PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
Bab 9
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 September 2013
400 tahun lalu, tujuh orang lelaki melarikan diri dari Pagar Ruyung ke tanah besar untuk memulakan penghidupan baharu. Satu kesilapan menjerumuskan mereka semua ke dalam satu perjanjian yang perlu diwariskan kepada keturunan mereka seterusnya. Sejak itu setiap kali ketua kampung berganti, tiga nyawa perlu dikorbankan kepada puaka sebuah batu.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1276

Bacaan






Bab 11

Kampung Silak Tua

“BETUL KE itu abang, mak?” Bahiyah bertanya berkali-kali. Besar matanya melihat kereta Jimmy beredar dari halaman rumah pak ngah tadi.

“Ya… itulah abang Bahiyah. Semasa Bahiyah kecil dulu, dialah yang suka dukung Bahiyah,” cerita Mak Jiha dengan gembiranya.

Dia bersyukur kerana doanya setiap hari akhirnya dimakbulkan juga. Dengan kuasa ALLAH di saat-saat genting seperti itu, anaknya pulang. Namun apa yang membuatkan dia sangat bersyukur ialah apabila melihat Jimmy pulang dalam keadaan yang selamat dan elok. Itulah doanya setiap masa. Janganlah anaknya ditimpa apa-apa petaka.

Jawapan ibunya, membuatkan Bahiyah tersengih lebar. Dia kemudiannya berlari ke dapur untuk membantu Aisha menyusun kuih.

Mak Yan yang tadinya diam sahaja di sebelah Mak Jiha terus bersuara sambil tersenyum. “Gembira betul dia,” katanya, merujuk kepada Bahiyah.

“Dia mana ingat? Semasa abangnya pergi dulu, dia belum lagi setahun umurnya,” jawab Mak Jiha. Pinggan di tangannya dilap sampai kering. Namun ingatannya tetap melayang jauh ke belakang.

“Dia ada cakap dia ke mana selama ni?”

Mak Jiha menggeleng. Terasa kulit mukanya berubah panas. “Biarlah dulu, Yan. Kalau dia tak cakap, kak long malas nak tanya-tanya. Silap-silap tanya, nanti merajuk lagi.”

Mak Yan angguk faham.

“Dia dah balik tu, syukur sangat dah. Kak long pun tak sangka dapat tengok muka dia semula hari ni. Macam mimpi pun ada.” Mak Jiha kesat air matanya yang gugur tanpa sengaja. Sememangnya dia sangat bersyukur dan terharu.

Melihatkan Mak Jiha begitu terharu, Mak Yan usap lengan Mak Jiha dengan lembut. Dia faham hati seorang ibu. Walaupun tidak pernah diluahkan namun ibu mana yang tidak rindukan anak. Itu belum dicampur soal risau dan takut kalau apa-apa yang buruk menimpa anak. Anak-anak sahaja yang tidak pernah faham perasaan seorang ibu.

“Kita anggap aje perkara tu tak pernah berlaku, kak. Moga-moga sejuk hati dia. Hendak dia balik selalu ke sini tengok kak long dan adik-adik dia selepas ni.”

Mak Jiha angguk lemah. Begitulah harapan dia, selepas Jimmy balik ke situ setelah begitu lama meninggalkan mereka. Kepulangan Jimmy menunjukkan bahawa mereka tidak pernah dilupai. Cuma mungkin, rasa rajuk yang masih ada di hati anaknya, menjadi batu penghalang selama ini. Dia faham sengketa dua beranak itu mesti dipadamkan segera cuma dia tidak tahu bagaimana.

“Lama ke dia balik?” tanya Mak Yan sambil menyusun pinggan-pinggan yang sudah dilap oleh Mak Jiha.

“Dia tak cakap pulak, Yan. Tapi kalau boleh, biarlah dia balik lama sikit.” Itulah harapan Mak Jiha.

Dia belum puas menatap wajah Jimmy. Malah mendengar suara Jimmy juga dia tidak puas. Suara yang telah berubah. Dia sedar, kini anaknya sudah menjadi seorang lelaki dewasa. Betapa begitu lama masa yang sudah berlalu.

*****

DI DAPUR, Aisha dan Bahiyah sedang leka berbual. Kuih talam dan kuih lapis yang sudah dipotong-potong, disusun elok. Kini mereka menyusun gelas pula di atas dulang.

“Akak nampak kereta abang tadi?” tanya Bahiyah. “Cantik, kan?”

Aisha tersenyum. Wajah ceria Bahiyah ditatap lama. Dia faham Bahiyah sedang gembira. Dia juga percaya Mak Jiha dan Johan juga sedang gembira. Dia sendiri tumpang gembira kerana dia tahu keluarga itu masih bersedih setelah apa yang berlaku.

“Bolehlah ajak abang Bahiyah tu jalan-jalan,” katanya mengusik.

Bahiyah mengangguk laju. “Bahiyah nak ajak abang bawa Bahiyah, mak dan Abang Johan jalan-jalan dekat bandar. Dah lama kami tak pergi.”

“Esok pergilah. Esok kan ada pekan sehari?” balas Aisha. Kalau diajak, mahu juga dia turut serta tetapi malulah pula hendak menawarkan diri. Nanti apa pula kata ibu bapanya kalau tahu.

“Betul juga cakap Kak Aisha tu. Nanti Bahiyah ajak abang.”

“Abang Bahiyah tu... dah kahwin ke?” tanya Aisha perlahan. Tidak nampak pula sesiapa bersama Jimmy tadi. Lagipun kalau Jimmy sudah ada orang rumah, tentu sudah ada di situ membantu mereka sekali.

“Entahlah, kak. Tak ada kut? Nanti Bahiyah tanya mak,” jawab Bahiyah. “Tapi kalau tak ada lagi bagus. Boleh Kak Aisha kahwin dengan dia.”

“Hisy! Bahiyah ni!” Segetus cubitan hinggap di pinggang Bahiyah. Lantas Bahiyah mengekek ketawa.

“Anak dara dua orang! Buat kerja tu diam-diam sikit. Anak dara apa ni? Suara sampai ke depan boleh dengar!” tegur Mak Yan dari luar dengan suara yang kuat.

Bahiyah dan Aisha sama-sama menutup mulut namun senda gurau mereka berdua tetap berterusan.

*****

SETELAH siap mengelap pinggan mangkuk, Mak Jiha bangkit berdiri. Dia naik ke ruang tamu pula sambil membawa sebatang penyapu. Hajatnya untuk membersihkan tempat itu sebelum membentang tikar. Semuanya perlu disiapkan sebelum kariah masjid tiba. Walaupun tidak ramai yang akan datang bukanlah bermakna semuanya patut dibuat sambil lewa.

“Kita tutup dululah tingkap-tingkap ni. Senja-senja macam ni tak baik biarkan tingkap dan pintu terdedah.” Langsung dia menuju ke arah tingkap rumah Mak Yan. Ada lapan buah tingkap jenis panjang dari atap ke lantai. Ditarik daun tingkap satu persatu lalu dikunci dengan bacaan Bismillah.

Kerana sudah jelas dalam satu hadisRiwayat Al-Bukhari dan juga Muslim yang mencatatkan Rasulullah saw bersabda bahawa; “Jika malam menjelang atau kamu masuk pada petang hari, tahanlah anak anak kecil kamu. Karena syaitan bertebaran pada waktu itu, dan apabila malam telah terlewati sesaat, maka biarkanlah mereka. Kuncilah pintu-pintu dan sebut nama Allah karena sesungguhnya syaitan tidak membuka pintu yang terkunci. Tutuplah tempat tempat air kalian dan sebutlah nama Allah. Tutuplah bejana-bejana kalian dan sebutlah nama Allah, meskipun kalian meletakkan sesuatu yang melintang di atasnya. Dan padamkan lampu-lampu kalian.”

Maka bagi Mak Jiha sendiri dia amat menjaga perkara itu seperti yang pernah diajar oleh ibubapanya dahulu. Dia juga telah mengajar perkara yang serupa kepada anak-anaknya. Baginya waktu senja ialah waktu yang perlu diawasi. Dia sentiasa memastikan setiap tingkap dan pintu di rumah ditutup apabila waktu senja dan anak-anaknya berada di tempat yang berbumbung. Itu sunnah nabi dan penuh dengan seribu satu kebaikan.

“Tutuplah dulu, kak long,” balas Mak Yan yang baru selesai memasang lampu tangga dan menutup daun pintu. Kemudian Mak Yan masuk ke dalam bilik tidurnya untuk menutup tingkap tetapi tidak lama kemudian dia terjerit.

Mendengarkan jeritan Mak Yan, Mak Jiha terus meluru masuk. Ketar tubuhnya apabila melihat Mak Yah terduduk di birai katil sambil menekup muka.

“Kenapa, Yan? Bawa mengucap,” katanya sambil memeluk bahu Mak Yan. Dia tahu ada sesuatu yang telah menganggu fikiran Mak Yan di situ. “Bawa mengucap, Yan. Bawa mengucap.” Katanya berulang kali.

Akhirnya, barulah Mak Yan mengucap sebelum memeluk tubuh Mak Jiha dengan erat. Mak Jiha biarkan sahaja.

“Kenapa, mak? Kenapa mak menjerit?” Aisha dan Bahiyah meluru masuk ke dalam bilik dengan wajah yang cemas.

“Tak ada apa…,” balas Mak Jiha. “Dah masuk waktu maghrib ni. Siapa boleh bersolat, pergi ambil wuduk cepat. Kita berjemaah. Dalam waktu-waktu macam ni sikit pun kita tak boleh leka.”

“Kenapa mak menjerit tadi?” tanya Aisha tadi.

“Mak kamu tak apa-apa. Janganlah kamu risau. Pergi bentang sejadah kat luar. Kita solat sama-sama. Jangan lupa tutup semua tingkap dan pintu belakang. Penuh pulak rumah dengan nyamuk aedes.” Mak Jiha cuba mengendurkan keadaan. Dia tidak mahu hal itu diperbesar-besarkan.

Mak Yan angguk tanpa bersuara. Barulah Aisha dan Bahiyah keluar dari situ menuju ke dapur semula. Suasana menjadi senyap sunyi.

“Jangan diikutkan sangat. Mari kita bersolat dan mengaji sedikit. Senja-senja macam ni, ada aje dia cuba menganggu kita,” pujuk Mak Jiha lagi. Di masih teringat apa yang menimpa dirinya di belakang rumah tadi. Sehingga ke saat itu dia mudah amat terkejut.

“Yan nak tutup tingkap tadi tiba-tiba… ramai aje dekat tingkap tu Yan nampak. Tak berkepala pulak tu. Membuak-buak darah keluar dari lehernya, kak. Bau hanyir tak usah cakaplah.”

“Hisy! Kamu ni Yan. Jangan diingat benda-benda tu semua. Lupakan aje. Jangan cerita pulak dengan anak-anak,” tegur Mak Jiha. Dia kemudiannya bangkit menutup kesemua tingkap di situ sebelum menarik lengan Mak Yan keluar dari situ. “Dahlah tu, mari kita solat.”

Senja itu mereka berjemaah bersama-sama dengan diimamkan oleh Mak Jiha sendiri.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku