Cinta Sang Pilot
Bab 33
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 November 2013
Penilaian Purata:
(13 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
27259

Bacaan






“Papa tak sihat Nukman,” itulah kata pembukaan yang dikatakan mamanya ketika punggungnya baru sahaja menghenyak di kerusi restoran mewah itu. Terbuntang matanya. Wajah kusut papa dipandangnya. Wajah berseri mama pun dipandangnya bersilih ganti dengan papa. Nampak papanya agak uzur. Timbul rasa kasihan kepada papanya itu. Selama ini papanya memang mengharapkan akan kerjasamanya namun dia mengabaikannya. Mamanya pula memujuk papanya agar mengizinkan dia menjadi pilot dan bukannya menjadi pengganti di syarikat gah papanya. Sekarang apa sudah jadi?

“Tak sihat?” soalnya. Berkerut keningnya. Apa yang berlaku?

Apakah yang sedang berlaku kepada mama dan papa ini? Baru dua hari dua malam mereka tidak bertemu. Kali terakhir mereka bertemu dengan ibu bapa Natasya Umaira dan isterinya pada malam itu. Dia masih ingat. Hari ini mama dan papanya sudah memberitahu masalah papa yang tidak sihat. Apa masalahnya sebenarnya ni? Dia sudah masak benar dengan mamanya sebenarnya. Namun dia mahu mendengar apakah yang sebenarnya berlaku kepada suami isteri berdua ini. Dia mahu mendengar dengan telinganya sendiri.

“Jadi, apa yang saya boleh buat mama? Saya bukan doktor. Kita pun ada doktor sendiri, kenapa tak minta periksa aje, mungkin papa perlukan rehat kan!” soal Nukman Faris bagaikan manusia yang melepaskan tanggungjawabnya di tangga. Mama marakkan matanya.

“Banyak yang Nukman boleh bantu,” kata mama. Bertambah buntang matanya. Perbicaraan mereka semakin rancak walaupun dia baru sahaja memesan jus oren. Dia tidak ada selera makan pada malam itu. Selagi isterinya belum ditemuinya, selagi itu dia belum selesa.

“Bawa papa ke hospital dan jaga papa?” soalnya macam orang bodoh. Bulat mata Datin Zahara bagaikan hendak memarahinya.

“Musuh perniagaan kita di mana-mana, jangan nak main-main dengan papa, Nukman! Jika papa rehat, mesti ada orang yang menggantikan papa di pejabat!” kata Datin Zahara. Nukman Faris menyengih. Apa masalahnya ini? Kerjayanya bagaikan melambai-lambai tangan kepadanya. Sedikit ngeri perasaan lelakinya.

“Apa kaitan papa yang tidak sihat dengan musuh di dalam perniagaan papa? Err, saya tak berapa nak faham mama, papa?” soal Nukman Faris. Ada sesuatu yang ditakutinya. Kalau diteliti papa memang semakin uzur sejak akhir-akhir ini. Sudah beberapa kali papa buka mulut secara bergurau dengannya namun dia hanya lewa dan menganggap papanya bergurau.

“Awak ni Nukman, susah-susah papa dan mama hantar sekolah tinggi-tinggi tapi perkara remeh begitu pun tak nak mampu nak fikir.” Berkerut dahinya. Papa bersuara setelah agak lama memerhatikannya. Dia sengih lagi dan menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Maksud?” soalnya. Mamanya geleng. Papa masih memandangnya dengan penuh rahsia dan kematangan.

“Papa mahu awak gantikan tempat papa, papa dah tak begitu sihat,” kata mama berterus-terang. Bagaikan gunung pecah di kepalanya. Begitu sarat masalah yang mengulitnya sekarang. Dia rasa dia memang mahu dipengsankan dahulu. Amat berat hendak dipikulnya. Masalah isterinya, masalah dengan kekasihnya dan kini masalah dengan papa dan syarikatnya. Bagaimanakah dia hendak menghadapi masalah-masalah ini dengan bijaksana? Perlukah dia berbincang dengan mama dan papanya ini dan mendapatkan cara penyelesaian yang terbaik? Ah, sukar. Agak sukar.

Dia memang sayangkan papa dan mamanya dan dalam masa yang sama dia masih sayangkan kerjayanya. Kenapa pula dia menjadi mangsa dalam hal ini? Mangsa? Dia mangsa? Oh tidak! Mungkin dia bukan mangsa! Dia anak lelaki yang sudah terpilih untuk memikul tanggungjawab di syarikat papanya. Dalam sejuta anak lelaki, dia yang terpilih? Adakah dia mangsa atau anak bertuah? Ah, kenapa dia tidak bahagia dengan tuah yang datang bergolek ini?

“Err, saya tak sedia lagi mama, papa,” jawabnya perlahan.

“Itu jawapan awak yang paling selesa Nukman? Itu aje jawapan yang awak ada untuk membantu selesaikan masalah papa ni?” soal mama. Sudah mencuka wajah montel mamanya itu. Dia diam.

“Err, bukan begitu mama, saya tak sedia lagi mama, maafkan saya,” kata Nukman Faris. Dia memang belum bersedia. Kerjayanya belum mantap dan rumahtangganya masih belum stabil. Apakah yang hendak dijawabnya?

“Papa tak kira. Selepas pergi honeymoon nanti, papa mahu Nukman gantikan tempat papa, uruskan syarikat papa! Itu syarikat Nukman sebenarnya! Kenapa Nukman nak sia-siakan usaha papa selama ini?” sekali lagi dia kepalanya bagaikan dihantukkan ke batu. Dia garu lagi kepalanya yang tidak gatal.

“Sebenarnya saya belum nak bersara dari kerjaya saya papa,” itu jawapan yang paling selesa. Dia memang sayangkan kerjayanya. Dia bersungguh-sungguh memujuk mamanya untuk memasuki dunia penerbangan. Tetapi apa hasilnya hari ini? Dia tetap juga terpaksa menggantikan tempat papanya. Ini kerana, dia tidak ada adik-beradik lelaki lain untuk dijadikan pengganti papanya. Hanya ada dia. Dialah sahaja anak lelaki papanya.

“Awak cuti tanpa gaji!” tegas suara papa. Buntang matanya memandang papanya. Mamanya hanya mendiamkan diri kali ini. Namun masih mengikuti perbincangan mereka.

“Awak tak kasihan papa?” soal mama pula. Dia angguk. Dia memang kasihankan papa dan mama. Selama ini apa sahaja keputusan mama dan papa dia turuti tanpa banyak bantahan. Kali ini dia mahu membantah. Dia suka dengan kerjayanya sekarang. Dia belum bersedia terjun ke dunia korporat.

“Kasihan memang kasihan tapi kerjaya saya papa, pilihan saya. Takkan semudah itu saya nak berhenti!” Katanya. Papanya murung kemudiannya. Betapa kasihnya dia kepada lelaki di depannya itu.

“Jangan banyak cakap, syarikat NFN memerlukan Nukman, orang muda yang menerajui syarikat.” Kata papa. Apakah keputusan itu muktamad dari papa dan mama yang mahu dia menjawat jawatan itu di pejabat papanya? Tidakkah dia perlu belajar lalgi selok-belok perniagaan? Ah, susah hidupnya kalau begini! Suatu hari nanti kalau ada anak lelakinya, dia tidak mahu anaknya seperti kerbau yang dicucuk hidung. Apa yang disuruh semua dipersetujui. Dia anak mahu anak lelakinya nanti tampil menjadi lelaki yang berjaya dengan pendiriannya. Bukan dengan arahan demi arahan seperti dirinya yang penurut. Tetapi, siapa yang mahu mengandungkan anaknya? Natasya Umaira? Terang-terang isterinya itu tidak mahu mengandungkan anaknya. Benarkah kenyataan isterinya itu? Argh, jalan hidupnya terasa semakin sukar pula!

“Nuraina ada papa. Kahwinkah dia dengan mana-mana ahli perniagaan berkaliber, biar suami dia yang urus syarikat!” buntang mata papa dan mama. Memang alasan yang dia berikan tidak munasabah. Apa pilihan yang dia ada? Itu jalan terbaik yang dia nampak. Kenapa dirinya boleh dinikahkan dengan sesiapa yang ibu bapanya mahu? Kenapa tidak adiknya?

“Gila! Awak sudah gila Nukman? Syarikat yang papa usahakan sejak kamu kecil sekarang awak nak berikan kepada orang lain dan mengorbankan adik awak sendiri? Nuraina masih belajar, takkan kita nak kahwinkan dia! Kenapa awak fikir singkat ya?” soal papa. Dia menarik nafas payah. Memang payah hidupnya sekarang. Hidupnya tidak bebas macam orang lain di luar sana. Apakah alasannya lagi?

“Bantulah papa, Nukman. Mungkin ada hikmahnya! Selama ini pun awak mana pernah nak bantu papa! Apa kemahuan Nukman semua papa turutkan dan tolong papa, papa sudah tak begitu sihat!” kata mamanya pula. Datin Zahara dipandang tegang.

“Berikan saya masa papa, mama. Saya bengang sekarang! Banyak sangat masalah ni!” ujarnya memohon sekali lagi. Ketika dia dinikahkan dengan Natasya Umaira dahulu, mamanya tidak memberikan dia masa. Dia hanya perlukan “ya” sahaja. Ah, sakit dia kalau begini!

“Banyak masalah? Masalah apa?” soal mamanya yang agak penyibuk dengan urusannya. Dia diam. Dia tidak mahu menjawab soalan mamanya.

“Berapa lama?” soal papa Nukman Faris. Nukman Faris kebingungan sekarang. Berapakah masa yang sesuai dia memikirkan hal ini?

“Sebulan.” Putusnya. Apakah sebulan itu cukup atau terlalu singkat?

“Terlalu lama Nukman! Papa dah tak sihat lagi nak terajui syarikat. Kalau syarikat lain pesaing kita tahu akan tahap kesihatan papa, pasti mereka akan ambil peluang untuk jatuhkan syarikat kita Nukman! Tolong papa kali ini,” pinta papa, Datuk Norman memegang dadanya. Nukman Faris tahu itu memang penyakit papanya selama ini. Apa yang hendak dijawabnya? Takkan dia hendak berkeras lagi! Dia sepatutnya mengalah kali ini walau apapun alasannya.

“Saya akan fikirkan papa,” katanya. Pesanan minumannya sudah sampai. Dia terus meneguk minumannya dengan rakus.

“Tak boleh nak fikirkan lama-lama Nukman, minggu depan lepas pulang dari bercuti ke Eropah, awak harus mula bertugas. Papa kini hidup hanya dengan bantuan ubat Nukman, tolong papa!” kata Datuk Norman yang mengadu dia sudah tidak begitu sihat.

“Kasihan papa dan mama Nukman. Anak mama dan papa tak ramai. Hanya Nukman seorang anak kami. Kalau Nukman pun tak nak bantu kami, siapa lagi yang kami harapkan Nukman? Nukman mahu kalau syarikat kita jatuh lingkup dan jatuh ke tangan pesaing kita?” soal mama pula. Dia geleng. Perancangan harus rapi dan bukannya main tergesa-gesa.

“Berikan saya masa papa, mama, jangan desak saya,” pintanya. Hatinya kusut. Jiwanya tidak tenteram.

“Baiklah Nukman, jaga isteri awak tu baik-baik dan fikirkan juga masa depan syarikat kita. Masa depan kita terletak di bahu awak Nukman,” kata Datin Zahara. Dia tahu, semua masalahnya sekarang menuntut dirinya. Siapa lagi yang menyambutnya kalau bukan dirinya?

“Saya tak janji mama, papa.” Kata Nukman Faris.

“Jangan bercakap macam budak-budak Nukman! Mama tak suka. Ini soal tanggungjawab besar, mama dan papa minta tolong bukannya main-main. Ini hal yang sangat serius!” kata mamanya dengan penuh kesungguhan. Apakah dia bermain-main? Bukankah dia juga serius menangani hal ini?

“Ya mama, papa, izinkan saya fikirkan hal ini elok-elok sebelum saya berikan keputusan mama, papa. Jangan bimbang, saya akan fikirkan mama, papa. Doakan saya,” katanya mahu bertindak wajar.

“Terima kasih Nukman, papa tidak minta banyak. Papa hanya mahu Nukman gantikan tempat papa. Papa nak rehat. Sudah lama papa kerja tak henti-henti!” kata Datuk Norman. Nukman Faris mengangguk. Nanti kalau dia menggeleng dan berkeras, dia bimbang jika lelaki itu akan terus sakit pula. Jadi lebih baik dia berlembut dengan ibu bapanya. Mungkinkah ada hikmahnya!

“Saya tak berapa tahu selok belok syarikat kita papa,” katanya mengaku akan kelemahannya. Dia berharap agar papanya tidak terus membiarkan seorang diri menguruskan syarikat warisannya ini. Papa tersenyum. Baru dia perasan wajah yang kusut dan agak lesu tadi kini sudah kelihatan berseri. Wajah mamanya semakin berseri.

“Papa takkan biarkan awak keseorangan. Papa akan sesekali memantau hasil kerja awak Nukman,” kata papanya. Dia tersenyum. Selesai minum dan menjamu selera, mereka berangkat ke rumah. Panggilan telefon dari Rozaila dibiarkan sepi. Dia tidak mahu sesiapa mengganggunya pada masa perbincangan keluarganya sedang berlangsung. Tetapi, kenapa isterinya semakin sepi? Apakah rajuknya masih ada? Ah, bukan rajuk, tetapi kemarahan dan kebencian sudah tidak terbendung di mata gadis itu.

“Saya akan cuba papa!” mama dan papa sudah tersenyum. Bagaikan bunga yang baru menguntum, senyuman itu ibarat bunga mawar di taman negara Kundasang. Alangkah bahagianya dia melihat papanya bahagia tetapi kenapa hatinya tidak bahagia?

“Nukman anak papa yang baik dan bijaksana, papa yakin Nukman boleh terajui syarikat kita dengan berkesan,” kata Datuk Norman yang sudah berseri wajahnya mendengar persetujuan anaknya itu. Nukman Faris mengangguk. Mamanya juga turut tersenyum. Ada seri yang lahir di wajah itu.

“Saya tak janji papa, saya akan cuba yang terbaik. Saya pun bukannya asas dalam perniagaan. Tapi, saya akan cuba.” Katanya bersungguh-sungguh. Walau bagaimana pun, dia memang masih memerlukan bantuan papanya untuk menjayakan tugasnya.

“Sebenarnya...” suara papa terputus-putus. Buntang mata Nukman Faris.

“Apa yang papa nak kata?” papa masih diam. Datin Zahara juga hanya menjadi pendengar yang setia. Kedua-dua ibu bapanya ini memang penuh dengan perancangan. Namun kini mereka seperti ada masalah.

“Sebenarnya, syarikat kita menanggung sedikit kerugian,” itu perkara yang papanya hendak beritahu kepadanya. Apa yang sebenarnya berlaku? Siapa yang punya angkara?

“Rugi? Kenapa pula papa?” soalnya.

“Entahlah, susah papa nak cerita. Tapi, papa minta Nukman handle this thing dengan baik, umpama menarik benang dalam tepung, tepung tak berserakan dan benang tak putus,” kata papanya penuh perumpamaan.

“Saya akan cuba papa,”

“Nanti Nukman jumpa dengan Razak, dia yang mengendalikan hal ini sekarang,” kata papa. Nukman Faris tidak begitu kenal pekerja papanya. Dia hanya kenal rapat dengan peguam papanya. Apakah peguam papanya pun terlibat?

“Baiklah papa, saya akan cuba kendalikan hal ini.” Kata Nukman Faris.

“Jangan main-mainkan hal ini. Sudah agak lama papa tahu akan hal ini tetapi sehingga hari ini papa tidak mampu selesaikannya. Sampai papa sakit-sakit,” terang Datuk Norman.

“Kenapa tak buat report polis papa?”

“Papa tak cukup bukti Nukman!” kata Datuk Norman. Nukman Faris faham situasi sekarang. Dia cuba menangani hal ini.

“Saya akan cuba papa,” kata Nukman Faris. Hari sudah agak malam. Telefon nya tidak berhenti bergegar. Pasti Rozaila yang menghubunginya. Isterinya tidak diketahuinya ke manakah menghilang.

“Jangan setakat cuba Nukman, papa mahu awak berikan yang terbaik untuk syarikat kita ni!” kata papanya dengan wajah bersungguh-sungguh. Dia angguk. Ah, kenapa wajah terluka itu ada di depannya kini? Apakah isterinya juga mengenang dirinya?

Terkenang Natasya Umaira. Ah! Menyesal sungguh pun sudah tidak berguna! Semuanya sudah menjadi bubur! Bubur yang hancur!

***

“Ada apa sayang telefon saya tadi? ada hal sikit tadi,” soalnya selepas papa dan mamanya sudah beransur perlahan meninggalkannya. Rozaila terus dihubunginya.

“Sayang, kenapa asyik tak angkat telefon aje? Apasal sibuk sangat? Sayang anggap saya tak penting? Kenapa sayang sekarang dah jauh berubah ni! Apakah selama ini saya memang tak penting untuk awak Nukman?” soal Rozaila agak marah-marah.

Geram pula dia. Dia tidak suka dimarah-marah. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini sikap Rozaila sudah berubah. Seperti ada angin yang mengubahnya. Jika dia yang menghubungi, selalu pula telefonnya tidak diangkat. Tetapi jika dia yang tidak mengangkat, gadis itu terus jadi macam singa, marah-marah tidak tentu hala. Apa ni?

“Memang saya sibuk. Sayang apa hal telefon malam-malam ni?” soalnya. Entah di manakah isterinya tidur pada malam ini. Tidak dapat dia meneka di manakah isterinya itu. Mungkin besar sungguh kesilapannya sehinggakan isterinya terlalu marah kepadanya. Ah, siapa yang suka diperlakukan begitu. Mungkin sejuta kemaafan pun belum tentu lagi dapat mengubat sakit hati isterinya kepadanya. Itu dia yakin. Amat yakin sekali. Ah, terlajak perahu boleh diundur, bagaimana kalau dia sudah terlajak perbuatan, bolehkah dipulangkan mahkota isterinya yang diragutnya? Aduh, besar sungguh dosanya kepada isterinya.

“Kita keluar kejap malam ni, saya ada hal nak cakap,” katanya. Dia pandang jam. Rozaila memang hidup agak lama di luar negara. Dia pula bingung. Bingung memikirkan isterinya yang seorang itu. ke mana isterinya pergi, dia tidak tahu. Sepanjang hari rumah sewanya bertutup.

Setiap hari juga dia bagaikan patung tercegat di depan rumah sewa isterinya. Namun kelibat isterinya mahupun kawan baiknya tidak pernah muncul. Berdebar-debar dadanya sekian hari ini. Apa yang akan dijawabnya kalau ayah mertuanya bertanya ke manakah isterinya? Apakah dia akan jawab dia pergi kuliah. Sedangkan mereka sama-sama setuju yang dia akan menjadi pemandu menghantar dan menjemput isterinya. Sekarang, apa sudah jadi kepada Nukman Faris dan Natasya Umaira? Aduhai, dia benar-benar jadi leka kepada perbuatannya yang telah menghiris sekeping hati isterinya.

Kekasihnya ini pula mula buat onar. Asyik-asyik nak berjumpa. Dia memang mengakui yang dia tidak betah bertemu kekasih. Dia tidak betah menempa dosa setiap saat setiap ketika dengan bertemu dengan kekasih yang bukan muhrimnya. Sejak dulu dia tahu tetapi sekarang dia sudah tahu akan tanggungjawabnya yang amat berat terhadap isterinya yang sah. Apa yang harus dibuatnya dengan hatinya yang sering rimas kepada kekasihnya sendiri kerana terkenangkan isterinya sendiri?

Ah, asyik-asyik keluar. Asyik-asyik keluar. Keluar pula ke kelab malam. Apa ni? Nasib baik isterinya tidak mahu tinggal serumah dengannya, jika tidak, asyik pula isterinya mengeluh. Ah, mengeluh kah isterinya jika dia memberikan sedikit masanya kepada kekasihnya? Setahunya Natasya Umaira gadis yang baik. Setahunya Natasya Umaira isteri yang luhur budinya.

“Ke mana pula malam ni?” soalnya. Jika ke kelab malam, dia akan menolak. Malam ini malam Jumaat. Dia hendak berbuat sesuatu di rumahnya. Dia hendak balik ke rumah mamanya. Sudah lama dia tidak ke situ.

“Macam biasa,” kata Rozaila dengan rengekan halus di hujung talian. Dia mula seperti cacing kepanasan. Dia tidak betah keluar setiap malam. Hatinya pula bergalau-galau sejak isterinya dihantar ke rumah sewanya.

“Erm, tak dapatlah. Malam ni mama saya minta saya temankan dia di rumah. Mama saya tak ada kawan. Papa saya tak sihat,” itulah alasannya. Sebetulnya dia hendak menjenguk isterinya atau setidak-tidaknya dia mahu menghubunginya. Tetapi entah, dia terasa kekok pula.

Semenjak kejadian yang berlaku di rumahnya itu, hubungan mereka menjadi dingin. Persandingan dan berbulan madu hanya kerana mengikut kata-kata ibu bapa mereka. Sebaliknya hubungan mereka betul-betul dingin. Dia sendiri juga yang menjadi puncanya. Dia sudah memohon maaf kepada isterinya itu namun isterinya itu tidak memberikan respons yang sebaiknya. Jadilah mereka begini. Diam,dungu dan saling berjauhan.

“Eh, sampai begitu sekali pula baik awak kepada mak bapa awak? Bukankah selama ini orang gaji awak berlambak di rumah tu! Boleh lah jadi teman mak awak!”kata Rozaila agak kasar. Kalau dia jadi menantu mama, apa yang akan dia buat jika mama atau papa sakit? Dia akan tinggalkan? Alahai!

“Awak ni belum lagi jadi menantu mama, sudah marah-marah kat mama dan papa saya! Awak tak kesiankan mereka, orang yang telah melahirkan dan mendidik saya menjadi manusia seperti ini?” katanya cuba memancing simpati daripada Rozaila. Rozaila ketawa. Eh, ketawa pula dia. Apahal nak ketawa mendengar rungutan dia.

Entah kenapa sejak akhir-akhir ini dia dan Rozaila sering bertengkar. Hidupnya seperti tidak aman jika berdua-duaan dengan Rozaila. Di manakah silapnya hubungan mereka? Apakah kerana ingatannya yang tidak pernah berkubur untuk isterinya itu menyebabkan kehadiran orang lain sudah tidak bererti? Benarkah sangkaannya ini? Jika benar, apakah maknanya ini?

“Ah awak ni! Ke situ pula. Kita ni pun bukannya selalu jumpa! Minggu depan sebulan saya ke Timur Tengah lagi. Takkan nak jumpa awak pun susah! Saya suruh awak pinang saya awak banyak alasan! Nak jumpa pun banyak alasan awak ya! Entah-entah bini awak dah tunggu awak di rumah ya tak?” kata Rozaila. Sakit telinganya. Sejak akhir-akhir ini Rozaila suka menyakitkan hatinya. Perasaan hendak memperisterikan Rozaila pun semakin jauh dan tawar. Apakah benar siratan hatinya ini?

Tetapi kalau isterinya pun menunggunya di rumah, apa masalahnya? Mereka sudah halal sebagai suami isteri. Lainlah dengan kekasihnya, mereka masih bukan muhrim dan tak ada pernikahan yang menghalalkan hubungan mereka! Ah, sukarnya dia membuat pertimbangan pada saat akalnya bagaikan dicatu untuk Natasya Umaira yang sentiasa menari-nari di matanya ini! Argh sukarnya!

“Dia kan isteri saya! Kalau dia ada di rumah pun apa salahnya! Dia tak pernah pun marah-marah kalau jumpa awak. Tapi kalau saya ada hal, awak bukan main lagi marah-marah!” kata Nukman Faris mengenakan kekasihnya. Asyik-asyik dia kena oleh Rozaila. Mulut kekasihnya sekarang sudah macam bertih jagung. Asyik mengata dirinya dan isterinya. Apa pula salah isterinya kepada kekasihnya? Sepatutnya dia yang harus dipersalahkan kerana tidak menceraikan isterinya. Kenapa kekasihnya menyalahkan isterinya? Kenapa kekasihnya itu pula sudah hilang sabar pada saat dia amat memerlukan keseimbangan fikiran. Namun, kenapa kekasihnya mahu buat hal pula dan isterinya menyepi sesepi-sepinya?

“Jadi awak akan terus jadikan dia isteri awak dan tidak menceraikannya? Awak dah diguna-gunakan oleh perempuan tu, sampai awak berat hati hendak menceraikan dia atau awak sudah jatuh cinta bukan? Jadi bagaimana dengan saya? Awak janji akan ceraikan dia dan nikahi saya! Kenapa sekarang pendirian awak dah berubah? Awak ni memang tak boleh pakailah Nukman! Lelaki apa awak ni?” soal Rozaila. Bingung dia. Ah, dia lelaki sejati yang mula sayangkan isterinya sendiri. Mungkin benar langkah bijak mama dan emak mertuanya yang sepakat menikahkan mereka dahulu.

“Sabarlah, banyak masalah yang nak diselesaikan sekarang. Boleh tak awak sabar sikit! Kalau kita kahwin pun, awak bukannya ada di sisi saya sayang! Awak akan terbang ke sana sini mencari peluang peragaan!” Katanya serba-salah. Dia sebenarnya mahu memujuk Rozaila. Dia memang tidak mampu menceraikan isterinya saat ini namun perasaan kekasihnya juga harus dilegakan. Jika tidak, dia takut perang dingin antara mereka akan berlangsung lama.

“Banyak masalah? Masalah apa pula? masalahnya awak cintakan isteri kampungan awak tu kan Nukman! Hey, Nukman be rasional lah sikit! Dulu awak kata dan janji kat saya yang awak nak nikah dengan gadis tu tiga hari sahaja. Sekarang dah berapa bulan awak tak cerai-cerai! Awak memang penipu!” kata Rozaila tidak puas hati. Panas telinganya dituduh yang bukan-bukan. Rozaila memang sudah hilang sabar kepada tindak-tanduknya selama ini.

Namun dia mengakui dia tidak mampu mengawal keadaan sekarang ini. Dia memang tidak mampu! Kalau boleh dia hendak bertemu dengan isterinya sekarang juga, rindunya menggebu untuk gadis itu dan bersalahnya mengalahkan tingginya gunung Kinabalu! Alahai isteri, di manakah dia kini? Ke mana dia menghilang?

“Sabarlah, saya bukan tak nak ceraikan isteri saya tapi saya memang agak sukar hendak menjawab dengan ibu bapa saya!” kata Nukman Faris menyebut ibu bapanya pula.

Dia memang hormatkan keluarganya dan keluarga isterinya. Dia masih ingat akan tali persaudaraan dan kebaikan ibu bapanya selama ini. Ibu bapanya yang ingin memberikan sesuatu yang terbaik untuknya selama ini. dia tahu dan sedar tentang hal itu. tetapi, Rozaila juga bukan sebarangan orang. Dia juga anak kepada seorang ahli perniagaan yang berjaya di negara ini. Namun, bukan status itu jadi ukuran.

Mamanya mahu dia mendapat isteri yang akan dibimbing hingga ke syurga dan memberikan zuriat menyambung warisan mereka. Bukannya mendapat kekasih sahaja. Kata mama. Entahlah, dia tidak tahu. Perasaannya kini juga seperti berbolak-balik. Mungkinkah kerana hatinya sudah dicuri oleh isterinya sendiri dan perasaan bersalahnya ini sukar dipujuk!

“Ah, pergi mampus lah awak dan isteri awak tu Nukman!” kata Rozaila yang sudah menekan butang merah di telefonnya. Nukman Faris hanya tersenyum. Namun, dia tetap kesal. Kesal dengan tuduhan kekasihnya itu. Gadis itu memang kurang sabar. Sepatutnya dia bersabar menangani hal ini.

Selepas itu dia bergegas balik ke rumah papanya Damansara Utama. Dia mahu bersama-sama ibu bapanya pada malam ini. Esok dia akan mencari isterinya lagi. Dia tidak akan putus asa. Dia mesti menemui gadis itu. rindunya sarat menggebu dan perasaan bersalahnya semakin sukar dikawal!

Inikah cinta?

teruskan bacaan di http:putrimanasuha.blogspot.com



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku