PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
Bab 10
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Novel
Paparan sejak 03 September 2013
400 tahun lalu, tujuh orang lelaki melarikan diri dari Pagar Ruyung ke tanah besar untuk memulakan penghidupan baharu. Satu kesilapan menjerumuskan mereka semua ke dalam satu perjanjian yang perlu diwariskan kepada keturunan mereka seterusnya. Sejak itu setiap kali ketua kampung berganti, tiga nyawa perlu dikorbankan kepada puaka sebuah batu.
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1425

Bacaan






TIDAK lama selepas itu, Jimmy dan Johan tiba pula di masjid kampung. Seperti yang diduga, kehadiran mereka berdua dengan menaiki Honda Accord menarik perhatian kariah masjid. Semuanya terpinga-pinga dan agak terkejut apabila melihat susuk Johan keluar dari kereta itu. Jimmy pula terasa amat gugup.

“Ini….” Pak Salleh yang berada di situ turut kehairanan.

“Abang Aazim, pak ngah.” Johan beria-ia menjawab. Senyumannya lebar sampai ke telinga.

“Aazim?” Pak Salleh bertanya lagi sebelum meraih Jimmy ke dalam pelukannya. Tubuh Jimmy dirangkul kemas sebelum kembali merenung muka Jimmy bagaikan tidak percaya. “Balik juga kamu ya?”

Jimmy cuma tersenyum hambar. Walaupun pertanyaan itu seperti menyindir, terpaksalah dihadapi dengan sabar.

“Lama ke balik?”

“Dua tiga hari aje. Pak ngah apa khabar?” Jimmy cuba berlagak tenang, walhal dalam hati, rasa hendak lari sahaja dari situ dan balik semula ke ibu kota. Berada di masjid, buat dia rasa cuak. Terasa sekujur tubuhnya teramat kotor berada di tempat suci itu. Terasa juga tidak layak. Malah amat gementar seperti mahu disunat kali kedua.

“Alhamdulillah. Eloklah sangat Aazim balik. Selepas solat Isyak nanti, kita terus ke rumah pak ngah. Rasanya Johan dah beritahu, kan?” Pak Salleh menoleh ke arah Johan.

Johan sekadar mengangguk. Sebaik sahaja terdengar azan Maghrib dilaungkan bilal masjid, Pak Salleh segera meminta diri.

“Johan pergilah dulu ya.” Jimmy memegang perutnya. “Abang nak ke tandas.”

Pada mulanya Johan hanya terkebil-kebil melihat gelagat Jimmy, kemudian dia melangkah juga ke dalam ruang solat lelaki.

Di dalam tandas, Jimmy menuju ke sinki. Paip air dibuka. Air ditadah dengan kedua belah tangan lalu disapukan ke muka. Dibiarkan air itu melurut jatuh sendiri sehingga mukanya agak kering. Kemudian dia merenung wajahnya di cermin yang retak dua. Dia seperti melihat wajahnya yang asing. Wajah penuh pura-pura. Namun dia tidak punya pilihan. Dialah manusia dua nama, dua jiwa.

Setelah rasa cukup lama di situ, Jimmy bergegas ke ruang solat. Sewaktu tapak kakinya menyentuh permaidani, terasa sejuk menjalar hingga ke tulang som-som. Pada waktu itu jemaah sedang mengangkat takbir rakaat kedua. Dia terus masuk ke saf yang terakhir. Mengikut sahaja apa yang patut sehingga selesai. Namun semuanya tidak semudah itu.

Masa terus berlalu. Ternyata sepanjang tempoh antara waktu Maghrib dan waktu Isyak adalah waktu yang paling lama bagi diri Jimmy. Setiap alunan surah yang dibaca, setiap patah penerangan yang disebut tok imam seperti api kecil yang membakar tubuhnya. Dia rasa panas dan gementar. Mujurlah tempoh penderaan itu berakhir juga.

“Jemput ke rumah.” Suara Pak Salleh kedengaran. Pada waktu itu jemaah masjid sudah beransur-ansur meninggalkan ruang solat.

Jimmy dan Johan yang sudah menanti di tangga masjid hanya memerhati jemaah yang beransur pergi.

“Pak ngah datang naik apa tadi? Kalau jalan kaki, marilah naik sekali dengan kami.” Jimmy terus mempelawa. Kalau boleh, dia mahu segala-galanya berakhir dengan cepat. Jiwanya sudah penat berlakon seperti orang baik-baik di situ.

“Kamu berdua pergilah dulu. Pak ngah naik motor tadi.” Pak Salleh tunjukkan sebuah motor yang diparkir tidak jauh dari tempat berwuduk.

Dengan jawapan itu, Jimmy meminta diri untuk beredar dahulu. Bagaikan terlepas dari ikatan, dia cepat-cepat meninggalkan kawasan masjid. Namun di pintu masjid keretanya berselisih dengan sebuah kereta Mercedes.

*****

PAK SALLEH terkocoh-kocoh menyarung selipar. Sungguhpun majlis tahlil yang dibuat di rumahnya itu hanyalah majlis yang kecil namun kerisauan tetap ada. Dia mahu pulang cepat untuk menguruskan apa yang perlu.

“Jomlah kita,” katanya kepada tok siak yang masih sibuk ke hulu ke hilir menutup pintu masjid.

Baru tok siak melangkah dua tapak, mereka berdua sama-sama tertegun melihat siapa yang datang. Tok siak lantas memberi salam. Salamnya bersambut.

“Lama tak balik?” tegur Pak Salleh pula. Dia kenal lelaki itu.

Pak Daud tersengih lebar. “Aku datang ni nak menjemput orang kampung ke rumah aku tiga hari lagi.”

“Nak buat kenduri kahwin ke?” tanya tok siak. Pak Salleh juga mengangguk.

“Bukan kenduri kahwin. Tapi kenduri untuk anak saudara aku, si Farish.”

“Kalau bukan kenduri kahwin, kenduri apa pulak?” tanya Pak Salleh. Keliru sungguh fikirannya.

“Anak saudara aku tu akan dilantik jadi ketua kampung. Menggantikan arwah Dr. Rafar.” Pak Daud tersenyum bangga.

Pak Salleh dan tok siak sama-sama terdiam.

“Tolonglah hebahkan ya? Aku wakilkan kamu berdua untuk menjemput orang kampung. Jangan lupa pulak. Nanti mereka kata pulak aku tak mengajak.” Panjang bicara Pak Daud sambil tangannya menghulurkan sekeping kad jemputan. Siap beralamat dan berpeta tidak ubah seperti jemputan kenduri kahwin.

Belum sempat Pak Salleh mahu membuka mulut, Pak Daud sudah tergesa-gesa meminta diri.

“Daud,” tegur Pak Salleh sambil mengejar. Dia teragak-agak tetapi kalau tidak diluahkan terasa terbuku pula dalam dada. Apabila Daud berhenti melangkah, dia menyambung, “Engkau dah fikir habis-habis ke?”

“Fikir pasal apa?” Pak Daud renung muka Pak Salleh.

“Pasal anak saudara kau jadi ketua tu.”

“Apa kena-mengena dengan anak saudara aku pulak?” Suara Pak Daud mula meninggi.

“Aku tak bantah kalau anak saudara kau tu nak jadi ketua kampung ni.Tapi kau pun tahu, macam mana adat perlantikan tu akan dibuat. Kalau boleh aku minta, jauhkanlah adat-adat atau upacara yang khurafat tu. Jangan mendekati syirik. Buat aje apa yang perlu.”

Dahi Pak Daud langsung berkerut. Matanya bagaikan mahu tersembul keluar. Timbul urat di dahinya kiri dan kanan.

“Itulah orang kita. Pantang nampak orang lain lebih sikit, mulalah nak kata macam-macam. Khurafatlah. Syiriklah. Dengki tak habis-habis!” Dia menggeleng dan lantas masuk ke dalam kereta. Tidak lama kemudian, keretanya meluncur laju meninggalkan tempat itu.

“Tak apalah, Salleh. Kamu dah berusaha. Moga-moga dibukakan Tuhan mata dia sebelum terlambat.” Tok siak tepuk bahu Pak Salleh dengan lembut. Dia padamkan lampu-lampu di sekitar masjid, tinggal yang menerangi tangga sahaja.

Pak Salleh hanya mampu menarik nafas panjang.

*****

BEBERAPA minit kemudian, Jimmy dan Johan sampai semula di rumah Pak Salleh yang diterangi lampu yang menerangi halaman. Tidak jauh di belakang mereka, Pak Salleh menunggang motorsikalnya sambil membawa tok siak. Ada dua orang lain menyusuli mereka termasuk tok imam dengan menaiki motorsikal masing-masing.

“Naiklah,” pelawa Mak Yan sambil membetulkan letak tikar. Di sampingnya berdiri Mak Jiha.

Johan mencuit lengan Jimmy. Sambil beriringan mereka berdua naik ke atas rumah. Sebaik sahaja masuk ke rumah pak ngah, Jimmy memilih untuk duduk bersila di atas tikar mengkuang di tepi dinding berdekatan tingkap. Tidak lama kemudian, pak ngah masuk bersama ahli kariah masjid. Jimmy membilang, kesemuanya tidak sampai pun dua puluh orang termasuk dirinya. Dia agak terkejut dan resah. Janganlah pak ngah menyuruhnya apa-apa, fikirnya. Mahu dia betul-betul sakit perut nanti.

Setelah menunggu beberapa ketika, tok imam memulakan majlis tahlil. Jimmy diam sahaja. Dalam hatinya hanya berharap agar majlis itu cepat tamat supaya dia boleh makan dan balik tidur sahaja. Lagipun bau lauk-pauk di dapur, sudah menggoda rasa laparnya. Cuma ada ketikanya, suasana menjadi hening. Mahu atau tidak, dia tetap teringatkan ayahnya yang telah tiada. Hatinya sayu.

“Jom, bang!” ajak Johan sebaik sahaja doa selesai dibacakan tok imam. Kini tibalah masanya untuk mereka menjamah hidangan.

Jimmy segera faham. Dengan langkah bersahaja, dia menurut langkah Johan ke belakang untuk mengangkat dulang. Biasanya begitulah kebiasaan di situ. Sama-sama menghidang. Sama-sama juga menjamah apa yang ada. Namun sebaik sahaja dia cuba menuruni tangga, kakinya tersilap pijak. Terus terjerlus ke celah anak tangga.

Dia terjatuh tiga anak tangga dan melanggar seorang gadis yang mengangkat air minuman.

Dulang gadis itu terbalik.

Prang! Kedua-duanya jatuh bertindihan. Kuyup.

*****

DALAM keadaan terpinga-pinga dan sakit, Jimmy sempat menyapu mukanya yang basah bersimbah air teh. Walaupun dia biasa dipukul bantai sewaktu berlatih Muay Thai tetapi apabila disimbah air teh ke muka dan leher, terasa juga panasnya. Mujur dia dapat mengawal rasa marahnya. Kalau tidak sudah dibaling dulang itu ke muka gadis tadi.

“Kenapa tak pandang betul-betul ni?” Mak Jiha bertanya. Keadaan di situ menjadi kalut kerana semua orang tertumpu ke situ. Tok imam sendiri datang menjenguk. Pak Salleh pula berlari bertanyakan hal.

Suara ibunya membuatkan Jimmy tersedar di mana dia berada. Apalah malangnya nasib dia hari tu? Tak pasal-pasal mandi dengan air teh, hatinya jengkel bercampur malu. Apatah lagi apabila menjadi tumpuan dalam insiden yang memalukan itu.

“Aisha tak apa-apa ke? Melecur tak?” Mak Jiha sibuk pula melihat gadis yang dilanggar Jimmy tadi.

Gadis yang dipanggil Aisha hanya menggeleng sebelum menundukkan muka. Kemudian segera berlari masuk ke bilik. Bahiyah yang turut memandang sejak tadi terus berlari mengejar Aisha yang menghilang di balik pintu.

“Tak apalah. Bukan sengaja,” kata Mak Yan sambil menghulurkan kain lap kepada Jimmy.

Johan pula mengangkat Jimmy bangun sayangnya Jimmy tidak boleh berdiri betul. Buku lalinya terkehel dan mula berdenyut. Dia berdencit-dencit.

“Terseliuh?” Mak Jiha terperanjat.

Jimmy hanya mampu berkerut apabila buku lalinya berasa kebas dan panas. Sungguh kejadian itu di luar jangkaannya. Dia jadi buntu seketika memikirkan apa yang akan berlaku selepas itu.

“Duduk dulu.” Mak Jiha tarik lengan Jimmy. “Johan kamu tolong mak ngah angkat dulang ya. Mak nak tengokkan abang ni sekejap.”

Johan terus beredar.

“Kamu duduk sini dulu. Jangan bergerak,” arah Mak Jiha lagi. Kemudian turut sibuk membantu Mak Yan dan Johan. Aisha dan Bahiyah pula terus tidak keluar dari bilik.

Jimmy tidak ada pilihan. Hendak ke mana-mana pun sudah sukar. Akhirnya dia duduk sahaja di atas tangga tanpa dapat berbuat apa-apa. Dia cuma berharap kakinya tidak bengkak teruk kerana dia sudah memutuskan akan balik sahaja esok. Dia tidak boleh bertahan lama lagi di situ. Semua keadaan di situ membuatnya rasa rimas dan tidak tentu arah. Apatah lagi dengan kelembutan mereka yang berada di sekelilingnya. Dia rasa terseksa.

Walaupun begitu, kakinya seperti tidak mahu berkompromi. Makin lama makin bengkak dan makin sakit.

“Makan di atas tangga ajelah nampaknya ya?” Mak Jiha tersenyum lebar. Disuakan sepinggan nasi yang berisikan beberapa jenis lauk buat Jimmy. Dia layan Jimmy makan sehingga selesai.

Jimmy makin rasa bersalah.

*****

KIRA-KIRA pada pukul 11.00 malam, mereka mula mahu beransur meninggalkan rumah Pak Salleh.

“Boleh ke tu, Johan?” Pak Salleh bertanya dari luar kereta. Riak wajahnya cuak sahaja melihat Johan berada di tempat memandu. “Kalau tak boleh, biar pak ngah yang bawa.”

“Boleh,” balas Johan sebelum menghidupkan kereta Jimmy. Oleh kerana Jimmy tidak boleh menggunakan kakinya, Johanlah yang terpaksa memandu kereta Jimmy. Dia yakin, dia boleh.

Jimmy di sebelah diam sahaja. Walaupun berkali-kali Pak Salleh dan Mak Yan meminta maaf darinya namun bagi dia bukanlah salah Aisha. Mungkin salah dirinya sendiri yang cuai. Namun dia tahu sudah begitu adat orang berbahasa, kalau ada salah sedikit mudah terasa bertanggungjawab. Bahkan bagi dia, dialah yang sepatutnya meminta maaf kepada Aisha.

“Baik-baik, Johan.” Mak Jiha pula bersuara.

“Abang Johan boleh bawa tu, mak. Kan dia dah biasa bawa lori?” Bahiyah yang duduk di kerusi belakang bersama Mak Jiha pula menyampuk.

“Itu lori… ini kereta. Mana sama?” balas Mak Jiha.

Johan yang mendengar hanya tersengih. Kereta diundurkan sebelum bergerak meninggalkan rumah Pak Salleh. Kesemua yang ada di dalam kereta itu menarik nafas lega dan tidak banyak bercakap lagi kecuali Bahiyah.

“Bang, lama ke abang balik?” Bahiyah bertanya. “Kalau lama… bolehlah bawa kami jalan-jalan. Bahiyah dah lama tak pergi bandar. Esok kan ada pekan sehari dekat bandar? Bolehlah kita pergi. Ajak Kak Aisha sekali.”

“Hisy! Kamu ni,” tegur Mak Jiha sambil menepuk peha Bahiyah.

Bahiyah hanya ketawa mengekek.

“Macam mana nak jalan? Kaki abang dah macam ni,” balas Jimmy main-main. Walaupun sesungguhnya kata-kata Bahiyah itu telah menghimpun rasa sayu dalam hatinya.

“Mak kan pandai urut? Nanti mak urutkanlah,” balas Bahiyah.

Jimmy hanya tersenyum nipis. Dia terlupa, ibunya memang pandai mengurut orang. Dengan itu dia berharap kakinya cepat sembuh. Dia mahu balik ke kota dengan segera. Makin lama di situ hatinya makin rapuh.

*****

SETELAH keluarga Jimmy meninggalkan rumah, Pak Salleh mahu menghantar tok siak pula balik ke rumah.

“Kunci pintu. Tutup semua tingkap. Lampu depan ni jangan tutup.” Macam-macam yang dipesan Pak Salleh kepada Mak Yan sebelum pergi. Mahu atau tidak, dia tetap berasa risau dengan keselamatan keluarganya.

Setelah itu baru dia meninggalkan halaman rumah bersama tok siak. Motorsikal dipandu perlahan membelah malam yang agak cerah. Bulan hampir mengambang penuh. Setelah lebih kurang sepuluh minit, baru mereka sampai ke rumah tok siak yang gelap gelita.

“Kenapa gelap sangat ni?” tegur Pak Salleh. Dia sedia maklum tok siak tinggal seorang diri di situ lantaran isteri tok siak telah meninggal lama dahulu. Cuma apabila melihatkan rumah yang sebegitu gelap, berdebar juga dadanya.

“Lupa nak pasang lampu.” Tok siak naik ke tangga rumah dan membuka pintu. Kemudian dia masuk ke dalam mencari suis lampu. Setelah itu dia berpatah balik ke tangga. “Terima kasihlah sebab menghantar tadi.”

Pak Salleh angguk sahaja. Selepas menghidupkan semula enjin motorsikal, dia terus meninggalkan halaman rumah tok siak. Kali ini dia memecut lebih laju untuk cepat sampai ke rumah.Namun di pertengahan jalan, dia terpaksa menekan brek apabila lampunya tersuluh sesuatu yang ganjil.

Siapa pulak yang berjalan sorang-sorang dalam gelap ni? Dahlah tak bawa lampu, rungutnya dalam hati. Namun begitu motorsikalnya semakin hampir mendekati lelaki itu dari belakang.

“Nak ke…” Sebaik sahaja menoleh ke arah lelaki itu, Pak Salleh tidak jadi menghabiskan pertanyaannya. Sedar-sedar sahajanya dadanya sudah sakit. Dia pun memerah minyak dan memecut laju balik ke rumah.

Setibanya di rumah, dia terus masuk dan mengunci pintu rapat-rapat. Sepatah kata pun tidak diceritakan kepada isterinya. Dia langsung terbaring di ruang tamu. Puas dia membaca surah demi surah untuk menenangkan perasaan dan melupakan apa yang dia lihat tadi. Dia sedar, malam itu dia pula yang terkena.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 |
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku