SUARA TENGAH MALAM
Bab 13
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 23 Jun 2013
Adam, penyiasat persendirian mencari isterinya yang diculik tiga tahun lalu. Dia telah menyewa sebuah bilik di sebuah rumah lama di Melaka dan berkenalan dengan Rafiq. Suara budak kecil yang kerap mereka dengari ketika senja menyanyikan lagu cina sering mengahantui mereka. Usaha mereka untuk menyiasat suara itu mendapat halangan daripada tuan rumah yang pembengis. Namun kehilangan Mazni, anak tuan rumah, telah membawa kepada penemuan baru. Suara siapakah itu? Dapatkah dia menemui semula isterinya?
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
4163

Bacaan






LIYANA menanggalkan kain cadar putih yang membaluti tubuhnya sejak tadi. Walaupun agak panas, dia bersyukur. Setelah sekian lama, akhirnya di situ dia dapat juga menunaikan solat walaupun tidak dalam keadaan yang sempurna.

Tuala yang dijadikan sejadah dilipat semula. Dalam debar yang masih terasa, dia berdoa tanpa henti agar kiblat yang dipilihnya mengikut kedudukan matahari itu betul. Dia juga berharap agar solatnya tetap diterima dalam keadaan sebegitu. Sedang dia mengemas semula kain cadar yang dijadikan telekung ala-kadar, pintu biliknya dibuka. Hampir terhenti nafasnya apabila terlihat muka Zed di celah pintu.

“Buat apa?”

Dia menggeleng laju. Dia harap Zed tidak tahu lalu dia berpura-pura mengemaskan katilnya.

Zed memerhati sikap Liyana dengan teliti, kemudian dia berkata, “Kau nak turun ikut beranda tu? Turunlah. Biar pecah kepala kau.”

Liyana menggeleng lagi. Dia tahu yang Zed mengesyakki dia mahu turun ke bawah menggunakan cadar tetapi dia sendiri tidak terfikirkan cadangan itu. Dia ngeri dan gayat. Lagipun dia belum mahu mati. Jika dia mahu mati, dia tidak bertahan hingga ke hari itu.

“Ikut aku keluar,” kata Zed lagi sebelum membuka semula pintu. Pintu itu kemudiannya dibiarkan sahaja terbuka lebar.

Liyana hairan. Sejak dia dibawa ke rumah itu, belum pernah dia dibenarkan keluar ke ruang tamu. Apa kenanya dengan Zed hari ini?

“Mari makan.” Zed yang menunggu di ruang tamu menunjukkan meja makan yang sudah dipenuhi makanan. Ada jambangan bunga ros merah sekali di situ.

Mata Liyana membesar. Kini dia tahu apa maknanya. Sudah setahun lagikah berlalu? Namun dia tetap patuh kepada arahan Zed. Dia bergerak ke arah meja dan duduk tanpa disuruh.

Setelah Liyana duduk, Zed menarik kerusinya lalu duduk dengan selesa. Dia buka bungkusan makanan Liyana.

“Hari ini kita makan Lamb Chop,” katanya sambil tersenyum. Matanya tajam menyorot wajah Liyana.

Liyana tenang-tenang sahaja. Seperti kebiasaannya, dia akan diberi makan tanpa sudu ataupun garfu, apatah lagi pisau. Rasanya Zed mengambil langkah berjaga-jaga. Zed tidak pernah percaya pada dia.

“Happy Anniversary, Azreen.” Zed angkat botol air mineral ke arahnya. Lalu meneguknya dengan laju. Bergerak-gerak halkumnya turun naik.

Azreen, bisik hati Liyana. Sampai bilakah dia harus menjadi Azreen dalam hidup Zed? Setiap tahun, Zed pasti tidak akan lupa meraikan ulang tahun perkahwinannya dengan Azreen dan dia terpaksamenggantikan Azreen untuk saat itu.

“Bunga ros itu untuk kau. Kau suka, kan?” Mata Zed terus bersinar-sinar. “Aku tak dapat celebrate anniversary kita malam ni, jadi aku mahu kita celebrate tengah hari ni, boleh? Malam ni aku ada kerja.”

Liyana dengar sahaja. Dia bukan Azreen. Dia tidak pernah kisah pasal ulang tahun perkahwinan Zed dan Azreen atau sambutannya. Semuanya tidak ada makna langsung dalam hidupnya.

“Kau tak nak tanya apa kerja yang aku buat?” Sambil makan Lamb Chop dalam bekas makanannya, Zed terus cuba berbual.

Liyana menggeleng.

“Ini kawasan abang aku, Botak. Aku kerja dengan dia, jaga kawasan dia. Tapi malam ni aku kena buat kacau di kawasan orang lain pula. Botak nak ketua-ketua lain rasa takut pada dia.”

Liyana tidak mempedulikan cerita Zed. Dia hanya meneruskan suapannya kerana dia tidak pasti bila lagi dia akan diberi makan selepas itu. Cuma dia agak terkejut kerana inilah kali pertama dia mendengar Zed menyebut perkataan ‘kerja’. Selama tiga tahun ke sana–sini dibawa Zed, Zed langsung tidak pernah menyebut tentang perkara itu. Apa yang dia tahu Zed sentiasa banyak duit dan kawan.

“Kau tengok ni.” Zed tunjukkan pula lengannya yang berparut panjang. “Kena tetak malam tadi. Mujur tak luka dalam.”

Untuk sesaat dua, Liyana memandang. Kemudian dia menyambung makan. Dia peduli apa jika Zed luka atau tercedera. Dia cuma harap, jika Zed mati, dia tidak akan terus terkurung dalam bilik dan mati kebuluran pula selepas itu. Itu sahaja doanya.

“Hey!!!” Zed hentak meja dengan penumbuknya. “Kau dengar tak apa aku cakap?”

Liyana angguk. Hampir lagi dia tercekik kerana terperanjat. Namun belum sempat dia mencapai botol air meneral, Zed sudah bangun menolaknya sehingga dia jatuh ke lantai dengan kerusi yang sedang didudukinya tadi. Dan belum sempat dia bangun, satu tendangan sudah hinggap di tubuhnya. Dia senak seketika, tersembur makanan dalam mulutnya.

“Aku tak suka, kalau aku cakap kau diam!!!”

Zed terus menarik lengannya sehingga dia terbangun pula. Kemudian dagunya dicekak kuat sehingga terasa tulang dagunya sakit.

“Kalau aku bercakap, kau mesti layan!!!”

Tubuhnya didorong ke lantai hingga dia tersungkur. Belum sempat, dia mengangkat tubuhnya, dia disepak lagi beberapa kali. Dan akhirnya tubuhnya diheret masuk ke bilik tidur.

Akhir sekali yang dia dengar adalah hempasan pintu bilik dan suara jeritan Zed di luar sana. Dia tidak ingat apa-apa lagi selepas itu.

******

LIYANA tidak tahu berapa lama dia pengsan di atas lantai. Sedar-sedar sahaja dia terasa amat sejuk sekali. Apabila dia menjeling ke arah celahan langsir di pintu gelangsar, baharu dia tahu yang hari masih siang walaupun mungkin sudah mula petang. Perlahan-lahan, dihela tubuhnya naik ke atas tilam. Dia menarik selimut hingga ke leher.

“Kau nak lari ya? Kau nak lari?” tanya Zed sambil menampar mukanya seminggu selepas dia diculik. Waktu itu dia dibawa ke Labis dan tinggal di sebuah rumah sewa. Dia cuba melepaskan diri ikut pintu belakang sayangnya dia dapat ditangkap oleh orang-orang yang diupah Zed untuk mengawasinya.

Dia menggeleng.

“Kalau kau cuba lari lagi, bukan kau yang akan mati tapi ini!” Zed tunjukkan dia gambar anaknya Aiman yang sedang bermain di tepi pantai.

Dia hanya boleh menangis. Dia tidak tahu apa tujuannya Zed menculiknya. Dia bukan sesiapa. Dia tahu suaminya tidak ada duit berjuta untuk membayar tebusannya. Dia cuma seorang perempuan biasa. Seorang isteri. Seorang ibu.

“Mulai sekarang, kau jangan sesekali fikir nak cabut lari dari aku. Belum sempat kau sampai ke balai polis, anak kau akan sampai ke rumah mayat dulu. Orang-orang aku akan sentiasa mengawasi anak kau.”

Bulat matanya memandang wajah Zed. Dia masih keliru.

Kemudian Zed ketawa berdekah-dekah di hadapannya.

“Jangan takut… aku bukan nak bunuh kau. Aku bukan nak potong telinga kau atau jari kau. Aku nak kau hidup… dengan aku. Aku nak kau ikut saja ke mana aku pergi. Aku nak kau jadi milik aku.”

“Tapi… tapi aku tak kenal kau,” balasnya sambil menggeleng.

“Kau memang tak kenal aku tapi suami kau kenal. Sangat kenal.” Zed ketawa lagi.

Liyana mula faham. Semua yang berlaku itu ada kena-mengena dengan suaminya, Adam. Tentunya ada kena-mengena pula dengan tugas Adam selama ini. Dia buntu. Dia tidak nampak jalan bagaimana mahu menyelesaikan hal ini kecuali dengan berdoa kepada Tuhan agar polis dapat menjejakki kehilangannya.

Sayangnya hari demi hari berlalu, harapannya masih tinggal harapan. Dan dia disuakan dengan penderitaan demi penderitaan. Sehinggalah penderitaannya pernah sampai ke kemuncak pada suatu masa.

“Tolong aku… jangan tendang aku lagi,” rayunya pada suatu malam apabila Zed balik ke rumah sewa dalam keadaan marah. Darah sudah menyembur-nyembur keluar dari rahimnya, hingga membasahi lantai. Kesakitan yang ditanggung sudah terasa seperti ke hujung nyawa. Semangatnya untuk hidup hampir luput bersama gugurnya janin yang dikandung.

“Maafkan aku… aku tak tahu kau mengandung,” kata Zed dua hari selepas itu.

Mujurlah dengan bantuan seorang doktor, darahnya dapat dihentikan. Namun kesakitan yang ditanggung memakan masa untuk hilang. Lebih-lebih lagi sakit di jiwanya. Pernah sesekali ajakan maut datang menghampiri tetapi mujur imannya masih kuat. Dia takut mati sia-sia. Hanya ingatannya kepada Tuhan menghalang dia dari berputus asa. Dia percaya suatu hari nanti dia akan mati juga tetapi jika sudah sampai ajalnya dia tetap mahu mati dalam keadaan beriman.

Sayangnya, Zed bersikap baik hanya sementara. Dari Labis, mereka ke Nilai pula. Di sana Zed tetap akan memukul dia apabila marah atau tidak puas hati tentang sesuatu.

“Kenapa kau tak lepaskan aku sahaja?” Dia bertanya kepada Zed satu ketika dulu. Dia sudah bosan asyik dipukul bantai.

Zed menggeleng.

“Sampai mati pun, aku takkan lepaskan kau.”

“Tapi kenapa? Apa yang suami aku dah buat pada kau hingga kau buat pula aku begini?”

“Kau nak tahu?” Zed bertanya.

Dia angguk. Dia ingin tahu sangat apa salah Adam kepada Zed.

“Dia dah bunuh isteri aku, Azreen. Dia dah buat hidup aku merana. Sekarang… aku nak dia pula merana setiap saat. Baru adil, kan? Kan?” Zed terus ketawa dan ketawa.

Mulai saat itu, dia tahu yang Zed benar-benar akan buat hidup dia, Adam dan Aiman merana. Dia juga tahu, tidak guna jika dia cuba melarikan diri kerana keselamatan Aiman sentiasa diawasi Zed walau dari jauh.

Dia cuma berharap agar Tuhan mendengar doanya setiap hari dan malam. Dia tidak akan putus asa menanti saat di mana dia akan kembali semula ke pangkuan keluarganya. Dia yakin masa itu akan tiba, jika bukan di dunia. Di akhirat sana.

Dia kembali memejamkan matanya. Dia harap kesakitannya hilang.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | Bab 1 | Bab 2 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku