Ketika Cinta Memanggil
Bab 35
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 31 Oktober 2013
Mengisahkan seorang pemuda, Ryan dari Indonesia berhijrah ke Malaysia untuk mencari saudara kandung setelah kematian neneknya. Di Malaysia, dia dikagumi oleh penduduk Kampung Batu Limau kerana berjaya menghidupkan rumah Allah, surau di kampung tersebut. Dia telah mengamalkan pelbagai aktiviti masjid untuk mengimarahkan rumah Allah. Di samping itu, penampilan Ryan telah mencuri perhatian Balqis, anak gadis penghulu kampung. Namun, Azman, disyaki pengedar penyeludupan dadah telah menjadi penghalang antara cinta Ryan dan Balqis.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
20

Bacaan






Bab 35

 

Tiga tahun kemudian..

 

SEKOLAH Rendah Kebangsaan Batu Limau dipenuhi pelbagai karenah pelajar-pelajar yang buat kali pertama menjejaki kaki ke sekolah. Ada di antara mereka yang menangis apabila ditinggalkan oleh ibubapa mereka, ada di antara mereka yang berasa seronok apabila memasuki ke alam baru selepas menggulung sebuah ijazah pra-sekolah mereka. Mohd Ryan diam seribu bahasa. Tiada tindak balas Mohd Ryan berada di sekolah. Balqis yang mendaftar anaknya di sekolah tersebut.

“Adik belajar sekolah rajin-rajin, ya! Jangan nakal-nakal. Dengar cakap cikgu,” pesan Balqis kepada anaknya. Mohd Ryan hanya mengangguk. Dia lebih suka berdiam diri daripada banyak berkata-kata. Saat Balqis menghampiri pintu pagar sekolah, Balqis memandang sekali lagi ke arah anaknya. Mohd Ryan langsung tidak memandangnya. Balqis hanya tersenyum. Dia bangga melihat anaknya. Tiada ketakutan. Tiada tangisan. Malah, saat dia melahirkan anaknya itu sungguh mudah dan lancar. Dia mendoakan bahawa Mohd Ryan dapat suaikan diri di sekolah bersama-sama teman sebayanya.

“Hah!!”

Suatu kejutan tanpa disedari olehnya. Jantung Balqis berdegup laju. Suara ketawa kedengaran.

“Yati! Terkejut jantung aku! Suka mengacau!” air muka Balqis berubah.

“Alah, jangan merajuk, sayang. Aku tengok kau merenung jauh je. Kalau bos tengok, tidak pasal-pasal kena sound depan-depan. Kau teringat siapa ni?” tanya Yati yang cuba menghiburkan hati rakannya, Balqis.

“Aku teringat anak aku. Masa mula-mula daftar darjah satu. Dia tidak seperti kawan-kawannya yang lain. Sekarang, dia dah besar. Dah darjah tiga,” Balqis berbicara.

“Sebenarnya, aku bangga dengan kau, Qis. Anyway, aku nak bagi something dekat kau,” Yati merobek dompet besarnya.

“Eh, kau nak bagi aku duit ke?” tanya Balqis.

“Tak. Aku cuma nak tanya pendapat kau design ni, okey tak?” Yati menyerahkan sebuah kad kepada Balqis. Balqis mengambil kad tersebut.

“Apa? Yati dan Haikal! Alhamdulillah! Tahniah! Aku sudah agak. Kamu berdua mesti macam….,” Balqis terdiam.

“Macam apa? Jangan macam-macam. Kad kahwin itu belum print lagi,” Yati mengacu mukanya apabila terdengar nama ‘Haikal’

“Alah-alah, pura-pura tak suka dia. Padahal dalam hati selalu sebut nama dia!” Balqis mengusik Yati sambil ketawa. Yati mencubit perut Balqis. Suara ketawa mereka semakin nyaring.

“Syhhh!! Diam! Sambung kerja. Aku dengar bos dalam perjalanan naik ke gudang ini,” kata rakannya di sebelah. Balqis mendiam diri serta-merta termasuk Yati.

 

*

 

Awan cerah telah menyembunyi cahaya siang. Malam akan menjelma tidak lama lagi. Bas kilang berderu laju ke kawasan perkampungan. Sebenarnya, hampir separuh daripada pekerja kilang adalah dari kampung tersebut.

“Jadi tarikh perkahwinannya bulan depan? Kenapa tak tunang dulu?” tanya Balqis.

“Tak tahulah si Haikal tu. Memang rancang nak tunang dulu. Tapi, sudah banyak kali tangguh tarikh tunang. Last-last tetapkan tarikh kahwin terus,” tiba-tiba Yati berasa tertekan.

“Laa! Janganlah tension sangat. Okeylah tu. Jimat sikit bajet. Jangan lupa jemput aku persiapan majlis kahwin kau nanti,” kata Balqis.

“Oh, itu memang wajib jemput,”

 

Bas berhenti di bahu jalan. Ramai yang turun dari bas itu. Balqis dan Yati turut keluar dari bas tersebut. Masing-masing kepenatan bekerja sambil berdiri sebagai operator pengeluaran barang di sebuah kilang elektronik yang hampir sejam ke kawasan kediaman mereka.

“Jangan lupa, esok ya?” Balqis cuba beringat.

“Qis, esok kan aku off day. Dah lupa?” tanya Yati.

“Ala.., esok terpaksa aku menunggu seorang diri awal pagi nanti,”Balqis merajuk seorang diri. Balqis memberi salam sebelum mask ke dalam rumahnya. Azizah menjawab salam tersebut.

“Adik dah balik, ibu?” tanya Balqis. Dia lebih suka memanggil gelaran anaknya, Mohd Ryan iaitu ‘Adik’

“Dia tidur. Kepenatan. Maklumlah, hari pertama persekolahan. Adik terus tidur lepas makan tengah hari tadi,” jawab Azizah.

“Lamanya dia tidur,” Balqis terkejut kenyataan ibunya. Balqis menuju ke bilik anaknya. Suara balqis lebih tinggi daripada yang biasa.

“Adik!”

“Adik!”

“Bangun! Dah nak maghrib ni! Baru daftar sekolah tahun tiga dah penat? Jangan malas sangat!” Balqis membebel.

Mohd Ryan membuka mata sebaik sahaja telinganya dicemari oleh pencemaran bunyi yang tidak disangkakan sebelum ini. Raut mukanya turut berubah. Balqis terus menarik tangan Mohd Ryan dan menyerah tuala mandi kepadanya.

“Mandi cepat. Lepas sembahyang Maghrib. Jangan lupa pergi mengaji kat rumah Pak Mat!” pesan Balqis. Mohd Ryan hanya mengangguk kepalanya dan menuju ke bilik mandi.

“Ibu, adik ada sembahyang Asar tak? Zohor?” tanya Balqis kepada ibunya. Wajah Balqis berubah serta-merta.

“Ibu ada nampak dia sembahyang Asar. Zohor mungkin dia sembahyang jemaah di sekolahnya,” Azizah beranggapan sedemikian.

“Lega saya mendengarnya, ibu,” Balqis melafaz tanda syukur.

“Sudahlah,Qis. Jangan risau. Anak kamu tu pandai mengurus diri. Cuma hari ini, dia kepenatan. Ibu tengok muka dia betul-betul penat. Ibu tidak sampai hati untuk mengejutkannya,” Azizah menjelaskan perkara yang sebenar.

“Tak apa, ibu. Qis faham. Qis masuk mandi dulu, ya?”

“Qis!”

“Ya, ibu?”

“Bb….bil api dann…bil air dah sammpai,” Azizah terketar-ketar mengungkap kata-katanya. Azizah seperti tidak sampai hati memberitahu jumlah yang sebenar kedua-dua bil bayaran tersebut.

“Ohh.., nanti Qis tengok,” jawab Balqis dengan nada perlahan sambil menundukkan kepalanya di lantai. Sememangnya, Balqis yang menjadi tulang belakang untuk menyara ibu dan anak tunggalnya itu.

*

Ayam berkokok berkali-kali. Cahaya ufuk matahari mulai terbit beransur-ansur pada awal pagi. Balqis sudah bangun seawal empat pagi. Dia telah selesai menunaikan solat sunat tahajjud, diikuti solat witir dan satu per tiga malam. Entah mengapa matanya sukar untuk melelapkan mata. Balqis terus membuka kitab Allah, Al-Qur’an. Balqis bertilawah dan bertawakuf dengan bacaan ayat suci Al-Qur’an. Selepas selesai menelaah intipati Al-Qur’an, dia teringat akan seseorang. Seseorang yang sentiasa segar dalam ingatannya iaitu, Ryan.

 

Imbas Kembali..

Tiga tahun sebelumnya…

 

“No32, Jalan Beringin 11, Kampung Batu Limau! Betul alamat ini, Puan Balqis,” tanya pegawai yang bertugas di pusat zakat tersebut.

 

“Ya, “ Balqis menjawab ringkas.

 

“Selepas ini, puan tidak perlu lagi mengambil barangan zakat ke sini lagi. Mulai bulan depan, pihak kami akan menghantar barangan sumbangan ini ke rumah puan,” jelas pegawai lelaki tersebut.

 

“Alhamdulillah. Terima Kasih. Terima kasih, ya Allah. Syukur atas nikmat Allah. Semoga Allah permudahkan segala-galanya,” jawab Balqis. Dia baru sahaja menerima sekampit beras dan beberapa tepung gandum termasuk sebotol minyak masak, sumbangan dari pihak zakat. Pengakhiran bulan Ramadhan adalah menjadi rezeki yang tidak terhingga dalam kehidupan Balqis dan anaknya. Balqis dengan riang hati meminta diri dengan membawa hadiah yang diterima olehnya sambil dibantu oleh anaknya, Mohd Ryan. Balqis membuka pintu pejabat untuk keluar lalu dia terlanggar seseorang menyebabkan barangan yang dipegang jatuh.

 

“Allahuakhbar. Maafkan saya. Saya tidak sengaja,” kata lelaki itu. Balqis menundukkan wajahnya. Dia mengambil barang itu semula. Lelaki itu menolong. Balqis memandang wajah lelaki itu. Mata Balqis bagaikan ada renjatan. Kaku. Lelaki itu juga kaget melihat Balqis.

“Ryan!” kata Balqis.

 

“Balqis!” jawab lelaki itu.

 

Air mata Balqis mengalir laju memandang lelaki yang dirinduinya selama ini.  Balqis hanya mampu tersenyum. Nafasnya tercungap-cungap apabila memandang lelaki itu.

“Sudah lama saya mencarimu, Balqis? Di mana awak menghilang selama ini?” tanya lelaki itu. Balqis menundukkan wajahnya. Tangan kanannya memegang erat tangan anaknya, Mohd Ryan.

“Mengapa harus sekarang kita ditemui, Ryan? Kenapa? Maaf, saya harus pergi,” Balqis beredar dan menjauhi lelaki itu.

“Aku merinduimu, Balqis. Sudah lama aku merinduimu….,” lelaki itu sempat meluahkan rasa kasih kepada Balqis. Balqis berhenti tiba-tiba. Tidak lama kemudian, air mata Balqis mengalir laju membasahi pipi.

“Aku juga merinduimu, Ryan. Aku sangat rindu kepadamu. Tetapi, kenapa kau harus muncul sekarang? Mengapa tidak dari dulu? Sejak aku berpisah dengan suamiku? Mengapa kau tidak hadir dalam hidupku? Mengapa harus sekarang?” Hati Balqis meronta-ronta. Tidak tahu jalan manakah yang haru dia tujui.

“Maafkan saya, Ryan. Qis sudah ada kehidupan Qis sendiri. Selamat hari raya dan maaf zahir dan batin,” kata Balqis berlari menurun anak tangga supaya hati dan perasaannya akan padam daripada dibuai nafsu cinta. Balqis bersama anaknya pergi ke perhentian bas untuk pulang ke kawasan kediamannya semula.

*

 

Lamunan Balqis terhenti. Air matanya disapu perlahan-lahan menggunakan tangannya. Kitab Al-Qur;an yang dibaca diletakkan semula ke atas meja. Balqis lantas merenung ke luar jendela. Cahaya siang masih belum bersinar. Suara cangkerik semakin perlahan.

“Ya Allah, kenapa aku semakin sukar melupakan lelaki itu?” Balqis berbicara sendirian.

“Adakah rindu ini Kau ciptakan kepadaku atau hanya sekadar mainan perasaanku?” Balqis petah berkata-kata tanpa diselindung dengan sesiapa pun.

“TUK! TUK! TUK!” Tiba-tiba terdengar ketukan pintu

“Ibu!”

“Ibu!”

“Ibu!”

 

Terdengar suara Mohd Ryan memanggil ibunya untuk persiapan untuk ke sekolah. Balqis kaget. Dia lantas menanggalkan telengkung dan mengambil baju uniform kerjanya untuk bersiap memulakan kerja.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku