RIMAU DI TEPI TASIK
bab 15 PENDAKWARAYA DAH MATI KATAK!
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 16 November 2012
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1667

Bacaan






Bab 15 PENDAKWARAYA DAH MATI KATAK!


Tauke Chua menggelengkan kepala. “Payah nak kata. Gambar dok terang sangat. Tapi aku yakin bukan Nasir!”

Haji Samad mengeluh. Dia meneleng ke kiri, merenung kosong ke sawah luas yang menjadi sebahagian sempadan banglo dua tingkat itu. Beberapa detik digigit sikit bibirnya.

“Dah jadi pelik kes ni. Tauke, tekaan kamu memang betul. Zaki Rahim memang boleh menang. Pendakwa dah resah. Dah goyang. Dah nak tumbang. Dah macam lembu diikat kaki depan belakang. Kamu tak rasa pelik? Perbicaraan duk tengah rancak, tiba-tiba pendakwaraya mintak tangguh! Aku rasa kena sakit jantung dia kalau gambar dalam hutan tu jadi bukti. Bukti baru!”

Tuake Chua hirup lagi, Dihabiskan kopi yang berbaki di pantat cawan. Dia menyapu bibirnya dengan tangan. Kemudian menggenyeh hidung. Terasa dia dah menang dan dihargai oleh orang yang biasanya ada saja sudut yang mahu bangkang balik buah fikirannya. Tapi kali ini itu tidak berlaku. Orang yang biasanya penyet dan hentak cakap-cakapnya itu sudah memberikan kemenangan pulak. Tanpa sebarang keraguan

“Aku selalu follow kes-kes besar Loyar Zaki Rahim. Kalau dia yang ambik, memang yang pelik-pelik macam ni akan berlaku. Yang pelik tu buat dia menang. Sebab tu aku dah kata, Pendakwaraya akan mati katak saja! Pendakwaraya mesti kalah punya. Gerenti buang kes punya!”

Haji Samad mengangguk-angguk.

“Betul kata kamu tu. Sejak kita sembang dengan Ustaz Jalil dulu, aku pun dah naik minat. Dah follow jugak kes ni. Memang betul cakap kamu. Pelik kes ini. Tak masuk akal. Bukti pendakwaraya tak boleh pakai langsung. Macam dibuat-buat. Macam dah diatur tu!”

Kini giliran Tauke Chua pula menjadi mendengar dan mengangguk-angguk kecil. Haji Samad mendecit dan mencebik.

“Aku pun dah naik geram tengok. Apa jadahnya seluar baju Nasir jadi bahan bukti, haram tak jumpa kesan apa benda pun? Waktu ditangkap dulu, kononnya baju dan seluar itu jugak dia pakai. Sama waktu Nasir keluar makan dengan gadis salun tu. Bangangnya, ahli kimia siasat-siasat tak jumpa pun kesan darah. Tak ada pun rambut Amelia di baju atau seluar Nasir! Lagi teruk, kesan debu atau tanah dari tempat kejadian tak ada sikit pun!”

Tauke Chua naik semangat. Pembangkang sudah jadi penyokong sekarang! Dia mencelah sambil kedua-dua tangan terangkat macam menadah doa.

“Haji, itu bukan pelik namanya. Tapi incredible! Loyar Zaki yang incredible! Dia dapat tunjuk bukti yang tak masuk akal kita. Sebab tu Pendakwaraya jadi katak puru. Kelepek dalam court. Kelip-kelap mata tunggu masa Zaki Rahim baham saja!”

Haji Samad mengangguk sambil mengangkat jari telunjuk. Digerak ke depan dan ke belakang beberapa kali. “Kita tak terfikir, kira ok tu. Kita bukan loyar. Tapi yang bangangnya, pendakwaraya jahil macam kita jugak!”

Tauke Chua menarik akhbar di atas meja. Telunjuknya menekan tajuk utama muka depan.

“Tengok ni. Tali yang dijumpai dalam but kereta Nasir. Tak ada lecetan kulit. Tak ada kesan darah gadis salun tu. Ini yang peliknya. Tapi tali dan baju tu jadi jugak bukti di mahkamah! Macam planted evidence saja! Tapi tak menjadi! Nampak sangat macam nak tipu!”

Haji Samad menjenguk. Dia geleng kepala. “Kes ni dah jadi double incredible!”

Spontan meledak tawa Tauke Chua. “Bukan kes tu, Haji! Loyar Zaki Rahim yang dah jadi master of double incredibles!”

                                                            @@@@@@@@@@

Ketika ketawa sudah pun reda, Tauke Chua bangun, dan melangkah ke pagar beranda setinggi paras pusatnya. Dia berpusing dan bersandar membelakangi sawah yang terhampar menghijau. “Haji dan tengok blog Sarah Yong?”

Haji Samad menyandar, merenung akhbar di atas meja, sambil jari-jari kanan dan kiri bergiliran turun naik menggendang lengan kerusi rotan. Dia tidak memberikan respon kepada Tauke Chua. Jelas fikirannya tidak di situ sekarang.

Tauke Chua kembali duduk di kerusi, kali ini dipilih yang lebih rapat dengan tauke stesen minyak itu.

“Haji, boleh pinjam notebook?”

Haji Samad mengangkat muka, tersenyum sedikit, mengangguk kecil, dan mengangkat ibu jari. Dia bingkas, dan melangkah cepat melepasi pintu gelonsor yang lebar.

Beberapa minit kemudian dia meletakkan notebookdi atas meja cermin. Tauke Chua terus bangun, dan bercokoh di birai meja yang agak rendah itu. Segera dia akses internet. Dengan wajah terpapar keterujaan tahap maksima dia mengangkat notebook,, dan meletakkannya hampir dengan Haji Samad.

“Haji, tengok ni! Baca ni. Baca betul-betul! Ada cerita lain tentang kes gadis salun nih!”

Terus naik memuncak paras ghairah Haji Samad. Dia jerungai ke komputer riba.

Tauke Chua makin galak mendorong. “Berita panas. Blog Skandal Central ni memang bagus. Dari awal follow kes gadis salun! Haji baca dulu!”

Mula-mula Haji Samad macam memaksa dirinya. Tapi makin lama dia menatap skrin, nampak tidak teralih lagi fokusnya. Tauke Chua ralit pula memerhati gelagat sahabatnya. Kepala menggeleng dan mengangguk kecil. Mulut keriput, suara mendecit. Kepala, telinga dan hidung digaru sikit-sikit, bergantian dalam beberapa minit.

Tumpuan Haji Samad tidak lepas daripada ruangan yang berjudul “Kes Gadis Salun: Info di sebalik tabir!” tulisan Sarah Yong.

‘Kes ditangguh sebulan kerana Hakim telah memberikan amaran kepada Pendakwaraya supaya membawa bukti yang benar-benar kuat dan munasabah. Ini mudah difahami. Bukan sangat kerana kes ini mensabitkan seorang anggota RELA, tetapi kes ini berkait langsung dengan integriti seorang tokoh korporat yang dikenali sebagai sahabat MB. Ada angin yang bertiup kencang mengatakan Nasir Salleh, pengurus anak syarikat kepunyaan jutawan itu hanyalah kambing korban dalam kes ini. Hanya untuk menutup kerakusan dan nafsu haiwan taukenya. Sudah tersebar di dalam blog yang daring, iaitu MAHKAMAH BIAWAK milik MUSANG PULUT tentang interview dengan seorang ahli politik misteri yang menyatakan dia mempunyai bukti keterlibatan langsung Dato’ Azman dalam kes itu. Gadis Salun (si mati) dipercayai wanita simpanan tokoh korporat yang sedang mendaki puncak kejayaan dan kemasyhuran. Kejadian dalam mahkamah memberikan indikator ada orang ketiga terlibat dalam kes ini. MUSANG PULUT memberikan andaian, Nasir Salleh diperangkap dan teraniaya untuk melenyapkan bukti jenayah, dan melepaskan jerung besar atas sebab-sebab politik!’

Haji Samad menggeleng kepala lagi. Dia menolak notebook ke tengah-tengah meja. Selepas menggenyeh cepat hujung hidungnya, dia membetulkan duduk, dan berpaling kepada Tauke Chua. “Sarah Yong? Wartawan Utusan Sinar yang kena pecat tu?”

Tauke Chua mengangguk. “Kes lama tu. Kes silap lapor. Sindiket seludup wanita dari Cina. Bekas YB, Dato’ Kumar dituduh terlibat. Orang politik tu saman Utusan Sinar. Tapi masa di mahkamah, informan yang beri maklumat kepada Sarah Yong cakap lain. Dah belot! Tak mengaku beri bukti kepada wartawan tu. Tuduh Sarah Yong silap dengar. Silap lapor. Rakaman interview pulak lesap entah ke mana. Utusan Sinar kalah. Kena bayar gantirugi satu juta! Sarah Yong dipecat sebab lalai. Tapi sekarang dah aktif jadi blogger. Ramai peminat. Baru setahun, dah sejuta orang akses blog Skandal Central.

Haji Samad keripot mulutnya. Dia berfikir sejenak. “Boleh percaya blog ni?”

Cepat Tauke Chua membalas.

“Aku follow dari awal. Sarah Yong bukan jenis wartawan cabuk. Dia tak buat tuduhan melulu. Mesti ada bukti. Macam kes doktor swasta pakar jual bayi. Mula-mula baca, macam tak masuk akal. Tapi Sarah Yong tunjuk bukti lengkap. Sempurna. Gambar. Dokumen. Semua ada. Polis dah serbu klinik tu. Doktor pakar tu dah kena dakwa pun. Aku rasa, kes gadis salun ni, jadi macam tu jugak! Mesti Sarah ada bukti tu!”

Haji Samad tidak sabar lagi. Dia bingkas berdiri. Semangatnya sudah begitu semarak. “Kalau macam ni, kita jangan tunggu lagi. Jangan biar Nasir teraniaya. Kita jumpa Termizi malam ni jugak. Mesti jumpa.Jangan tangguh-tangguh. Bukti baru ni...gambar kawan kamu tangkap dalam hutan tu, Inspektor Termizi mesti tengok malam ni jugak!”

                                                               @@@@@@@@@@



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku