh nak sembunyikan keadaan. Kelak, kalau Nurin nak bernikah, kita kena cari siapa walinya. Sampai bila kita nak rahsiakan hal Hisyam pada Nurin?”.

“Ayah boleh jadi walinya. Tak perlu Hisyam”.

“Kalau pun ayah jadi walinya. Hisyam patut tahu yang dia ada anak. Nurin patut tahu yang dia ada ayah”. Pak Yunus bernada tegas.

Sudah berpuluh tahun mereka hidup menumpang di bumi Kedah ini. Selepas peritiwa kebakaran rumah mereka di Selangor atas perbuatan khianat Khalida. Pak Yunus dan Zaimah terpaksa melarikan diri ke Kedah. Tak sesiapa pun tahu yang mereka terselamat dalam kebakaran itu. Mujurlah dengan wang pencen askar milik Pak Yunus mereka dapat membeli tanah dan membuka lembaran baru di tempat orang.

“Mah…tak nak fikir semua tu.” Zaimah sudah bangun dari tempat duduknya. Dia mengambil bekas makanan yang berisi jagung itu. Kemudian dia mengambil alih tempat ayahnya pula memberi ayam itik makan. Pak Yunus tidak terkata. Dia hanya menggeleng sahaja melihat tingkah anaknya itu. Sudah 25 tahun masa berlalu. Hidup Zaimah disia-siakan begitu sahaja kerana seorang lelaki bernama Hisyam. Di gantung tak bertali. Semuanya gara-gara dia tak mahu Hisyam tahu yang dia masih hidup.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku