Cinta Sang Pilot
Bab 7
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 November 2013
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
16499

Bacaan






Bab 7

“Ya sayang, saya pun rindukan sayang juga. Balik? Mestilah nak balik! Saat ni pun saya nak balik jumpa sayang. Tak sabar nak jumpa kekasih saya yang comel tu! Nak peluk cium kekasih yang saya cintai, rindui,” begitu mesra dia bercakap di telefon bimbitnya di ruang balkoni bilikku ini.

“Sayang nak ke mana? Eropah? Buat apa? Pertunjukan fesyen! Ala, tak dapatlah kita nak jumpa! Rindu sangat tau! Memang saya rindu sangat kat sayang!”

Aku terduduk di birai katil mendengar bicara mesranya itu. Aku sedih dengan nasibku ini. Sepatutnya orang lain yang menjadi pengantin baru akan berasa gembira dengan pasangannya. Tetapi aku merana. Dua kali merana sebenarnya. Putus tunang dan tidak diakui oleh suami sendiri. Hubungan kami hanya di atas kertas!

“Bila sayang balik ke Malaysia? Tiga minggu lagi? Lamanya tu!”

Memang banyak kudengar hubungan yang hanya diakui di atas kertas, tetapi aku ingat ia hanya sah di dalam novel-novel cinta yang kubaca. Rupanya kisah kejadian sebenar berlaku kepada diriku. Entah bala apakah yang menimpa aku kini! Memang lumayan pedihnya perasaan ku! Janganlah aku berendam air mata selepas ini!

“Sayang... sayang! Jangan bimbang! Saya takkan jatuh cinta dengan sepupu saya ni! Kami sudah ada perjanjian! Ya, tiba masanya nanti, kami akan lakukan apa yang sepatutnya! Saya akan ceraikan dia! Tapi, bukan sekarang!” jawabnya di talian.

Kemudian dia ketawa mesra. Kalau dengan aku, jangan harap dia akan ketawa mesra. Kecuali di depan ibu bapa kami. Dia memang pandai berpura-pura.

‘Ya Allah sakitnya hatiku. Ya Allah jangan Kau duga aku begini. Aku tidak sekuat ini menghadapi hukuman ini. Hukuman ini sebenarnya membunuh aku!’

“Balik? Saya akan balik petang ni sayang! Tak sabar nak jumpa sayang! Tapi sayang tak de pulak. Dah tiga hari saya macam patung di rumah kampung ini, sayang tahu tak?” jawabnya lagi. Kalau dengan aku, tak sabar dia hendak balik ke bandar bertemu dengan kekasih hatinya.

‘Aleh, tak sabar jumpa kekasih konon!’

“Hmm, biarlah dia dengan hidup dia, dan saya dengan hidup saya! Kami sudah ada perjanjian lah sayang! Don’t worry babe!” katanya. Dia ketawa. Aku bertambah pilu. Aku pura-pura membaca buku cerita yang baru aku beli minggu lalu. Dia masuk ke dalam bilik semula.

“Aku akan balik ke bandar petang ini. Awak balik ke mana?” soalnya. Aku kekok sebenarnya. Kekok hendak bercerita dengannya. Cukuplah dia membantu menutupi aibku selama tiga hari ini. Dia memang sudah menjalankan tugasnya dengan baik. Orang kampung percaya dengan kehadirannya.

“Saya akan balik ke rumah sewa saya. Hari Isnin saya kerja,” jawabku. Aku angguk. Sedih pula hatiku. Selama tiga hari kami sama-sama di rumah ini. Dan, aku tidak mengambil cuti sempena pernikahan ini.

“Saya akan hantar awak?” soalnya. Aku pandang wajah kacak dengan kulit kemerah-merahan itu. Aku geleng.

“Tak perlu nak susah-susahkan diri, cukuplah tiga hari awak dah tolong saya, saya bawa kereta sendiri,” jawabku. Sebenarnya dadaku sebak. Ah, buat apa aku nak menangis. Bukan bawa untung, pujukku kepada diri sendiri. Tetapi kenapa aku sangat sebak juga?

“Kita bertolak sama-sama,” aku angguk. Aku tunduk dan tidak mahu melihat matanya.

“Selepas ini kita akan meneruskan hidup kita macam biasa,” pesannya lagi. Dia ingat aku sudah lupa akan perjanjian kami.

“Baik, kita akan bertolak sama-sama tetapi lain-lain destinasi,” katanya. Aku angguk juga.

“Terima kasih sekali lagi sebab tutup aib saya,” aku mengulang semula. Aku memang terhutang budi kepadanya.

“Tak apa, tetapi syarat saya awak kena patuhi, jangan ganggu hidup saya selepas ini,” jawabnya. Aku angguk.

“Oh ya, sebelum saya lupa, awak mengandung berapa bulan?” aku terkedu. Fitnah orang kampung sukar kutahan. Aku diam. Aku menahan pilu di dada.

“Tak apalah kalau awak tak nak cerita,” katanya pula. Dia sudah keluar semula ke ruang balkoni.

‘Sebenarnya aku tak mengandung! Orang kampung dan bekas tunang aku saja yang fitnah aku! Ibu bapa aku pula percaya bulat-bulat fitnah tu!’ aku hanya mampu bersuara dalam hati. Tidak sampai hati aku hendak bercerita perkara yang sebenarnya.

***

“Kami pergi dulu ayah,” katanya sambil menyalami tangan ayahku. Ayahku membisikkan sesuatu di telinganya.

Aku melihat air mata ayah bergenang di kolam matanya. Entah apa yang ayah pesankan kepada lelaki itu. Nukman Faris terangguk-angguk mendengar pesanan ayahku. Begitu besar harapan ayah kepada suami di atas kertasku itu? Aku dan emak hanya memerhati dari jarak agak jauh. Kami menghampiri ayah dan Nukman Faris setelah mereka berdua memandang ke arah kami.

“Jaga suami baik-baik nak. Ayah dan emak dah lepaskan kamu kepada suami kamu ni. Jadi kamu berdua pandai-pandailah menjaga rumah tangga kamu ya,” kata emak pula. Nukman Faris mengangguk.

“Ya mak, jangan risau mak,” kataku pula. Kami berpelukan. Aku teresak-esak dalam pelukan emak. Aku bagaikan tidak mahu berpisah dengan ibu bapaku saat ini. Namun kerana tugasku, terpaksa juga aku berangkat. Aku takut esok aku tidak akan sempat ke tempat kerja. Kemudian aku menyalami ayah pula.

“Mak dan ayah doakan hubungan kamu akan sentiasa dirahmati dan berpanjangan,” kami berpandangan. Masing-masing kami menelan air liur yang terasa pahitnya. Aku tertunduk akhirnya.

“Tasya,” panggilnya lembut. Aku memandangnya. Dia tersenyum. Aku tahu itu senyum yang dibuat-buat untuk mengaburi ibu bapaku. Dia menghulurkan tangannya. Aku cepat-cepat menyalami tangannya dan dia memeluk tubuhku lantas mengucup dahiku. Syahdu kurasakan. Mungkin kerana kami akan berpisah lama dan kami tidak sehaluan lagi selepas ini.

“Ingat janji kita ya, jangan sampai mak ayah awak tahu,” itu sahaja yang dibisikkannya. Aku mengangguk dengan air mata bergenang di pipi.

“Kamu akan terus ke rumah ibu bapa kamu Nukman?” Nukman Faris terus mengangguk.

“Tak dapatlah kamu ke rumah Mak Long kamu Tasya, kamu tak ada cuti lagikan!” kata emak. Aku angguk. Aku tidak sepatutnya memohon cuti dalam keadaan hubungan kami yang tidak sebaik pasangan lain.

“Hujung minggu saja mak,” jawabku sedih. Sebenarnya aku masih ada cuti beberapa hari lagi. Aku sengaja tidak mahu memberitahu kepada emak. Aku bimbang jika emak memaksa aku pergi ke rumah Nukman.

“Tak apalah mak, nanti saya jemput Tasya ke rumah mak ayah saya, minggu depan saya dah fly ke Australia,” katanya memujuk ibu bapaku pula. Aku faham tugasnya yang selalu ke luar negara. Namun walaupun dia tidak bertugas, aku tahu dia tidak akan mempedulikan aku lagi.

“Tak bawa isteri sekali?” soal emak seperti memerangkap. Terkejut Nukman Faris. Mataku lagi, sudah membuntang. Soalan emak terlalu drastik. Takkan bertugas pun Nukman Faris hendak bawa isteri. Memang tidak masuk di akalku.

“Err, saya kan mengajar mak, ayah,” jawabku cepat-cepat. Aku tahu Nukman Faris sudah bengang dengan soalan atau amaran itu.

“Ya tak ya juga kan, nanti-nantilah ikut Nukman ke luar negara Tasya,” kata emak. Aku angguk. Aku tidak tahu di mana sepatutnya aku letakkan mukaku.

“Ya mak, jika ada kesempatan saya akan bawa Tasya ke luar negara dengan mak dan ayah sekali, kan Tasya?” aku angguk apabila namaku disebut.

Aku tahu dan pasti hal itu tidak akan berlaku. Ini kerana kedua ibu bapa kami tahu situasi sebenar pernikahan kami. Walaupun ibu bapanya sangat gembira dan reda dengan pernikahan kami tetapi dari sisi Nukman, tidak selari dengan harapan ibu bapa kami.

“Insya Allah, mudah-mudahan hajat kita semua disampaikan Tuhan,” kata ayah pula. Aku mahu sahaja demam mendengar kata-kata ayah yang berbaur doa itu. Aku melihat dalam rembang sinar matahari, Nukman Faris tersenyum manis memandang emak dan ayahku. Tuhan, berilah aku kekuatan!

“Kirim salam dengan mak ayah kamu Nukman,” kata emak. Nukman Faris mengangguk dan tersenyum manis. Ah aku sudah jatuh cinta berkali-kali dengan wajah kacak itu.

“In sha Allah mak, ayah. Saya pergi dulu,” janjinya. Aku terus menapak ke kereta Myviku. Dia pula bergerak ke kereta BMW hitam model terbarunya. Aku hanya mampu memandang!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku