Mr.Hotter Guy
Bab 23
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Jun 2013
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4490

Bacaan






Bab 23

Aku terduduk di lantai lif sambil mengesat air mata yang tak henti mengalir. Sudah puas kutahan dari ia melurut turun. Hilang rasa malu pada lelaki yang berada di sebelahku ini. Dalam kepala otakku ini serabut memikirkan apa yang telah berlaku tadi. Hampir saja aku hilang maruah kerana bos jahat, gatal dan gila itu. Namun rasa takut lebih banyak menguasai hati dari rasa marah yang bertandang. Aku tak pasti adakah dia pengsan atau dia memang sudah mati kerana hentakan fail setebal 4 inci itu di kepalanya tadi. Bagaimana kalau dia mati?. Pasti aku akan dituduh sebagai pembunuh. Ah…rumitnya masalah aku ini. Kemana hendakku lari?. Bagaimana reaksi mak dan tok wan kalau dia tahu aku ni seorang pembunuh.

“Mak…Nurin takut mak!”. Aku mengongoi di balik tangan yang kuletakkan di atas lututku ini. Di kala ini aku benar-benar perlukan mak untuk redakan perasaan takut yang menyinggah di hati.

“Awak…awak okay?”. Suara lelaki di sebelahku terasa begitu dekat dengan cuping telingaku. Lantas aku angkat kepala. Mamat rambut ala askar itu tenang melihatku.

“Saya tak apa-apa”. Terus aku lap air mata yang membasahi pipi. Kemudian aku segera bangun dari duduk di lantai lif ini. Baru perasaan hanya aku dan dia saja di dalam perut lif ini. Bagaimana kalau dia juga cuba untuk buat perkara yang tak senonoh pada aku. Segera aku menjauh. Malangnya lif berbentuk segi empat ini tak adalah sebesar mana. Aku dan dia masih lagi berada di dalam lif ini.

“Jangan takut. Percayalah. Saya tak ada niat buruk pada awak”. Segera dia menuturkan begitu apabila melihat reaksi aku yang cuba menjauh dari dia. Aku pandang wajah mamat itu lama. Tampak sinar keikhlasan dalam anak matanya yang bening itu.

“Awak nak kemana ni? Dengan beg besar macam ni”. Dia menyoal. Aku terus menilik diriku. Baru sedar aku sedang mengheret sebuah beg besar dengan hanya berbaju t’shirt dan berseluar track sahaja. Dengan apa yang kulalui tadi, tanpa sedar aku sedang mengambil keputusan untuk segera keluar dari hotel jahanam ini.

“Err…saya nak balik kampung. Mak saya…err…mak saya…”. Kelu lidahku untuk mencipta alasan lagi. Tak akan hendakku beritahu bahawa aku sedang melarikan diri dari bos jahat itu.

“Kalau awak percayakan saya..biar saya hantarkan”. Senangnya dia menghulurkan bantuan buat aku. Bertambah keliru jadinya. Tak akan dia sebaik ini hendak menolong aku yang baru saja dikenalinya beberapa jam yang lepas tadi.

“Err…kampung saya bukan kat Penang ni. Kampung saya kat Sungai Petani”. Aku beralasan lagi.

“Syukurlah… saya pun nak balik kampung jugak. Sama destinasi dengan awak”. Dia senyum pada aku. Bulat mataku. Terkejut. Tak pasti sama ada ini kebetulan atau dia sengaja nak berbohong denganku. Otak masih ligat berfikir. Bolehkah aku percaya? Sedangkan bos yang dah berbulan aku kenal boleh buat benda tak senonoh pada aku. Inikan pula dia yang baru aku kenali tak sampai sehari.

“Err…”. Tak tahu hendak berdalih apa lagi. Akhirnya aku diam. Dalam hati aku berdoa pada ALLAH agar dipelihara diriku ini dari kejahatan manusia.

“Macam nilah. Awak simpan kad kerja saya. Kad kerja ni sama macam IC saya. Kalau saya buat benda yang tak senonoh. Awak repot terus pada polis. Saya ni penjawat awam. Kalau saya sengaja cari pasal, memang saya cari nahas bakal hilang kerja dan masuk penjara”. Dia hulurkan kad bersaiz IC itu. Ada lambang TUDM di situ. Terus aku ambil dan masukkan dalam kocek seluar track tanpa lihat dengan lebih mendalam lagi. Dalam kepala otak sekarang, hanya nak lari saja dari hotel jahanam ini.

LUQMAN HAKIMI memegang kepalanya yang terasa sakit. Berpinar matanya kerana kesan hentakan fail oleh setiausahanya itu. Dia cuba bangun dari katil, namun kesan hentakan itu makin kuat terasa di kepalanya itu. Akhirnya dia terbaring lemah di atas katil. Hendak bangun sudah tidak terdaya. Dia memejam mata. Cuba mengimbas kembali apa yang telah dilakukan kepada cik adik sayang tadi. Dia merengus marah. Lain yang dicita lain pula yang dia dapat. Memang tak boleh dipakai langsung kaedah yang dicadangkan Mokhtar itu.

Akhirnya dia mengambil keputusan untuk memujuk saja cik adik sayang. Walau dia tidak berdaya untuk bangun dia harus mencuba. Kalau tidak sah-sahlah dia akan kalah pada cabaran Andrea. Dia capai telefon Galaxy Note di hujung katil lalu mendail nombor telefon cik adik sayang. Namun sampai ke deringan yang terakhir, panggilan itu tidak dijawab. Dia cuba lagi sehingga lenguh jarinya menekan nombor milik cik adik sayang. Ternyata hampa.

‘Luke kau fikir dengan apa yang kau dah buat, cik adik sayang tu nak jawab panggilan kau. Mimpilah’. Akhirnya dia picit dahinya. Memang dia bodoh kerana memikirkan semudah itu dapat memujuk cik adik sayang. Dia cuba bangun dari perbaringan. Tapi kepala yang sakit membantutkan keinginannya.

‘Sabar Luke…esok masih ada. Tak kemana cik adik sayang tu nak pergi. Dia bukan ada sesiapa di sini. Tak akan beraninya dia nak tinggalkan hotel ini. Nak cari nahas. Dah lewat malam ni. Dia tak akan seberani itu. Di luar sana, lagi ramai manusia yang gila. Esok saja kau pujuk dia. Kau kan si hotter guy…”. Ada suara hati yang memujuk. Cuba memberikan dia sokongan untuk menjalankan misi memujuk cik adik sayang pula. Dia perlu membuang ego dan malu dengan apa yang dilakukan tadi. Jika tidak tentu misinya akan gagal. Tak mungkin dia hendak menyerah kalah pada Andrea semudah itu. Masa masih berbaki 3 bulan lagi. Dalam waktu itu, macam-macam perkara yang boleh berlaku. Dia perlu berjuang.

AKHIRNYA Kereta Vios rona kelabu itu sudah menyusuri jalan ke kampung yang telah lama ditinggalkan semenjak belajar di UMKL dulu. Dalam kegelapan malam, tiada apa yang dapat dilihat hanya jalan mini tar yang disimbahi lampu berwarna oren sahaja. Rumah-rumah kampung yang menghiasi sepanjang jalan itu tampak berbalam-balam di pandangan matanya.

“Err…rumah saya yang itu. Awak boleh berhenti di sini je”. Ujarku tatkala mata tertancap pada rumah kampung separuh batu itu.

“Tak apalah. Biar saya hantar sampai depan rumah”.

“Err…dah pagi benar ni. Saya harap awak faham. Bukan saya tak sudi. Nanti apa pula kata mak dan tok wan saja kalau anak gadisnya pulang dinihari dengan anak teruna orang. Tak maniskan?” Aku beralasan lagi. Aku harap dia memahami keadaan. Aku perlu menjaga nama keluargaku. Mahu terkejut mak dan tok wan nanti kalau mereka tahu aku balik pagi-pagi buta dengan anak teruna orang.

“Hmm…tak apa. Saya faham”. Dia menekan brek. Lalu menolak gear ke tanda P. Aku segera keluar dari perut keretanya. Dia juga turut berbuat perkara yang sama. Dia melangkah ke arah bonet kereta lalu dikeluarkan beg pakaian aku.

“Terima kasih kerana hantar saya. Budi baik awak tak akan saya lupa”. Ucapku ikhlas. Dia senyum saja.

“Sama-sama.” Balasnya. Segera aku mengatur langkah menuju ke arah rumahku yang berada tidak sampai dua rantai dari tempat dia meletak keretanya.

“Awak…!”. Panggilannya itu membuatkan langkahku terhenti. Segera aku berpaling melihatnya yang berdiri di tepi pintu pemandu.

“Siapa nama awak?”. Aku mengangkat kening. Perlukah aku beritahu namaku?. Tapi memikirkan budi yang telah ditabur, apalah sangat jika dia hendak tahu namaku. Selepas ini tak mungkin aku akan bertemu dengannya lagi.

“Nurin Kamila Hisyam”. Balasku lembut. Jelas terlihat senyuman dibibirnya. Lampu jalan yang menerangi tempat dia berdiri itu membuatkan aku terkesima sekejap. Kenapa aku nampak dia lebih manis dan kacak dari si hotter guy?. Segera aku memusingkan badan dan mengatur langkah semula masuk ke halaman rumah. Kenapa dalam keadaan sakit hati begini pun, si hotter guy juga yang aku ingat.

Aku menarik beg pakaian berodaku lalu berhenti betul-betul di hadapan pintu rumah. Kemudian aku menilik semula pakaian yang kupakai. Kalau mak tanya kenapa aku berpakaian santai begini, apa yang hendakku jawab?. Kemudian baru aku teringat sesuatu. Aku raba poket seluar, aku keluarkan kad kerja mamat berambut ala askar itu. Aku tinggalkan beg pakaianku, lalu berkejar semula ke halaman rumah. Malangnya keretanya sudah tiada di situ. Aku genggam kad kerja yang berlambang TUDM itu lalu aku tilik dan mencari namanya di situ. Tapi tiada. Aku balikkan kad kerja itu lalu ada gambar dia dan tertera namanya jelas dipandangan mataku kerana lampu jalan ini betul-betul berada di bawahku. Membulat mataku apabila membaca namanya, malah ku eja satu persatu. Adakah dia orang yang sama?. Kenapa aku tak cam langsung wajahnya?. Aku keliru.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku