Mr.Hotter Guy
bab 25
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Jun 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
4323

Bacaan






Bab 25

“Kita nak kemana ni mak?”.

“Jomlah. Ikut je arah jalan yang mak tunjuk ni. Ha…pusing masuk ikut jalan mini tar ni!”. Arah Puan Munirah pada anaknya yang sedang memandu. Shahril Aiman tidak membantah, sebaliknya dia mengikut saja arahan Puan Munirah walau timbul sedikit rasa pelik dalam jiwanya. Jalan yang dilalui seakan seperti semalam saja dilewatinya. Cuma dia sedikit keliru kerana keadaan semalam amat berbeza dengan keadaan hari ini yang terang benderang itu.

“Mak…cuba mak bagitahu Man…kita nak kemana ni?. Dari tadi duk rahsia?”.

“Mak nak bawa kamu jumpa bakal jodoh kamu. Kalau mak habaq awai-awai…ada saja kamu nak bangkang nanti”. Balas Puan Munirah senyum. Serta-merta Shahril Aiman memberhentikan keretanya. Dia memandang wajah ceria Puan Munirah. Terkejut mendengar apa yang dikatakan ibunya.

“Mak…!”. Dia menjerit manja. Nak marah tak sampai hati kerana ini hajat ibunya. Dia hanya mampu memandang dengan perasaan terkilan. Kenapalah dalam soal urusan yang penting ini, ibunya membuat keputusan sendiri.

“Okey…Man ikut kata mak. Tapi mak jangan paksa kalau Man tak berkenan nanti”. Shahril Aiman sudah memberi amaran pula. Puan Munirah hanya tersenyum. Kemudian dia membuka pintu kereta hendak keluar dari perut Vios milik anak sulungnya itu. Terjongket kening Shahril Aiman melihat reaksi ibunya.

“Eh…tak kan mak merajuk kut…pasai apa yang mak turun kat sini pulak?. Man minta maaf mak”. Shahril Aiman cepat-cepat memohon maaf. Risau juga dia andai kata-katanya tadi mengguris hati ibunya.

“Tak ada maknanya mak nak merajuk. Dah sampai Man. Jomlah”. Pelawa Puan Munirah. Shahril Aiman tidak terkata. Nampaknya kali ini memang dia tak boleh lari lagi. Mahu atau tidak, terpaksalah dia mengadap dan bertentang mata dengan bakal calon menantu pilihan ibu. Namun dia mengerutkan dahinya. Rumah kayu separuh batu itu macam pernah dilihat semalam. Sama seperti rumah milik Nurin Kamila.

“Mak…!”. Dia panggil Puan Munirah yang sudah berjalan masuk ke perkarangan rumah separuh batu itu.

“Ada apa?”. Soal Puan Munirah pelik melihat gelagat Shahril Aiman yang tergaru-garu kepalanya.

“Calon menantu mak tu nama apa?”. Puan Munirah senyum. Hatinya berbunga mekar. Nampaknya berminat juga anak sulungnya itu hendak tahu nama bakal calon menantu pilihannya itu.

“Nurin Kamila”. Membulat mata Shahril Aiman. Senyum sudah mekar di bibir. Serta merta dia berjalan menyaingi Puan Munirah.

“Awat mak tak habaq awai-awai?.”

“Dah kamu tak tanya?”. Puan Munirah soal balik dengan tandatanya. Shahril Aiman senyum lagi. Kali ini Puan Munirah pula yang tergaru kepala melihat reaksi anaknya yang seakan teruja itu.

Kalau Nurin Kamila yang itu, dengan rela hati hari ini juga dia hendak masuk melamar. Dah tak payah nak risik bagai lagi. Pakat jadi terus, kan senang. Dia bermonolog pula.

“Mak bawa ka cincin?”. Dia soal lagi.

“Kata nak mai tengok dulu. Cincin apa mak tak bawala. Aikkk…awat yang Man galak lebih ni?”. Shahril Aiman bantai ketawa bila mendengar ibunya menggelar dia galak terlebih.

“Kira jadilah mak. Nanti mak bincang terus tarikh tunang dan nikahnya. Kalau buat sekaligus senang. Tak payah Man nak cuti banyak kali.”

“Man!”. Suara Puan Munirah sudah meninggi. Pening pula memikirkan permintaan anaknya yang berubah tiba-tiba.

“Kita mai nak tengok dulu…nak meminang tu kena adat bagai. Cincin pun mak tak bawa. Mana boleh main redah je”. Puan Munirah sambung kata. Cuba menolak permintaan anaknya yang tak pernah dibuat orang itu.

“Man tak kira. Mak buat la macamana pun. Janji dia jadi isteri Man”. Puan Munirah sudah tergeleng kepala. Nampaknya anaknya bukan galak terlebih lagi tapi dah sampai tahap tak menahan sabar pula. Hmm…nak tak nak…terpaksalah dia melamar tanpa membawa sirih junjung bagai. Tak mengikut adat, tapi menerjah ikut suka hati.

TAN SRI Hisyam merenung tajam ke arah isterinya yang baru melangkah masuk ke dalam rumah. Tanpa salam Puan Sri Khalida terus menonong ke arah tangga untuk ke tingkat atas. Sedikit pun dia tidak bertanya khabar pada suaminya yang tercongok di depan mata.

“Ida…”. Panggilan Tan Sri Hisyam mematikan langkahnya. Dia memandang wajah suaminya yang serius itu. Tersungging senyuman sinis di bibirnya. Kenapa hari ini Tan Sri Hisyam berubah laku?. Memanggil namanya pun dengan nada keras. Tak pernah dia menatap wajah serius si suami yang berubah tiba-tiba . Nampaknya akan ada perbalahan yang bakal muncul nanti. Hmm…dia nak lihat sejauh mana si suami itu akan menang dalam perbalahan ini. Telah Puan Sri Khalida dalam hati.

“Hmm…ada apa?”.

“Duduk sini. Saya ada benda nak cakap”. Arah Tan Sri Hisyam. Puan Sri Khalida terus mengubah posisi lalu duduk di sofa kulit mengadap suaminya itu.

“Awak terus terang dengan saya Ida. Tak perlu nak selindung lagi. Saya dah tahu wayang awak”. Puan Sri Khalida kerut dahi. Pelik pula dengar perkataan yang keluar dari mulut si suami. Wayang apa pula yang dimainkan?. Wayang kulitkah?.

“Ish…cuba awak cakap direct. Tak payah nak belit-belit. Saya tak ada masa nak layan bahasa bunga-bunga awak tu?”. Kali ini suaranya sudah sedikit meninggi. Geram pula jadinya. Sudahlah letih belum hilang lagi kerana menghadiri aktiviti kelab dengan teman-teman. Sekarang ini, dia ditujah pula dengan kata-kata kiasan dari si suami. Bikin panas saja hatinya.

“Betul Zaimah dah mati?”. Soal Tan Sri Hisyam. Terbelalak mata Puan Sri Khalida. Terkejut. Kenapa si suami membangkitkan isu orang yang dah mereput dalam kubur itu?

“Betullah. Tiap-tiap tahun awak melawat kuburnya. Tak akan saya nak menipu. Awak sendiri yang tengok rumahnya terbakarkan jadi abu?”.

“ Memang saya tak nafikan semua tu. Tapi manusia boleh menipu Ida. Masa kejadian tu berlaku saya kat Jepun. Awak je yang kat sini. Macam-macam awak boleh buat untuk menipu saya”. Tan Sri Hisyam berdiri dari kerusi yang didudukinya. Dia bercekak pinggang. Matanya sudah mencerlung memandang wajah isterinya itu. Kalau tak difikirkan sabar, mahu saja dilanyak tubuh gempal didepannya itu. Puan Sri Khalida menelan liur. Kecut. Tak pernah lagi dia melihat si suami yang naik minyak tiba-tiba. Kali ini Tan Sri Hisyam memang betul-betul tengah marah. Merah mukanya menahan sabar.

“Apa lagi yang awak cari pada Zaimah tu?. Dia dalam kubur pun, awak masih tak percaya. Masih termimpi-mimpi. Apa lebihnya dia? Apa kurangnya saya”. Puan Sri Khalida tidak mahu mengaku kalah. Dia tatap wajah si suami yang merah itu dengan berani.

“Lebihnya dia sebab dia baik hati, memahami. Tak pernah meninggi suara. Hormat saya sebagai suami. Awak kejam Ida. Awak yang buat dia macam tukan? Awak yang bakar rumahnya?. Awak yang sengaja mencipta kematian palsu Zaimahkan? Awak cemburu sebab dia mengandungkan anak saya?. Awak cemburu sebab awak mandul!”. Habis dimuntahkan apa yang terpendam selama ini dalam hati sanubarinya. Kesabarannya sudah hilang batasnya. Hari ini dia perlu mengajar isteri yang sudah melebihi tahapnya. Sudah jadi seperti kaduk naik junjung.

“Memang saya cemburu. Memang saya mandul. Memang saya yang buat semua tu. Memang saya bakar rumahnya. Memang Zaimah tak mati lagi. Saya yang buat semua tu. Saya ugut dan paksa dia tinggalkan awak. Saya benci bila tahu dia mengandung. Saya tercabar dengan apa yang dia ada”. Puan Sri Khalida sudah menekup mukanya. Dia menahan tangis. Dia memang rasa tercabar bila tahu madunya itu telah mengandung. Selama ini dia mencabar suaminya. Mencabar keupayaan si suami. Akhirnya dia yang malu sendiri apabila mengetahui dia yang tidak berupaya untuk melahirkan zuriat buat menyambung generasi.

“Astaga…Ida…apa lagi yang kurangnya?. Awak ada Luqman…awak berharta. Awak ada saya…kalau nak bandingkan dengan Zaimah. Dia tak pernah rebutkan saya dari awak. Walaupun dia berhak ke atas saya. Dia tak pernah hendak hidup bermewah walau dia bersuamikan saya. Dia tahu batasnya sebagai madu awak. Selama ini siapa yang selalu mencabar keupayaan saya? Bukan awak? . Kenapa awak nak cemburu kalau Zaimah boleh mengandung?. Patutnya awak terima dengan hati terbuka kerana generasi kita akan berkembang Ida?”. Tan Sri Hisyam sudah mengendur suaranya. Tidak jadi hendak marah. Rasa kasihan pula yang bertandang dalam hatinya melihat si isteri yang bersedih itu. Tentu pahit untuk seorang wanita menerima kenyataan yang dia tidak boleh melahirkan zuriat buat si suami.

“Itu generasi awak. Bukan generasi saya. Awak ingat semudah itu saya nak terima anak dari keturunan Zaimah yang low class tu. Mimpilah. Saya tak akan terima sama sekali. Saya tak akan benarkan sesiapa pun merampas hak yang sepatutnya menjadi milik Luke”.

“Cuba bawa mengucap Ida. Luke tu tetap anak kita walau dia anak angkat. Saya tak akan sia-siakan dia. Harta kita tetap milik Luke. Dia tetap penyambung generasi empayar Berjaya Corporations”. Balas Tan Sri Hisyam lembut. Sungguh, jauh di sudut hatinya, Luqman Hakimi tetap dianggap anak walau bukan dari darah daging sendiri. Mereka membela dan mendidik dari tapak kaki sebesar dua jari hingga dah besar panjang begini. Malah layak untuk menjadi bapa orang. Tapi kasih sayang buat Luqman Hakimi tetap tidak kurang walau sebesar zarah pun tiada bezanya.

“Boleh percayakah kata-kata awak?. Awak tak ingat pada birthday Luke yang ke 4 tahun. Kesian dia menunggu awak untuk sambut sama-sama. Sudahnya awak tak muncul-muncul juga kerana sibuk melayankan isteri muda awak tu”. Puan Sri Khalida mengesat air mata yang merembes keluar. Sakit hatinya memikirkan perkara yang lepas. Selepas mendapat gading bertuah, tanduk sudah tidak berguna lagi. Tan Sri Hisyam seakan alpa dengan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa kepada keluarga mereka.

“Bukan saya sengaja Ida. Zaimah hampir keguguran hari tu. Saya terpaksa temankan dia di hospital. Cubalah memahami keadaan saya waktu itu”. Tan Sri Hisyam masih memujuk. Sumpah!. Dia bukan sengaja lupa pada tanggungjawab. Namun keadaan Zaimah pada waktu itu memang perlukan perhatian.

“Sudahlah…lelaki semuanya sama. Pandai beralasan. Walau apapun awak jangan ingat saya boleh maafkan awak. Saya tetap tak dapat terima Zaimah dalam hidup saya. Awak jangan mimpi saya akan terima Zaimah”. Puan Sri Khalida masih tetap dengan pendiriannya. Masih degil. Yang pasti bayang Zaimah pun dia tak mahu lihat.

Tan Sri Hisyam menghela nafas berat. Walau rahsia bukan rahsia lagi, isterinya itu tetap tidak berubah. Tetap tidak menyesal dengan apa yang telah dilakukannya.

“Kalau awak tetap berkeras, jangan ingat saya akan berlembut Ida. Sudah puas saya ikut telunjuk awak selama ini. Kalau awak sayangkan rumahtangga kita, awak tetap kena terima Zaimah. Walau apapun yang berlaku, saya tetap akan cari Zaimah dan anak saya. Faham?!!!”. Tan Sri Hisyam sudah kembali duduk di sofa. Mencerlung semula matanya memandang Puan Sri Khalida. Rasa simpati yang menyinggah benaknya tadi, cepat saja terlerai dengan kedegilan isterinya itu. Puan Sri Khalida hanya merengus geram. Tak disangka, Tan Sri Hisyam sudah pandai hendak tunjuk berani. Nampaknya taringnya sudah tidak tajam lagi hendak menakutkan suaminya itu. Akhirnya dia bangun dari sofa berangkai dua itu kemudian menapak laju ke arah tangga. Dia mahu segera merebahkan badan di bilik. Sakit hatinya makin menambah dengan kata-kata yang didengari dari mulut Tan Sri Hisyam itu.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku