Cinta Sang Pilot
Bab 25
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 November 2013
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
14692

Bacaan






Bulat mata kami berdua. Kami berpandangan agak lama. Kenapa pula keputusan emak dan ayah berubah. Siapa yang menjadi pakar perancang dalam hal ini? Soalku dalam hati. Aku tidak suka diatur-atur begini. Jika tidak ada kes yang melibatkan aku dan Amri hari itu, aku tidak akan sudi dinikahkan dengan Nukman Faris. Biarlah aku menjadi anak dara tua pun, aku rasa aku lebih bahagia daripada menjadi isterinya dalam situasi yang bagaikan dipaksa-paksa!

“Minggu ni bermula kamu tinggal serumah. Mak dan ayah akan duduk bersama-sama kamu selama dua minggu. Takkan mak dan ayah Tasya nak pulang ke kampung lagi sedangkan kamu berdua ada rumah sendiri. Jadi, biar emak dan ayah duduk di rumah kamu buat sementara sebelum majlis persandingan diadakan nanti.” Kata Datin Zahara dengan panjang lebar. Aku rasa, inilah wanita hebat yang banyak mengatur kehidupan kami selepas bernikah ini. Apakah yang dia mahu daripada perkahwinan kami?

“Tak boleh ma!” kami bersuara serentak. Aku tidak sengaja. Dia turut tidak sengaja. Nukman Faris menggenggam tanganku. Dia mungkin mahu menunjukkan kemesraan di depan ahli keluarganya. Bencinya aku.

“His awak berdua macam berjodoh aje!” kata emak pula. Aku malu dan mencubit lengan Nukman Faris. Dia mengaduh kesakitan.

“Kenapa Nukman?” soalnya.

“Ketam dah sampai!” jawabnya menahan kesakitan. Semua orang di ruang tamu itu ketawa. Aku geleng kepala. Benci dengan permainan mama mertuaku ini. Emak pula asyik nak menurut perintah kakaknya sahaja. Itulah yang aku geram sangat.

“Tasya, awak hadir kelas bila?” soal emak pula. memang kedua-dua beradik itu sehati dan sejiwa. Aku pandang Nukman Faris. Aku yang silap. Aku sudah beritahu emak yang aku ada kelas minggu depan.

“Minggu depan mak, Isnin, Selasa dan Rabu. Tak tahu kalau pensyarah saya nak buat perubahan!” kataku dengan yakin. Tetapi aku pun tidak pasti jika Doktor Mahani tidak tukar tempat. Jika dia menukar tempat pada saat akhir,aku terpaksa bergegas ke Perak.

“Bagus, kebetulan yang baik.” Aku kerut dahi mendengar suara mama mertuaku. Ayah dan papa macam tunggul di depan kami. Kedua-dua mereka hanya mendiamkan diri tetapi tersenyum, tersengih dan mengangguk. Mereka seperti sudah sepakat. Bencinya!

“Apa yang kebetulan mama? Tak faham,” soal Nukman Faris. Kami berpandangan. Kehairanan dengan kata-kata mama. Mama dan emak pula berpandangan. Mereka seperti sudah sepakat mengenakan kami.

“Kami bukan hendak mengenakan kamu berdua. Tetapi kami lakukan semuanya untuk kebaikan kamu berdua.” Aku membulatkan mataku. Mama seperti dapat membaca apa yang aku katakan dalam hati. Datin Zahara tersenyum. Emak pun nampak macam gembira sahaja petang ini. Aku pula yang berdebar-debar.

“Kebetulan kerana, Nukman cuti dan dia boleh hantar dan jemput Tasya setiap hari. Jadi, tak ada masalah lah. Mak dan ayah pula di rumah kamu. Jadi, Tasya tak perlu nak balik ke rumah sewa pula.” kata mama dengan penuh yakin. Aku kerut dahi. Aku tidak mahu menyusahkan Nukman Faris pula. Tetapi aturan ibu bapa kami membuatkan aku rimas. Kita hanya mampu mengatur tetapi Allah yang menentukannya.

“Tak apa mama, saya tak nak susahkan abang Nukman. Saya pun ada kereta sendiri. Lagipun kawan saya macam mana. Dia tak ada kawan nak pergi kuliah nanti,” sekali lagi aku terkenang Shamira. Sejak aku menikah seperti banyak kesusahan aku berikan kepada dia. Mama dan emak berpandangan.

“Tak pe, itu memang tanggungjawab Nukman sebagai suami. Tak guna jadi suami jika dia tidak mampu menjalankan tanggungjawabnya kepada isteri. Kebetulan dia cuti sekarang ni, jadi biar dia layan Tasya dan mertuanya!” kata Datin Zahara. Aku sudah membulatkan mata.

Dan, Nukman Faris memandang aku dengan pandangan tulus ikhlas dan meramas tanganku perlahan-lahan. Dia terangguk-angguk, mungkin setuju dengan kata-kata mamanya kali ini. Mungkin dia mahu menunjuk-nunjuk di hadapan keluarganya yang kami ini adalah pasangan yang bahagia. Meluatnya aku dengan sikapnya yang suka berpura-pura bahagia. Sebenarnya dia dan aku tidak bahagia. Kami masing-masing memendam rasa. Bahagiakah itu? Ya mungkin bahagia, bahagia dalam derita di jiwa.

“Memang betul tu Nukman, Tasya, papa setuju sangat dengan cadangan mama dan emak tu. Papa tak mahu awak sebagai anak dan suami kepada Tasya buat tak tahu pula kepada isteri awak. Jaga kebajikan isteri. Tugas suami sebagai pelindung isteri. Bukan nak berangan nak kahwin semula pula, betul tak ayah Tasya?” kata Datuk Norman dengan kata persetujuannya. Ayah pula tersenyum dan mengangguk-angguk. Aku semakin panas punggung dengan kerenah kedua-dua belah pihak ini. Kami pula seolah-olah patung cendana, tidak mampu berbicara, malah hanya duduk membatu sahaja. Aduhai, kalau membatu apa yang aku dapat?

“Saya ikut saja mana yang baik bang long. Tak ada halangan bagi saya. Apa yang kita anak-anak kita bahagia dan memberikan zuriat yang baik untuk kita nanti,” kata ayah pula.

Aku sudah cubit lengan Nukman Faris semula. Kami berpandangan lagi. Lelaki di sisiku ini bagaikan tidak ada bantahan. Dia bagaikan tidak ada perasaan. Walhal kekasihnya menunggu pinangannya. Dia boleh membantah kalau dia mahu. Baiknya cara mamanya mengajar dia. Apapun kata arahan mamanya dia tidak membantah. Naya! Naya!

“Nukman bagaimana, masih ada nak dibantah?” soal Datin Zahara. Nukman Faris pandang aku. Aku tahu dia lebih suka kalau aku tidak ada di depannya. Tetapi aku jangan lupa. Dia tidak mahu aku engkar kata-katanya. Dia mahu mengikut kata emaknya agar kami tinggal serumah selama kami cuti sekolah ini.

“Tak mama, saya ikut aje mana yang baik untuk kami dan mak dan ayah. Kan sayang, sayang tak kisahkan?” Kata Nukman Faris yang masih mengelus-elus tanganku dengan lembut. Matanya sudah dikenyitkannya untukku. Naik takut aku dibuatnya. Mukaku masam semula. Tetapi apabila semua mata memandang ke arah kami, perlahan-lahan aku mengangguk dan tersenyum. Kononnya aku tersenyum bahagia.

“Tasya pula macam mana? Jangan kata setuju di sini tapi di belakang nanti marah-marah mak dan ayah serta mama pula. Atau gaduh pula dengan suami!” kata Datin Zahara. Aku kuis-kuis tangan Nukman Faris. Nukman Faris hanya menyerlahkan senyuman bahagianya di depan kedua-dua ibu bapa kami.

Aku dan Nukman Faris bagaikan diperangkap pada malam ini. Mahu atau tidak, aku terpaksa mengangguk. Mengangguk tidak bererti aku setuju namun aku tidak ada pilihan.

“Saya ikut aje mama mana yang baik untuk kami.” Kataku menyatakan rasa setuju. Datin Zahara dan Puan Zurain sudah berpelukan. Mereka kegembiraan mendengar persetujuan kami. Nukman Faris pula sudah mengenyitkan matanya kepadaku. Aku bulatkan mata.

“Ia akan berkuat kuasa malam ini.” Aku buntangkan mata. Nukman Faris juga terkejut.

“Err, kami nak minta mak datang esok. Kami nak beli barang-barang keperluan di rumah.” Kata Nukman Faris. Kami tidak sempat membeli apa-apa semalam dan hari ini. Peristiwa ngeri yang berlaku pagi tadi memang sukar hendak kulupakan. Ibu bapaku sendiri tidak pernah menolak aku begitu tetapi kekasih Nukman faris sudah menolak tubuhku hingga aku jatuh terbongkang ke lantai. Sakitnya punggungku masih kurasakan bahangnya hingga kini. Malam ini aku mahu berbual-bual dengan emak dan memberitahu hal itu tetapi lain pula yang berlaku. Aku pun pening sendiri dengan cadangan mama mertuaku ini. Apakah ini cadangan mereka berempat? Ah, susah aku kali ini. Susah... susah sekali.

“Tak apa, lepas makan di sini kamu boleh keluar. Sediakan apa yang patut. Mak dan ayah akan datang dua hari selepas tu! Mama dan papa pun akan mengiringi mereka kan Ain! Esok mereka akan balik kampung dulu,” kata Datin Zahara. Emakku sudah mengangguk dengan senyuman manisnya. Tahi lalat di tepi bibir kanan emak menyerlahkan lagi keayuan emak. Kakaknya Datin Zahara pun memang nampak masih cantik. Mereka bertambah berseri dengan rancangan mereka pada malam ini.

Nukman Faris memandang ke arahku. Aku hanya tersenyum. Sebenarnya ada getar halus dalam hatiku ini. Aku ada masa untuk berkemas di rumah Nukman Faris itu. Bilik-bilik yang lain hendaklah dibersihkan. Aku mengatur kerja-kerja yang menunggu aku di rumah Nukman Faris itu. Aku berdoa agar kekasih Nukman Faris tidak akan datang semula ke rumahnya. Kalau tidak, memang naya! Mati lah Nukman Faris akan dimarahi oleh mamanya. Aku tidak kisah tetapi aku tahu kedua-dua ibu bapa kami akan kisah dengan hal yang berlaku pada tadi.

“Mak dan ayah nak balik kampung dulu. Ada benda nak ambil dan ayam-ayam nak dijenguk. Kebun ayah pun nak dilawat.” Kata Puan Zurain. Aku angguk. Emak memang begitu. dia mana tahan hendak tinggal di mana-mana lama-lama. Emak ku pula sangat cerewet kalau di rumah orang. Apakah dia akan bertahan kalau di rumah Nukman Faris selama dua minggu? Aduhai!

Kami pula masih berpegangan tangan. Sesekali Nukman Faris memeluk bahuku turun ke pinggangku. Eh, aku tidak mahu diperlakukan begini sebenarnya. Nasiblah berlakon di depan ibu bapa kami, kalau tidak aku sudah cubit-cubit lengannya yang agak keras itu. Seolah-olah kami adalah pasangan yang bahagia. Runsing sekali hatiku. Rundau pun ada. Ini kerana pegangan tangan Nukman itu. Jantungku sekejap ada sekejap sudah terkeluar dari tangkainya. Alangkah ngerinya!

“Saya faham mak. Boleh tak saya ikut mak?” soalku membuat soalan bodoh. Kenapa aku tidak ingat kalau esok aku terpaksa menghadiri kuliah yang sangat penting untuk tesis yang sedang aku usahakan. Buat apa aku hendak ikut ke kampung. Ah, aku bingung sebenarnya. Bingung apabila kami bagaikan dipaksa-paksa hendak tinggal serumah. Mamanya dan papanya punyalah selamba. Aku pula yang terasa getar di dada tanpa hentinya. Malah, aku tahu Nukman Faris takkan sudi hendak menghantar dan menjemput aku ke kuliah.

“Saya pun nak ikut mak,” kata Nukman Faris tidak mahu kalah. Aku angkat keningku. Mengada-ada!

“Tak boleh lah macam tu! Nukman akan hantar dan jemput Tasya dari kuliah. Takkan nak ikut balik kampung pula. nantilah kalau Tasya tak sibuk bolehlah kamu pergi balik kampung. Nak pergi honeymoon pun boleh, kamu belum pergi honeymoon lagi kan?” Kata Datin Zahara pula. Aku terpaksa angguk. Malah dadaku bagaikan dihentak dengan batu besar apabila mama menyebut mengenai honeymoon. Tidak pernah aku terfikir yang kami akan honeymoon. Sedihnya pernikahan kami ini. Akhirnya keputusan sudah diukir. Kami kekal berlakon sebagai suami isteri yang bahagia dengan aturan mama dan emakku.

“A’ah, lupa pula nak honeymoon. Nukman cadang nak honeymoon kat mana bawa Tasya?” kunampak muka Nukman Faris yang tadinya banyak senyum itu berubah kelat. Aku tundukkan pandanganku ke lantai. Soalan kali ini memang mencabar iman dan lakonan kami berdua. Selama ini kami berlakon dengan mantap. Tetapi mendengar soalan mengenai honeymoon, dia terus gugup dan wajahnya memucat. Apakah yang akan dijawabnya kali ini? Takkan dia hendak menyebut Australia, Beijing, Istanbul atau mana-mana tempat yang menjadi idaman honeymoonku. Ah, tidak. Honeymoon adalah perkara mustahil yang mungkin berlaku dalam kehidupan kami berdua.

“Kami akan bincang dulu dengan Tasya papa. Kat mana dia nak pergi, nanti kami beritahu papa dan mama, jangan risau,” kata Nukman Faris. Aku terkejut. Kenapa nama aku pula yang dia kaitkan dalam hal ini? Aku tidak mahu dilibatkan dalam hal ini. Aku tidak mahu! Jerit hatiku.

“Saya ikut abang Nukman aje papa. Saya tahu sekarang kami sama-sama sibuk, macam tak sempat pula nak honeymoon!” kataku memberikan jawapan yang paling kurasakan selamat.

“Tak pe, kalau macam tu nanti kalau cuti sekolah papa yang sponsor tiket. Kamu berdua pasti suka punya!” kata papa. Aku pandang papa tidak berkedip. Kemudian aku pandang Nukman Faris. Dia sudah tersenyum dan aku memohon dia membantu aku memberikan jawapan yang kreatif iaitu penolakan yang halus agar kami tidak perlu nak sibuk-sibuk memikirkan hendak ke mana-mana destinasi honeymoon. Aku sedih sekali. Mungkin destinasi honeymoon bukan impian perkahwinan yang penuh dengan janji bertulis kami.

“Sepatutnya lepas bersanding nanti pegi lah honeymoon kejap. Tasya masih boleh ambil cutikan? Cuti rehat khas tak ambil lagi kan? Ambillah dalam tiga hari. Hari tu mama tanya kawan mama, cuti khas untuk kahwin memang ada,” kata Datin Zahara yang sudah mempunyai info tentang kerjaya guru. Aku terdiam. Kali ini mukaku yang sudah pucat. Allahu Akbar! Kenapa kami harus honeymoon lagi kalau kami memang sudah berjanji akan bercerai!

Nukman Faris pula masih memandang aku. Masing-masing masih menunggu jawapanku. Aku takut jawapanku nanti akan melukakan hati kedua-dua ibu bapa kami. Tetapi aku tahu di antara kami memang tidak mungkin akan menikmati percutian selepas perkahwinan itu. Ia hampir mustahil rasanya!

“Err, boleh cuti mama tapi sekarang ni sekolah kami tu tak cukup guru. Saya pula tengah sambung belajar selalu cuti, jadi saya tak dapatlah nak ambi cuti lain pula mama. Mungkin kalau perlu cuti sekolah ajelah kalau saya tak ada kuliah!” ah, aku tarik nafas panjang. Memang dadaku sebu dengan ketakutan. Takut kedua-dua ibu bapa kami akan kecewa dengan jawapan yang aku sediakan. Aku tahu kami tidak perlu honeymoon ke mana-mana pun!

“Kalau saya ok ajelah mama,papa, emak, ayah. Mama dah urus cuti saya agak lama. Entah kenapa pihak admin pun sudah meluluskan cuti saya. Kalau nak honeymoon ok aje tu. Kan sayang Tasya? Saya rasa Tasya pun tak de masalah juga kalau abang setuju kan?” katanya membuatkan jiwaku bertambah kacau. Apakah ini untuk memantapkan lakonannya atau apa ni? Aku tidak faham sebenarnya.

“Macam mana Tasya ada bantahan?” suara ayahku bagaikan halilintar. Ah, mereka semua jahat dan hendak mengenakan aku dan Nukman Faris. Kenapa mereka begitu sepakat hendak mengenakan kami?

“Err, tak de ayah. Saya bimbang abang Nukman yang sibuk, maklumlah, dia kan kerja di udara.” Kataku cuba menolak dengan bahasa yang paling terpuji. Ayah ketawa. Papa juga tersengih.

“Nukman cutilah sayang,” kata Nukman Faris yang sudah mengucup tanganku dengan penuh kasih dan perasaannya. Aku pula buntang mata, terkejut dengan tindakannya. Seolah-olah dia suka pula kalau kami tinggal serumah. Kedua-dua ibu bapa kami tersenyum bahagia. Dan, mukaku sudah bertambah panas seperti dimasukkan ke dalam mikrowave. Aduhai! Eh, mamat ni kenapa begini?

“A’ah Nukman cuti lah Tasya. Jangan risau. Dia akan jalankan tanggungjawab dia kepada isterinya. Takkan selama tiga minggu tak jumpa, tak ada perasaan rindu kan Nukman,” balas mama pula.

Nah ambik kau Tasya, Nukman! Nukman Faris sudah terangguk-angguk dan tersenyum manis kepadanya. Semuanya yang ada di ruang tamu itu pasti bahagia mendengar kata-kata mama dan melihat senyuman manis Nukman Faris. Dia pula yang serba-salah. Kasihan pula kepada kekasih hati Nukman Faris yang tidak cukup kain itu. takkan dia pula yang hendak membantah.

“Ya lah sayang, abang ni cuti tiga minggu lamanya. Mama ni yang pandai-pandai mohon cuti untuk Nukman. Ia semata-mata untuk kebahagiaan kita,” kata Nukman Faris mengenyitkan mata kepadaku. Aku tambah terkejut. Nasib baik aku tidak pengsan. Aku harus sedar diri. Nukman Faris memang suka mengikut kata-kata orang tuanya. Kalau dimintakan dia cucu, apa yang hendak dijawab oleh suami di sebelahnya ini? Takkan dia akan cakap, ya mama saya akan beri mama cucu tidak lama lagi. Aduhai! Ini memang kes naya! Kes naya buat Natasya Umaira.

“Harap kamu berdua boleh hidup bahagia selepas ini. Takkan ada gaduh-gaduh lagi. Gaduh-gaduh sayang itu biasa.” Kata Datin Zahara. Aku yang sejak tadi termangu akhirnya mengangguk. Emak pula sedang memerhatikan tingkah laku kami seperti mata helang. Ah, kedua-dua ibu bapa kami benar-benar berharap agar kami akan berbahagia sebagai pasangan suami isteri. Aku memang inginkan bahagia. Kalau boleh pernikahan ini akan membawa ke syurga tetapi aku benar-benar keliru. Perjanjian kami tidak membolehkan kami menjadi pasangan bahagia itu. Ah, sesaknya hatiku!

“Jadi, semua sudah ok dan tak ada bantahan kan?” soal mama seperti seorang pengerusi. Semua yang ada di ruang tamu itu mengangguk. Aku pula yang masih termangu.

“Tasya macam tak suka?” soal papa seperti tahu dan menyelami rasa terkejutku. Ayah pandang aku dengan pandangan yang sukar aku teka. Namun aku tahu ayah tidak suka aku membantah apa sahaja kemahuan mereka.

“Mana ada papa, Tasya ni selalu ok aje kan sayang,” belum sempat aku bercakap, lelaki di sebelahku ini sudah menjawab bagi pihak aku.

“Tasya dan Nukman memang anak yang baik. Anak yang baik akan melahirkan cucu-cucu kami yang baik dan awesome nanti!” kata Datin Zahara lagi seperti berbahagia dengan pernikahan kami. Aku tersengih. Sayu hatiku. Nukman Faris dan aku saling berpandangan. Dia menaikkan keningnya dan aku menundukkan pandanganku ke lantai mar-mar yang cantik itu. Sebenarnya perasaanku sudah libang libu lagi!

“In sha Allah mama, itu adalah doa seorang ibu untuk anak dan menantunya, kan Tasya sayang!” kata Nukman Faris. Aku hanya tersengih dan menyeringaikan kesedihan sebenarnya. Aku mengangguk perlahan-lahan. Apakah mereka tidak tahu kami ini seperti kahwin olok-olok? Kalau mereka tahu, pengsan keempat-empat ibu bapa kami di depan kami ini.

Nukman Faris memang anak yang baik. Dia sanggup berkorban untuk kebaikan ibu bapanya. Patutlah dia tidak sampai hati hendak menceraikan aku. Dia tidak mahu memusnahkan harapan ibu bapa kami yang menaruh harapan yang tinggi terhadap pernikahan kami ini. Namun, aku takut dan terus diburu ketakutan apabila suatu hari kami bercerai, siapakah yang akan pengsan dulu? Atau menyesal? Ah, aku bingung! Dilanda musibah bingung!

“Ajaklah Tasya tidur dulu, esok kamu akan urusan lain lagi,” kata mama. Aku pandang emak. Emak sudah mengangguk dan merelakan aku naik ke atas bersama Nukman Faris.

“Mari sayang, kita naik ke atas.” Katanya yang sudah menarik tanganku. Aku pula sedikit kesal kerana belum sempat berbual-bual dengan emak dan ayah.

Entahlah!

“Pegang elok-elok Tasya tu Nukman, kasihan dia, tentu dia penat.” pesan mama dengan suara pesanannya. Nukman Faris hanya mengangguk dan kami sudah bergerak ke tingkat atas.

“Eh, lepas! Lepaskan saya! Malas tau awak ni!” aku meronta minta dilepaskan apabila kami sudah berada di tangga terakhir di bahagian atas. Aku tidak selesa dipegang dengan bebas oleh tangannya yang kasar itu.

“Apa pula? Jangan nak buat hal ye!” katanya. Aku diam sementelah tangannya masih di pinggangku. Mukaku sudah merah padam. Bukannya macam udang terbakar tetapi macam api, merah menyala!

“Awak ni kan, tak makan saman!” kataku perlahan. Sebenarnya aku sudah geram!

“Makin comellah si tembam kalau dah marah!” usiknya lagi sambil mencubit pipiku. 

       Aduhai, makinlah aku geram kepadanya!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku