Cinta Sang Pilot
Bab 39
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 November 2013
Penilaian Purata:
(85 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
104131

Bacaan






Atas permintaan ramai Novel Cinta Sang Pilot kembali menemui pembaca. Terima kasih atas sokongan kepada enovel ini. Sesungguhnya hanya dengan doa dan harapan kita semua juga novel ini dapat disiapkan. 

Bab 39

Ketukan di bilik itu mengejutkan aku. Sudahlah aku sudah balik-balik terkejut dengan tindakannya selama dua hari kami menginap di bilik hotel mewah ini. Kali ini ketukan di luar sana tambah mengejutkan aku. Mataku membuntang. Kenapa lelaki di depanku ini selamba sahaja? Kekasihnya datang lagi ke sini? Ah, kalau dia datang, aku sudah sedia dengan jawapanku. Aku tidak peduli, apa akan jadi, jadilah!

Siapakah yang ada di luar bilik kami sekarang? Mataku sudah membuntang. Nukman Faris memandang aku. Aku memandang dia dengan resah. Aku cepat-cepat hendak berlari ke bilik air untuk mengenakan tudung.

“Eh, nak ke mana tu sayang?” soal Nukman Faris. Aku angkat kening. Aku sudah cemas. Pakaian kurung yang aku pakai tanpa tudung di kepala.

“Bilik air.” Jawabku. Tanganku sudah memegang tudung.

“Buat apa?” soalnya. Aku angkat tudung menunjukkan ke arahnya. Takkan dia tak faham apa yang akan aku buat. Ada seseorang di pintu dan aku harus mengenakan tudung. Kenapa pula aku hendak menayangkan auratku kepada orang lain? Sudahlah nasibku terkontang-kanting, kini nak tayang aurat pula! Soalku dalam hati.

“Pakai tudunglah, takkan macam ni!” kataku. Nukman Faris sudah ketawa. Kemudian dia angguk tanda memberikan aku kebenaran.

“Siapa tu?” soal Nukman Faris. Aku angkat bahu. Aku tidak tahu siapa yang datang. Aku tidak mahu meneka-neka. Malah aku tidak ada meminta sesiapa datang ke bilikku ini walaupun kawan baikku sendiri. Buat apa kan?

Entah siapa yang dia jemput pada waktu aku hendak merehatkan diri selepas mengikuti semua acara persandingan. Eh, penatnya badan aku ni! Kalau Nukman Faris ini tidak ada, aku mahu sahaja tidur, tidur mati!

Mahu sahaja aku menghempaskan tubuhku di atas katil sahaja. Katil super king yang empuk sudah di depan mata. Tetapi kenapa ada lagi halangan? Kenapa suamiku itu penuh dengan permintaannya segala? Kalau aku hendak tidur takkan tak boleh? Siapa lagi yang mengetuk pintu di sana? Aduhai!

“Entah siapa. Mana saya tahu kalau awak ada tetamu, takkan saya pula!” kataku memperlinya. Dia garu kepala yang tidak gatal. Wajahnya kulihat sungguh berseri.

“Tak pe, saya bukakan pintu!” aku sudah menyelinap masuk ke dalam bilik air. Aku tidak peduli siapa yang berada di pintu depan itu.

Setelah mengenakan tudung aku terus keluar. Aku ternampak seseorang sudah duduk di sofa yang disediakan di ruang tamu bilik hotel itu. Hatiku masih tertanya-tanya. Siapakah yang ada di situ?

“Silakan masuk,” aku mendengar suara Nukman Faris berbasa-basi dengan tetamu yang datang. Siapa yang datang? Takkan tetamu-tetamu yang datang menghadiri majlis resepsi kami semalam? Ah, tak mungkinlah. Bisikku perlahan sambil berbaring di atas katil super king yang empuk itu. Eloknya kalau aku tidur di sini. Tetapi aku tetap tidak ada peluang duduk di sini.

Mahu sahaja aku tidur terus di situ. Semalam pun aku tidur di atas katil ini juga tetapi aku berasa tidak selesa. Tidak selesa kerana ada Nukman Faris di sisiku. Aku tidak dapat tidur. Aku dalam langkah berjaga-jaga. Akhirnya aku bangun menunaikan solat hajat dan solat tasbih. Aku memohon keberkatan dan kebahagiaan hidupku.

“Tasya, mari sini sayang, lihat siapa yang datang!” mataku terbuntang. Oh, mak andam. Aku terus duduk di birai katil dengan muka sudah membahang. Mak andam sudah berdiri memerhatikan aku.

“Sayang, malam ni kita ada acara. Sengaja acaranya tidak ada dalam aturcara. Ni hanya untuk ahli keluarga yang terdekat sahaja,” kata Nukman Faris. Aku angguk tetapi tetap penuh kehairanan. Patutlah dia mati-mati meminta aku mengikutnya berkaraoke malam ini. Rupanya ada acara. Siap bawa mak andam pula!

‘Untuk ahli keluarga terdekat saja?’ soalku dalam hati.

“Malam ni kita akan turun ke dewan agak kecil sikit, ada makan malam sikit sambil tu kita akan menyanyi sambil makan. Ia juga khas untuk membantu anak-anak yatim yang didaftarkan dengan syarikat papa.” Kata Nukman Faris lagi. Aku kerut kening. Macam-macam orang pula nak raikan?

Susah betul jadi orang kaya ni! Kalau kat kampung, sudah buat majlis bersanding dan acara potong kek, sudahlah! Buat apa nak sambut itu dan ini lagi! Aku membebel dalam hati.

Perasaan marahku belum habis kepada Nukman Faris ini tetapi acara yang kena kami hadiri pelbagai menyebabkan kami hampir terlupa kepada pertelingkahan kami sendiri. Lepas itu, aku kena juga jaga hati tetamu, ibu bapa kami dan seluruh ahli keluarga. Akhirnya semua orang menyaksikan kemesraan kami kononnya.

Aku berkali-kali marakkan mataku kepada Nukman Faris apabila dia bertindak berlebihan di depan orang ramai. Aduhai, lelaki itu banyak hutang dengan aku!

“Kita meraikan anak-anak yatim?” soalku agak gugup. Nukman Faris menggeleng.

“Bukan, anak-anak yatim dan ahli keluarga terdekat meraikan pernikahan kita,” dia membetulkan ayatku. Aku angguk. Buat apa anak-anak yatim hendak meraikan persandingan olok-olok kami ini? Eh, buang duit aje! Kalau aku, duduk diam-diam dalam rumah sudahlah. Buat apa hendak buang duit meraikan kami di hotel berbintang-bintang ni? Soalku dalam hati.

“Semalam tu meraikan siapa?” soalku tidak puas hati. Nukman Faris sudah ketawa.

“Itu majlis resepsi perkahwinan kita, ini lain.” katanya. Aku masamkan mukaku. Sebenarnya banyak perkara aku mahu cakap secara bersemuka dengan dia. Namun aku belum berkesempatan. Ya Allah, berikan aku kekuatan.

“Tak sama?” soalku merenung jauh ke depan. Mak andam di depanku pun aku seperti tidak nampak.

“Aduhai, banyaknya tanya kedua-dua pengantin ni. Berilah peluang saya sangkut baju ni dan duduk sambil minum air. Haus tau!” kata mak andam itu memotong perbualan kami. Mungkin ada kenal dengan Nukman Faris atau Datin Zahara. Kalau tidak, kenapa dia agak mesra melayan aku dan Nukman Faris.

Aku seperti tidak menyedari mak andam itu sudah di depan kami. Aku bangun dan mengambil baju itu dari tangannya. Baju gaun beropol di depan tanpa lengan? Eh, wait-wait, aku tak boleh pakai pakaian macam ni! Aku bertudung, takkan pakai baju tanpa lengan dan sebuah crown? Eh, tak nak! Aku tak nak!

“Takpe saya orderkan awak air, air apa dan makanan apa awak nak Jennifer?” soal Nukman Faris. Mak andam yang aku tidak tahu apa jantinanya itu dipanggil Jennifer. Wajahnya agak keperempuanan tetapi aku tahu dia bukan wanita sejati. Manis senyuman Jennifer memandang Nukman Faris apabila dipelawa apa minuman yang dia mahu.

“Jus oren dan mee goreng sea food, tak mahu pedas,” kata Jennifer memesan makanan. Aku pandang tajam muka Nukman Faris.

“Sayang nak makan apa?” soalnya pula. Aku geleng. Aku belum mahu makan lagi. Tengah hari tadi kami sudah makan berhidang di restoran. Aku tidak mahu menambah berat badanku. Aku mahu kekalkan tubuh langsing begini.

“Tak nak, nak minum jus oren aje.” Kataku. Nukman Faris terus mengangkat telefon dan memesan makanan.

“Tak pe, abang pun nak jus oren,” katanya kepadaku secara tidak langsung. Aku diam tidak berkutik mendengar kata-katanya.

“Baju sapa ni Jennifer?” soalku kepada mak andam.

“Sapa yang kahwin? Sayakah atau awak? Takkan saya yang nak pakai baju cantik ni pula!” aku terkesima. Dia kembalikan soalan kepadaku sambil dia meletakkan kotak-kotak mekapnya di atas meja solek itu. Sombong pula tu!

“Sayanglah punya baju... cantikkan? Baju ni abang yang tempah hari tu!” kata Nukman Faris sudah mengucup dahiku di depan mak andamnya itu. Jennifer sudah buat mata buta seperti tidak melihat perbuatan Nukman Faris. Sakit hatiku.

“Awak yang tempah baju seksi gila ni? Awak nak kulit saya dimakan api di neraka nanti? Awak nak masukkan saya ke dalam neraka? Suami apa awak ni? Suami tak de tahu menahu tentang aurat wanita?” soalku dengan panjang lebar.

Memang aku kesal. Kesal dengan pakaian yang ditempahnya itu. Sudahlah tu, warnanya pula merah terang mak ngah! Kalau ayah aku tahu aku pakai pakaian macam ni, mesti dia akan jeling aku tak puas! Aduh!

Aduhai! Baju begini seksi dia hendak aku pakai malam ni bagi meraikan anak-anak yatim? Mahunya anak-anak yatim tak sumpah aku kalau pakai baju seksi macam ni? Isteri siapalah ni? Soalku kepada diri sendiri!

“Bukan sayang, jangan salah sangka. Sayang akan pakai dengan cardigan dan sehelai tudung berwarna merah juga, agak lembut merahnya,” terang Nukman Faris menolak tuduhanku. Wah malam ini aku akan pakai pakaian serba merah! Aduhai, aku tak suka!

“Eh, tak naklah saya pakai baju ni! Saya pakai baju yang lainlah Nukman! Tak nak yang ni! Saya pakai baju kurung yang mama awak beri ajelah!” kataku menolak pakaian seksi itu. Aku tidak mahu memalukan diri sendiri.

“Tak pe, ada cardigan cantik di luar nanti, tak nampak seksi sangat. Kalau pakai baju kebaya atau kurung tak sesuai untuk malam ni!” kata Nukman Faris masih hendak memujuk aku. Cardigan? Mana cardigannya? Tak nampak pun! Aku tercari-cari cardigan yang dia maksudkan.

“A’ah, lupa pula nak keluarkan cardigan, cardigan ada kat lobi,” kata Jennifer pula. Mungkin dia lupa membawa cardigan itu. Mataku sudah membulat memandangnya yang dengan sengaja hendak mengenakan aku.

“Kat mana?” soalku kepada Nukman Faris. Nukman Faris angkat kening dan terus mengucup keningku pula. Aku sudah tutup mata. Aku benci dengan sikapnya kalau di depan orang lain. Dia mahu tunjukkan kelakiannya atau kemesraannya? Ah, dia suka berpura-pura! Hakikatnya hubungan kami seperti telur di hujung tanduk!

Aduhai!

“Alamak, romantika lah pula kamu kat depan aku ya! Memang sesuai lah kamu berdua Nukman! Memang mantap gitu!” kata Jennifer itu. Aku membulatkan mata. Pastilah mukaku sudah kemerahan seperti disalai api. Aduhai! Nukman, awak jangan nak buat macam-macam kat aku!

“Jadi, awak sedia nak diandam sekarang?” soal Jennifer kepadaku. Aku belum mandi. Takkan nak andam sekarang?

“Saya tak mandi lagi!” jawabku. Aku rimas selepas keluar makan tadi. Berjam-jam di tempat makan. Memang aku tidak selesa! Tetapi aku nak bercakap mengenai hubungan kami, aku rasa tidak sesuai pula. Akhirnya aku layan aje Nukman Faris ini.

Kot-kotlah ini kali terakhir kami bersama, sekurang-kurangnya kami masih ada harta yang hendak dibawa apabila bersendirian nanti, iaitu kenangan manis! Aduh!

“Nukman, awak pergi mandikan isteri awak ni!” arah Jennifer. Aku bulatkan mata. Nukman Faris sudah tersengih-sengih di sisiku.

“Tak nak!” aku tidak mahu cari bala lagi. Hari itu aku sudah kena olehnya, hari ini aku takkan tunduk lagi dengan kemahuannya.

“Jom sayang, kita boleh buat anak lagi! Sayangkan nak mengandung cepat-cepat!” mukaku sudah merah dan panas memijar. Kata-kata Nukman Faris menyakitkan hatiku. Mahu tak mahu aku terpaksa akur dengan kemahuannya yang sudah menarik aku ke pintu bilik air. Aduhai!

“Eh, awak ni sengaja kan nak malukan saya depan mak andam tu!” bisikku dengan mata marakku.

“Abang gurau ajelah sayang! Kenapa ni marah-marah ni? Sayang datang bulan ya?” soalnya. Aku bulatkan mata. Lelaki ini memang sudah melampau. Aku? Aku tak datang bulan lagi bulan ni! Hari tu kan baru lagi! Mukaku pijar bagaikan dipanah terik matahari.

“Eh, awak ni. Lepaskan saya! Tak baik tau depan tetamu buat macam ni!” kataku meminta dilepaskan.

“Sayang jangan buat hal. Takkan sayang nak meronta begini. Nanti apa kata Jennifer. Dia tu kawan baik mama tau!” kata Nukman Faris berbisik lembut di anak telingaku. Aku terus mendiamkan diri.

“Awak keluarlah. Saya nak mandi sendiri!” kataku yang menolak tubuhnya keluar dari bilik air.

“Ya lah! Abang keluarlah ni!” katanya perlahan. Kulihat Jennifer hanya memandang kami dengan mata berbulu! Nukman Faris memang suka buat hal!


* Sesiapa yang hendak membaca bab yang seterusnya dan mengetahui lebih lanjut tentang Natasya Umaira, bolehlah melayari blog; putrimanasuha.blogspot.com



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku