Mr.Hotter Guy
Bab 22
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Jun 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
5618

Bacaan






Bab 22

“Assalammualaikum…Aiman!”

“Waalaikumusalam mak!. Sihat?”

“Mak sihat. Aiman kat mana ni?. Bila nak balik Sungai Petani?”.

“Aiman kat Penang mak. Ada seminar. Ada hal penting ke mak…yang mak nak Aiman balik sana?”.

“Nak kata tidak tu…tapi penting jugaklah. Mak dah merisik bakal isteri Aiman”.

“Mak!... Aiman belum lagi nak kahwin mak. Awat yang mak dah pi merisik?”.

“Nak tunggu apa lagi Man. Adik beradik kamu semua dah kahwin. Kamu yang sulung belum lagi ada pasangan. Kamu bukan muda lagi Man. Mak tak kira. Esok kamu balik Sungai Petani jugak.”

“Hai..mak…mak…selalu buat keputusan tak nak tanya Aiman”.

“Kalau tanya kamu…alamat tak sampai seru saja jawabnya. Ingat Aiman!. Esok balik Sungai Petani”.

“Yalah mak. Aiman balik”.

AKU membaringkan tubuh di tilam empuk. Mata sudah terasa memberat. Esok perlu bangun awal untuk berjumpa dengan klien. Selimut sudah kutarik hampir menutupi seluruh tubuhku ini. Baru saja mata hendak terpejam. Nokia murahku sudah menjerit minta diangkat. Bikin berasap saja hatiku ini kerana baru nak membuta ada saja yang menganggu. Dengan malasnya aku capai Nokia murah yang terletak di hujung kepalaku.

“Apa bos?. Esok tak boleh ke? Dah lewat sangat ni!”. Aku beralasan. Gila apa dia nak aku bawa fail untuk mesyuarat esok ke biliknya. Dah lewat sangat ni. Tak pasal nanti bala lain pula yang aku dapat.

Akhirnya aku bangun juga dari tilam empuk yang aku baring ini. Memang kalau aku berdegil tak nak menghantar fail itu ke biliknya, jawabnya sampai pagi aku tak akan boleh tidur. Mesti dia akan mengganggu sampai aku turuti perintahnya. Siapalah aku hendak membantah. Aku hanya menurut perintah. Setelah memakai tudung ala kadar, aku menilik sebentar pakaian yang membalut tubuh. Tshirt berlengan panjang dan tracksuit rona hitam. Hmm…sudah menutup aurat. Dengan malasnya aku membuka pintu bilik dan menapak ke bilik bos kerek yang setentang dengan bilikku. Walau mata sudah memberat, perintah harus aku turuti.

“Assalammualaikum bos”. Ucapku sambil tanganku mengetuk pintu biliknya. Lenguh tanganku mengetuk, namun tidak juga pintu itu terbuka. Panas sudah rasanya hati aku. Tadi beria-ia benar dia menyuruh aku menghantar fail ke biliknya. Siap bertengkar lagi. Sekarang ni aku dah jadi tunggul reput di depan biliknya. Kerana malas nak mengetuk pintu lagi aku pulas tombol pintunya. Kalau tak terbuka juga, aku akan angkat kaki balik ke bilikku semula.

Sekali aku pulas, pintu terbuka sedikit. Terus aku buka pintu seluas mungkin. Dalam kepala otakku ini hendak letakkan saja fail itu di atas meja yang berada di depan mataku ini. Laju aku menapak ke arah meja tersebut. Aku letakkan fail lalu aku pusing semula tubuh untuk menapak ke pintu semula. Mataku terus terpaku pada muka pintu. Terkejut. Dada mula terasa berdebar-debar. Aku sudah menelan liur. Namun aku cuba mengawal rasa debar.

“Saya dah letakkan fail kat meja tu bos”. Kataku seraya jari kutundingkan ke arah fail yang terletak di atas meja. Dia diam saja. Berdiri kaku di muka pintu. Namun tunak matanya merenung aku seperti hendak ditelannya aku hidup-hidup.

“Err…saya minta diri dulu bos”. Kataku lagi setelah lihat dia diam saja tidak membalas kata-kataku. Angguk pun tidak tanda dia faham dengan apa yang ku kata. Aku terus melangkah ke arah pintu. Namun dia masih berdiri kaku di situ. Aku pula yang teragak-agak hendak terus melangkah.

“Bos…saya minta diri dulu”. Ulangku lagi. Kali ini nada suaraku tinggikan sedikit. Dia langsung tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Sebaliknya tangannya sudah menutup pintu bilik. Malah dia terus mengunci dari dalam. Mataku membulat. Bertambah terkejut dengan tindakan yang tidak dijangka dari bosku ini. Aku telan liur berkali-kali. Peluh renik sudah mula muncul di dahi.

“Bos…err…saya nak balik”. Kali ini suaraku sudah naik beberapa oktaf. Dia diam lagi. Kebisuannya buat aku makin tidak keruan. Buat aku jadi tidak tentu arah. Sebaliknya dia makin dekat menapak ke arah aku. Senyuman terukir di bibirnya. Matanya menikam tajam kepadaku. Sekali dia melangkah, satu butang baju pijamanya dibuka. Aku yang terkedu di situ.

“Bos nak buat apa ni?”. Aku separuh menjerit. Dia semakin mendekat. Baju yang menghiasi badannya sudah dihumbankan ke lantai.

“Jangan dekat…saya menjerit nanti”. Aku memberi amaran. Tubuhku undurkan ke belakang. Malangnya kakiku terhenti dibirai katil. Dengan mudahnya dia menolak tubuhku kasar sehingga aku terbaring di katil empuk miliknya itu.

“Syyy…diam. Jangan menjerit. Kalau cik adik sayang menjerit pun tak ada yang dengar. Tolong bekerjasama. Saya pasti bahagiakan cik adik”. Dia himpit tubuhku. Lalu dibisikkan kata-kata itu di cuping telingaku.

“Bos dah gila…lepaskan saya”. Aku cuba melawan. Esak tangis sudah mula berkumandang di dadaku ini. Tubuhnya yang menghimpit aku tolak dengan sedaya upaya kudratku. Malangnya tubuh kecilku tak dapat sedikit pun menolak tubuhnya yang berada diatasku.

“Ya ALLAH…selamatkan hambamu ini”. Ucapku bersama esak tangis yang semakin menggila. Aku cuba angkat kaki yang ditindih oleh kakinya. Aku cuba lagi sehingga aku rasa lututku betul-betul terarah di tempat lemahnya seorang lelaki. Dengan sekuat hati aku terajang dengan lututku ini. Spontan dia bangun dari menghimpit tubuhku. Dia mengaduh sambil menyeringai menahan sakit. Terduduk melutut dia di atas katil. Segera aku bangun lalu aku capai fail yang berada di atas meja. Aku ketuk di kepalanya.

“Rasakan…bos jahat. Bos gatal. Bos gila….rasakan…”. Aku menjerit-jerit sambil fail mesyuarat setebal 4 inci itu aku hentakkan di kepalanya. Setelah puas hatiku ini melihat dia tidak bergerak lagi di atas katil. Segera aku tinggalkan bilik yang serupa neraka itu. Geram dan sakit hati bermain diminda. Dia betul-betul melampau. Lelaki kaya ini memang semuanya sama. Jahat dan suka mengambil kesempatan pada orang miskin seperti aku.

AIMAN melipat baju dan memasukkan ke dalam beg sandangnya itu. Uniform biru yang lengkap dengan aksesori diletakkan kembali ke dalam plastik hitam yang tergantung kemas di dalam almari. Kemudian dia masuk ke bilik air pula mengambil toiletries lalu dimasukkan ke dalam beg kecil. Beg itu pula disumbat ke dalam beg sandangnya itu. Setelah pasti tiada yang tertinggal dia mula mengambil beg lalu disandang ke bahunya. Uniform biru yang tergantung di dalam beg plastik diambil dan dijinjit dengan sebelah tangan. Dia melihat lagi buat kali kedua di dalam bilik yang dihuninya sebelum melangkah keluar. Panggilan ibunya yang tiba-tiba membuatkan dia jadi tidak keruan. Hajat asal hendak balik esok dibatalkan kerana hati sudah tidak sabar hendak mengetahui calon isteri yang dirisik oleh ibu. Dia tersenyum lagi sambil menggeleng kepala. Nampaknya Puan Munirah memang sudah tidak sabar lagi hendak menerima menantu sulung, sampaikan dia sendiri tidak diajak berbincang.

Dia berjalan dengan langkah yang tenang sehingga melewati bilik gadis comel yang baru dikenalinya itu. Hajat hati ingin diketuk pintu itu untuk bertemu dengan gadis yang mencuri hatinya. Sekadar ingin mengucap selamat tinggal. Rasanya lepas ini mungkin dia tidak akan bertemu lagi gadis comel itu. Namun dibatalkan niat. Hari sudah lewat benar. Tak manis rasanya mengganggu anak gadis orang di kala malam hampir melabuhkan tirainya.

“Biarlah…kalau ada jodoh mesti jumpa lagi”. Dia menuturkan kata pada dirinya sendiri. Cuba menyedapkan hati kerana sedikit kecewa tak bersungguh untuk mengenali gadis comel itu semasa peluang masih terbuka tadi. Dia menapak terus ke pintu lif yang tertutup. Di tekan butang lif dan terus sabar menunggu sehingga pintu lif terbuka dengan sendirinya. Usai pintu lif terbuka dia melangkah masuk. Baru saja jari menekan butang tanda lobby, pintu lif dihadang dengan sepasang tangan yang berbalut tshirt lengan panjang. Dia menekan butang terbuka pada pintu lif.

“Terima kasih”. Ucap suara itu sedikit serak. Dia mengalih pandang pada pemilik suara itu.

“Eh…awak?. Nak balik dah ke dengan beg besar ni?”. Terus dia menyapa gadis comel itu yang masih menunduk. Pelik juga melihat gadis comel itu yang hanya bert’shirt dan berseluar track saja.

‘Pakaian ala nak bersantai je, tapi berbeg besar macam nak lari. Elok benar. Macam nak lari tengah malam je’. Dia bermonolog pula. Terasa lucu dan pelik melihat gelagat gadis comel ini.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku