Psst... Dia Suami Saya!
Bab 25 - PDSS
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 10 Julai 2013
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
24347

Bacaan






ZAIDAH terpegun dengan figura lelaki itu, tinggi lampai dan handsome. Matanya tidak berkelip memandang dari bawah ke atas.

“Jom Zaidah, kita pergi makan mee goreng mamak di seberang jalan tu. Aku mengidamlah dengan mee goreng mamak.” ujar Asraf sambil menoleh ke arah Zaidah.

“Hei, aku cakap ni.. kau pandang apa tu?” ujar Asraf turut memandang mencari sesuatu.

“Asraf, siapa lelaki handsome tu?” soal Zaidah teruja sampaikan tertarik lengan baju Asraf.

“Lelaki handsome mana?” soal Asraf semula. Matanya melilau mencari kelibat lelaki yang dimaksudkan oleh Zaidah.

“Tu hah! Yang ada di kaunter kafe tu. Sebelum ni aku tak pernah nampak pun. Staf baru ke?” mulut Zaidah terjuih ke arah Love Coffee Café.

“Eemm… kau ni ketinggalan kapal terbang ke apa? Itu pengurus baru Love Coffee Café.” jawab Asraf malas. Wajahnya mencuka masam.

“Pengurus baru? Kenapa aku tak tahu menahu pasal ni?” soal Zaidah curiga kerana dia langsung tidak menyedari kehadiran lelaki itu hotel mereka.

“Sebab kau tak mahu ambil tahu! Sebelum ni, Mr. Salman yang uruskan. Sekarang pula pengurus baru ambil alih. Psst… aku dengar sebab masalah kewangan! Handsomekan pengurus baru tu. Macam artis Korea!” ujar Asraf tersenyum. 

Mata Zaidah masih menumpukan perhatian kepada figura itu.

“Lelaki itu orang Korea ya? Pandai ke dia cakap bahasa Melayu?” soal Zaidah lagi. Dia benar-benar tertarik dengan lelaki yang handsome. Sesuatu yang normal pada pandangan mata seorang wanita.

“Iya, aku dengar cerita dia tu dari Korea. Yang paling aku terkejut, dia boleh bertutur dalam bahasa Melayu.” jawab Asraf bersungguh.

“Betul ke ni? Cerita yang sangat menarik dan aku sangat suka!” Zaidah menjerit kecil.

“Woi.. perlahan sikit suara kau tu. Tahulah kau tu teruja sangat dengan lelaki handsome.” Asraf menjeling tajam ke arah Zaidah.

“Bila kita nak berkenalan dengan dia? Aku sudah tidak sabar ni. Mana tahu kali ini aku berjaya menguratnya!” Zaidah tertawa besar.

“Asraf yang baik hati. Kau tolong aku.. kenalkanlah aku dengan dia.”

Asraf buat muka selamba tanpa memandang wajah Zaidah.

“Please…” pujuk Zaidah lagi.

“Malaslah aku. Banyak kerja lain yang aku kena buat. Kau sendirilah berkenalan dengan dia! Kaukan wanita Melayu terakhir.” perli Asraf membuatkan Zaidah menoleh terus ke arahnya.

“Aku tahu, kau jealous kan! Sebab aku minat dengan dia! Kau tak mahu bantu aku, tak apa. Aku boleh uruskan sendiri!” gertak Zaidah.

Asraf mencembekkan wajah.

“Hah, buat lah sendiri. Aku nak lihat kau berjaya ke tak?” perli Asraf seperti menyimbah minyak tanah membuatkan api semakin marak.

“Kau lihatlah, aku pasti berjaya!” jawab Zaidah bersemangat tinggi.

“Kita tengok siapa yang menang nanti!” ujar Asraf berlalu meninggalkan Zaidah yang masih tidak mahu berganjak.

“Berita ni aku harus beritahu Rania!” bisik hati Zaidah. Dia tersenyum sendirian.




ALEXANDER melihat Love Coffee Café dengan senyuman tidak lekang dari bibirnya. Ekor matanya melihat setiap sudut Love Coffee Café dengan penuh tekun.

“Macam mana Alexander, semuanya sudah bersedia?” suara Dato’ Kamil dari belakang membuatkan Alexander pantas menoleh.

Senyuman terukir dibibirnya.

“Ya, semuanya sudah siap cuma mahu beroperasi sahaja. Dato’ Kamil, jemput datang hari Selasa semasa majlis pembukaan rasmi Love Coffee Café.” pelawa Alexander bersungguh. Dia berasa senang dengan personaliti Dato’ Kamil, mudah berkomunikasi dan berjiwa besar.

Dato’ Kamil tersenyum lebar. Spek matanya dipegang perlahan.

“Saya berminat untuk hadir tapi hari Selasa saya sudah berada di Bangkok ada urusan perhotelan di sana. Moga majlis perasmian Love Coffee Café berjalan lancar. Syabas kepada awak!” Dato’ Kamil menepuk bahu Alexander dengan mesra.

Alexander menganggukkan kepala.

“Kalau macam tu, bila Dato’ senang boleh datang ke sini. Saya akan buat air coffee yang special untuk Dato’.” ujar Alexander sambil tertawa.

Dato’ Kamil tergelak besar. Merona merah wajahnya.

“Itu sudah pasti. Saya paling suka minum Espresso.” gelak Dato’ Kamil lagi.

“Saya ada urusan lagi ni. Senang hati saya melihat kemajuan kafe. Harap perasmian nanti berjalan lancar. Jumpa lagi Alexander!” Dato’ Kamil menghulurkan tangan kepada Alexander.

“Okay, jumpa lagi Dato’.” Alexander tersenyum sambil bersalam dengan Dato’ Kamil. Mata Alexander melihat Dato’ Kamil beredar dari kafe menuju ke pejabatnya yang terletak di aras 3, Hotel Princess.

“Semuanya sudah selesai. Boss boleh berehat.” suara Taqif, seorang anak jati Malaysia dari belakang. Alexander terus menoleh.

Tanpa disuruh Alexander dan Taqif melabuhkan punggung di kerusi kayu.

“Macam mana dengan peralatan di dalam?” soal Alexander mesra.

“Semuanya sudah siap. Cuma perlu letak bunga segar di setiap meja. Itu saya akan letakkan pada hari perasmian nanti.” Taqif memandang tepat ke arah Alexander.

“Besar harapan saya supaya pembukaan kafe baru ini akan mendapat sambutan baik.”

“InsyaAllah, pasti sukses pembukaan kafe ni.” Taqif memberi semangat kepada majikan barunya.

“Rakyat Malaysia mudah mencuba sesuatu yang baru. Terutamanya bab makanan dan minuman. Cuba lihat di luar sana banyak kedai francais yang diterima baik.” Taqif mula bercerita tentang kesukaan rakyat Malaysia tanpa disuruh.

“Kami di Korea tidak sangat terbuka dengan makanan daripada negara luar. Mungkin disebabkan makanan asasi kami yang tidak sama dengan makanan luar negara. Semenjak saya tinggal di Kuala Lumpur, makanan yang paling saya suka adalah nasi lemak!” Alexander tergelak membuatkan Taqif turut tertawa.

“Tidak lama lagi badan boss akan gemuk asyik makan nasi lemak!” Taqif tertawa lagi.

“Itulah, saya pun perasan yang berat badan saya sudah mula naik. Saya perlu ke gym untuk kekal sihat.” jawab Alexander dengan melihat badannya.

“Boss seorang yang tinggi lampai. Macam saya ni, sudahlah rendah ditambah dengan gemuk lagi.” ujar Taqif sambil tertawa.

“Awak perlu kuruskan badan. Ikut saya ke gym setiap minggu.” Nasihat Alexander.

“Saya ada niat dan perancangan untuk kuruskan badan tapi tak berjaya juga.” Lemah sahaja nada suara Taqif.

“Sekejap lagi saya mahu balik. Taqif mahu tumpang kereta saya?” pelawa Alexander sambil membuka apron yang dipakainya.

“Terima kasih, hari ini saya ada dating. Lain kali saja.” jawab Taqif malu-malu.

“Ohh.. okay.” pendek sahaja Alexander menjawab.

“Boss perlu cari girlfriend!” usik Taqif membuatkan Alexander tersipu malu.

“Muka handsome macam boss ni pasti sudah ada girlfriend kan? Gadis Korea atau Malaysia?” usik Taqif lagi. Taqif tidak rasa mustahil pengurus Love Coffee Café ini sudah memiliki gadis pilihan cuma dia tidak pernah lihat Alexander menyebut atau membawa gadis berkenaan di kafe.

“Muka handsome bukan lesen besar untuk gadis mudah terpikat.” usik Alexander kepada Taqif yang masih muda usianya.

“Hahaha.. betul tuh juga boss! Saya sangat setuju!” jawab Taqif sambil ketawa terbahak-bahak.

“Tapi kalau boss malu atau nak berkenalan dengan gadis Melayu, saya boleh tolong uruskan mana yang patut. Almaklumlah, staf perlulah membantu boss tak kira dalam soal kerja atau luar kerja kan?” usik Taqif galak menyakat Alexander yang tersipu-sipu malu.

“Taqif ramai kenalan perempuan ke? Hebat lah macam tu! Nanti kalau saya rasa perlu, saya akan beritahu. Buat masa ni, saya tak bersedia lagi.” jawab Alexander dengan merendah diri. Hanya TUHAN sahaja yang mengetahui siapa kah gadis yang berjaya bertahta di dalam hatinya buat masa ni.

“Boss jangan tunggu lama sangat, nanti rugi. Boss cepat-cepat beritahu saya bila boss sudah bersedia. Insya-ALLAH, gadis Melayu banyak yang cantik dan lemah-lembut.” ujar Taqif bersungguh.

“Iya lah, Taqif beri perhatian yang lebih kepada girlfriend Taqif sendiri. Bila kamu mahu bernikah?” soalan Alexander membuatkan Taqif menelan air liur. Taqif tertunduk.

“Jika Taqif bernikah jangan lupa jemput saya datang. Mesti meriah, ingin juga saya melihat adat istiadat orang Melayu bernikah dan berkahwin.” usik Alexander kepada Taqif yang hanya membatukan diri.

“Eis… saya belum tahap mahu bernikah lagi. Saya kawan pun suka-suka sahaja.” ujar Taqif dengan selamba.

“Erk.. maksud saya…” Taqif cuba mengelak daripada menjawab solan itu.

“Saya harap awak dapat cari wanita yang baik untuk menemani hidup awak nanti.

“InsyaAllah. Harap sangat doa boss tu jadi kenyataan.” jawab Taqif jujur.

“Baiklah, esok jangan datang lewat. Esok merupakan hari yang paling penting untuk Love Coffee Café. Sama-sama kita menjayakannya.” Pesan Alexander kepada Taqif yang kelihatan gelisah di situ.

“Insya-ALLAH, boss! Saya akan sampai awal!” jawab Taqif. Dia bingkas berdiri dan bersalaman dengan Alexander.




FAREED merenung TV dengan tajam, fikirannya mula memikirkan hubungannya dengan Rania.

“Ini nengok TV atau TV nengok Fareed.” bising Puan Munnah.

Fareed spontan menoleh ke arah Puan Munnah yang melabuhkan punggung di sisinya.

“Fareed nengok TV la. Cerita ni tak best.” Komen Fareed sambil membetulkan kedudukannya di atas sofa yang berbunga ala Inggeris.

“Cerita TV pula yang dipersalahkan. Fareed tu mengelamun jauh. Tak payah mahu salahkan TV pulak.” perli Puan Munnah dengan tersenyum.

“Betul mak, cuba mak nengok cerita drama Melayu ni. Asyik-asyik benda yang sama, kisah remaja yang terlanjur, anak luar nikah, bergaduh sebab perempuan dan kawin paksa. Fareed sendiri sudah muak dengan cerita macam tu. Macam sudah tidak ada cerita lain.” rungut Fareed dengan wajah yang berkerut.

“Kalau dah tak suka tak payah Fareed nengok. Pilih channel lain. Tak payah nak komen lebih-lebih.” Cadang Puan Munnah kepada Fareed yang kelihatan bosan.

“Fareed malas mahu nonton lagi. Sekejap lagi Fareed mahu keluar dengan kawan.” ujar Fareed perlahan.

“Keluar lagi dengan Rania ke?” soal Puan Munnah ingin tahu. Naluri keibuannya kuat mengatakan Fareed ingin berjumpa dengan Rania, anak gadis kepada wanita yang pernah dimusuhi semasa zaman mudanya.

“Tak adalah mak. Kawan Fareed bukan Rania saja, ada ramai lagi kawan Fareed.” jawab Fareed dengan berhati-hati. Fareed tidak mahu melukakan perasaan Puan Munnah yang pantang dapat tahu dia keluar dengan Rania.

“Betul ke ni? Jangan bohong dengan mak.” Gertak Puan Munnah membuatkan Fareed menelan air liur dengan kuat. “Mengapa mak tidak menyukai Rania, sedangkan aku sendiri amat menyukai dan ingin Rania menjadi milikku.” Fareed sempat bermonolog sendirian.

“Fareed mahu jumpa dengan kawan yang lain. Tapi Rania ada juga sekali. Kami tak berdua-duan.” jawab Fareed teragak-agak. Bimbang dengan pembohongannya akan menyebabkan masalah timbul nanti.

“Kan mak sudah kata, jangan keluar lagi dengan Rania. Mak tak suka. Fareed jangan beri sebarang harapan kepada Rania.” Nada suara Puan Munnah mula tinggi. Wajahnya mula berkerut seribu.

“Fareed sudah lama tak jumpa Rania. Sudah 2 minggu Fareed tak jumpa dia. Fareed jumpa pun mahu bincang pasal dokumen yang Fareed kena sediakan di tempat kerja. Mak tahu kan yang Rania tu bijak dalam menyediakan dokumen penting.” ujar Fareed memberi alasan kepada Puan Munnah yang hanya memandang TV di depannya.

“Banyak kawan Fareed yang lain boleh tolong sediakan dokumen penting tu. Kenapa pula hanya Rania saja yang boleh tolong?” soal Puan Munnah dengan nada tidak puas hati. Puan Munnah cukup tidak suka anak tunggalnya mempunyai hubungan dengan Rania.

“Rania saja yang ada masa lapang untuk bantu Fareed. Kawan yang lain semuanya sibuk. Dokumen itu Fareed kena siapkan cepat.” jawab Fareed masih memberikan alasan untuk Puan Munnah mengizinkannya keluar dengan Rania.

“Itu semua alasan Fareed kan? Mak tetap tidak boleh terima apa jua alasan yang Fareed berikan.” perli Puan Munnah.

Sebelum ini dia memikirkan Fareed hanya sekali sekala keluar dengan Rania setelah pulang daripada UK namun beberapa bulan selepas itu Fareed semakin galak keluar dengan Rania. Ini membuatkan Puan Munnah semakin curiga perhubungan Fareed dengan Rania.

“Terpulang kepada mak mahu percaya atau tidak. Fareed tidak kisah.” jawab Fareed kecewa.

“Ini bukan masalah percaya Fareed atau tidak tapi yang mak tak suka adalah berjumpa dengan Rania.” tegas Puan Munnah. Matanya memandang terus ke wajah Fareed yang kelihatan muram.

“Tapi kenapa mak tak suka dengan Rania?” soalan Fareed membuatkan Puan Munnah sungguh terkejut. Matanya membulat besar.

“Memang mak tak suka dengan Rania. Jangan tanya mak kenapa.” jawab Puan Munnah dengan suara yang keras. Puan Munnah mula tidak dapat mengawal emosi wanitanya.

“Beritahulah Fareed kenapa mak tak suka Rania. Sekurang-kurangnya Fareed boleh betulkan apa yang tak betulnya.” pujuk Fareed dengan suara yang perlahan. Fareed bimbang jika dia turut berkeras dengan Puan Munnah kisah dia dan Rania tidak akan ke mana-mana. Restu seorang ibu amat diperlukan dalam Fareed mendirikan mahligai rumahtangga.

“Tak ada apa yang perlu diperbetulkan. Fareed jangan hubungi Rania lagi.” gertak Puan Munnah.

“Tapi mak… Fareed suka Rania.” Pengakuan Fareed itu benar-benar membuatkan jantung Puan Munnah berdegup kencang seperti disambar petir.

“Fareed suka Rania?” soal Puan Munnah inginkan kepastian semula. Adakah benar yang didengar oleh telinganya sebentar tadi.

“Ya, Fareed suka Rania. Fareed mahu Rania jadi isteri Fareed.” Puan Munnah berasa kepalanya berpusing apabila mendengar impian Fareed. Puan Munnah memegang kepalanya yang mula berdenyut kuat.

“Mak! Kenapa ni?” soal Fareed cemas. Fareed memegang badan Puan Munnah.

“Kepala mak sakit.” jawab Puan Munnah perlahan. Tangannya masih memegang kepalanya.

“Fareed bawa mak ke klinik ya.” ujar Fareed dengan cemas. Tangannya tidak lepas memegang bahu Puan Munnah. Badan Puan Munnah disandarkan di sofa.

“Tak payah. Bawa mak masuk bilik. Mak mahu berehat.” jawab Puan Munnah dengan termengah-mengah.

“Mak macam sakit ni. Kita jumpa doktor ya.” Fareed memberikan cadangan kepada Puan Munnah yang bingkas bangun daripada sofa. Fareed membantu Puan Munnah berdiri.

“Tak payah. Kepala mak pening sikit je. Ambilkan pil panadol di dalam laci.” Suruh Puan Munnah kepada Fareed yang masih tidak puas hati dengan kata-katanya.

“Tolong mak.” ujar Puan Munnah. Fareed terus memapah Puan Munnah menuju ke bilik.

“Betul ke mak pening kepala saja ni?” soal Fareed semasa membawa Puan Munnah ke bilik.

“Iya, mak tak cukup tidur agaknya. Itu yang tiba-tiba pening kepala. Jangan lupa ambil kan mak panadol tu. Lepas makan panadol, kepala ni baiklah.” Puan Munnah memberikan alasan. Kepalanya masih sakit berdenyut-denyut.

“Fareed tidak payah keluar.” Kata-kata Puan Munnah membuatkan Fareed mengangguk kepala tanda akur.

Fareed berasa cemas dengan situasi tadi. Sebelum ini, tidak pernah Puan Munnah tiba-tiba pening kepala.

“Fareed temankan mak di sini.” jawab Fareed sambil membaringkan Puan Munnah dengan berhati-hati. Kain selimut diambil lalu diberikan kepada Puan Munnah yang kelihatan agak penat.

“Terima kasih Fareed. Mak ni sudah tua. Penyakit pun sudah mula datang.” Puan Munnah mengeluh pendek. Wajah Fareed dipandang dengan penuh harapan.

“Mak berehat. Jangan cakap lagi. Fareed pergi ambilkan panadol. Mak tunggu ya.” ujar Fareed mematikan perbualan sebaik sahaja Puan Munnah mula bercakap tentang usia tua.

Kini, dalam hidup Fareed hanya Puan Munnah seorang sahaja permata yang bernilai di sisinya. Fareed sudah lama kehilangan ayah. Dia mahu menjaga dan membuatkan Puan Munnah bahagia selagi hayatnya masih ada.

“Bawakan air sekali.” ujar Puan Munnah. Matanya melihat kelibat Fareed dari belakang. Fareed menganggukkan kepala tanda faham. Puan Munnah memalingkan wajahnya ke arah kiri. Dia tersenyum puas dengan apa yang berlaku sebentar tadi. Senyumannya semakin lebar.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku