Cinta Sang Pilot
Bab 23
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 November 2013
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
15415

Bacaan






Selepas solat Subuh dan membersihkan diri, aku terus turun ke bawah. Eh, aku teringat pakaianku yang tidak bercuci. Nukman Faris sudah membasahkan pakaianku itu ketika kami mandi semalam dan pagi ini. Aku masuk ke dalam biliknya semula. Aku mencucinya seketika. Aku akan tinggalkan pakaian itu di rumah ini.

Minggu depan Nukman Faris meminta aku datang sini semula. Eh, malasnya aku hendak pergi ke sini semula. Bukannya apa, aku lebih selesa di rumah sewaku sendiri. Jika menyiapkan kerja sampai tengah malam sampai tidak ingat tidur pun tak apa! Tak ada orang akan tegur aku. Fikirku.

Nukman Faris pula entah ke mana. Dia tidak beritahu pun ke mana dia pergi. Selepas solat Subuh dia tidak kelihatan lagi. Mungkin dia pergi berjogging. Aku nampak dia keluar tadi dengan pakaian sukannya. Dia tidak pula bercakap apa-apa. Mungkin dia terasa dengan kata-kataku. Aku mana sengaja.

Aku pula tidak mahu terlambat membuat persediaan. Aku mahu segera pergi ke rumah keluarganya. Pasti emak dan ayah tertunggu-tunggu akan kehadiranku. Tetapi aku tidak ke manakah menghilangnya Nukman Faris ini. Aku tidak tahu hendak ke mana-mana jika tidak ada lelaki itu. hendak balik ke rumah sewa pun aku takut. Hendak turun ke bahagian bawah kondo ini pun aku tidak berani. Ya Allah, bagaimana aku ini? Soalku dalam hati.

Aku terdengar bunyi ketukan di pintu. Aku berasa senang hati sedikit.

‘Siapa yang datang? Baru saja Nukman pergi, takkan dia dah datang?’ soalku dalam hati. Aku melihat jam di dinding ruang tamu, baru jam 8.25 pagi. Eh, siapa pula yang datang ni? Dadaku berdebar-debar. Aku perlahan-lahan bergerak menuju ke pintu. Aku berharap agar Nukman Faris yang datang. Baru sahaja dia keluar, aku terasa kepergiannya. Aku terus membuka pintu dengan mata yang berhati-hati. Aku takut lelaki asing yang datang yang tidak dikenali. Doaku janganlah ada orang yang tidak dikenali.

Bulat mata perempuan yang berdiri tercegat di pintu itu memandangku. Pakaiannya usah disebut. Memang dia perempuan yang tidak cukup kain. Kalau banyak duit, sepatutnya beli pakaian yang cukup kain, bukan macam telanjang begini. Aku sempat beristighfar berulang kali. Dia mengenakan skirt pendek atas lutut berwarna hitam, blausnya tangan panjang berbunga halus. Beg tangannya memang jenama. Kalau aku tengok harga di online memang mencecah ribuan ringgit harganya. Tak mampu aku nak beli. Baik aku simpan duit untuk kegunaan adik aku sekolah ada baiknya. Kalau tidak pun aku beri kat emak, ada lagi pahalanya.

Siapa ni? Apa dia mahu? Apakah dia salah rumah? Soalku dalam hati.

“Cik nak cari siapa?” soalku kehairanan. Matanya bulat memandangku. Dia terus masuk ke rumah Nukman Faris ini. Dia seperti biasa dengan rumah ini.

“Cik... cik boleh tak jangan masuk!” aku cuba menghalangnya. Dia terus masuk dan menolak pintu dengan sekuat hatinya. Dia tidak peduli dengan laranganku.

“Nukman mana?” soalnya. Aku terlopong. Oh, dia bukan perempuan yang tidak dikenali. Dia kenal Nukman Faris rupanya. Diakah?

“Nukman Faris mana?” soalnya lagi mengulang nama Nukman Faris. Macamlah aku tidak faham. Mataku marak memandangnya. Aku juga tidak takut memandangnya dengan mata bercahaya.

“Dia keluar.” Kataku mengagak. Nukman Faris tidak ada di dalam biliknya dan tidak ada juga di ruang tamu. Sebentar tadi aku ke dapur, dia juga tidak ada di sana. Dia sudah meninggalkan aku sendirian di sini.

“Ke mana?” aku geleng. Aku tidak sempat tanya ke mana lelaki itu pergi.

“Entah!” makin membuntang mata perempuan memandang aku. Macam aku mahu ditelannya. Perempuan itu pun agak tinggi daripada aku. Ah, ingat aku takut kalau pun dia tinggi? Ah, tidak, aku tidak takut.

“Oh, awak isterinya ya? Kamu dah tinggal serumah pula? Pandainya awak nak menggoda kekasih saya ya! Patutlah kekasih saya tu dah pandai berbohong! Kau rupanya yang punya fasal kan!” katanya sudah memperli aku. Aku tidak sampai hati hendak menggoda kekasihnya walaupun aku isterinya yang sudah sah di sisi syarak. Aku tidak berniat hendak menggoda-goda ni. Jangan-jangan suaminya yang menggoda aku secara tidak langsung!

“Tak! Tak kami tak tinggal serumah lagi. Tapi kalau tinggal serumah pun tak salah! Kami memang dah jadi suami isteri yang sah!” kataku yang sakit hati dengan kata-katanya. Kalau dia dengar kata-kataku itu biar telinganya hangus terbakar kerana sakit hati juga. Aku tidak mahu mengalah dengan perempuan tidak cukup kain itu sebenarnya. Kalau dia hendak marah, marahlah! Ada aku kisah?

“Eh, awak memang isterinya yang tak tahu malu tu kan?” soalnya seperti salah pendengaran. Aku kalut. Kenapa pula aku jawab macam tu. Maksud aku, aku tidak menggoda kekasihnya tu.

“Ya saya isterinya yang pemalu dan menjaga tingkah laku!” jawabku tersenyum bahagia. Bagaikan terbentang api di mukanya. Aku masih tidak kisah dengan ruapan marah di mukanya itu. apa yang aku tahu aku mahu dia sakit hati.

“Isteri yang menjaga tingkah laku? What a wrong sound!” aku cuak dan mukaku masih tersengih-sengih. Wajahnya berubah kelat.

“Eh, awak tahu tak, yang aku dan Nukman tu akan kahwin? Kenapa awak sanggup merampas kekasih aku?” soalnya dengan suara yang agak kasar. Aku diam seketika.

“Kamu baru merancang, Tuhan yang tentukan cik! Jangan nak confirm sangat dengan perancangan sendiri!” jawabku dengan yakin. Semakin geram dia kepadaku. Aku bercakap yang benar sahaja. Beberapa tahun aku dan Amri merancang perkahwinan kami. Ia diikuti oleh perancangan ibu bapa kami. Tetapi apa yang terjadi kepada perancangan kami? Manusia hanya tahu merancang tetapi Allah yang menentukan segala-galanyay. Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku! Mungkin selama ini aku tidak melibatkan Engkau dalam perancanganku. Ampunkan aku Ya Allah.

“Eh pandai awak ya! Aku tak akan biarkan awak rampas kekasih aku, aku akan buat sesuatu nanti! Awak jangan menyesal jika ada apa-apa berlaku kepada saya!” katanya seperti mahu mengugut aku. Aku tidak takut dengan ugutan gadis bandar ini. Apa dia ingat dia hebat? Gadis kampung macam aku pun hebat juga tahu! Kataku dalam hati.

“Kalau ikut muka awak ni, awak tak layak kahwin dengan Nukman!” kataku dengan yakin. Perempuan itu menarik baju blausku. Mahu tercekik aku. Kemudian dia menolak tubuhku dan aku terjatuh ke lantai. Eh, macam ahli tinju pula perempuan yang mengaku kekasih Nukman Faris ini. Aduh sakitnya punggungku. Memang macam ahli tinju kekasih Nukman ini!

“Awak tu yang gatal nak juga kahwin dengan kekasih aku! Aku beri awak peluang selama dua bulan ni. Kalau awak tak cerai dengan dia, awak tahulah apa nasib awak!” kali dia sudah berkau-kau dengan aku. Aku yang terduduk tadi bangun kembali walaupun punggungku terasa agak sakit. Aku memandangnya dengan penuh rasa keberanian. Aku tidak bersalah kenapa aku hendak berasa takut kepadanya.

“Kalau kami tak cerai juga? Apa yang awak akan buat?” soalku penuh yakin. Aku berat hati hendak bercerai dengan Nukman tetapi kalau memang sudah ditakdirkan kami bercerai, apa yang aku hendak cakap? Memang perancangan manusia tidak sama dengan perancangan Allah.

“Kau jangan nak berani-berani nak goda kekasih aku ya! Kalau aku tahu kau tak cerai, kau tahulah apa akan jadi kepada muka kau yang halus mulus tu!” katanya mengugut aku. Aku meramas kulit mukaku yang halus mulus ini. Aku tidak mahu sesuatu terjadi kepada mukaku ini. Apa dia nak simbah mukaku dengan asid? Aku lapor polis awal-awal jika dia mengugut aku begitu!

“Oh ugut ya?” soalku. Dia menggeleng.

“Aku tak ugut, aku hanya beri ingatan kepada orang tak sedar diri macam kau!” katanya. Aku sengih. Sedikit pun aku tidak takut dengan ugutan itu.

“Aku akan buat laporan polis mengenai hal ini! Mana tahu ada apa-apa berlaku kepadaku, polis dah tahu yang kau hendak mengenakan aku!” kataku bersedia dengan cubaan ugutannya. Dia menaikkan keningnya.

“Oh pandai kau ya! Kau ingat aku tak berani? Kau tengoklah nanti!” kata gadis itu dengan penuh keyakinan. Aku tersenyum sinis. Tetapi tiba-tiba pintu rumah dibuka dari luar. Aku kecewa. Aku belum habis bercakap dengan gadis itu.

“Eh, sayang, apa buat kat sini? Bukankah sayang masih di Singapura?” soal Nukman Faris yang tiba-tiba datang. Dia meletakkan sesuatu di atas sofa. Aku gembira dia datang tetapi dalam waktu yang sama aku terasa sayu. Dia sudah bertemu dengan kekasih yang amat dirinduinya. Namun dia tidak sempat menyelamatkan aku yang sudah terduduk ditolak oleh kekasihnya itu.

Perempuan itu ketawa. Dia terus memeluk Nukman Faris tanpa ada segan silu. Aku terus memusingkan badanku agar tidak melihat perbuatan mereka itu. Nukman Faris hanya membiarkan perbuatan kekasihnya itu. Perbuatan itu salah di sisi agama. Kenapa Nukman Faris begitu? Selama ini dia memang hidup bebas begini? Soalku dalam hati. Aku sudah terasa kecewa dengan perbuatan mereka di depanku.

“Oh bukan main lagi awak ya. Awak dah tipu saya. Awak kata awak tak sayangkan isteri awak ni, sekarang bukan main lagi awak dah tinggal serumah! Patutlah hati saya tak senang! Rupanya inilah yang awak buat ya!” kata perempuan itu.

“Sayang, sabar dulu. Sabar. Saya akan terangkan nanti.” Kata Nukman Faris.

“Patutlah hati saya tak senang mengenang awak sayang. Rupanya awak dah buat sesuatu yang tak saya sukai!” katanya dengan suara manja.

“Sayang kita keluar dulu!” kata Nukman Faris menarik tangan perempuan itu.

“Tasya, tak ada apa-apa ke?” soal Nukman Faris tiba-tiba. Aku terus menggeleng laju. Aku tidak mahu memandang mereka.

“Saya tak mahu keluar. Saya nakkan penjelasan sekarang juga.” Kata perempuan itu. Aku bagaikan menyaksikan sebuah drama sebabak pula. Nukman Faris sudah pegang bahu perempuan yang kononnya kekasihnya itu. Aku tahu mereka akrab tetapi berkelakuan begitu tetap juga berdosa. Terasa sedih dengan perlakuan suami sendiri. Aku yang menjadi penonton pula tidak mampu untuk bersuara. Oh, nampaknya aku sudah bersubahat dengan tingkah laku mereka. Apatah lagi perempuan itu yang sudah menceroboh kawasan ruang rumah tangga kami.

“Awak nak apa ni datang tiba-tiba? Sepatutnya awak hubungi saya dulu dan bukannya datang menyerang begini!” kata Nukman Faris. Suaranya kedengaran lembut. Benar, inilah kekasih hatinya yang bakal dinikahinya jika dia telah menceraikan aku. Sebaknya hatiku. Sakitnya bagaikan isi dicarik-carik dari kulit.

“Awak ceraikan perempuan ini! Awak ceraikan dia sekarang! Aku tak rela kau hidup dengan perempuan kampung ini!” pintanya tanpa malu. Suaranya sengaja dikuatkannya. Kalau aku malu amat, kerana dia belum sah menjadi isteri Nukman Faris. Namun aku hanya mendiamkan diri. Tidak ada urusanku hendak bersuara di depan perempuan yang tidak ada maruah itu. Wajah yang cantik tidak bermakna jika dia bersikap tidak ada sahsiah begitu.

“Sayang, kena sabar dulu. Ada beberapa perkara yang harus dipertimbangkan.” Katanya memujuk kekasihnya. Oh, patutlah. Nukman Faris pandai memujuk perempuan. Dia memang pandai memujuk. Aku pun selalu terpujuk olehnya. Argh!

“Perkara apa? Dulu awak janji, awak nikah dengan dia sebab nak tolong saja! Sekarang dah lepas, kenapa tak ceraikan lagi? Eh perempuan, aku mahu kau tuntut cerai dari Nukman Faris sekarang! Aku tak mahu kau berlama-lama dengan dia!” katanya memandang aku. Aku mengangguk. Kedengaran suara itu amat mendesak namun aku tenang. Aku pun memang mahu bercerai dengan suamiku yang juga sepupuku ini. Tidak ada gunanya bersuamikan sepupu yang memamg terang sudah punya kekasih. Aku? Kecewa? Memang agak kecewa tetapi aku terima dengan hati terbuka.

“Saya memang nak mohon cerai!” perempuan itu ketawa. Mungkin puas hati dengan kata-kataku. Bulat mata Nukman Faris memandang aku. Hatiku pula bergetar hebat apabila dia memandang aku tajam.

“Sayang, mari kita keluar dari sini. Perkara nikah kahwin bukan nak dibuat mainan!” kata Nukman Faris. Apa maksudnya tu? Aku tidak faham. Memang akan bercerai juga akhirnya nanti. Kenapa perempuan ini tidak sabar?

“Tapi awak dah janji nak ceraikan dia!” Nukman Faris garu kepalanya yang tidak gatal. Aku hanya menjadi pemerhati kepada drama sebabak itu. mungkin dia juga tahu akan perjanjian kami. Ah, sedihnya seorang isteri seperti aku ini. Ia lebih sedih daripada putus tunang hari itu.

“Penipu! Awak penipu Nukman! Kalau awak tak ceraikan perempuan dalam tempoh dua bulan ni, awak tahulah apa yang saya nak buat! Saya akan buat kamu berdua bercerai!” kata perempuan itu dengan jeritannya yang kuat. Aku terdiam. Nukman Faris juga tidak menjawab segera. Matanya sesekali memandang aku dengan penuh belas kasihan.

“Sabarlah sayang. Cuba bawa bertenang! Awak tak sepatutnya macam ni! Benda kecik aje ni. Kita akan settle perlahan-lahan. Jangan nak kecoh macam ni! Lagipun, saya boleh panggil securty guard kalau saya mahu! Tapi taklah saya nak buat macam tu!” kata Nukman Faris seperti memujuk.

“Saya datang ni sebab my parents asyik nak tanya tentang perkahwinan kita. Saya tak tahu apa yang nak dijawab Nukman!” kata perempuan itu. Aku terasa sedih pula. Sedih kerana aku pula menjadi penghalang dalam perhubungan mereka. Mereka sepatutnya sudh bernikah dan mengadakan majlis perkahwinan bersar-besaran. Sedih pula aku seketika. aku harus buat sesuatu, kataku dalam hati!

“Jangan tergesa-gesa sayang. Pandai lah awak pujuk parents awak tu ya. Saya baru aje kahwin di kampung, takkan nak kahwin lagi sekarang. Ala relakslah sayang!” kata Nukman Faris memujuk lagi. Aku setuju dengan kata-katanya. Takkan dia hendak terburu-buru hendak menikah lagi. Hari itu pun dia dipaksa bernikah denganku. Kasihan pula dia. Hidupnya menjadi huru-hara pula gara-gara hendak menyelamatkan aku!

“Mari saya hantar awak.” Kata Nukman Faris yang sudah menarik tangan kekasihnya. Sempat dia memandang aku. Aku pura-pura menundukkan pandanganku. Isteri mana yang mahu suaminya memegang perempuan lain. Mungkin hanya perempuan gila sahaja yang mahu suaminya bermesra atau bernikah dengan gadis lain.

“Eh, perempuan! Boleh tak awak jangan nak halang perkahwinan aku dengan kekasih aku ni! Ingat ya, pastikan awak mohon cerai!” katanya sebelum dia melangkah keluar dari rumah Nukman Faris ini. Aku angguk dengan muka cuak.

“Jangan libatkan dia sayang. Dia tak salah! Saya yang salah!” kata Nukman Faris yang kembali menarik tangan kekasihnya. Aku terasa sebak pula. Lelaki itu tidak menyalahkan aku. Marak mata kekasihnya itu. Aku kasihan pula kepada Nukman Faris. Dua wanita dalam hidupnya dalam satu masa. Sepatutnya kami tidak bernikah hari itu tetapi apa boleh buat, Amri buat hal. Jika tidak, aku sudah menjadi isteri orang lain dan bukannya menjadi isteri kepada sepupuku sendiri.

Aduhai! Kasihanlah Nukman Faris. Kalau aku berada di pihaknya pun, pasti aku akan berasa serba salah dan tertekan begini. Ditelan mati emak, diluah mati anak. Kasihannya!

“Apa awak kata? Dia tak salah? Dia memang salah! Kesalahan semua berpunca dari dia ni! Kalau tak, kamu takkan nikah dengan dia ni! Benci betul dengan perempuan kampung ni!” katanya lagi. Aku diam. Aku suka mendengar dia bercoleteh sampai dia puas hati. Nukman Faris terus tarik tangan kekasihnya tanpa ampun lagi. Aku sudah membetulkan tudungku yang ditariknya tadi. Aku sudah masuk ke biliknya dan menangis teresak-esak. Aku mahu membuang semua sakit hatiku dengan tangisanku. Aku tidak sanggup dituduh sebagai perampas. Aku tidak merampas kekasihnya itu!

“Tasya,” panggil Nukman Faris di ambang pintu. Cepatnya dia menghantar kekasihnya. Aku sengaja membelakanginya. Aku sudah mengemas barang-barangku. Aku mahu balik ke rumah sewaku sekarang juga. Aku benci dituduh perampas. Seolah-olah tidak ada lelaki lain dalam dunia ini. Mengapa aku harus berebutkan lelaki ini? Kenapa aku harus ditakdirkan begini? Seharusnya aku memohon cerai daripadanya sekarang juga! Jangan ada maaf atau pertimbangan lain lagi! Aku tidak mahu dituduh perampas. Keturunan emak dan ayah adalah keturunan yang baik-baik, tak ada yang keturunan perampas seperti yang didakwanya! Sedihnya aku! Mahu sahaja kutampar mulut yang celupar itu tadi. nasib baik Nukman Faris tiba awal ke rumahnya. Kalau tidak, aku memang tidak mahu mengalah!

“Tasya!” panggilnya dan dia sudah mendekati aku. Aku tundukkan mukaku. Aku tidak sanggup memandang wajahnya.

“Maafkan saya.” Katanya. Aduhai lelaki ini. Kenapa pula dia memohon maaf. Aku yang salah. Sepatutnya aku yang memohon maaf daripadanya. Aku mengambil tangannya dan mengucupnya. Dia kebingungan memandang aku.

“Nukman, maafkan saya. Saya yang bersalah dalam hal ini. Ceraikanlah saya, saya sudah terlepas dari ftnah orang kampung sekarang ini. Kita sudah lepas dari segala-galanya!” kataku seperti sudah mahu berterus-terang dengannya. Aku tidak mahu menjadi pengganggu dalam hubungan mereka berdua, dia dan kekasihnya. Nukman Faris mendirikan aku.

“Tasya, jangan cakap begini.” Aku menggeleng. Dia memeluk bahuku lagi. Air mataku sudah melebat. Dia pula mengucup dahiku. Syahdunya walaupun aku sedang menangis begini.

“Nukman, saya yang salah. Jangan seksa diri. Awak sudah ada kekasih hati. Awak perlu jaga hatinya. Jangan sampai hubungan kamu putus lagi gara-gara saya.” Kataku menasihatinya. Memang kalau boleh aku tidak mahu berpisah dengannya. Hatiku berat hendak berpisah dengan seberat batu di gunung.

“Keadaan menjadi rumit Tasya. Jangan semudah itu memohon cerai,” katanya sambil megucup dahiku berulang kali. Aku pula terkaku. Kaku dalam perhatiannya.

“Tak rumit Nukman. Awak yang buat keadaan jadi rumit. Saya tak mahu berkongsi lelaki dengan orang lain. Dalam dunia ini bukan hanya awak, ada ramai lelaki lagi. Izinkanlah saya memohon cerai. Ceraikan saya Nukman. Dia memang datang dulu dalam hidup awak, dia sepatutnya mendapat hak sebagai isteri awak, Nukman! Bukan saya... bukan saya Nukman,” Kataku merayu.

Merayu agar dia menceraikan aku. Walaupun aku sungguh sebak menyebut permintaan cerai itu namun aku tidak ada pilihan. Gadisnya sudah datang menuntut haknya. Aku bukan gadisnya yang selama ini dipujanya. Rozaila lah haknya. Nukman Faris hak Rozaila. Bukan hak aku. Dia geleng. Dahiku pula menjadi mangsa kucupnya berkali-kali.

“Tutup mulut sayang. Jangan cakap merapu macam ni. Tasya mengandung, tak boleh nak berperasaan sedih macam ni. Nanti bagaimana keadaan bayi kita kalau sayang asyik sedih macam ni!” katanya lagi menyebut aku mengandung. Dan bayi kita konon! Tidak, aku bukan mengandung. Bila-bila masa sahaja kalau dia mahu ceraikan aku.

“Jangan terikat dengan saya Nukman. Kalau awak nak ceraikan saya, awak ceraikan saja. Jangan nak pertimbangkan saya. Awak ada hak buat apapun yang awak suka!” Kataku memujuknya. Aku boleh merasai betapa sakitnya hati kalau kekasih hati direbut orang lain. Aku mahu dia bahagia. Biarlah dia bahagia dengan kekasihnya dan aku pergi dari hidupnya. Biarlah, aku reda!

“Jangan cakap yang bukan-bukan sayang, sayang tak kuat lagi nak fikirkan yang bukan-bukan. Jangan buat saya serba salah pula. kita teruskan sahaja hubungan kita sampai segalanya kembali tenang macam biasa. Tak perlu sayang nak mohon itu dan ini. Tak baik kita nak hampakan harapan mama dan mak kita. Biarlah dulu. Sayang, please, understand me.” Katanya memeluk aku. Aku pula membalas pelukannya.

Selalu aku begini, seperti terperangkap dalam emosi dan dia akan menenangkan aku. Aduhai, kenapa aku ini terlalu bergantung kepada pujukan Nukman Faris.

“Maafkan saya Nukman. Saya memang gadis kampung tak layak untuk awak!” kataku sambil menyembamkan mukaku ke dada bidangnya. Dia mengeratkan pelukannya dan membelai belakangku.

“Sudahlah sayang. Kita lupakan hal ini. Hal tadi tu biarlah saya handle. Jangan nak sedih-sedih macam ni lagi!” kata Nukman Faris lagi memujuk aku. Akhirnya kami saling pujuk memujuk.

“Tasya, kita balik ke rumah mama. Mama dah balik-balik tanya Tasya. Mama dah tak sabar nak jumpa menantunya.” Katanya mengubah topik perbualan kami.

“Nukman, beginilah. Jika keadaan menjadi rumit, awak nikah lah dengan kekasih awak, saya rela tanda tangan borang nikah awak. Saya benarkan. Sampai masa awak ceraikanlah saya,” Hatiku seperti kain yang diperah-perah ketika aku berkata begitu. Sakitnya jika membenarkan seorang suami hendak berpoligami. Sekalipun kami nikah bukan kerana kehendak kami namun sebagai isteri yang sah, aku tetap tidak mahu berpoligami. Namun, kerana situasi kami yang agak rumit sekarang, aku rela membenarkan dia menikah lagi. Biarlah hatiku sakit.

“Keadaan bukan semudah yang disangka Tasya. Sekalipun saya membelakangi keluarga saya tetapi saya tak mampu membelakangi Tuhan. Sekalipun saya tak sewarak mana tetapi saya masih sayangkan mama dan papa saya. Saya takkan rela diri saya ini melakukan sesuatu yang melukakan hati mama dan papa saya Tasya.” Katanya. Aku terharu dengan kesetiaan dia kepada ibu bapanya. Aku tahu jika bukan kerana ibu bapanya, sudah lama dia menceraikan aku. Aku tahu dan sedar dia tidak mempunyai perasaan khusus untukku. Aku yakin dengan sebenar-benar yakin.

“Saya serba salah Nukman. Saya pun takut dengan keluarga kita tapi dalam masa yang sama saya tak mahu dipersalahkan dalam hal ini. Saya tak mahu menjadi perosak hubungan awak dengan kekasih awak.” Kataku masih serba-salah. Nukman Faris sudah memegang kepalaku. Ternyata dia mengucup dahiku.

“Sudahlah, kita lupakan dulu hal ini. Nanti saya akan bincang dengan Rozaila. Dia tidak harus mendesak-desak perceraian kita dan mempercepatkan pernikahan kami. Kita harus tenangkan keadaan dulu. Sekarang pun mama dan emak ada perancangan untuk kita, jadi kita tak boleh nak buat sesuatu yang tidak baik dalam hal ini.” Katanya dengan penuh kematangan. Aku rasa terharu. Akhirnya kami berpelukan.

“Maafkan saya Nukman. Saya tak mahu keadaan kita jadi begini. Tapi saya tak tahu bagaimana lagi nak cakap. Saya ikut awak aje. Kalau awak rasa nak ceraikan saya, ceraikan aje. Saya tunggu aje.” Kataku mengingatkan Nukman Faris akan janji kami. Aku teresak-esak di dalam pelukannya.

“Sudahlah, jangan nangis. Mungkin ini ujian untuk kita. Sabarlah, mungkin akan dibukakan jalan untuk kita nanti,” kata Nukman Faris masih menenangkan aku.

“Sudahlah, kita nak gerak ke rumah mama. Sebelum tu kita sarapan dulu. Tadi saya dah beli nasi lemak dan minuman. Alamak nanti sejuk lah pulak!” kata Nukman Faris cuba berseloroh denganku. Aku mendongak memandang ke arahnya, aku cepat-cepat melepaskan pelukan kami. Dia sudah tersenyum dan mengenyitkan matanya kepadaku.

“Saya ke kamar mandi kejap,” kataku yang sudah terasa agak malu. Mukaku sudah kemerah-merahan. Dia pula hanya tersenyum memandang aku. Entah apa yang dia rasa. Jantungku iramanya serancak tarian Zumba!

“Jangan lama-lama tau!” katanya lagi. Aku tersenyum sendiri dengan sisa air mata yang masih ada. Entah kenapa hatiku terasa tenang setelah mendapat pujukannya. Apakah kami ada keserasian sebagai suami isteri? Ah, aku tidak yakin.

Suasana sudah tenang. Mukaku sudah kubasuh. Hatiku sudah kupujuk agar berasa tenang.

“Jom lah kita turun,” katanya yang sudah berada di pintu. Aku memandang cermin. Aku ingat dia sudah menuju ke dapur. Rupanya dia masih ada di dalam bilik.

“Marilah ke dapur.” Kataku. Kami beriringan menuju ke dapur. Pagi yang mulia ini menyaksikan kami bersarapan bersama buat ke sekian kalinya. Selalunya aku hanya akan bersarapan dengan Shamira di rumah sewa kami. Itu pun jika sempat. Jika tidak sempat aku hanya bersarapan di kantin sekolahku jika ada masa terluang. Ah, seketika terkenang Shamira. Entah apa yang Shamira buat sekarang.

“Nah, ini untuk sayang. Makan banyak sikit tau, nanti kurus sangat dan nanti baby lapar.” Katanya yang sudah memasukkan nasi lemakku ke dalam pinggan. Aku pula hanya seperti patung cendana memerhatikan tingkahnya. Hendak terkaku pun ada. Dia bercakap mengenai baby dalam kandungan lagi. Sakitnya hatiku.

“Terima kasih Nukman,” kataku. Sebenarnya aku hendak cakap begini. ‘Nukman, kenapa awak baik sangat kepada saya. Nanti kalau kita sudah berpisah, aku yang parah kerana terkenangkan kebaikan awak dan saya takkan mungkin dapat mencari pengganti sebaik awak. Nukman janganlah terlalu baik kepada saya!’ kataku seperti merayu.

“Kenapa renung makanan tu?” soalnya yang sudah memasukkan makanannya ke dalam pinggannya. Aku terkejut dengan tegurannya. Lantas mencuci tanganku dan memulakan sarapan pada pagi yang berbahagia ini. Dia sudah membaca doa dan aku mengaminkannya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku