Cinta Sang Pilot
Bab 21
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 November 2013
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
15660

Bacaan






“Apa barang yang sepatutnya kita beli malam ni Tasya?” soal Nukman Faris kepadaku yang masih bersiap-siap memperbaiki tudung biru berlapis merah jambu ala-ala tudung Fareeda. Tudung ini aku beli di sebuah kedai di Shah Alam ketika aku menemani Shamira ke sebuah kedai gunting wanita. Aku tidak mampu sangat hendak membeli tudung yang agak mahal. Aku jenis yang lokek untuk berbelanja untuk diri sendiri. Mungkin sebab aku dilahirkan dalam lingkungan keluarga yang sederhana menyebabkan aku tidak sampai hati hendak membeli barang-barang keperluan diri yang agak berjenama dan tentunya mahal.

‘Tanya aku pula? Manalah aku tahu apa yang hendak dibeli di rumahnya ini! Berapa lama dia hendak tinggal di sini? Berapa orang nak makan? Eh, kenapa dia tanya aku? Bukankah aku akan balik semula ke rumah sewaku lusa? Esok kami akan ke rumah mama mertuaku. Eh, aku pun bingung dengan mamat satu ni!’ Aku juga tidak berapa peka apakah barang-barang yang hendak dibelinya untuk di rumahnya ini. Aku tidak tahu!

“Saya tak tahu,” kataku teragak-agak setelah kudapati dia masih merenung aku dari sudutnya yang tersendiri. Aku kegugupan pula akhirnya. Inilah yang aku tidak suka. Kalau sudah kami sama-sama, lelaki itu asyik memandang aku. Banyak betul masanya memandang aku, merenung aku. Jantungku pula sudah libang libu.

“Tak buat senarai?” aku geleng lagi. Buat apa aku nak buat senarai, bukan rumah aku. Hehe, aku ini sungguh selfish!

“Tak payahlah buat senarai, rasanya. Sebab esok kita dah pergi rumah mak long kan? Jadi, biarlah awak beli beras, sayur sikit dan ikan atau ayam sikit. Selebihnya beli peralatan perasanya seperti garam, kicap, gula, kopi, teh dan err tu je lah! Tak perlu banyak sangat. Awak pun bukannya tinggal di sini kan?” kataku. Dia masih diam. Kemudian dia berdiri dan menggeleng.

“Mama, bukan mak long!” aku terlopong. Terlupa seketika yang mamanya sudah menjadi mama mertuaku. Aku kaku seketika.

“Ops, saya terlupa!” kataku menutup mulutku. Rupanya mak long aku sudah menjadi mama mertuaku. Eh, lelaki ini suka hati dia sahaja menegur aku.

“Tak! Tak! Selama dua minggu awak cuti ni, kita akan duduk di sini. 3 hari lepas awak ada kelas, awak dan saya akan balik ke sini semula. Jadi saya tak kisah kalau sayang nak beli barang banyak sikit pun! Kalau tak habis, kita bawa ke rumah mama,” Aku terbuntang mata. Kemudian, ada garis-garis halus di dahiku. Aku tidak menyangka dia akan membuat perancangan sejauh itu. Aku benar-benar tidak menyangka dia akan seprihatin itu.

“Bila masa awak nak jumpa buah hati awak? Biarlah saya duduk di rumah sewa saya pula. awak ada masa nak jumpa dia,” cadangku. Sebenarnya aku ada enam kertas tugasan yang hendak aku siapkan dan sepatutnya dihantar pada hujung bulan ini. Jadi apa kata kalau aku duduk sahaja di rumah sewaku. Aku harus menghantar tugasanku tepat pada waktunya. Aku tidak mahu mata gred ku turun pada semester kedua ini. Aku tidak mahu menjejaskan pencapaianku kali ini. Apa yang lebih aku tidak suka, aku tidak mahu kalah dengan kawan serumahku Shamira.

“Tak boleh nak bantah-bantah! Saya nak jumpa buah hati ke, kawan sekolah ke, perdana menteri ke, awak tak usah nak masuk campur! Apa yang saya tahu awak mesti ikut cakap mama! Saya tak mahu awak nak membantah pula!” tegas suaranya. Aku tidak suka menerima arahan begitu. Tugasku lebih utama. Jika tugasanku dapat disiapkan dengan jayanya pada hujung minggu ini, aku bersyukur. Ini bermakna aku akan struggle lagi untuk semester yang akan datang.

“Bukan apa, saya nak siapkan asignment saya,” bulat matanya. Terkejut mungkin mendengar jawapanku.

“Tak apalah, awak duduk di rumah kita ni. Saya takkan ganggu awak. Kalau awak nak bantuan saya untuk rujukan beritahu saya, saya akan sedia bantu awak. Tapi jadual kita nak ukur dan cuba baju pengantin mama yang dah tentukan. Awak kena patuh kata-kata mama aje.” Katanya. Aku angguk. Kalau dia meminta aku duduk di rumahnya ini. Ya tetapi aku takut aku tidak akan selesa nanti. Itulah yang menyebabkan aku hendak menyiapkannya di rumahku sendiri.

“Tengoklah nanti macam mana. Biasanya saya ni selesa kalau buat kerja di rumah saya sendiri,” kataku.

“Inikan rumah awak juga,” aku terkedu. Bila masa kami membeli rumah bersama. Aku bagaikan bermimpi mendengar pengakuannya.

“Ya lah kalau dah begitu kata awak. Saya pula bimbang kalau awak tidak selesa sepanjang saya di sini,” kataku berterus-terang. Dia menggeleng. Apakah dia tidak mengamuk lagi seperti tiga minggu lalu?

“saya selesa aje kalau awak ada depan mata saya. Tu lah, kalau awak ada apa-apa nak minta tolong saya, awak beritahu saya. Saya akan sedia bantu awak,” katanya mahu membantu aku. Aku mengangguk.

Aku tahu dia memang sudah layak kahwin tetapi desas-desus hari itu aku dengar mamanya tidak merestui hubungannya dengan kekasihnya. Aku berasa kasihan tetapi dalam hati kecilku pula terkilan kerana sepupu yang kusukai dalam diam itu rupanya sudah ada pilihan hatinya. Aku terasa hampa ketika mendengar berita itu. dalam waktu yang sama aku bahagia jika mamanya tidak merestui hubungan mereka dan dia masih ada harapan! Yerk! Aku ini ada hati pula rupanya! Malunya aku kepada diri sendiri!

“Dua minggu kita di sini? Agak lama juga tu! Nak buat apa? Kita duduk aje lah di rumah mama, sama aje tu! Lagipun minggu depan kan awak kerja!” kataku yang masih tidak puas hati. Dia menggeleng.

“Supaya saya dapat jaga awak. Awak pun dapat berbakti buat suami awak selama dua minggu ni. Puas hati? Dan saya nak puas kan hati mama saya juga, mama mertua awak tu!” Katanya. Terbeliak mata aku mendengar katanya.

Hendak menangis pun ada. Sebenarnya aku bukan tidak mahu menjalankan tanggungjawabku sebagai isterinya tetapi apakah dayaku. Apakah dayaku. Aku tidak berdaya. Perjanjian pernikahan aku dan dia menyisihkan aku sangat jauh daripada menjadi isterinya yang sebenar.

Perjanjian itu memang tidak adil kepadaku tetapi apakah dayaku pula hendak membantah. Ini kerana dia terpaksa menikahi aku lantaran menutupi fitnah orang sekeliling kami dan kebetulan pula memang satu kebetulan, ibu bapa kami mahu kami bersatu. Jadi kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya oleh ibu bapa kami untuk menyatukan kami berdua. Ah, agak tragis kebetulan-kebetulan dan takdir yang berlaku kepada aku dan dia.

Kini dia sudah menukar pula kata-katanya. Ini bermakna dia seperti merombak kembali perjanjian pernikahan kami yang amat berat sebelah itu. Namun dia hanya merombaknya melalui kata-katanya sahaja bukan melibatkan dokumentasi seperti sebulan yang lalu. Tetapi dalam situasi begini siapalah aku hendak menuturkan ingatan atau memberikan teguran kepada lelaki yang menikahi aku atas dasar sebuah perjanjian itu.

Bagiku lelaki ini terlalu licik. Di hadapan kedua ibu bapa kami, dia terlalu tunduk dan akur tetapi aku tidak tahu hakikat yang sebenarnya. Kadang-kadang aku pening juga tetapi terpaksalah aku menahan sebuah rasa pening itu demi untuk menutupi kekurangan dalam diri ini.

Nak jaga aku? Buat apa dia nak jaga aku? Aku nak diharap jaga dia? Aku nak belajar! Aku tak nak sibuk-sibuk memasak saban hari untuknya. Aku pun bukannya pandai sangat memasak. Kalau masak nasi goreng, mee goreng terjun kuali, ikan masak kicap, atau ayam goreng kering dan nasi putih bolehlah! Atau paling simple lagi aku masak maggi dan buat kopi atau milo. Nah, baru padan muka dia! Nak cuci pakaian dia pula? Ah, tidak. Aku tahu dia mesti ada kedai dobi tersendiri untuk membersihkan pakaiannya. Dia orang mampu. Lainlah aku!

Tetapi, kata emak, kalau kita ikhlas jaga makan minum dan pakai suami, senang kita nak masuk syurga. Ya, aku mahu masuk ke syurga dengan seorang suamiku Encik pilot ini. Tetapi dengan keadaan kami yang berbeza benar daripada pasangan pengantin yang lain mampukah sesama kami menuju ke syurga? Eh, sampai ke situ pula aku. Dalam kes aku dan Nukman Faris, mesti berbeza dengan pasangan pengantin baru yang baru berkahwin kan? Kami hanya kahwin sementara aje. Macam kahwin olok-olok pula kami.

“Ha?” aku masih terkejut. Aku tidak dapat berfikir dengan baik kemudiannya. Dia pula masih memerhatikan aku sejak tadi. Entah apa pula di dalam hatinya. Aku kurang pasti. Kalau boleh aku tidak mahu tahu.

“Saya nak juga temankan awak ke hospital, bertemu dengan doktor keluarga kami dan berkenalan dengan doktor pakar peranakan mama. Mama tak beritahu?” aku geleng. Memucat wajahku. Darahku di wajah dan kepalaku turun semuanya ke kaki. Mana pernah aku bercakap-cakap dengan mama mertuaku. Ini pun baru hendak berjumpa. Itupun, Nukman Faris ini sungguh lambat bertindak.

“Mak kita tak beritahu?” aku geleng juga. Emak tidak mengetahui rancangan mereka sejauh ini. Emak selama ini hanya tinggal di kampung dengan menjalankan tugas rutinnya sebagai seorang suri rumah yang taat kepada perintah suaminya iaitu ayahku Encik Mohd. Tajuddin.

“Ada yang tak puas hati?” soalnya. Aku diam. Aku masih memikir sesuatu. Memang banyak yang aku mahu katakan kepadanya tetapi lidahku ini bagaikan diikat dengan tali. Tidak mampu aku bercakap dengan baik.

“Sebenarnya, saya ni nak belajar. Lepas cuti sekolah nanti kami akan periksa. Jadi, kalau boleh saya nak tumpukan perhatian kepada peperiksaan saya tu, saya nak belajar!” kataku memberikan alasan. Memang benar aku akan menghadapi peperiksaan tetapi sebulan kemudian. Maafkan aku suami, terpaksa bohong sunat pula. kalau dia tahu bagaimana?

“Tak, depan saya pun awak boleh belajar. Awak kena biasakan diri dengan saya. Hujung minggu depan kita akan bersanding sekali lagi. Mama kita dah aturkan semuanya. Kita tinggal sedia fizikal dan mental aje.” Itu aku sudah tahu. Aku ingat kami akan tinggal di rumah mama mertuaku. Emak dan ayahku pun di sana. Mungkin emak akan balik ke rumah kami di kampung tidak lama lagi.

“Tak boleh lah macam tu Nukman. Saya akan hadir ke rumah mama awak esok dan melihat baju yang sesuai untuk kita. Kemudian, saya balik ke rumah sewa saya. Petangnya saya akan naik bas dengan kawan–kawan saya, mungkin tempat kelas kami akan ditukar ke Perak.” Kataku. Aku belum mengesahkan mengenai hal ini. Shamira pun belum ada memberitahu aku mengenai perubahannya. Alamak! Telefon aku tidak ada bateri! Naya betul!

“Saya akan hantar! Perak bukannya jauh dari sini. Apa guna awak ada suami?” aku tunduk dan aku memang tidak senang hati ketika ini. Apa lagi yang akan aku jawab? Benarkah dia sudah merombak perjanjian kami? Encik Pilot, suamiku cubalah bertindak mengikut perancangan perjanjian kita. Jangan nak tukar-tukar sesuka hati tanpa memberitahu aku. Sekarang jiwaku tidak tenang dan aku tidak tahu bagaimana aku hendak beraksi sebagai seorang isteri di sisinya. Aduhai Nukman Faris tolonglah aku kali ini!

“Mari kita gerak sekarang, nanti tutup pula kedai di luar sana!” katanya menarik tanganku untuk berjalan seiringan dengannya. Lagilah terbuntang mataku melihat dia sudah menyentuh lenganku tanpa isyarat apa-apapun. Aku menundukkan pandangan dan berjalan perlahan-lahan. Pastilah sebagai isteri yang di dalam fasa perjanjian ini akan berasa tidak layak hendak berjalan beriringan dengannya. Kalau boleh aku hendak masuk ke dalam almarinya yang agak besar dan boleh memuatkan tubuhku di situ.

Aku mengenakan skirt hitam dengan blaus berwarna krim. Tudungku usah ceritalah, tak sedondon langsung dengan baju. Nasib baik ada merah jambu jadi taklah mengecewakan sangat. Aku kelam kabut menyiapkan pakaianku tadi. Aku tidak menyangka lelaki ini akan datang menjemput aku secepat ini.

Kini aku tahu lelaki ini seorang yang sangat mementingkan waktu. Waktu ini seperti pedang. Jika kita melengahkannya, ia akan memancung waktu kita yng berharga. Aku teringat falsafah mengenai waktu.

“Tasya, awak ni jalan lambat sangat. Cuba cepat sikit,” dia tidak puas hati. Aku pula sakit hati. Dengan ketinggiannya lebih kurang 6 kaki, langkahnya menjadi besar-besar. Sedangkan tubuhku agak kecil dan pergerakanku agak terbatas. Mana elok kalau gadis manis berjalan laju kan? Haha!

“Boleh tak sabar? Saya ni mana biasa nak jalan cepat! Paling-paling pun jalan slow ajelah! Awak nak jalan dulu, pergilah!” katanya yang sudah menuju ke arah lift di bangunan kondo itu. dia tetap berhenti dan menunggu aku. Ya Allah, aku sungguh terharu dengan sikap prihatin lelaki ini. Walaupun dia kadang-kadang agak kasar tetapi dia tetap bersikap prihatin terhadapku. Bolehkah aku lupakan kebaikan-kebaikannya ini selepas aku bercerai dengannya nanti?

Ah, aku rasa, kami tidak akan terpisah. Berpisah boleh tetapi hubungan kami tetap ada sebabnya kami sepupu. Kami masih ada pertalian darah tetapi aku yakin kami tidak akan pernah lagi bertemu seakrab ini. Kami bagaikan orang yang baru pertama kali bertemu. Aku pula terus jatuh cinta! Eh, gila ape ni Natasya Umaira Binti Mohd Tajuddin! Haha!

Dahulupun kami tidak bertemu selama 10 tahun. Entah ke mana dia menghilang!

“Awak jangan bising boleh tak? Saya tunggu awak lah ni! Walaupun awak lambat macam nenek tua!” sakitnya hatiku dikatanya aku nenek tua! Dia pula apa? Dia atuk tua nak mampos eh jangan mampus, panjang umur!

“Kurang asam! Saya bukan nenek tua lah! Awak tu yang atuk tua!” kataku menafikan tuduhannya. Dia sudah ketawa.

“Memang sepadanlah nenek tua dan atuk tua! Haha!” aku pandang wajah cerianya. Seronok betul dia hendak membawa aku keluar makan.

“Gila! Siapa nak jadi nenek tua! Awaklah yang jadi atuk tua! Saya masih muda dan cantik rupawan tau!” kataku marah jika dikatakan aku nenek tua.

“Tahu. Anak mak ngah memang cantik rupawan!” katanya memandang aku. Sekali lagi aku bagaikan terkena renjatan elektrik. Aku tidak menyangka lelaki ini akan menyambut kata-kata dengan komen begitu. Ah, mungkin dia hanya hendak mengambil hatiku sahaja. Selepas kami bercerai nanti kami akan mengingatinya sebagai kenangan indah. Indahkah kenangan kami ini? Ah, sedih sebenarnya!

“Tasya, dulu pernah tak awak jalan-jalan dengan bekas tunang begini?” terbuntang mataku kerana terkejut. Kami jarang bertemu dengan Amri. Amri seorang yang agak alim. Sesekali kami bertemu di rumahku.

“Encik Nukman, boleh tak kalau kita berdua, jangan bercakap mengenai orang lain?” aku memulangkan paku buah keras. Dia berpaling ke arahku dan ketawa terbahak-bahak. Penuh lift ini dengan bunyi ketawanya yang kuat. Aku hanya tersengih. Sebenarnya aku cemburu jika mengingati kekasihnya. Kekasihnya dekat di hatinya dan bakal dinikahinya selepas kami berpisah nanti. Aku pula seperti menghitung hari. Ya, menghitung hari aku gagal menjadi seorang isteri yang terbaik untuk seorang Nukman Faris.

“Boleh maafkan saya. Saya hanya nak tahu.” Katanya masih memegang tanganku. Mukanya kelihatan kelat. Aku tidak menyangka dia juga mahu mengetahui mengenai hubungan aku dengan bekas tunangku. Namun semuanya sudah menjadi sejarah. Nukman, boleh tak jangan tanya! Aku sudah hendak menangis di dalam lift ini.

“Tak de masalah. Kami jarang jumpa. Kalau jumpa pun di rumah mak saya. Dia anak orang alim konon! Err maaf saya bukan nak malukan orang alim. Ini kenyataan.” Kataku menerangkan dengan panjang lebar.

“Macam mana kamu boleh terlanjur?” mahu sahaja aku naik ke atas semula dan menangis di sana. Aku benci dengan soalan itu. selama ini semua orang menyangka aku yang bersalah kerana terlalu tergila-gilakan Amri sehingga sanggup menggadaikan tubuhku sehingga akhirnya aku mengandung. Memang amat berat tuduhan lelaki ini. Lebih berat daripada memikul batu gunung yang terletak di kepalaku.

“Maafkan saya kalau Tasya tak mahu cakap. Mungkin Tasya dianiaya. Tapi jangan risau, kalau dengan saya, tak siapa akan aniaya Tasya,” katanya memeluk bahuku. Aku sungguh terharu dengan sikap penyayangnya. Mataku sudah berkaca. Namun, benarkah pengakuannya kali ini? Ah, selepas kami bercerai nanti secara sah di hadapan hakim mahkamah syariah,siapa pula yang akan membela aku? Ah, sudahlah. Aku seharusnya bersedia, bersedia segala jiwa dan raga yang aku akan diceraikan kemudian dalam tempoh yang semakin bergerak laju ini. Adodoi!

“Nukman, boleh tak kalau kita bungkus aje makanan. Saya tak selesalah nak duduk di mana-mana,” kataku memberikan cadangan. Dia menggeleng. Aku sebenarnya tidak mahu kelihatan berdua-duaan dengannya di khalayak umum. Kelak aku sendiri yang akan mendapat malu. Malu kerana dituduh berdua-duaan dengan suami orang. Ah, ngeri sungguh hidupku ini.

“Saya dah lapar ni, saya tak nak makanan dibungkus. Nanti sejuk tak sedap! Baby awak pun tentu lapar kan?” dia menolak lagi cadanganku. Ini kerana aku tidak mahu makan makanan berat pada waktu malam. Aku pun mahu menjaga badanku. Kalau tidak dijaga alamatnya aku menjadi Natasya yang dulu yang digelarnya si tembam! Bikin panas!

“Ok lah kalau macam tu. Awak nak makan di mana?” dia tersenyum. Aku terpaksa mengikut kemahuannya.

“Ada, satu tempat yang istimewa.” Jawabnya. Aku kehairanan. Oh encik Pilot, kalau boleh awak tak perlu nak bawa aku ke mana-mana tempat awam kalau kita berdua-duaan. Kalau boleh aku tidak mahu orang lain tahu yang kita sudah bernikah. Aku tidak mahu buat hal lagi!

“Kat mana?” soalku masih tidak puas hati. Dia tersengih-sengih sambil menuju ke arah kereta.

“Ada lah, boleh tak kalau tenang dan sabar? Tunggu dan lihat dan akhirnya kita akan tiba di kawasan itu dengan selamat nanti,” aku terdiam. Mulutku bagaikan dikunci kemas. Aku bukan apa,aku tidak mahu dia membawa aku jauh-jauh dari kawasan rumahnya ini. Aku tidak biasa berjalan-jalan pada waktu malam. Lagipun aku tahu kedudukanku di sisinya. Aku sungguh sedar diri.

“Kenapa Tasya dah lapar sangatkan? Sejak tadi Tasya tak makan apa-apa, pasti Tasya lapar tu,” katanya membuat tekaan. Aku memang lapar. Tetapi aku memang tidak akan memakan makanan yang berat pada waktu malam. Paling aku suka makan buah epal. Di manakah aku mendapatkan buah itu? di pasar raya? Ya di pasar raya. Kami akan ke sana selepas makan nanti. Aku mengatur menu sendiri.

“Kenapa diam? Marah?” aku geleng. Kenapa dia harus menjaga hatiku. Aku tidak rela dia bersikap terlalu baik kepadaku sebenarnya. Aku tidak bermaksud hendak marah-marah pada malam yang berbahagia ini. Walaupun aku tidak lah bahagia sangat tetapi aku tetap menghormati malam ini. Aku bersyukur dengan nikmatNya.

“Taklah, saya menikmati lagu “All Of Me” yang awak sedangkan mainkan tu. Kalau pun saya tak faham, saya suka iramanya!” kataku yang berasa seronok mendengar nyanyian John Legend. Dia ketawa.

“Mustahil awak tak faham! Jangan nak bohongi saya,” katanya. Dia membelokkan pemanduannya. Aku tidak tahu dia akan membawa aku ke mana sekarang ini. Aku ikut sahajalah. Kalau aku tak ikut nanti dia marah lagi susah pula aku!

“Saya ni guru Bahasa Melayu,” kataku. Sebenarnya aku mengajar Matematik dan kadang-kadang diminta mengajar Bahasa Melayu jika kekurangan guru.

“Guru sekarang ni pandai-pandai. Jangan nak berselindung dengan saya,” katanya. Aku angguk. Malas aku hendak berbalas cakap dengannya. Tempat makannya pula agak jauh. Aku terasa hendak tertidur pula di dalam keretanya ini. Keretaku tidaklah semewah kereta ini. Maklumlah keretaku hanya sebuah Myvi berwarna merah hati yang kubeli dua tahun yang lalu.

“Tak percaya sudah!” kataku. Mukaku sudah masam.

“Kalau Tasya tak pandai nanti abang ajar, dengan baby sekali!” aku tersentak. Dia membahasakan dirinya ‘abang’. Kenapalah dengan sepupuku ini. Tiba-tiba dia berubah sikap! Apakah doaku sudah termakbul agar dia tidak meninggalkan aku?

“Ya lah tu!” kataku.

“Kita sudah sampai sayang,” katanya memberhentikan keretanya di sebuah tempat yang agak terang-benderang dan banyak dengan kereta. Aku membuka mata. Ia seperti sebuah restoran seafood di kawasan entah apa ni. Aku bukan biasa sangat kawasan Selangor ini. Tetapi aku tidak mahu pula hendak mengakui yang aku tidak tahu atau tidak biasa kawasan ini. Dulu aku belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris di Perak. Tetapi aku ditempatkan mengajar di Selangor. Aku terima dengan senang hati walaupun aku sebenarnya hendak memilihku negeriku sendiri. Namun siapalah aku kan!

“Kita kat mana ni?” dia tersenyum dan membukakan aku pintu keretanya.

“Marilah kita masuk ke dalam restoran ini. Ia sebuah restoran yang sungguh bersih dan masakannya macam masakan mama dan mak ngah. Saya dah tempah sejak petang tadi.” katanya. Rupanya dia sudah sempat menempah tempat untuk makan malam. Lelaki ini penuh dengan perancangan. Baru aku tahu siapa sepupuku ini.

“Kalau nak rasa masakan mama, kenapa tak balik? Bukannya jauh sangat!” kataku terkenang emak yang sudah datang ke rumah keluarganya. Dia ketawa kecil.

“Mana sama kalau saya nak berdua-duaan dengan isteri saya ni. Bukan selalu pun!”katanya. Aku terdiam semula. Terlalu banyak kejutan yang dibuatnya pada hari ini sehingga aku tidak mampu mengiranya dengan tangan. Benarkah ini Nukman Faris, suami atas kertasku ini?

“Oh!” apakah aku gembira? Bahagia? Atau lebih terseksa?

“Inilah Restoran Putera Ayu Shah Alam!” katanya memperkenalkan kepada aku. Tempat ini agak jauh. Mungkin memakan masa lebih setengah jam perjalanan.

“Tak suka?” soalnya. Aku menggeleng. Aku tidak tahu lagi bagaimana rasa makanannya, aku tidak mampu memberikan komen. Nanti lepas makan bolehlah kami berbincang semula. Aku angguk-angguk apabila dia masih menunggu jawapan. Di mana pun dia membawa aku, aku tetap akan menyukainya. Aku agak jarang makan di luar. Emak aku mendidik aku agar selalu berjimat-cermat dan tidak selalu makan di luar. Kalau masak sendiri, kebersihan lebih terpelihara. Walaupun aku tidak begitu pandai memasak, namun emak sudah mengajar memasak makanan yang agak mudah. Contohnya, masak nasi, masak telur goreng, sambal telur, tumis sayur, masak ikan goreng dan masak sambal udang atau sotong. Jadi, kata emak, walau di manapun aku berada aku akan selamat sebab aku pandai memasak walaupun tidak begitu pakar! Dan, kata emak, kalau ada suami, tak lah kebulur! Hehe!

“Let see. Kat mana nak order?” Aku membelek-belek menu makanan yang ada. Aku terliur hendak memakan ketam. Aku terpaksa mengorder makanan juga walaupun dietku sepatutnya aku tidak makan pada waktu malam. Hari pun sudah jauh malam. Hampir pukul 9.25 malam. Ah, lantaklah. Hari ini aku makan malam, esok-esok aku akan beli buah atau roti untuk makanan malam.

“Kita tunggu pekerjanya ambil order,” katanya. Restoran ini agak sibuk dengan pelanggan yang datang. Mungkin restoran ini memang terkenal di sini.

“Kita di kawasan mana ni sebenarnya?” soalku.

“Shah Alam.” Aku mengangguk.

“Tempat awak tinggal tu di mana?” soalku ingin tahu. Aku tidak menyangka pertemuan kami kali ini dia lebih peramah berbanding di rumahku dulu. Dia agak pendiam dan hanya menurut kata-kataku atau kata emak. Aku ingat dia pendiam. Tetapi masa kami kecil dia sangat nakal. Nakal mengusik aku!

“Entah.” Jawabnya. Aku besarkan mata memandangnya. Dia tersengih-sengih. Sakitnya hatiku. Kemudian pelayan datang. Aku mengorder jus oren dan sup ketam. Agak lama aku tidak makan ketam. Aku memang tidak pandai masak ketam. Makan pandailah! Order kami sama tetapi dia meminta sepinggan nasi dan sayur. Aku hanya hendak makan sup ketam. Semasa makan kami tidak banyak cerita. Selepas makan dia terus membawa aku balik ke rumah. Dia merasakan hari sudah jauh malam. Mungkin dia sudah kekenyangan dan matanya pun sudah mengantuk. Aku berasa gembira kerana kami akan terus balik ke rumah. Barang-barang runcit pun tidak jadi dibelinya. Aku lega dan terus menutup mata semasa perjalanan kami pulang ke rumahnya.

“Esoklah kita beli telefon dan barang dapur ya.” Katanya. Aku separuh mamai. Sebenarnya aku sudah kekenyangan. Dia memaksa aku memakan nasi. Acara suap menyuap itu memalukan aku. Macam pasangan pengantin yang bahagia sahaja lagaknya kami. Hakikatnya bukan begitu. Kami pun tidak tahu bagaimana hala tuju rumahtangga kami sebenarnya. Aku pun tidak mahu melukakan hati Nukman Faris, jadi aku menurut sahaja perbuatannya itu.

Sebenarnya aku tidak selesa!

“Tak apalah Nukman. Kalau tak beli telefon tu pun tak apa. Saya selesa lagi gunakan telefon saya yang lama,” kataku. Aku tidak mahu banyak termakan budi dan dikatakan cuba mengambil kesempatan pula. Aku tahu di mana kedudukanku sebagai isterinya. Nukman Faris memandang ke depan.

“Saya akan beli kan nanti!” katanya. Aku terkaku. Aku teringat perjanjian antara kami. Aku tidak dibenarkan meminta itu dan ini daripadanya. Cukuplah kalau aku dilayan baik-baik sepanjang pernikahan kami. Selain itu, aku tidak peduli.

“Terpulang kepada awaklah. Saya ni menurut aje.” Kataku mengalah.

“Ya, sebagai kenangan.” Sayu sahaja bunyi suaranya.

“Sebagai kenangan?” soalnya. Nukman Faris mengangguk.

“Ya kenangan yang kita pernah menjadi serapat ini walaupun dulu kita sering berkejaran bergaduh tak puas hati kalau saya panggil awak si tembam!” katanya mula menyakat aku. Aku tersengih. Aku selalu menangis kerana ejekannya. Aku tidak lah gemuk sangat. Tetapi dia menggelar aku si tembam! Kata emak, nanti dia kahwinkan aku dengan Nukman kalau sering bergaduh! Gila, siapa mahu kahwin dengan lelaki gila macam tu! Balasku kepada emak. Emak hanya ketawa kecil.

“Mengadalah awak!” kataku berasa malu diolok sebagai si tembam! Dia sudah ketawa. Matanya bercahaya. Aku pula hanya tersenyum kelat di sisinya. Sebenarnya aku sudah mengantuk dan tidak berminat hendak berbicara.

“Awak dulu lucukan?” aku diam dan pura-pura memejamkan mataku. Aku tidak mahu mengingati kenangan kecilku yang menyakitkan dan sedikit lucu.

“Sayang, saya tahu awak masih tak tidur.” Katanya yang sudah memegang tangan kananku. Eh, bencinya aku!

“Apa lagi awak nak cakap?” soalku.

“Tak de, silakan tidur.” Katanya. Aku angguk. Kemudian, hanya kedengaran suara radio di keretanya memecah keheningan malam. Aku bersyukur kerana dia akan terus membawa aku balik ke rumahnya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku