Mr.Hotter Guy
Bab 26
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Jun 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
4201

Bacaan






Bab 26

“Alhamdulilah…terima kasih Nurin. Terima kasih sebab penuhi hajat mak”. Emak peluk aku dengan sepenuh hati. Aku senyum walau senyum aku kelihatan kelat. Cincin belah rotan yang kurang sinarnya itu aku tilik dengan sekali pandang saja. Sebenarnya berat hati nak menerima pinangan dari Puan Munirah yang datang secara tiba-tiba itu. Asalnya aku sekadar hanya memenuhi permintaan emak untuk menerima kedatangan tetamu istimewa hari ini. Emak pun tak memaksa kalau hati aku tak berkenan. Entah kenapa, bila aku pandang saja wajah Shahril Aiman, ada rasa di situ. Satu rasa yang aku sendiri tak pasti. Adakah ini yang dikatakan jodoh?

“Saya tahu mungkin Nurin rasa berat hati nak terima semua ini. Tapi percayalah saya yakin Nurin adalah jodoh yang ditetapkan buat saya. Rasanya apa yang berlaku di Penang semuanya telah direncanakan oleh ALLAH…saya sendiri yakin dengan gerak hati saya. Memang awak jodoh saya Nurin”. Terdiam aku tatkala dia menuturkan kata itu sewaktu aku sibuk di dapur mengemaskan pinggan mangkuk usai kami menjamu selera tadi. Hati…usah cakaplah. Riuh bergendang dan bertabla. Rasa macam seluruh tubuh terkena renjatan elektrik. Nak kata suka…sukalah jugak. Mana pernah lagi ada lelaki yang bercakap dengan aku serius begini?.

Aku menjeling sedikit mencari kelibat emak dan Puan Munirah yang tadi ada bersamaku. Tapi hampa. Ternyata emak dan Puan Munirah sudah ke atas semula. Pasti hendak menyambung bicara yang tertangguh kerana makan tadi. Hanya aku dan dia di dapur kala ini.

“Err…”. Aku gugup. Tak tahu hendak balas kata.

“Err..mak…err…tokwan”. Hanya itu yang terluah dari bibirku. Malu dan takut bermain dalam minda. Malu kerana ditinggalkan berdua dengan dia. Takut pula dicop sebagai anak dara gatal berdua dengan lelaki yang tidak dikenali.

‘Nurin…malu dan takut konon!!!. Habis semalam tu bukan kau dan dia berdua sajakan sepanjang perjalanan dari Penang sampai dah selamat pun kau tiba di rumah ini.’ Hati ini tak habis-habis hendak menempelak. Tak pernah nak berkompromi dengan aku.

“Oh…mak Nurin dan Tok wan yang bagi peluang saya bercakap secara peribadi dengan Nurin. Jangan bimbang. Semuanya dalam pengetahuan depa”.

Aku tarik nafas lega apabila mendengar dia kata begitu. Nampaknya emak dan tok wan sengaja memberi sedikit ruang untuk kami berkenalan. Tok wan pula, awal-awal lagi sudah minta izin hendak ke kebun. Semuanya seolah seakan memberi ruang untuk aku mengenali lelaki yang sedang duduk santai di kerusi makan sambil menghadap aku yang sedang membasuh pinggan mangkuk ini.

“Terima kasih pasal semalam. Boleh tak awak rahsiakan dari mak dan tokwan. Mereka tak tahu pun saya balik dengan siapa semalam?”. Pintaku teragak-agak. Dia mengerutkan dahi tanda tidak faham. Mungkin pelik dengan permintaanku yang tidak dijangka itu.

“Tolonglah…boleh tak?”. Aku ulang lagi permintaanku ini. Mestilah aku mengharapkan dia merahsiakan kebenarannya. Kalau emak dan tok wan tahu, barangkali aku dibelasah secukupnya. Mana pernah mereka mengajar aku seberani itu ikut orang yang tak dikenali. Lelaki pulak tu dan dalam situasi yang boleh mengundang perkara yang tak diingini.Akhirnya dia mengangguk dengan senyum tersungging di bibirnya. Lega rasa hatiku saat sebuah senyuman terlakar dibibirnya.

“Hah…sebelum saya lupa…minta balik kad kerja saya. Nanti tak pasal saya tak boleh masuk kem kerana tak ada pass masuk”. Kali ini dia pula minta kad kerja yang diberikan padaku semalam. Hampir saja aku lupa untuk memulangkan kepadanya kalau dia tak ingatkan aku.

“Ohh…tunggu sat. Saya ambik kat dalam bilik”. Segera aku tinggalkan dia lalu menaiki tangga untuk ke atas. Aku masuk ke bilik dan mata melilau mencari kad kerjanya yang aku belek pagi tadi. Senyum terukir di bibir tatkala mata menangkap kad kerja yang terletak elok di atas meja solek bersebelahan dengan Nokia murah aku. Segera aku capai. Baru hendak melangkah keluar, Nokia murah melalak pula. Terus aku gapai dan mata terpaku pada nombor yang tertera. Terasa semput nafasku dan mata membulat melihat nombor itu lagi.

“Hish…dia ni memang tak akan bagi aku hidup senang”. Aku mengomel seraya aku tekan butang merah. Segera aku off telefonku. Puas hati kerana dia tak akan ganggu aku lagi. Namun aku terkedu sekejap. Sampai bila aku nak mengelak dari dia. Esok-esok muka itu juga yang aku hadap hari-hari. Selagi tak disahkan jawatan, memang aku kena kerja dengan dia jugak. Apa pilihan yang aku ada?. Nak bayar 30k tu…mana nak cekau duit. Aku bukan orang berduit pun. Kalau ada 30k pun tak akan aku nak bagi macam tu je kat dia. Orang miskin macam aku ni dengan 30k tu macam-macam aku boleh buat. Akhirnya aku terduduk di birai katil, menarik nafas dengan panjang lalu aku beristigfar berulang kali. Kad kerja Shahril Aiman yang ada dalam pegangan aku tilik tanpa perasaan. Teringat pula pada apa yang kami bualkan tadi. Mungkin dia jodoh yang ALLAH kirimkan buat aku. Mungkin dia satu-satunya penyelamat aku dari mr.hotter guy berhati binatang itu. Hanya ini pilihan yang aku ada. Selamatkan diri dengan menjadi tunangan Shahril Aiman. Pasti si hotter guy tak akan berani-berani menganggu aku lagi kerana aku milik orang.

‘Nurin…fikir masak-masak!. Betulkah dengan apa yang kau buat? Ini soal hidup?. Bolehkah kau habiskan hayat dengan Shahril Aiman tu?!!!’. Kata hati giat menasihat pula.

‘Bolehkah kau cintakan dia?’. Hati menambah lagi. Aku pejam mata. Muka aku raup berkali-kali. Aku tarik nafas panjang lalu lepaskan perlahan.

“Aku yakin dengan apa yang aku buat. Memang ini jodoh yang ALLAH kirimkan buat aku. Cinta selepas nikah itu lebih indah. Dan dia memang jodoh terbaik yang ALLAH ciptakan buat aku”. Aku menjawab bagi setiap persoalan yang bermain di benakku tadi. Lantas aku berdiri dari birai katil. Kemudian menapak keluar dari bilik. Kad kerjanya yang berada dalam tangan aku genggam dengan erat. Yakin dengan keputusan yang aku buat.

Puan Munirah tak habis dengan senyum. Sesekali dia melihat wajah anak teruna sulungnya itu yang manis sentiasa. Tadi bukan main dia mengelat, alih-alih dia pula yang tak sabar nak beristerikan Nurin Kamila.

“Apa yang Man cakap kat dapur tadi sampai Nurin terima pinangan Man tu?”. Puan Munirah menyoal pula. Tak disangka hajat asal hendak merisik dah jadi bertunang pula. Kesian pada Nurin kerana cincin belah rotan yang sudah pudar warna emasnya dan murah itu menjadi mangsa disarung ke jari. Kebetulan hanya cincin itu saja yang tersarung di jari Puan Munirah. Hendak disarung cincin berlian bermata satu itu, sungguh dia tak akan beri kerana itu cincin pemberian arwah suami tersayang. Cincin yang mempunyai nilai sentimental yang tak akan luput dari ingatan selagi hayat di kandung badan.

“Tak ada apa mak…Man pun tak sangka yang dia terima pinangan Man. Tapi Man syukur sangat mak. Entah kenapa sekali tengok, hati Man berdebar kuat. Man rasa memang dia jodoh Man. Tak pernah Man rasa pada mana-mana perempuan yang Man kenal mak”. Luah Shahril Aiman dengan bersungguh. Namun mata masih tertumpu pada pemanduannya. Sesekali saja dia melihat wajah ibunya kerana berbual.

“Mak sarung cincin mana satu buat bakal menantu mak tu?”. Kalut dia menyoal pula.

“Man tu yang tak menyempat. Gelojoh sangat. Kesian Nurin, cincin belah rotan zaman mak bertunang dengan ayah tu yang sempat mak sauk. Zaman tok nadok…Warna pun dah pudar. Nanti masa akad nikah, Man bagilah yang elok dan mahal sikit kat Nurin tu.”

“Hai…mak…Man tengok ada cincin belian mata satu yang mahal kat jari manis mak tu, awat tak sarung yang tu je. Mak ni pun berkira jugak dengan Man ye?”. Shahril Aiman sengaja mengusik ibunya. Menduga hati ibu kesayangannya itu. Spontan satu cubitan menyinggah di lengan anaknya sulungnya itu.

“Man…kerat 18 pun mak tak akan bagi. Cincin ni pemberian arwah ayah sebelum dia tutup mata. Satu-satunya pemberian ayah yang mak akan simpan buat kenangan seumur hidup. Yang ini satu-satu harta berharga buat mak.” Terang Puan Munirah bersungguh-sungguh. Ada riak sedih terlukis di wajahnya. Kenangan bersama suami tercinta segera terlayar di depan mata.

“Man minta maaf mak…Man gurau je. Man tahu cincin tu banyak kenangannya pada mak”. Shahril Aiman segera memegang tangan ibunya lalu dibawa ke bibir. Di cium dengan seikhlas mungkin tanda dia benar-benar tidak berniat dengan apa yang dikatakannya tadi. Puan Munirah kembali senyum. Tangannya seraya mengusap rambut Shahril Aiman anak sulungnya itu. Dengan Shahril Aiman memang kasih dan sayangnya tidak berbelah bagi. Pada Shahril Aiman, ada wajah suami tercinta di situ. Buat penyejuk mata kala hati sedang bergundah.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku