Psst... Dia Suami Saya!
Bab 27 - PDSS
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 10 Julai 2013
Penilaian Purata:
(10 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
24166

Bacaan






PERMUKAAN meja direnung lama, jari-jemari Rania rancak menari-nari tanpa rentak yang sama. Menunggu seseorang adalah pekerjaan paling membosankan dalam hidup. Kenapa aku boleh bersetuju untuk bertemu dengan lelaki yang aku benci! Masa singkat ini sepatutnya aku isikan dengan berjalan-jalan atau menghabiskan duit Korean Won.

“Hai Rania, maaf lambat.” Wajah tampan Alex muncul di depan mata.

Rania memalingkan muka yang sudah mencuka,“Kenapa awak mahu jumpa saya?”

Tanpa berlengah Alex duduk setentang dengan gadis Melayu,“Ada sesuatu yang saya mahu beritahu Rania…”

“Tentang apa tu?” sampuk Rania dengan pantas.

“Saya order air untuk kamu,” Alex mengalihkan perhatian Rania. Digamit seorang pelayan lelaki untuk menghampiri mereka.

“Tidak perlu, saya mahu cepat.” Rania menyandar perlahan tubuh badannya di kerusi. Wajah Alex berubah dengan maklum balas itu.

“Kamu mahu ke mana?” soal Alex tulus.

“Itu kamu tak perlu tahu,” nada Rania tegas.

“Saya mahu minta tolong dengan kamu,”

Mata Rania pantas merenung wajah berkulit putih langsung tiada bekas jerawat. Bersih. Menimbulkan rasa cemburu dengan kulit muka seperti itu.

“Tolong apa?” balas Rania dengan dahi berlapis-lapis.

“Saya mahu kamu percaya dengan saya.” tenang sahaja lelaki berbangsa Korea ini bertutur.

“Maksud kamu?” Rania mula duduk tegak semula.

“Saya perlukan kepercayaan kamu kepada saya. Apa yang saya lakukan semuanya ini datang daripada hati yang ikhlas. Saya tahu perkenalan kita sangat singkat. Tapi tak semua ini mustahil akan berlaku.” Alex merenung Rania dengan penuh harapan.

Rania merengus perlahan. Lengan baju sejuk ditarik bagi mengelakkan udara sejuk menerjah masuk.

“Kenapa saya perlu percaya dengan kamu, Alex? Saya datang beribu-ribu kilometer ini bukan untuk meraih kepercayaan kamu. Antara kita tidak ada apa yang berlaku.” Rania memalingkan wajah ke tempat lain.

“Sudah beberapa hari kamu di samping saya. Takkan langsung tiada rasa percaya terhadap diri ini?” soalan itu membuatkan Rania memandang semula Alex.

“Ya, saya percaya kamu sebagai seorang kawan baru yang berasal dari Korea. Itu saja.”

Alex tertawa mendengar jawapan itu. Masakan Rania tidak menyedari kelakuan dan layanan yang diberikan adalah berbeza daripada kawan baru.

“Kenapa ketawa?” Rania hairan dengan kelakuan Alex. Hantu mana sudah sampuk lelaki depan mata ini. Aku beritahu cerita lucu ke? Setahu aku tidak, tadi aku serius. Ke, aku yang tak perasan apa yang aku cakap. Hiss, buang masa aku bertemu dengan lelaki ini. Kaki dihentak kuat di bawah meja.

“Jawapan itu sungguh lucu,” Alex masih tersenyum lebar.

“Terserah. Saya tak kisah langsung!” Menyakitkan hati bila berbicara lagi dengan Alex.

“Saya mahu terus-terang dengan kamu sejak kali pertama lagi kita berkenalan. Saya suka pada kamu,”

“Saya tak kisah kamu suka atau tidak dengan saya. Itu bukan hal saya.”

“Kamu menahan diri daripada menyukai saya disebabkan insiden tempohari?” soalan itu membuatkan mata Rania membesar bulat. Dadanya berombak kecil.

“Apa yang kamu merepek ni?”

“Betulkan yang kamu sebelum ini pernah menyukai saya. Namun selepas insiden itu hati kamu mula berubah.” Duga Alex sambil terus mengukir senyuman.

“Itu tekaan kamu. Saya tak mahu terlibat dengan perasaan kamu. Tolonglah,” rayu Rania bersungguh. Aku sendiri pun tak ada jawapan dalam perkara ini sama ada pernah menyukai Alex atau tidak. Buatkan kepala aku bertambah pusing dengan hal macam ini.

“Saya mahu memberikan pencerahan bahawa saya dan Yoonah pernah bergelar sepasang kekasih namun itu setahun yang lepas. Kini, saya sudah single. Antara kami hanya berkawan baik.”

“Ini bukan kali pertama saya mendengar penjelasan ini. Sudah masuk kali ke kedua. Sekali lagi saya jelaskan bahawa saya tidak berminat untuk mengetahui kisah lampau atau apa-apa hal antara kamu dengan Yoonah.” Rania bersandar semula sambil memeluk tubuh dengan rapat.

“Saya mahu kamu sangat jelas dan faham akan situasi saya supaya tiada langsung prasangka atau curiga terhadap diri ini.” Alex tetap memandang wajah Rania yang tiada sebarang lukisan senyuman. Kelat.

“Sungguh pun kamu mahu memberikan penjelasan untuk kali yang ke seratus, saya tetap dengan pendirian saya.” Rania mengelengkan kepala sendirian. Sungguh membebankan dengan hal ini.

“Saya banyak lagi tempat menarik yang belum dikunjungi. Kamu telah membuang masa saya dengan perkara ini.” Rengus Rania perlahan.

“Baik, maafkan saya telah membuatkan kamu menghabiskan masa di sini.” Alex menundukkan sedikit kepalanya. Rania terpempan seketika.

“Apa yang saya berikan dan lakukan beberapa hari ini amat bermakna dalam hidup saya. Rania, kamu telah membuatkan saya rasa hidup semula. Sungguh.” Alex tersenyum simpul.

“Saya tak mahu tahu tentang itu. Okaylah, saya sudah lama di sini jadi setakat ini saja. Saya mahu beredar.” Rania bingkas bangun daripada kerusi. Baju dirapikan.

“Rania, tunggu sekejap. Sekejap saja lagi. Saya janji selepas ini kamu boleh beredar. Tolong duduk sekejap lagi,” pinta Alex bersungguh. Rania kalah dengan panahan anak mata Alex.

Kaki tidak bergerak. Rania duduk semula di kerusi yang sama dengan gerakan yang kasar.

“Sebelum kamu meninggalkan bumi Korea ini, saya mahu kamu buat sesuatu untuk saya.” rayu Alex.

Kening mata Rania terangkat.

“Jangan risau, kamu tidak perlu buat sesuatu yang tidak masuk akal atau melanggari anutan agama kamu.”

Kening Rania terangkat lagi. Kali ini dahi turut berlapis-lapis.

“Buat apa?” soal Rania seperti dipukau. Perlahan namun jelas.

“Perkara yang sangat mudah. Hanya perlu hulurkan tangan kamu.” Alex masih berahsia, tidak mahu memberitahu terus akan perkara yang sebenar. Cahaya matahari semakin menyerlah namun bagi Rania tetap terasa dingin.

“Kenapa saya perlu hulurkan tangan?”

“Apabila kamu sudah hulurkan tangan baru saya akan beritahu perkara sebenar.” Alex tersenyum penuh makna. Kotak fikiran Rania sudah mula melambung pelbagai soalan dengan permintaan Alex yang penuh misteri. Dia berasa cuak dan langsung tidak dapat meneka apa yang bakal berlaku. Was-was masih ada lagi.

“Terus-terang dengan saya saja apa yang kamu mahu buat.” Rania cuba berdiplomasi cara baik. Untung-untung dapat tahu perkara sebenar tanpa perlu menghulurkan tangan.

“Kalau saya tak mahu hulurkan tangan?” duga Rania masih mahu mengorek rahsia.

Alex tersenyum menawan, “Jika kamu tidak mahu lakukan saya akan…”

“Akan apa?” soal Rania ingin sangat mengetahuinya. Dada berombak laju seperti ombak mengganas di lautan samudera.

“Saya akan buat kamu tak boleh pulang ke Malaysia.” Tegas sekali kenyataan itu. Tersandar Rania dibuatnya. Air liur ditelan pahit. Nampaknya usaha untuk meredakan suasana menjadi lain pula.

“Alex, kenapa kamu jadi seperti ini. Bila permintaan tidak dipenuhi, mahu mengugut saya pula. Ini sungguh keji!” ujar Rania dengan tegas. Bergegar tubuh badannya mendengar butir bicara daripada lelaki yang pernah membantunya beberapa hari yang lepas.

“Manusia boleh berubah. Termasuk diri saya.” selamba sahaja Alex bercakap langsung tiada rasa bersalah.

“Semakin saya tidak faham dengan apa sebenar yang kamu mahukan dari saya!”

“Kamu faham, cuba buat-buat tidak faham.” perli Alex. Lelaki itu bingkas bangun lalu menuju ke arah Rania. Semakin dekat membuatkan Rania tidak keruan.

“Erk, kamu mahu buat apa ni? Jangan hampiri saya,” ujar Rania tersekat-sekat. Kerusi yang diduduki bergerak sedikit. Alex tidak menghiraukan kata-kata gadis itu. Rania menjarakkan diri daripada Alex yang semakin dekat dengannya. Lelaki ini sudah mabuk atau ada penyakit yang aku tidak tahu. Tiba-tiba saja berperangai begini.

“Alex, jangan begini. Tolong saya,” rayu Rania hampir menangis. Namun, Alex semakin menghampiri wajahnya.

“Alex, jangan!” teriak Rania. Alex tidak menghiraukan teriakan itu. Dia semakin mara.

“Shh..jangan bergerak. Ada sesuatu di atas tudung kamu. Saya perlu buangkan.” Jari Alex mengambil sesuatu di atas kepalanya. Rania terus terdiam dan kaku seketika.

“Serangga sesat,” ujar Alex sambil melemparkan serangga itu. Melihat itu, Rania terus berdiri tegak.

“Alex!!!” jerit Rania sekuat hati. Keadaan hening. Tiada sebarang bunyi. Matadibuka perlahan-lahan, sangat cerah. Silau dibuatnya.Tangan diletakkan di atas mata, tak mampu untuk membuka mata dengan besar. Sayup-sayup terdengar bunyi bising kenderaan yang bergerak, suara Mama yang bercakap dengan Papa. Anak mata melirik pada jam berbentuk bulat terletak elok di atas meja kecil di sisi katil.

“Ya Allah, 7.45 pagi!” jerit Rania sendirian. Automatik dia bingkas bangun daripada katil. Mentang-mentanglah dia uzur syarie, sedap saja melayan tidur dengan asyik. Sekejap kaki ke kanan dan sekejap ke kiri. Dia mencari tuala mandi.

“Mana pulak tuala mandi ni. Aku dah lambat!” getus Rania sendirian. Mata meliar mencari. Akhirnya dia terpandang tuala mandi yang siap sedia tergantung di ampaian berdekatan dengan almari baju. Terus saja tuala mandi dicapai dengan rakus. Kaki menderas menuju ke bilik air. Tidak sampai 1 minit, wajah Rania tersembul keluar dengan dahi berlapis-lapis.

“Maaf Alex, hampir saja aku merosakkan jam yang cantik ni.” Sempat dikucup lembut lalu diletakkan di atas meja solek dengan berhati-hati. Sebentar kemudian, Rania masuk semula. Kedengaran bunyi air jatuh mencurah di lantai bilik mandi.

Sejam kemudian,

Rania menekan butang lif dengan kuat. Jantung turun naik tanpa berhenti. Hari ini ada mesyuarat pengurusan hotel. Dia turut terlibat bagi membentangkan laporan pencapaian hotel bagi setengah tahun.

Ting! Pintu lif terbuka. Menderu Rania membolosi pintu lif yang kelihatan kosong. Jam tangan baru sempat dijenguk sekilas. Tepat jam 9.15 pagi, waktu masuk ke pejabat adalah jam 9.00 pagi. Lima belas minit lewat. Dia berharap sangat tiada sesiapa yang perasan akan kelewatan hadir pagi ini.

“Hah, Rania. Baru sampai ke?” suara itu membuatkan langkah Rania terhenti terus. Mata menoleh ke kanan.

“Sshhh… jangan cakap kuat-kuat, nanti orang lain dengar. Aku lambat bangun pagi ni. Tudung pun tak bergosok. Mesyuarat sudah mula ke?” Wajah Zaidah dipandang dengan penuh pengertian. Orang bersalah memohon simpati. Zaidah mengelengkan kepala. Tanpa bicara Rania segera menuju ke meja tugasan.

“Belum mula lagi. Tunggu kau. Semua dokumen aku sudah sediakan kecuali laporan pencapaian. Semalam kau kata ada edisi yang terkini. Jadi, aku tak print lagi. Baik, kau printsekarang. Selina asyik sebut nama kau lagi tadi. Rimas aku dibuatnya.” Zaidah menyusun dokumen di atas mejanya yang berselerak.

“Iya, aku nak buatlah ni. Bagi aku lima minit. Kau tolong aku apa yang patut.” Tangan Rania laju menaip dan menekan papan kekunci computer. Anak mata memfokus terus pada skrin komputer yang bersaiz 16 inci.

“Ada rupanya. Ingatkan tak datang.” perli Selina. Dia menghampiri Rania yang sibuk menyiapkan laporan yang terkini.

“Kenapa pula aku tak datang? Pagi ini kan ada mesyuarat.” jawab Rania tanpa memandang wajah kacukan Selina. Bunyi mesin pencetak mula kedengaran.

“Ingatkan sudah lupa. Cuma laporan kau saja yang belum ada dalam bilik mesyuarat tu. Suka sangat buat kerja last minute!” Selina terus meninggalkan Rania yang tak menang tangan menyusun dokumen.

“Bukan aku sengaja!” sempat Rania membalas sambil menjeling Selina yang semakin jauh dari pandangannya.

“Semua sudah siap ke?” soal Zaidah lagi.

“Sudah. Kau tolong masukkan dalam fail ni.” tanpa banyak soal Zaidah mengambil semua dokumen yang bercetak warna ke dalam fail yang berwarna kuning.

“Jom, mesyuarat sudah nak mula.” teriak Asraf dari laluan ke bilik mesyuarat.



BILIK mesyuarat yang dinamakan King Meeting Room boleh memuatkan dua puluh orang pada satu masa. Cuma pagi ini akan dihadiri dalam sepuluh orang sahaja. Hanya melibatkan staf bahagian pengurusan dan marketing. Kehadiran Dato’ Kamil yang segak menunjukkan mesyuarat pengurusan akan bermula sebentar sahaja lagi. Semua staf menenangkan diri. Suasana sunyi.

“Kenapa pagi ni kau bangun lewat?” Zaidah berbisik lembut di sisi. Mata tetap menatap ke arah Dato’ Kamil yang tekun meneliti dokumen di hadapannya.

“Aku terlena. Aku period jadi aku tak bangun awal. Syukur sangat aku sempat menyedarkan diri. Kalau tak memang terlajak.” balas Rania sambil berbisik juga. Tangan kanan tak lepas memegang pen untuk mencoretkan sesuatu.

“Iya ke ni? Malam tadi kau buat apa?” Rania diganggu lagi oleh Zaidah yang seperti tidak berpuas hati dengan jawapan tadi. Wanita di sebelah dikerling sinis.

“Tak buat apalah. Lepas balik, rehat dan terus tidur.”

“Aku nampak sesuatu yang baru.” bisik Zaidah sambil tersengih. Matanya dikenyit-kenyitkan.

“Apa yang baru?” balas Rania dengan nada yang keras. Dia memastikan orang lain tidak mengesan perbualan di antara dia dengan Zaidah.

“Jam tangan baru!” muncung mulut Zaidah meluru ke arah pergelangan tangan kanannya.

Rania tersentak sendirian. Jam tangan pemberian Alex diperhati sekilas.

“Bila kau beli?”

“Aku tak beli. Aku dapat hadiah.” perlahan sahaja Rania membalas sambil menatap sebentar wajah Zaidah di sebelah.

“Siapa yang beri?” Zaidah masih puas hati dengan penjelasan sebentar tadi. Petang semalam jam tangan Rania hilang di surau dan pagi ini ditangannya ada jam tangan baru. Papa dan Mama Rania yang berikan hadiah atau seseorang yang aku tidak kenali. Perlu diselidik ni.

Lengan Rania disiku lembut setelah Rania langsung tidak menjawab soalan tadi.

“Siapa?” soal Zaidah dengan mata membuntang besar.

“Manusia. Takkan hantu pulak.” jawab Rania dengan wajah yang selamba.

“Siapa yang beri?” gertak Zaidah.

“Adalah. Nanti aku beritahu. Meeting dah nak mula.” Terus Rania mematikan perbualan mereka. Berubah wajah Zaidah mendengar jawapan itu. Mesti ada sesuatu yang disorokkan oleh teman baik. Jam tangan baru dipandang dengan penuh minat tanpa Rania menyedari.

“Selepas meeting beritahu aku,” bisik Zaidah dengan nada tegas. Rania hanya mengangguk perlahan.

Dato’ Kamil berdehem perlahan, “Boleh kita mulakan meeting pagi ini?”sambil memandang ke arah semua staf yang terlibat pagi ini.

“Boleh,” hampir serentak semua ahli mesyuarat memberi maklum balas.



PINTU bilik mesyuarat asyik terbuka dan tertutup. Usai Dato’ Kamil beredar dari bilik tersebut, staf yang lain turut berbuat perkara yang sama. Zaidah segera menarik tangan Rania yang laju sahaja untuk meninggalkan bilik mesyuarat.

“Rania, tunggu!” teriak Zaidah termengah-mengah.

“Ada apa ni?” Rania terhenti daripada menolak pintu.

“Kau sudah janji dengan aku mahu beritahu tentang jam tangan baru tu,” Jari telunjuk Zaidah pantas menunjuk kepada jam tangan yang terletak elok di tangan Rania.

“Oh, pasal jam. Ingatkan apa tadi.” Rania meneruskan langkah. Pintu bilik mesyuarat di tolak perlahan. Permintaan Zaidah langsung diketepikan.

“Siapa yang beri hadiah tu? Pak we ya,” teka Zaidah dengan senyuman lebar.

“Hah, bukan.” Rania menoleh Zaidah sekilas.

“Habis tu siapa yang bagi, janganlah berahsia sangat dengan aku. Kata aku ni kawan dunia dan akhirat.” pujuk Zaidah tanpa putus asa. Diekori gadis itu dengan rapat supaya hanya mereka berdua sahaja yang terlibat. Tiada pihak ketiga yang mendengar.

Langkah Rania terhenti, “Aku mahu ke toilet mahu ikut jugak ke?” Wajah Zaidah direnung keras.

“Apa salahnya aku ikut, aku pun ada aktiviti di toilet.” Selamba sahaja Zaidah menjawab. Dia mendahului Rania yang tetap berpegang teguh tidak membocorkan rahsia jam tangan baru. Bibir Zaidah terjuih bila dilayan begitu.

“Merajuk pulak,” desis Rania sambil anak mata melihat perubahan wajah kawan baiknya. Jika diberitahu seorang lelaki berbangsa Korea memberikan hadiah ini, bagaimana pula reaksi Zaidah. Percaya atau tidak dia akan cerita aku ini nanti. Bila Zaidah sudah tahu, aku bimbang tidak mampu mengawal diri daripada terus bercerita akan lelaki tampan itu.

“Rania, mahu ke mana tu?” tiba-tiba Asraf memanggil dari belakang.

“Ke toilet sekejap, kenapa?” balas Rania dengan wajah penuh curiga.

“Ada orang mahu jumpa kau. Katanya penting. Dia tunggu di lobi hotel.” beritahu Asraf dengan leher yang panjang.

“Okay, bagi aku 10 minit. Suruh dia tunggu.” Rania terus memasuki toilet dengan pantas.

Dari kejauhan, Asraf hanya mengelengkan kepala melihat gelagat wanita cantik itu yang popular di bahagian pengurusan Hotel Princess.

“Siapa pemuda handsome itu, tidak pernah dilihat sebelum ini?” omel Asraf sendirian sambil menggaru rambut yang tersisir rapi.



*Pengumuman:

Penulis mahu khabarkan bahawa ini adalah bab yang terakhir di portal ILHAM. Naskah ini dalam proses suntingan akhir dan akan diserahkan kepada pihak editor. Mohon doakan naskah ini cepat diproses dan urusannya dipermudahkan. Amin. Terima kasih atas sokongan yang baik pada novel ini. Saya sangat menghargai lagi terharu. Harap pembaca budiman terus menyokong dan mendoakan naskah bercetak ini segera tiba di tangan pembaca. Sayang semuanya!! ^__^

fb: alisyahalezpenulis



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku