Cinta Sang Pilot
Bab 15
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 November 2013
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
15678

Bacaan






Bab 15

“Silalah masuk. Inilah rumah kita,” katanya membuka pintu rumahnya. Semua lampu di ruang tamu itu terpasang. Aku teragak-agak hendak masuk ke dalam rumahnya itu. Dia tarik tanganku yang agak sejuk. Serba-salah aku dibuatnya.

“Kita? Rumah kita?” dia angguk dengan senyuman manis. Mahu sahaja aku pengsan di depannya menerima senyuman manis itu. Senyuman Amri hambar sahaja untukku. Apakah lelaki ini masih berlakon di depanku?

‘Kenapa rumah kita? Sedangkan kita akan berpisah tak lama lagi? Perjanjian sudah termaktub, apakah lelaki di depannya ini lupa?’ lelaki itu kehairanan melihat aku garu kepala yang tidak gatal. Aku sudah kebingungan sendiri memandang pintu rumah suami sementara itu.

“Ya, rumah kita. Kenapa?” aku teragak-agak disoal tiba-tiba. Bagaikan seorang pesalah pula. Ya, mesti aku rasa bersalah sebab aku mungkin akan diceraikan dan aku tidak layak untuk berkongsi sebuah rumah dengannya tanpa perkongsian kasih sayang antara kami. Lelaki ini mungkin hanya mahu mengambil hatiku pada saat yang aku disangkanya mengandung. Ah, timbul lagi perasaan tidak enak di hatiku. Kalaulah lelaki itu tahu, mahu sahaja aku pergi dari rumah ini dan kembali ke rumahku. Di situ aku akan berasa betapa damainya duniaku tanpa sesiapa melihat kesedihan dan rasa serba salahku.

“Kenapa macam tak suka?” aku diasak dengan pelbagai soalan yang ternyata amat membuatkan hati kecilku terasa sungguh kecewa dan perasaanku berbaur-baur dengan apa yang berlaku antara aku dan dia. Kalau Amri tidak membuat hal, mungkin kami sudah hidup bahagia seperti suami isteri yang lain. Namun mungkin sudah takdirnya kami terpisah setelah dia membuat hal; ah, tidak perlu diulangi. Dia telah melakukan sesuatu yang mengaibkan aku. Dan, kalau kami jadi disandingkan pada hari itu, aku tidak tahu apa akan berlaku kepada rumah tangga kami. Namun, bersama dengan lelaki ini aku juga seperti berada di dalam gelombang di lautan. Rumah tangga kami bagaikan sentiasa dilambung gelombang. Sedihnya!

“Suka!” jawabku setelah aku melihat wajahnya tertunggu-tunggu akan jawapanku. Pandangan mata tajamnya ke anak mataku usah diceritakan. Semuanya menjadikan jantungku libang-libu!

“Kenapa tak nak masuk?” aku pandang wajahnya. Aku pandang keseluruhan ruang tamu rumah itu. Pandai juga lelaki itu menghias rumahnya. Mungkin emaknya masuk campur. Tetapi kenapa aku dibawa ke rumahnya? Apakah motif lelaki ini?

“Siapa tinggal di sini?” dia sengih. Aku terbayangkan gadis lain yang menjadi kekasihnya. Walaupun aku tidak pernah bertemu dengan kekasihnya namun aku tahu hubungan mereka intim. Kasihan pula, mereka terpisah kerana aku. Bagaimanakah aku hendak memohon kemaafan kepada kekasihnya itu? bagaimanakah perasaan hati orang yang disakiti? Bukankah sakit dan marah bagaikan air panas menggelegak di cerek.

Ah, kenapakah aku tega bersetuju dengan cadangan emak dan ayah agar aku meneruskan sahaja majlis perkahwinanku dengan menukar pasangan lelakinya! Aku sepatutnya menolak cadangan ayah dan emak. Kini, setelah aku tahu suamiku mempunyai kekasih lain, apakah yang harus aku lakukan? Mendesak suamiku ini menceraikan aku atau menyuruhnya kahwin sahaja dengan kekasihnya? Aku? Tidak ada perasaankah aku?

Sanggupkah aku bermadu? Atau, sanggupkah kekasihnya bermadu denganku? Tidakkah dia memberi syarat suamiku agar menceraikan aku dahulu dan barulah mereka bernikah. Ah, terasa betapa rumitnya kehidupanku sekarang. Aku terasa betapa aku sudah kehabisan lelaki. Mungkinkah begitu tuduhan kekasihnya itu terhadapku. Betapa terdesaknya aku pada masa itu. aduhai, kalau boleh diundurkan masa aku tidak mahu bernikah dengan sepupuku sendiri dan hidup dalam keadaan yang serba-salah seperti sekarang ini.

Wajahnya kacaknya terserlah pada cahaya yang samar-samar itu. Ah, sukanya aku memandang wajah itu tetapi aku terasa sayu pula apabila memikirkan aku telah merampas kekasih orang. Namun, aku akan bersetuju dengan apa pun tindakannya selepas ini. Bila-bila sahaja jika dia mahu menceraikan aku, aku akan bersetuju dengan kemahuannya. Aku tidak mahu merasa bersalah sehingga ke akhir hayatku.

“Puas hati telek wajah saya?” bisiknya di telingaku.

“Ha!” Ya Allah, meremang tubuhku. Perasan pula lelaki ini. Mahu sahaja aku melompat melihat tubuhnya yang sudah tidak sampai setengah inci dari mukaku. Apakah dia hendak buat ini? Aku tolak wajahnya dan aku cepat-cepat masuk ke ruang tamu rumahnya itu. Aku menundukkan wajah dan tidak berani hendak memandang wajah tampan itu. Ketakutan menyelubungi wajah itu seperti rusa takutkan singa.

“Ah, perasan! Awak ni kenapa, mana ada saya telek wajah awak!” kataku yang menjauhkan diri daripadanya. Aku sakit hati diperbuat begitu olehnya. Aku terasa hembusan nafasnya. Oh Tuhan!

“Mana ada perasan! Saya nampak awak telek wajah saya!” ulangnya lagi sambil tersenyum dengan penuh tampan. Ah, aku tidak mahu jatuh cinta entah ke berapa kali dengan suami sendiri. Dan, aku pun tidak mahu di hadapannya akan perasaan yang berkumpul di dadaku ini. Aku nampak senyuman mesranya memandang aku yang masih tersipu.

“Mana ada!” aku berdalih lagi. Habis seluruh mukaku terasa panas. Mana aku mahu mengaku sedang menelek wajah kacak milik suamiku itu.

“Ada!” katanya mendekatiku. Mukaku sudah membahang. ‘Matilah aku!’ Bisikku dalam hati.

“Tak ada!” kataku. Dia sudah menangkap tanganku.

“Saya tahu awak telek wajah saya!” bisiknya di telingaku. Aku menjauhkan diri darinya. Aku sudah masuk ke ruang tamu rumahnya itu dan berdiri di ruang tengah. Sofanya berwarna hitam kupandang. Aku tidak berani hendak duduk di sofa itu.

“Tak apalah jika awak tak mengaku. Saya faham awak malu dan saya tahu saya kacak!” ucapnya setelah agak lama kami mendiamkan diri. Aku tersenyum kelat dan menggeleng. Aku tertanya sendirian. Apakah yang sudah berlaku kepada lelaki ini sehingga menunjukkan kemesraannya begini. Apakah dia sudah menukar perasaannya kepadaku atau dia hanya hendak mengambil hatiku? Walaupun aku berasa gembira dengan apa yang ditunjukkannya tetapi aku tidak suka dengan perbuatannya kepadaku. Jika rahsiaku terbongkar lagi pada masa yang sama, apakah perasaannya yang baru berubah untukku itu akan berubah semula menjadi benci, dendam dan sakit hati? Aku galau sendiri malah aku takut, tersangat takut jika rahsiaku sendiri terbongkar. Ini kerana aku tidak dan belum membuat pengakuan yang aku tidak mengandung. Mereka hanya mendapat perkhabaran daripada keluarga Amri yang menyatakan aku mengandung dan menjadi penyebab mengapa mereka memutuskan pertunangan denganku. Kad perkahwinan pula sudah diatur.

Jadi, ayah dan emakku sudah kebingungan lantas mencarikan pengganti untuk pengantin lelaki. Lelaki yang malang menjadi pengganti Amri ialah sepupuku sendiri. Keluargaku berasa malu dengan apa yang berlaku. Perkahwinan terpaksa diteruskan juga. Tinggal dua minggu sahaja pernikahan dilangsungkan.

Ia sangat menyakitkan bagi diriku. Sekarang pun aku berhadapan dengan situasi bagaimana mahu berterus-terang dengan lelaki di depanku yang aku tidak mengandung.

“Perasan!” kataku. Dia sudah melabuhkan punggungnya di sofa kulit itu.

“Mari kita duduk. Tentu awak penat beberapa jam di dalam kereta. Saya faham, awak berbadan dua,” katanya lagi. Aku mengangguk dan menuruti katanya. Bertambah-tambah kalut wajahku. Aku seperti sudah melakukan pembohongan secara terang-terangan. Kini aku tersepit antara hendak berterus-terang atau berdiam diri sehingga hari terakhir perkahwinan kami.

“Tak penat sangat, saya ok!” kataku perlahan. Aku duduk di sisinya. Sebenarnya aku segan sangat. Tuhan sahaja yang tahu perasaan debar dan kebingungan yang bercampur-campur mengganggu perasaanku.

“Awak suka tak rumah ni?” apa yang hendak aku jawab? Aku tidak terfikirpun hendak mempunyai rumah dengan lelaki ini atau apa sahaja hartanya, aku tidak sesekali terfikir ia akan menjadi harta kami bersama. Aku masih terkejut dan tidak menyangka yang dia sudah mempunyai rumah dan membawa aku ke rumahnya ini. Menurut emak, aku akan dibawa ke rumah emak mertuaku di Damansara Utama. Kenapa aku dibawa ke sini?

“Tak suka? Hiasannya agak kelakian?” dia desak aku lagi. Aku kurang arif tentang hiasan dalaman. Bagiku kalau rumah ini sudah lengkap dengan segala kelengkapan rumah, aku tidak akan mengungkit atau mengubah apa-apa lagi. Cukuplah dengan apa yang ada. Lagipun aku sangat berkira tentang soal bajet. Aku tidak suka membazir. Kata ayah, membazir itu amalan syaitan.

“Oklah ni!” jawabku ringkas. Tentu dia tertunggu-tunggu. Dia berdiri dan menghidupkan suis televisyennya yang agak besar. Mungkin lebih besar daripada televisyen di rumah sewaku. Mungkin saiznya 50”. Aku mengagak sahaja.

“Oh, ok kalau hiasan macam rumah saya ni!” aku angguk.

“Kenapa awak bawa saya ke sini?” soalku. Aku tidak selesa di sini. Aku bimbang keluarganya dan keluargaku akan menunggu kami.

“Awak macam resah!” aku angguk. Mestilah aku berasa resah dan gugup hendak berdua-duaan begini. Ini baru kali kedua kami bertemu. Sebelum ini kami bersama-sama di rumah keluargaku. Jantungku pun rasanya macam hendak pecah. Janganlah dia buat benda-benda tak baik kepadaku.

“Tak apa, saya akan beritahu mama dan mak awak,kita akan tidur di sini malam ini.” Aku buntangkan mata. Debarku menjelma.

“Kenapa pula? Tentu mama awak tertunggu-tnggukan kedatangan kita petang ni!” dia geleng. Telefonnya berbunyi. Aku kaku di sisinya. Sebelah tangannya memegang tanganku. Apakah mimpi lelaki ini? Selalunya tanganku ini terlalu jijik baginya. Aku faham siapa dirinya di sisinya.

“Assalamualaikum mama, ya ada.” Aku dengar sahaja apa yang diperbualkannya. Pasti mamanya yang menghubunginya.

“Err, ada mama. Kami di rumah saya. Saya dan dia tidur sini.” Jawabnya. Aku sudah butangkan mata. Kenapa pula kami tidur di rumah ini. Aku nak tidur di bilik man? Aku tinjau-tinjau kawasan seperti para pemimpin meninjau kawsasan mereka sendiri.

“Bila? Esok? Pagi atau petang? Pagi? Ok!” dia letak telefon. Kemudian pandang wajahku. Aku menajamkan alat dengarku mendengar perbualan mereka.

“Siapa tu?”

“Mama!”

“Dia nak apa?” soalku dengan berkerut dahi. Kenapa aku dikurungnya di sini? Aku tahu dia tidak mahu bertemu dengan aku di sini. Mungkin rumah ini dia beli sebagai tempat dia membawa kekasihnya. Kenapa dia bawa aku ke sini?

Aku yakin mama mertuaku bertanyakan tentang aku. Kenapa dia hendak menyembunyikan aku di rumahnya ini? Alagkah baiknya kalau aku terus dibawa pulang ke rumah keluarganya. Tak perlu lagi aku singgah di mana-mana dan berasa kekok di sampingnya.

“Dia nak awak duduk seminggu cuti ni di rumah saya! Kita ada majlis!” nafasku semakin gemuruh. Apa yang dikatakan kepada lelaki ini. Meminta aku duduk sebilik, serumah dengan sedapur dengannya selama seminggu? Hendak apa dibuatnya? Takkan aku hendak jadi patung di depannya?



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku