Mr.Hotter Guy
Bab 27
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Jun 2013
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4240

Bacaan






Bab 27

Mokhtar tak habis dengan ketawanya sampai menekan perut. Luqman Hakimi menarik muka. Sakit hati memikirkan ketawa sahabatnya itu yang tak berkesudahan. Tujuan dia bertandang ke rumah sahabatnya itu sekadar untuk meluahkan rasa sakit hati dengan apa yang berlaku di Penang. Sebaliknya ketawa perlian pula yang dia dapat. Kalau tahu begini lebih baik dia balik terus ke rumah dan tidur. Hilang penat. Hilang stress.

“Itulah…gelojoh sangat. Kan aku dah pesan. Mana boleh praktik sekaligus. Step by step okey. Sendiri cari pasal sendiri tanggunglah bro”. Mokhtar mengulas pula. Tawa dibibirnya masih lagi bersisa. Sesekali tangannya merayap ke atas kepala Luqman Hakimi. Cuba mencari benjolan di situ.

“Woo…woo…apa kau buat ni?”. Segera Luqman Hakimi menolak kasar tangan Mokhtar yang menyinggah di kepalanya.

“Jangan salah faham bro, aku nak raba benjol kepala kau ni. Jangan belit-belit. Aku lurus bro…bukan bengkok”. Mokhtar segera menarik tangannya dari hinggap di kepala Luqman Hakimi. Nak tergelak lagi melihat reaksi Luqman Hakimi yang menggelabah semacam. Niatnya sekadar hendak mengetahui setakat mana sakitnya kepala sahabatnya itu kena ‘kungtau’ dengan Cik Nurin Kamila.

“Sakitlah bro. Dia ketuk kepala aku dengan fail setebal 4 inci. Pening kepala tak hilang lagi…tahu!”. Luqman Hakimi memicit kepalanya yang terasa sengal. Sesekali dia memejam matanya. Mengingat kembali apa yang cuba dilakukan semalam terhadap Nurin Kamila.

“Habis tu…rancangan kau? Gagal ke masih ada peluang lagi?”.

“Entahlah…dia cakap nak berhenti”.

“Hmm…gagallah tu. Nampaknya tak dapatlah kau nak elak dari Andrea”. Mokhtar sengih. Dia menelan tawa. Tak mahu sahabatnya itu kecil hati pula andai dia ketawa lagi melihat kegagalan Luqman Hakimi.

“Dia ingat senang nak berhenti. Kalau nak berhenti kena bayar 30k…dia mampu ke?”. Soal Luqman Hakimi sedikit riak. Dia tak fikir Nurin Kamila akan berhenti dan dia pasti tak akan mampu setiausahanya itu membayar 30k. Dia tahu sangat kemampuan setiausahanya itu. Malah dia tahu latar belakang Nurin Kamila yang hanya anak orang miskin.

“Bukan lama mana lagi cabaran kau dengan Andrea nak berakhir. Tak sampai 3 bulan lagi, sempat ke?. Menyerah kalah je. Lagipun Andrea tu pun okey apa?. Namanya tengah meletop-letop sekarang ni. Aktres terkenal Malaysia. Rugi kalau kau tolak”.

Luqman Hakimi mengecilkan matanya. Menghantar isyarat yang dia memang tidak suka nama Andrea disebut-sebut. Kalau Andrea terkenal seluruh dunia pun tak akan dihadapnya perempuan itu untuk menjadi pasangan hidupnya. Bukan dia tak tahu niat Andrea. Bukan betul-betul pun inginkan dia. Hanya mahu menumpang kekayaan dan kemasyhuran nama keluarganya. Bukan ikhlas pun. Semuanya mempunyai agenda tersendiri.

“Selagi tak berakhir 6 bulan tu…aku masih ada peluang. By hook or by crook, Nurin Kamila mesti menjadi galang gantinya. Kalau dulu aku memang nak main-main. Tapi sekarang…aku serius. Dengan benjol yang aku dapat ni…dia mesti jadi milik aku. Baru puas hati!” Luqman Hakimi mengepal penumbuk. Sakit hati memikirkan habuan yang dia dapat di atas kepalanya. Tak pernah dalam hayatnya ini, dia dikalahkan dengan seorang gadis. Gadis kampung yang miskin dan tak punya apa-apa kelebihan. Dia mencemik. Geram dan sakit hati.

“Maksud kau?”. Mokhtar menyoal tidak faham. Cuak pula mendengar sahabatnya bercakap sebegitu. Serius dan bersungguh-sungguh. Setahunya Luqman Hakimi jenis yang tak ambil kisah. Kalau tak dapat bunga yang ini, banyak lagi bunga yang menanti.

“Aku mana pernah kalah?. Mana pernah dimalukan macam ni?. Sekali petik, awek dah tersungkur di hujung kaki. Yang ini, benar-benar mencabar. Bukan high class pun. Awek kampung je”. Ucapnya tidak puas hati. Mokhtar yang mendengar hanya menjongket kening. Tak sangka sahabatnya itu benar-benar serius dengan apa yang dimaksudkannya itu. Dia pun pelik. Nampaknya Cik Nurin Kamila bukan gadis sebarangan. Kalau tidak masakan Luqman Hakimi nekad untuk memiliki gadis itu.

WAJAH Datin Shima cemberut tatkala membaca tajuk besar di muka hadapan Majalah Glam itu. Terakam aksi Andrea yang sedang dipeluk oleh Ariel Zen dari arah belakang. Bibir Ariel Zen seolah-olah sedang mencium pipi mulus anaknya itu. Manakala Andrea pula memberi wajah ceria dengan sebuah senyuman yang mengghairahkan. Tagline ‘Pasangan Filem Badai Rindu dilamun cinta’ benar-benar membuatkan Datin Shima panas hati.

“Apa semua ni Drea? Betul ke apa yang ditulis ni?”. Soal Datin Shima seraya melemparkan Majalah Glam di hadapan Andrea yang sedang bersarapan itu. Andrea hanya melihat dengan ekor matanya saja sambil menghirup kopi yang suam-suam kuku itu. Terasa sedapnya tatkala air kopi itu menuruni tekaknya. Sudah lama dia tidak merasa sarapan pagi di rumah sendiri. Semenjak nama sudah dipuncak kerana filem lakonannya meletop di pawagam, Andrea seakan tidak punya masa untuk bersantai dan beristirehat sebegini. Sebaliknya masanya lebih banyak digunakan untuk mempromosikan filem dan dirinya sendiri. Namun dia puas kerana cita-citanya untuk berada di puncak telah tercapai.

“Mama ni…benda ni semua gosiplah…jangan percayalah”. Jawabnya malas. Dia menyelak helaian Majalah Glam, mencari berita utama mengenai dirinya dan Ariel Zen itu. Senyuman galak terukir di bibirnya. Mata tak habis membaca setiap baris ayat yang menceritakan kisahnya dan Ariel Zen. Teringat kembali segala aksi semasa mereka memberikan pose terbaik untuk Majalah Glam. Andrea menarik nafas, lalu kembali menghirup air kopi yang masih bersisa. Seronoknya saat mengingati detik manis bersama Ariel Zen.

“Tapi mama tengok Drea macam suka je dengan mamat ni?”

“Ma…mamat tu nama Ariel ma...!”. Andrea bersuara manja. Cuba membetulkan panggilan Datin Shima buat Ariel Zen itu.

“Whatever…betul gossip?. Mama tak nak rancangan mama nak satukan Drea dengan Luke gagal pulak. Gosip macam ni tak bagus Drea. Nanti apa pula kata Puan Sri. Mama rasa cukuplah Drea berlakon. Tak payah involve lagi”. Putus Datin Shima. Bimbang juga rasa hatinya kalau Andrea beralih arah. Manalah tahu Andrea terpengaruh dengan dunia glamour, dah tak mahu mengejar Luqman Hakimi lagi sebaliknya mahu mengejar dunia glamour pula.

“Ma…Drea baru nak rasa glamour. Nama Drea tengah naik ma…banyak tawaran berlakon buat Drea. Tak akan nak stop macam tu je. Ishkk…kalau dah Luke tak ingin..buat apa Drea nak tersua-sua ma…Elok kita lupakan je niat kita tu. Malaslah nak fikir pasal Luke yang hati kering tu”. Andrea menjuih bibir. Bila diingat kembali. Rasa menyesal pula mengejar Luke yang sikit pun tak ada hati padanya. Rasanya ada juga faedah mengejar Ariel Zen. Sekurang-kurangnya dia tidak bertepuk sebelah tangan.

“No…never. Cuba Drea fikir. Luke tu pewaris Berjaya Corporations. Senang hidup Drea nanti.” Andrea menjuling matanya ke atas. Bosan mendengar omelan mamanya. Asyik hendak mengejar harta orang, sedangkan mereka bukan orang susah pun. Harta mereka pun dah berlambak. Apa lagi yang hendak dikejar dengan harta orang lain. Akhirnya Andrea bangun dari kerusi makan. Perut dah kenyang, hati pula senang. Malas hendak berlawan kata dengan Datin Shima.

“Okeylah ma…Drea nak bersiap. Pukul 2.00 petang ada fotoshoot dengan Majalah Wanita pula”. Dia sudah menapak hendak ke tingkat atas semula. Datin Shima menarik muka. Terasa dengan sikap acuh tak acuh Andrea tentang topik yang dibincangkan itu. Nampaknya Andrea sudah mula berubah hati. Dia tak mahu apa yang diidamkan menjadi sia-sia. Sebelum semuanya terlepas, dia perlu cepat-cepat menjodohkan Andrea dengan Luke.

“TADAA…”. Ariel Zen meletakkan sepinggan makaroni bakar yang baru dikeluarkan dari oven. Dua gelas kosong diisi dengan air coke bersama ketulan ais buat santapan mereka pada petang itu. Tersenyum Andrea kerana bahagia dilayan laksana puteri. Ariel Zen bukan sahaja kacak dan pandai mengambil hatinya, malah lelaki kacukan melayu cina itu juga pandai memasak.

“Rasalah…sedap tak?”. Soal Ariel Zen sambil menyuap Andrea sepotong macaroni bakar itu. Mulut mengunyah mata terpejam. Begitu asyiknya Andrea cuba menghayati masakan itu. Dengan Ariel Zen, dia rasa bebas. Tak perlu berpura-pura menjadi wanita sopan. Dia rasa tenang menjadi dirinya. Berbeza dengan Luke, dia perlu berlakon untuk memancing hati lelaki itu.

“Sedap..pandai you masak”. Puji Andrea ikhlas. Ariel Zen senyum gembira. Bahagia dipuji. Dia memang sudah lama tertarik hati dengan Andrea model dan pelakon terkenal ini. Apabila digandingkan sebagai pasangan hero dan heroin dalam Badai Rindu, dia memang tidak lepaskan peluang. Akan diguna sebaik mungkin untuk menambat hati heroinnya itu.

“You dah baca cerita pasal kita dalam Glam?”. Soal Andrea pula. Ariel Zen pantas mengangguk. Majalah Glam dikeluarkan dari laci Kabinet TV.

“Cantik la you !”. Puji Ariel Zen sambil mata tak habis menilik wajah Andrea yang terpampang di muka depan Majalah Glam itu. Sengih Andrea kerana suka dipuji begitu.

“Really?”. Dia pura-pura menyoal. Sengaja buat-buat tidak percaya dengan pujian Ariel Zen itu.

“Betul. I tak tipu. You memang cantik. Bertuah siapa yang jadi kekasih you!’. Ariel Zen menggiat pula. Sekadar hendak melihat reaksi Andrea. Alangkah bahagianya kalau Andrea mengaku yang dia tak punya siapa-siapa dalam hidupnya. Pasti dia tidak akan lepaskan peluang untuk menakluk hati wanita cantik didepannya ini.

Andrea tidak membalas, sebaliknya dia hanya senyum saja mendengar pujian dari Ariel Zen itu. Saat ini dia pun tak pasti dengan kehendak hatinya sendiri. Masihkah Luqman Hakimi yang bertakhta di hatinya atau dia lupakan terus lelaki itu. Namun memikirkan kehendak mamanya Andrea jadi keliru sendiri. Dia bukan bodoh untuk memahami rasa hati yang ditunjukkan oleh Ariel Zen terhadapnya. Cara layanan, pujian dan pandangan mata hero ‘Badai Rindu’ itu membuatkan dia yakin lelaki itu memang mempunyai perasaan padanya. Hanya dia saja yang berpura-pura tidak mengerti.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku