Air Mata Buaya
Bab 10
Genre: Keluarga
Kategori: Novel
Paparan sejak 30 Ogos 2013
Penilaian Purata:
(14 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
3047

Bacaan






Sekali lagi Tan Sri Buaya melencong dari tajuk semata-mata untuk menerangkan tentang sebuah organasasi bernama AIM kepada si mahasiswa. Organisasi ini dan orang-orang hebat yang ada disebalik penubuhannya, sebenarnya ada hubungan secara tidak langsung yang membawa kepada kejayaan Tan Sri Buaya hari ini. Sebab itulah perkembangannya sejak itu tidak terlepas dari mendapat perhatian Tan Sri Buaya.

“Berita penubuhan yayasan itulah yang menjadi titik tolak kepada perubahan hidup saya sehingga saya dikenali orang kini”. Demikian kata Tan Sri Buaya.

Dia seakan ingin memberitahu si mahasiswa bahawa dia rasa bersyukur dan ingin berterima kasih diatas tertubuhnya AIM dahulu. Ironinya, kemajuan AIM bergerak seiring dengan kemajuan dirinya sendiri.

Dia menyambung ceritanya lagi tentang AIM yang dikagumi itu.

Pengerusi Lembaga Amanah yayasan itu dilaporkan berkata, orang-orang miskin boleh berniaga sekiranya diberi peluang dan modal, seperti yang dibuktikan oleh orang-orang miskin di Bangladesh yang diberi bantuan seperti itu. Berita itu menjadi cetusan awal bagaimana aku mula berfikir dan nampak satu peluang. Aku mengulangi membaca beberapa kali kata-kata Pengurusi Lembaga Amanah yayasan itu sepertimana yang dilaporkan dalam berita akhbar itu.

“Orang-orang miskin boleh berniaga sekiranya diberi peluang dan modal”. Kata Datuk Sulaiman Osman, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, merangkap Pengerusi Lembaga Amanah bagi Yayasan Ikhtiar, dalam ucapan perasmian yayasan itu, di sini semalam.

Aku membaca apa yang dilaporkan oleh pemberita di surat khabar itu. Aku termenung seketika memikirkan makna kepada kata-kata itu. Persoalannya ialah bagaimana aku mahu berniaga. Peluang… ya peluang. Nampaknya aku sudah ada peluang itu, iaitu para pembeli dan para pembekal sedia mengenaliku. Aku sudah berada di tempat dan pada kedudukan yang betul. Pasar itu adalah rumahku. Modal? Bagaimana dengan modal…. Ahhh aku hampir mematikan idea berniaga tadi bila timbul soal modal. Sekali lagi aku baca tulisan dihelaian suratkhabar itu.

‘Orang-orang miskin boleh berniaga sekiranya diberi peluang dan modal’. Inilah kata-kata keramat yang menujah tak sudah-sudah kepada lubuk pemikiranku saat itu.

Tiba-tiba satu idea datang menerjah di benak fikiran. Cantik punya idea, tanpa disangka-sangka pula kemunculannya. Aku menilik-nilik idea itu dan mula membuat rancangan untuk bertindak.

Aku akan jual sayurku sendiri dan jadi taukey pula. Masalahnya ialah macam mana aku nak bermula. Modal yang ada sedikit sahaja, tidak dapat menyediakan sayur yang banyak. Tetapi, aku sedar aku ada kelebihan lain, iaitu aku ada pembekal dan ada pelanggan yang sudah sekian lama aku kenali. Idea awal itu beranak lagi memberikan berbagai pilihan kepadaku.

‘Kalau pun aku ada modal, tetapi tidak ada bakal pembeli pun susah jugak. Apalah gunanya juga…’ aku berfikir.

Bahagian terpenting yang aku perlu hadapi sudah beres.. aku tidak perlu lagi bersusah payah untuk mengenali pembekal dan dan mencari pembeli…. Itu aku sudah miliki… hatiku mendapat motivasi dan kini mendesak bagaimana caranya untuk memulakan perniagaan walau pun tanpa modal.

“Waktu itu belum lagi ada contoh-contoh peniaga yang berjaya tanpa modal besar sepertimana yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh sepertimana yang berlaku hari ini. Hari ini anak-anak muda boleh mengambil panduan bagaimana Boon Siew bermula atau bagaimana Datuk Seri Tony taukey Airasia yang terkenal itu memulakan perniagaannya, juga belum meluasnya bantuan-bantuan modal yang disediakan oleh kerajaan”. Tan Sri menerangkan kedudukan beliau pada waktu itu berbanding kemudahan yang disediakan untuk generasi sekarang.

“Waktu itu motivasi dan kesungguhan sendiri sahaja yang ada, tanpa ada sesiapa yang menunjukkan jalan untuk kita”, tambah Tan Sri Buaya. Si mahasiswa mengangguk.

Dalam kesepian malam seorang diri berada di pasar, pada malam itu aku berfikir terus-menerus bagaimana mahu berniaga sendiri, bukan berbekalkan modal tetapi hanya berbekalkan kata-kata azimat Pengerusi Lembaga AIM yang aku baca pada kertas surat khabar pembungkus sayur itu.

Malam itu aku tidur dalam angan-angan yang tinggi menggunung, sambil berharap rancangan aku berjalan lancar. Esok aku akan mencuba untung nasibku.

‘Esok aku akan beli sayur dari pembekal dengan modal taukey dan akan aku tambah sedikit dengan modalku sendiri’. Getus hatiku memilih idea terbaik pada saat itu.

Esoknya jualan sayur berjalan seperti dirancangkan. Aku buat sempadan antara sayur aku punya dengan sayur taukey punya. Bagi pembeli yang tidak memilih sendiri sayur-sayur yang sedia diikat di atas papan jualan, aku akan berikan sayur kepunyaanku apabila diminta sayur yang dikehendaki mereka. Setelah seminggu berlalu dengan keadaan begitu, aku rasa tidak puas hati. Sebab jumlah sayur bahagian aku itu sangat sedikit dan untung pun juga sedikit. Aku mula berfikir lagi. Macam mana caranya. Cara untuk aku dapat jual semua sayur kepunyaan aku, bukan lagi menempel kepada jualan sayur-sayur taukeyku. Lebih tepat lagi, aku berangan-angan untuk tinggalkan orang yang telah berikan aku kerja, bahkan bercadang untuk menjadi pesaing kepadanya pula. Selepas ini, kuli akan lawan taukey. Fikir punya fikir akhirnya datang pula satu idea yang baik. Nampaknya idea-idea baik begitu senang menyerah diri kepadaku. Malam itu sekali lagi aku tidur bertemankan angan-angan yang tinggi menggunung, bahkan agan-angan malam ini bersulam pula dengan harapan. Harapan yang juga tinggi menggunung. Harapkan kepada belas kasihan pembekal sayur. Esok aku akan mencuba untung nasibku. Esok aku akan berunding dengan pembekal sayur, pembekal yang membekalkan sayur milik taukey yang ku jual di pasar.

Keesokan harinya……..

Aku memberanikan diri jumpa pembekal dengan niat yang spesifik. Bermodalkan air liur dan keyakinan, aku minta ihsan pembekal untuk beri aku hutang sayur untuk tempoh sehari sahaja.

“Sehari saja bang, esok saya bayar hutang hari ini, dan esok juga saya hutang lagi, lusa saya bayar hutang esok itu..”, berbelit-belit rasanya aku cuba menjelaskan.

Aku berjanji, jika hari ini aku berhutang sayurnya, maka esoknya akan dilunaskan hutang itu. Kemudian selepas hutang semalam dibayar, aku akan berhutang lagi (ambil sayur tanpa bayar dahulu) untuk bekalan sayur pada hari ‘esok’ yang lain pula. Harapan aku nampaknya terkabul. Rancangan aku berjalan mudah kerana ia dipersetujui oleh pembekal sayur tersebut. Namun aku pula merasa gelisah dan serba salah. Bagaimana harus aku beritahu taukey sayur. Taukey sayur terkedu bila kau beritahu mahu berhenti dan bercadang untuk berniaga sendiri. Kesusahan kedua yang aku kena tanggung ialah tempat tidurku di pasar sudah tiada. Tempat tidur aku itu kini telah ditawan oleh sayur-sayurku sendiri. Kalau mahu boleh saja aku tidur dicelah-celah sayur itu, tetapi aku fikir perbuatan itu adalah tidak manis dipandang orang. Siapa yang akan sanggup membelinya nanti jika mereka tahu aku ‘meniduri’ sayur-sayurku di waktu malam.

Akhirnya aku memilih untuk tidur sahaja di lantai di penjuru pasar yang kering dengan berlapikkan ‘guni-guni jalur’ – iaitu guni yang diperbuat daripada benang yang tebal dan kasar yang banyak digunakan pada masa dahulu sebelum kewujudan guni-guni dari plastik seperti yang ada sekarang. Dua minggu lamanya aku tidur di lantai beralaskan guni jalur sehinggalah aku merasakan duit yang aku ada sudah cukup untuk menyewa sebuah rumah kecil berdekatan dengan pasar tersebut.

Lebih kurang enam bulan rasanya aku berniaga sayur dengan kemudahan kredit begitu, Hari ini membayar hutang sayur semalam, dan hari ini juga berhutang lagi untuk jualan sayur esok. Akhirnya dengan modal yang aku berjaya kumpul, aku mengorak langkah lebih jauh. Aku sendiri pergi ke ladang-ladang sayur dan mula jadi pembekal sayur secara kecil-kecilan pula, Ini adalah kali kedua perbuatan ‘menderhaka’ telah aku lakukan. Kalau dahulu aku melawan taukey, kali ini pula aku melawan pembekal. Kedai sayurku dijaga oleh seseorang yang telah datang mencari kerja. Aku tengok, keadaannya lebih kurang sama seperti diriku dahulu, waktu aku mula datang ke pasar meminta-minta kerja. Namanya Dali Nyatoh, anak orang Asli juga, tetapi dari kampung lain. Bekas taukey sayurku mula menjaga sendiri kedai sayurnya dengan muka kelat. Lantak dialah, aku bukannya mencuri. Aku hanya mengambil peluang dan kesempatan yang ada. Waktu ini jugalah rahsia aku telah berhenti maktab terbongkar. Ayah dan mak tak terkata apa-apa tentang itu. Lagi pun waktu mereka bertanyakan soal pengajian di maktab, aku sedang menghulurkan duit untuk pertamanya kali kepada mereka. Aku sudah jauh berjaya berbanding semasa pertama kali aku menjejakkan kaki ke pasar itu. Aku sudah mampu menyewa sebuah rumah kecil dan memiliki sebuah lori berpagar ‘second hand’ yang kecil. Satu kampung menjadi gempar melihat aku memandu lori kecil itu. Satu kampung membicarakan perihal aku membawa pulang lori itu ke rumah ibu dan ayah. Semua orang berfikir aku masih belajar di maktab di Kuala Kangsar. Bagaimana pula aku tiba-tiba mampu memandu lori. Lebih kagum lagi mereka apabila ayah memberitahu lori itu adalah kepunyaan aku sendiri, bukan lori yang dipinjam atau lori milik taukey cina. Sebagaimana ibu dan ayah, aku pun sebenar merasa ‘kembang hati’ melihat gelagat orang kampung yang begitu taajub kepada diriku. Sudah ada pula yang menyebut-nyebut Buaya orang kaya, gelaran yang serta-merta melekat pada diriku. Malangnya kawanku Adidah dan Danhil khabarnya telah membawa diri masing-masing ke bandar kerana tidak mahu meneruskan kerja tradisi di kampung. Aku menjadi bertambah tekad untuk menjadi lebih berjaya. Aku berazam untuk membuka kedai runcit di kampung supaya ayah dan ibu dapat melakukan kerja yang lebih ringan suatu hari nanti. Aku akan berikan kerja kepada abang-abang dan juga kakakku. Angan-angan aku mulai panjang. Mereka menyambut angan-anganku itu dengan seribu harapan dan kepercayaan kepadaku, apa lagi melihatkan bukti yang aku tunjukkan. Walau sepanjang hayat orang-orang tua di kampung berkerja, masih belum ada antara mereka yang mampu membeli lori kecil seperti yang aku bawa balik itu. Itulah yang menjadi kepercayaan dan sandaran mereka terhadapku. Demikianlah antara kenangan dan saat bahagia yang aku rasakan apabila pulang ke kampung di masa awal-awal waktu aku mula merangkak ke tangga kejayaan. Kesedihan menanggung nama yang jelik seakan hilang seketika. Masalah ini tidak pernah aku bagi tahu kepada ayah dan ibu. Bimbang jika nanti dia merasa bersalah pula. Manalah mereka tahu, Buaya itu suatu perkataan yang jelek untuk dijadikan sebagai nama kepada manusia.


NOVEL INI TELAH DITERBITKAN OLEH Pekan Ilmu Publication sdn bhd DIJANGKA BERADA DI PASARAN PERTENGAHAN BULAN FENRUARI INI...Dapatkan di kedai MPH dll


Boleh tengok juga di Http:Panasbarapi.blogspot.com juga FB : airmatabuaya amb



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku