Mr.Hotter Guy
bab 19
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Jun 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
5363

Bacaan






Bab 19

“Saya tak buta lagi Berahim. Saya pasti dengan apa yang saya nampak?”. Luah Tan Sri Hisyam lemah. Dia cuba untuk membangunkan tubuhnya bersandar di tepi katil. Berahim, pekerja dan teman yang setia cepat-cepat mengambil 2 biji bantal lalu diletakkan di belakang tubuh Tan Sri Hisyam. Biar sahabat merangkap bos besarnya itu berasa selesa duduk bersandar sebegitu.

“Tapi…Tan Sri. Saya musykil. Selama ni bukan kubur Zaimah yang kita lawati tiap-tiap tahun. Habis tu macamana Tan Sri boleh yakin yang itu Zaimah?”. Balas Berahim agak kurang percaya.

“Entah…saya keliru Berahim. Tapi mata saya tak buta. Mana tahu kubur Zaimah tu satu pembohongan semata-mata”. Berahim sudah tergeleng kepala. Nampaknya Tan Sri Hisyam ini sudah tahap kronik merapunya. Tak mungkin selama bertahun kubur yang mereka lawati tiap-tiap hari raya menjelma hanya satu pembohongan. Namun dia tak sampai hati hendak menuturkan begitu pada majikannya kerana keadaan Tan Sri Hisyam yang belum sembuh lagi. Walaupun dia tahu Tan Sri Hisyam tak akan berkecil hati andai dia menuturkan sebegitu. Sudah lama mereka bersahabat, semenjak Berjaya Corporations ini mula bertatih lagi. Tan Sri Hisyam bukan seorang yang mudah terasa apatah lagi dengan sahabat baik yang bersusah payah selama ini.

“Awak dah siasat latar belakang Nurin?”. Tiba-tiba dia menyoal pula mengenai Nurin, gadis yang menjadi setiausaha anaknya itu.

“Sudah..tan sri”.

“Apa hasilnya?”

“Nurin tu anak yatim. Tinggal di Kedah dengan ibu dan datuknya”.

“Siapa nama ibu dan datuknya?”. Soalnya lagi tidak sabar.

“Zaimah, datuknya Yunus”. Mata Tan Sri Hisyam sudah membulat kerana terkejut. Nama yang begitu serupa. Hatinya teruja.

“Kamu tahu alamatnya di Kedah?”. Soalnya lagi pada Berahim yang jujur menjawab. Seolah satu sesi soal siasat sedang diadakan kala ini.

Berahim tidak menjawab namun dia membalas dengan anggukan.

“Bagus. Saya tak sabar nak tahu. Biar kita sama-sama pergi menyiasat”. Tan Sri Hisyam sudah berkobar-kobar semangatnya. Rasa sakit yang menyinggah di badan sudah tiada terasa lagi. Cepat benar dia ingin bangun dari perbaringannya. Tak sedar tangan yang masih digrip dengan wayar yang berselirat.

“Tan Sri…sabar…tan sri tak sihat lagi. Nanti apa pula kata doktor?”. Berahim sudah menegah. Tangannya memegang bahu Tan Sri Hisyam cuba menghalang lelaki tua itu dari bangun mendadak.

“Aku dah sihat, Berahim. Aku tak sabar nak tahu. Dahlama aku berteka-teki sendiri. Kematian Zaimah satu kesangsian pada aku”. Balas Tan Sri Hisyam yang sudah mula meninggi suara.

“Kalau iya pun. Tan Sri kena sabar. Tunggu sampai betul-betul sembuh. Lepas tu kita sama-sama pergi menyiasat”. Berahim berlembut. Cuba memujuk Tan Sri Hisyam agar tidak terburu-buru. Niat Tan Sri Hisyam mati mendadak. Dia beristigfar beberapa kali. Tersedar yang dia terlalu terburu-buru mengikut kata hati. Dia meraup wajahnya beberapa kali. Ada kegusaran di wajahnya. Zaimah!. Diulang-ulang sebut nama itu dalam hatinya.

Puan Sri Khalida sudah mencerlung matanya memerhati gadis molek yang sedang tekun menaip sesuatu di komputer pejabat. Habis ditilik gadis itu dari atas ke bawah. Kemudian dia mengetap bibirnya. Rasa marah cepat saja bertandang dalam hatinya kala ini. Setakat gadis kampung ada hati nak menawan anak bujangnya. Dia berjalan pantas ke arah gadis itu. Mata sudah menyinggah ke batang tubuh gadis itu yang tiba-tiba mengangkat muka memandang ke arahnya. Gadis itu senyum namun dia membalas dengan jelingan yang maha tajam. Terkedu sekejap gadis itu. Tergamam dengan tindakannya. Kemudian dia terus menghayun langkah masuk ke bilik anak bujangnya itu dengan perasaan marah.

Luqman Hakimi tersentak apabila pintu biliknya ditolak dengan kasar dari luar. Pandangannya matanya dihala terus kepada pemilik tubuh yang berdiri di depannya kala ini. Mata sudah membulat terkejut menerima kehadiran tetamu yang tidak disangka-sangka itu.

“Mama!”. Dia separuh menjerit apabila melihat Puan Sri Khalida sudah menarik kerusi lalu duduk di hadapannya. Kedua-dua tangan disilangkan memeluk tubuh. Wajah sudah masam mencuka. Luqman Hakimi mengerut dahi. Pelik pula melihat tingkah mamanya yang tiba-tiba datang mendadak tanpa memberitahu terlebih dahulu.

“Ada apa-apa yang tak kena dengan abah ke?”. Dia pantas menyoal. Puan Sri Khalida sudah membulat matanya. Marah. Balik-balik orang tua tak sedar dek untung itu yang ditanya anak kesayangannya ini. Bukan hendak tanya khabarnya yang tercongok di depan mata. Dia menarik nafas. Kasar .

“Mama yang kat depan mata tak ditanya sihat ke tak? Sibuk pula soal pasal orang tua tu.”. Dengusnya. Luqman Hakimi sekadar tersenyum. Kemudian dia menapak memeluk tubuh mamanya.

“Mama dah kat depan mata Luke. Sihat lagi. Buat apa Luke nak tanya. Luke agak je mama datang pasal abah ke?. Mana tahu?. Mama jarang nak datang sini kalau tak ada hal yang penting”. Balas Luqman Hakimi bersahaja. Kemudian dia beralih duduk di sisi meja pula.

“Memang penting. Mama nak Luke pecat secretary Luke tu”. Puan Sri Khalida sudah mengeluarkan arahan tanpa selindung lagi. Terjongket kening Luqman Hakimi mendengar arahan mamanya secara tiba-tiba itu.

“Kenapa pula?. Kerja dia okey. Tip top. Tak pernah buat kesalahan pun. Apasal Luke nak kena pecat dia”. Luqman Hakimi mula membantah.

“Luke jangan ingat mama tak tahu pasal agenda bodoh Luke tu. Pasal pertaruhan Luke dengan Andrea. Mama nak Luke tamatkan je”. Luqman Hakimi sudah tertawa sinis.

‘Andrea!...Andrea…nampaknya kau takut kalah yang kau gunakan mama aku pula.’ Dia bermonolog pula.

“Deal is deal, mama. Andrea yang mulakan. Luke nak teruskan permainan. Siapa suruh dia berani nak mencabar Luke?. Biar dia rasa. Apahal pula sampai mama nak masuk campur urusan Luke.”

“Mama dah buat keputusan muktamad. Andrea adalah bakal isteri Luke. Tak ada orang lain lagi”. Tegas Puan Sri Khalida.

“Mama ingat Luke budak-budak ke?. Ni soal hidup Luke. Biar Luke yang tentukan”.

“Mama tak peduli. Luke anak mama sorang. Urusan hidup Luke biar mama yang tentukan”. Puan Sri Khalida sudah menggunakan kuasa vetonya pula. Luqman Hakimi menarik nafas. Sesak bila mama terlalu mengongkong kehidupannya. Kalau dibangkang, dia bakal jadi anak derhaka pula. Oh…sejahat-jahat dia, tak mahu dia digelar anak derhaka.

“Mama…Luke anak mama sorang. Luke tahu mama sayangkan Luke sesangat. Luke tak fikir Andrea tu adalah pilihan terbaik buat Luke. Belum apa-apa, mama dah terikut dengan kehendaknya. Macamana kalau dia jadi isteri Luke. Kalau dia cuba kongkong hidup Luke. Kalau dia pula yang hendak memisahkan Luke dengan mama”. Luqman Hakimi cuba berdiplomasi pula. Dia amat berharap agar mamanya terkesan dengan apa yang dikatakannya itu.

“Tak mungkin Luke. Tak ada sesiapa yang boleh mempengaruhi mama termasuk abah Luke sendiri”. Puan Sri Khalida ucap yakin.

“Habis tu, kenapa mama nak suruh Luke pecat secretary Luke kalau Andrea tak boleh pengaruhi mama. Patutnya mama fikir secara rasional. Jangan buat tindakan melulu”. Luqman Hakimi tutur lembut. Dia memegang tangan Puan Sri Khalida lalu mengusap lembut. Cuba mententeramkan emosi mamanya. Puan Sri Khalida mengeluh. Memang Andrea bukan menantu pilihan buat Luqman Hakimi. Namun dia sudah terikat dengan janji. Sudah terikat dengan budi Datin Shima. Budi harus dibalas.

“Nope…Luke mesti pecat dia. That my decision”. Luqman Hakimi menggeleng. Puan Sri Khalida memang diktator. Tiada siapa yang dapat mengubah pendiriannya. Kalau hitam katanya, maka hitamlah yang harus terjadi.

“Mama…” Luqman Hakimi bersuara lirih. Sebenarnya dia tak mahu hendak memecat Nurin Kamila. Hanya itu saja satu-satunya jalan untuk dia lari dari Andrea. Dia mengetap bibir. Sakit hati bila memikirkan Andrea sudah pandai memanipulasi mamanya pula.

“Kalau itulah permintaan mama, Luke akan ikut. Tapi selepas 6 bulan. Itupun kalau secretary Luke dah disahkan jawatan”. Balas Luqman Hakimi lemah. Puan Sri Khalida mengerut dahi pula.

“Kenapa sampai kena tunggu selama 6 bulan. Tidak bolehkan dipecat serta merta?.” Puan Sri Khalida menyoal tidak puas hati.

“Polisi syarikat ma…kalau mama nak tahu. Dulu pun memang Luke nak pecat dia. Tapi bila Puan Liza dah terangkan polisi syarikat. Luke sendiri tak boleh nak buat apa. Dia hanya boleh dipecat atau dinasihatkan meletak jawatan selepas disahkan jawatan atau sekurang-kurangnya 6 bulan berkhidmat di syarikat ini. Baru 2 bulan lebih dia kerja ma…sah jawatan pun belum lagi” Balas Luqman Hakimi kelegaan. Mujurlah polisi syarikat yang ditetapkan oleh Chairman Berjaya Corporations itu benar-benar menyelamatkan keadaan.

“Ala…semua tu boleh diubah”. Ucap Puan Sri Khalida yakin.

“Kalau mama nak ubah polisi. Mama bincang dengan abah dan lembaga syarikat. Boleh?”. Luqman Hakimi mencabar pula. Dalam hati dia bersorak kegirangan. Tak mungkin abahnya hendak mengubah polisi. Hal syarikat memang tiada siapa yang berani hendak masuk campur dan memandai mengubah apa yang telah ditetapkan.

Akhirnya Puan Sri Khalida menyandar tubuhnya di kerusi tetamu itu. Dia memejam mata. Susahnya hendak memecat secretary itu kalau dah terikat dengan polisi syarikat. Kalau soal syarikat dia memang tak berani hendak bertekak dengan Tan Sri Hisyam. Dia memang tiada hak untuk masuk campur kerana syer Tan Sri Hisyam lebih 60% berbanding miliknya dan Luqman Hakimi sendiri. Dia mengeluh.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku