Mr.Hotter Guy
Bab 24
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Jun 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
4056

Bacaan






Bab 24

“SAYA dah siasat seperti yang diarahkan Tan Sri. Malah kubur tempat Puan Zaimah disemadikan pun saya lawati. Malangnya Tan Sri…selama ini Tan Sri tertipu sebenarnya”. Ayat yang keluar dari mulut Bakri penyiasat upahan yang diperkenalkan oleh Berahim buat Tan Sri Hisyam terkedu. Selama 25 tahun dia disogokkan berita yang Zaimah sudah mati dalam kebakaran rumahnya di kampung dahulu. Sahlah selama ini dia dipermainkan oleh Puan Sri Khalida. Kejadian ini berlaku ketika dia berada di luar negara kerana urusan perniagaan, mudah benar Puan Sri Khalida menyusun strategi.

“Tapi kebakaran tu memang berlakukan?. Saya sendiri pergi melihat tapak rumah arwah isteri saya. Malah kuburnya juga saya lawati”. Tan Sri Hisyam masih kurang percaya.

“Itu betul Tan Sri. Memang rumah Puan Zaimah terbakar teruk. Tapi Puan Zaimah dan ahli keluarganya selamat. Kubur yang Tan Sri lawati itu adalah milik pembantu rumah Puan Zaimah. Kebetulan namanya pun Zaimah juga. Saya rasa Tan Sri keliru kerana nama mereka sama”. Penjelasan dari Bakri itu buat Tan Sri Hisyam terlopong. Dia meramas geram pemegang kerusi yang didudukinya itu. Kenapa selama ini dia terlalu bodoh? Terlalu percayakan segala kata Puan Sri Khalida. Rupanya Puan Sri Khalida menangguk di air yang keruh. Sengaja mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku.

Jadi betullah dengan apa yang dilihat. Matanya tak pernah menipu. Memang perempuan yang dilihat tempohari adalah Zaimah. Kenapa Zaimah menghilangkan diri? Apa yang terjadi?. Tan Sri Hisyam menopang kepalanya. Kusut memikirkan masalah yang datang tiba-tiba. Segera dia bangun dari kerusi yang didudukinya. Hilang mood untuk meneruskan kerja.

“Terima kasih atas maklumat awak. Saya nak awak teruskan siasatan. Kali ini saya nak awak cari kemana Puan Zaimah sekeluarga menghilang. Saya nak butirannya segera. Kalau boleh saya nak jawapannya dalam seminggu ini. Kalau awak dapat cari, saya akan gandakan bayaran buat awak”. Tersenyum Bakri mendengar apa yang dituturkan oleh Tan Sri Hisyam. Memang lumayan bayaran yang akan diterima andai dia dapat menjejak dimana Puan Zaimah berada sekarang ini.

“Baik Tan Sri. Saya akan usahakan seberapa segera”. Janji Bakri sebelum melangkah keluar dari bilik pejabat Tan Sri Hisyam.

“Saya tak sangka Berahim. Selama ini saya tertipu…dibodohkan isteri sendiri. Ya ALLAH…kenapa aku terlalu bodoh. Kesian Zaimah. Macamana dengan anakku?. Anak yang dikandung Zaimah”. Dia meraup mukanya. Badannya sudah terhinggut-hinggut menahan tangis.

“Sabar…Tan Sri. Ini ujian dari ALLAH. Banyak-banyak bersabar”. Berahim yang masih setia disisi mengusap belakang badan Tan Sri Hisyam. Kasihan pula melihat rakan sendiri yang tertipu selama ini. Hanya kerana cemburu dan iri hati banyak jiwa yang menjadi mangsa. Kasihan Zaimah, gadis kampung yang mendapat tempat di hati Tan Sri Hisyam. Dia yang menjadi mangsa kerana sifat cemburu dan iri hati Puan Sri Khalida.

“Saya nak balik Berahim. Hati saya tak tenang. Luqman Hakimi dah balik dari Penang?”. Soalnya menukar topik tiba-tiba.

“Kalau ikut kata Puan Liza…petang ni dia dah balik”. Balas Berahim. Tan Sri Hisyam hanya mengangguk lemah. Anak bertuahnya itu ke Penang pun tanpa memberitahunya terlebih dahulu. Khabar perginya ke sana pun dia tahu dari mulut Puan Liza sendiri. Atas urusan apa dia pun kurang pasti. Hendak kata ada perjumpaan dengan klien. Yakin sangat yang Berjaya Corporation memang tidak ada sebarang usahasama perniagaan dengan mana-mana syarikat di Penang itu. Dia menarik nafas panjang. Kemudian melangkah keluar dari biliknya. Dalam hati sudah tidak sabar hendak bertemu dengan Puan Sri Khalida, diktator yang mengawal hidupnya selama ini. Kali ini dia tak akan menurut telunjuk diktator itu lagi. Biar apapun yang berlaku dia tak akan menyerah kalah.

PUAS Luqman Hakimi mengetuk pintu bilik hotel yang dihuni setiausahanya itu. Namun sedikit pun tak dibuka dari dalam. Dia mendail pula nombor telefon, namun tidak juga dijawab. Geram rasa hati memikirkan setiausaha yang degil ini.

‘Fikirnya dengan bersikap keras kepala ini boleh buat aku menyembah dia pula.’ Dia mengomel dalam hati.

‘Tapi Luke… kau memang kena pujuk dia. Pujuk rayu sampai dia lemah. Kalau tidak kau terpaksa menyerah kalah pada Andrea. Kau nak si tepung gomak tu jadi isteri kau. Biar betul’. Kata hati giat menasihat pula. Hendak tak hendak, Luqman Hakimi terpaksa mengetuk pintu bilik itu. Memujuk, merayu cik adik sayang sehingga hatinya menjadi lemah.

“Nurin…please. Buka pintu ni. Saya tahu…apa yang berlaku semalam adalah keterlaluan. Saya tak ada niat pun. Tak tahulah apa yang merasuk saya semalam. Maafkan saya…please”. Dia masih memujuk dengan suara lembut. Ego yang menggunung selama ini, merudum jatuh dengan teruk sekali hanya kerana hendak memujuk cik setiausaha yang degil ini. Dia setia di depan pintu, mengetuk dan memujuk rayu dengan ayat-ayat cinta. Malangnya air liur terbazir begitu sahaja. Pintu bilik langsung tidak dibuka sedikit pun.

“Encik”. Dia mengalih pandang pada suara yang terdengar di belakangnya. Seorang wanita berdiri di sisi troli yang sarat dengan tuala dan alat pembersihan. Dia angkat kening apabila melihat wanita separuh umur itu senyum padanya.

“Setahu saya, penghuni bilik ni dah keluar semalam. Sebab tu saya diarahkan mengemas bilik ini sekarang”. Terang wanita itu.

“Ya?”. Dia seakan tidak percaya. Kemana cik adik sayang hendak pergi?. Bukan dia kenal sesiapa pun di sini. Tak akan seberani itu dia hendak keluar dari hotel ini. Malam pula tu. Dia bersoal jawab sendiri.

“Kalau encik tak percaya, encik boleh tanya di kaunter pertanyaan”. Tambah wanita itu lagi. Akhirnya dia menjarakkan tubuhnya dari pintu bilik yang dihuni setiausahanya itu. Cuba memberi laluan pada wanita itu untuk membuka pintu bilik dan menjalankan tanggungjawabnya membersihkan bilik itu. Setelah pintu bilik di buka, dia mengamati bilik itu. Memang betul seperti yang dikata, bilik itu sudah tidak berpenghuni. Pakaian cik adik sayang pun tiada. Nyatalah semalam, cik adik sayang telah meninggalkan hotel ini. Dia menggeleng kepala. Menyesal dengan apa yang dilakukan semalam. Tindakan yang terburu-buru untuk melaksanakan misi mengikat cik adik sayang bukan sahaja gagal. Malahan dia mungkin akan gagal untuk selama-lamanya memikat hati cik adik sayang. Dia meraup muka. Dia ramas rambutnya. Kusut. Bukan sahaja rancangannya gagal. Sekarang dia bertambah kusut memikirkan kemana cik adik sayang menghilang?.

“TERKEJUT mak. Ingatkan siapa yang datang pepagi buta tadi?. Rupanya anak kesayangan mak dah balik”. Tersenyum mak melihat aku, anak daranya di depan mata sedang menjamah nasi goreng buat sarapan pagi ini.

“Itulah..tok wan pun pelik. Tak ada ribut apa…tup…tup dah depan pintu. Macam lari dari rumah. Pakai serupa nak pi bersenam kat taman pun ada”. Tersedak aku bila mendengar tok wan membuat serkap jarang. Kalaulah tok wan tahu apa yang dah aku buat semalam. Yang aku ini seorang pembunuh. Pekerja yang membunuh majikannya sendiri. Barangkali terbalik dunia ini untuk mereka menerima hakikat. Aku telan liur yang terasa kelat.

“Betul ka yang kamu ni baru habis kursus kat Penang nun…tak sabar nak balik sampai baju pun ikut sempat je kamu sarung?”. Soal mak seolah tak percaya.

“Ishk…mak ni. Nurin dah balik ni kira syukurlah. Nanti Nurin bungkus balik KL semula baru mak nak melopong kot. Dulu mak kalut suruh Nurin balik. Hari ni Nurin dah balik mak macam tak percaya pulak”. Aku buat nada merajuk. Sebenarnya lebih dari nak melepas diri. Nak mengelak dari menjawab soalan pelik-pelik dari mak dan tok wan.

“Sudahlah Mah oii…toksah duk tanya apa-apa lagi. Satgi buatnya dia balik ke KL semula. Lambat pula hajat orang kat sana nak mai tengok dia. Terbantut lagi rancangan tu”. Balas tok wan sambil menghirup kopi suam yang berasap nipis itu. Aku tenung muka tok wan. Hajat apa pula? Rancangan apa pula? Ish…macam-macamlah. Balik kampung je mesti ada saja agenda mak dan tok wan ni.

“Ha…dah alang-alang kamu ada ni. Bolehlah kawan mak dan anaknya datang tengok kamu?”.

“Tengok apa pula mak?. Nurin bukan sakit. Sihat walafiat ni. Nak mai tengok apa?”. Aku tanya soalan bodoh pada mak. Siapalah yang baik hati hendak datang melawat aku?. Bukan orang terkenal pun.

“Itu…jodoh yang mak bagitahu tu. Tak akan dah lupa kot. Tadi mak dah telefon kawan mak. Kata kamu balik sini. Kebetulan anak terunanya pun balik semalam. Bolehlah datang tengok kamu…kalau berkenan tu, tak lama bolehlah mak dapat menantu”. Mak dah senyum senget pandang aku. Serta merta terbayang wajah Kapten Shahril Aiman diruang mataku. Kenapalah aku boleh tak perasankan dialah si mamat rambut askar yang baik budi menghantar aku semalam.

“Err...”. Kelu lidahku. Tak tahu nak buat keputusan apa. Nak tolak atau terima?. Aku tarik nafas panjang. Lalu aku hembus perlahan.

“Boleh tak mak bagi masa Nurin fikir...”.

“Biarlah depa datang dulu. Tengok kamu. Mak dengan kawan mak yang buat keputusan. Tapi kami kena ikut kehendak anak juga. Kalau anak dia dan kamu saling tak berkenan, mak tak paksa. Bolehlah Nurin, biar depa datang berkenalan dulu?”. Akhirnya aku menggangguk lemah. Kasihan pula mendengar permintaan mak.

Aku masuk ke dalam bilik yang telah lama aku tinggalkan. Aku menapak ke arah meja solek. Aku tarik kerusi kecil lalu aku labuhkan punggung di situ. Kad kerja Kapten Shahril Aiman itu aku ambil, lalu aku tenung seraut wajah itu. Manis dan tenang saja pada pandangan mataku. Bahagiakah aku kalau aku terima dia sebagai imamku?. Bagaimana pula penerimaannya, mahukah dia terima aku sebagai makmumnya?.

Deringan telefon yang bertalu-talu itu membuatkan anganku melayang. Segera aku dapatkan Nokia murah aku dan tilik nombor telefon itu. Sejak semalam aku senyapkan mode panggilan kerana kusut memikirkan apa yang telah aku lalui. Membuntang mataku melihat paparan nombor di situ.

“Bos!”. Aku telan liur. Aku tarik nafas panjang. Takut dan berani sama banyak bermain dibenakku. Siapa agaknya yang menelefon aku? Diakah?. Tapi bukan semalam teruk aku kerjakan dia. Tak matikah?. Segera aku tekan butang hijau. Aku lekapkan telefon di telinga.

“Kamu kat mana hah?. Jangan ingat kamu boleh lari Nurin?”. Terdengar suara lembut lagi sinis di hujung talian. Memang tak syak lagi. Itu suara bos. Syukur dia tak mati lagi.

“Saya nak berhenti. Saya tak nak kerja dengan bos gatal, gila dan jahat macam awak”. Balasku garang. Terdengar dia ketawa di sana. Bukannya dia nak insaf dengan apa yang cuba dilakukan padaku semalam. Malah makin galak pula dia ketawa. Memang sungguh menduga kemarahan aku!.

“Apa yang saya dah buat?”.

“Bos..jangan buat tak tahu?. Saya hampir hilang maruah semalam”.

“Ada bukti?. Siapa yang masuk ke bilik saya? Siapa yang cari saya?. Kamu tak akan menang kalau kita bawa perkara ini ke mahkamah. Silap-silap kamu yang malu nanti?”. Aku pejam mata. Sakitnya hati mendengar dia berkata begitu. Ya…baru aku sedar. Aku miskin sedangkan dia kaya. Kemiskinan payah untuk memenangi keadilan sedangkan kekayaan boleh membeli apa sahaja termasuk keadilan. Akhirnya aku diam. Pasrah dengan apa yang menimpaku.

“Saya nak berhenti”. Jeritku. Biar dia pekak di hujung sana. Tapi aku yang bertambah sakit hati bila dia tak habis-habis dengan ketawa.

“Awak lupa sesuatu Nurin. Masa awak terima lantikan sebagai staf di Berjaya Corporation, awak baca betul-betul tak perjanjian dalam surat tawaran tu?”. Aku telan liur pula bila mendengar dia mengungkit tentang tawaran lantikan sebagai staf di Berjaya Corporation.

“Arghhh!”. Aku matikan talian telefon. Aku campak Nokia murahku di atas katil. Rasa hendak menjerit dan menangis sama banyak bermain dibenakku. Kenapa aku boleh lupa pada perjanjian yang aku tandatangani. Bukan mudah untuk aku berhenti selagi belum disahkan jawatanku. Mana nak aku cekau RM30k kalau aku nak berhenti begitu saja. Aku raup mukaku. Rasa hendak meletup dadaku ini kerana menahan marah. Segera aku bangun dari kerusi yang aku duduki ini. Kemudian berjalan menuju ke bilik air. Kemarahan yang bertandang perlu aku siramkan dengan wuduk. Itu pesan tok wan kalau kita nak meredakan kemarahan. Dan aku tak mahu mensia-siakan pesanan tok wan itu.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku