Cinta Sang Pilot
Bab 1
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 November 2013
Penilaian Purata:
(19 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
30566

Bacaan






Bab 1

“Mungkin ini kegembiraan bagimu tetapi malang bagiku. Aku tidak tahu kenapa aku harus jadi biawak hidup menanggung dirimu,” astaghfirullah, aku beristighfar panjang mendengar kata-kata yang dibisikkan di telingaku sebentar tadi. Kami berpandangan seketika. Wajah tampan itu aku tatap walaupun ngeri untuk dibayangkan akan kata-katanya. Namun aku terpaksa menahan perasaan kecewa sendirian dengan menempelkan senyuman manis.

Mahu mengurut dadapun ada. Mahu menangis pun ada. Mahu pengsan sudah tentu. Namun aku sabar dan reda dengan apa yang berlaku. Tambahan pula aku dikelilingi oleh sanak-saudara terdekatku dan ahli keluarganya.

Saat lafaz mulia iaitu lafaz nikah sudah dijalankan, itulah pula lafaz yang terpaksa aku dengar dan cerna dalam diriku ini. Kemudian lelaki itu mengucup dahiku apabila disuruh oleh sanak-saudara yang ada di situ. Jelingannya usah dicerita. Cuak wajahnya usah dibentang. Aku tahu dia terpaksa. Apabila jurugambar hendak merakam gambar kami, dia tersenyum senada denganku. Bertuah, memang dia pelakon hebat!

Namun aku terasa betapa syahdunya perbuatannya itu. Kami bagaikan sepasang suami isteri yang menjalinkan hubungan erat sebelum ini dan aku turut berjanji kepada diriku sendiri yang aku akan jatuh cinta dan menjalankan tanggungjawabku sebagai isteri selepas ini. Dan, bersaksikan Tuhan, aku berikrar akan menjadi isteri kepada lelaki ini untuk dunia dan di akhirat.

Usai pernikahan kami disandingkan dalam sebuah majlis yang serba ringkas. Aku bersyukur kerana semua masalah yang berlaku sebelum ini sudah dapat diselesaikan dengan baik.

Emak memanggil kakaknya pada saat-saat kemelut kehidupanku begitu celaru. Alhamdulillah semua perkara yang dirancang berjalan dengan baik dan Nukman Faris telah menjadikan semua majlis yang dirancang oleh ibu bapa kami berjalan dengan lancar. Tetamu yang datang juga tidak bertanya mengenai pengantin lelaki.

Aku cepat-cepat masuk ke dalam bilikku, kamar pengantin yang sudah dihias dengan selayaknya sebagai bilik pengantin. Aku cepat-cepat membuka tudungku. Sejak pagi aku telah dipakaikan tudung tiga lapis oleh mak andam.

“Tasya, kenapa tinggalkan suami kamu layan tetamu sorang-sorang?” aku terkedu.

Haruskah aku menemani dia melayani teman-temannya yang baru datang? Dia tidak sudipun aku menemaninya melayani tetamunya yang hanya beberapa orang itu. Aku di sisinya seperti patung cendana sahaja. Sejak tadi aku sudah meminta izin untuk masuk ke bilik dan mengerjakan solat Zohor yang sudah di hujung.

“Err,” aku tidak terjawab.

“Tak baik buat suami macam tu,” kata emak dengan wajah cuak. Aku rasa bersalah pula.

“Mak, dia bukan tak biasa di rumah kita ni,” aku memberi alasan. Dulu sewaktu kecil dia selalu datang ke rumah kami. Walaupun dia orang bandar tetapi emaknya dan emakku adik-beradik. Jadi, dia selalu dibawa balik ke kampung.

Selama 10 tahun kami tidak pernah bertemu. Akhirnya kami dipertemukan dalam suasana yang sepatutnya menggembirakan bagi kami. Tetapi sangat menyakitkan baginya. Kasihan sepupuku itu. Dia terpaksa menjadi suami kepadaku tanpa diduga. Namun dia lelaki yang bijak. Seminggu sebelum majlis pernikahan dia telah membawa aku ke suatu tempat tanpa pengetahuan ibu bapa kami.

“Jangan macam tu, dia tu suami,” pinta emak. Aku angguk.

“Saya nak solat Zohor kejap mak. Abang Nukman sudah solat tadi,” jawabku yang sudah mendapat idea. Baru lah emak mengangguk dan berlalu keluar dari bilikku.

“Baiklah kalau macam tu. Jangan pula anak mak berkurung di bilik, tak baik begitu,” aku angguk. Aku tahu di mana kedudukan aku sebagai isteri kepada seorang lelaki yang tidak menyukaiku.

“Nanti saya keluar mak, saya pun nak cuci pinggan mangkuk,” kataku. Emak mengangguk. Aku harus menghabiskan waktuku di dapur selepas ini.

“Ya lah, pergilah solat,” jawab emak. Pintu kututup perlahan. Susah amat memujuk emak.

Aku cepat-cepat mengerjakan solat Zohor dan turun ke bawah untuk melihat-lihat suasana yang berlaku sekarang. Suamiku masih dengan tetamunya. Mungkin kawan sekerja atau teman sekolahnya. Tetamu lain beransur balik dan aku sedang mencari kerja bertimbun di dapur. Nukman Faris pula tidak mempedulikan aku di luar. Jadi, lebih baik aku mencari kerja kosong di bahagian dapur.

“Natasya!” namaku disebut kuat. Seperti menjerit pun ada. Spontan mataku terarah kepada suara itu. Aku terus berdiri dan memandang ke arah suara yang memanggilku. Pinggan-pinggan yang bertimbun aku abaikan seketika. Tanganku yang bersabun aku cuci cepat-cepat.

“Ya abang, ada apa?” soalku yang sudah berdiri di depannya.

“Nak makan,” pintanya seperti budak kecil. Aku tersengih. Aku pun lupa yang kami belum makan sejak makan beradab tadi. Jika makan pun hanya sedikit. Aku cepat-cepat menyendukkan nasi dan menyendukkan lauk-pauk untuknya. Emak hanyya memandang aku. Saudara-mara yang masih membantu di dapur juga saling berpandangan. Malunya!

“Awak tak makan sekali?” soalnya bersopan santun. Aku geleng. Sanak-saudara yang membantu membersihkan dapur masih ramai lagi.

“Awak dah bisu? Tak ada suara?” soalnya menyakitkan hatiku. Aku tahulah aku ni meminta pertolongannya selama beberapa minggu hingga hari ini tetapi janganlah dia layan aku macam ni. Omelku dalam hati. Mukaku cuak.

“Muka tu senyum sikit, jangan macam muka kena dera suami!” katanya separuh berbisik. Aku memaniskan muka. Memang dia pelakon hebat.

“Saya dah makan tadi. Abang makanlah, saya temankan,” jawabku yang sudah duduk di meja bulat itu. Aku terpaksa berbohong. Sebenarnya aku pun agak lapar. Kami duduk bertentangan. Namun lelaki di depanku itu buat muka selamba badak menjadikan aku hilang selera.

“Lepas ni kita kemas-kemas barang di dapur ni, awak naik ke atas tau,” pesannya. ‘Kita?’ Dia nak tolong aku kemaskan barang-barang selepas acara bersejarah kami ini? Soalku dalam diam. Aku cepat-cepat angguk.

“Eh tak apalah bang, biar saya selesaikan kerja-kerja ni. Abang pergilah berehat di bilik,” dalam aku menggeleng aku melarang dia membantu aku.

“Tak apalah, abang akan tolong,” katanya tidak mahu mengalah.

“Mama abang tak balik lagi? Kalau tak balik, abang temankan mereka,” kataku memberikan cadangan. Datin Zahara pasti tidak mahu melihat anaknya membantu di dapur. Nukman Faris menggeleng.

“Mereka duduk di hotel malam ni lagi semalam, esok pagi mereka balik,” jawabnya. Aku angguk juga.

“Mereka ajak kita juga tapi tak ada juga gunanya kan,” katanya. Aku angguk juga. Sebenarnya sedih.

“Saya sambung kerja dulu abang,” pintaku. Lelaki itu sudah pun menyiapkan makannya.

“Pergilah, nanti abang tolong,” katanya. Aku angguk.

“Abang tukar baju dulu. Pakaian abang semuanya di almari,” beritahuku. Aku sempat mengemaskan pakaiannya di almari bersebelahan dengan pakaianku. Bulat matanya.

“Terima kasih,” ucapnya. Aku angguk. Hari ini aku banyak angguk dan geleng sahaja. Sebenarnya aku amat segan dengannya. Walaupun kami sepupu namun hubungan kami tidak begitu baik. Dia kuat mengejek aku sewaktu aku masih kecil dulu.

***

“Ini amanat saya,” sampai di bilik, segala gelaran yang baik untuk diri lelaki itu sudah berubah. Suaranya juga agak kasar. Pandangannya juga amat menyakitkan. Aku duduk mendengar di sisi katil itu. ‘Macam nak mati pula pakai amanat-amanat ni!’

“Awak kena ikut perjanjian yang telah kita tandatangani di depan peguam saya hari tu. Jangan sampai mak saya dan mak awak tahu, faham?” aku angguk lagi.

Aku tidak akan sampai hati membuka pekung di dada. Aku akan simpan baik-baik semua cerita suami isteri antara kami berdua. Walaupun cerita kami hanya sah di atas kertas sahaja. Sah antara Natasya Umaira dan Nukman Faris.

“Ya saya faham,” aku akur. Aku sedar siapa aku dalam hubungan kami. Aku buat acuh tak acuh. Dia juga selalu sibuk dengan telefon bimbitnya.

“Awak faham kan yang saya hanya menjadi pengganti kekasih awak yang melarikan diri tu, jadi jangan paksa saya menjadi suami awak yang sebenar. Jangan minta saya melakukan sesuatu yang saya tidak akan buat! Ikut perjanjian asal! Awak tidak diakui sebagai isteri dan saya tidak diakui sebagai suami dan tidak boleh menjalankan tugas sebagai suami isteri. Tetapi kita akan berlakon di depan keluarga kita, faham?” aku angguk. Sedih memalu hati. Pernikahan apakah ini?

“Encik Nukman, saya dah baca perjanjian tu. Terima kasih kerana sudi menjadi suami saya hari ini. Saya takkan tuntut apa-apa lagi selepas ini, jangan bimbang,” kataku yang terasa bengang dengan ingatan demi ingatan yang diberikannya. Dia sengih. Sengih pun nampak kacak, aku menelaah sendiri. Marahku kepada diri sendiri kepada tewas dengan janji sendiri. Sebenarnya aku cinta dia!

“Anak dalam kandungan awak tu, saya izinkan kalau awak nak gunakan nama saya. Ini salinan kad pengenalan saya, mana tahu saya tak da di sini masa awak melahirkan anak, lepas bersalin nanti jaga diri,” katanya. Aku menyambut huluran kertas itu. Aku menangis dalam hati.

Fitnah orang kampung membuatkan aku terpaksa bernikah dengan sepupuku sendiri. Memang sejak kecil aku sudah menaruh perasaan kepada lelaki ini. Kupendam sendirian. Kalau dia tahu, aku takut dia akan bertambah marah kepadaku. Aku pun sudah banyak menyusahkannya.

“Terima kasih ya,” aku mengucapkan syukur. Aku berdoa agar masa dapat menjawab segala persoalan yang sedang berlaku kepada diriku ini. Selepas tamat tempoh itu aku akan bebas. Bebas dari sesiapa.

“Tak perlu terima kasih kau. Aku tak nak! Kalau bukan sebab mak kau dan mak aku yang paksa, aku takkan nikah dengan kau! Aku tak nak kau! Kau tahu kan aku ada kekasih?” aku angguk dengan berat. Agak memberat juga mataku dengan desak air mata yang hendak jatuh mengalir.

Aku memang tidak berhak untuk mencampuri urusannya. Dia sudah awal-awal memberitahu aku yang dia sudah mempunyai pilihan hati sendiri tetapi dia belum sempat memberitahu emaknya mengenai pilihannya. Kasihan pula dia dan kasihan kepada kekasihnya. Apa yang dapat aku lakukan untuk membantu dia? Terima syarat-syaratnya. Itu yang penting! Aku mengingatkan diri sendiri.

“Tiba masa nanti awak ceraikan saya. Awak boleh menikah dengan gadis pilihan awak. Saya faham awak,” ucapku. Dalam hati aku tidak mahu perceraian. Aku tidak mahu diceraikan. Bergegar arasy. Namun aku tidak ada pilihan. Lelaki itu menerima aku kerana terpaksa dan kerana secebis kisah yang menimpa aku. Kerana secebis kisah itu!

“Ya, aku akan buat kemudian. Sekarang mari kita tidur,” katanya yang sudah mengambil tempat di atas sofa. Dia hanya berbantalkan lengan. Aku sungguh kasihan melihat dia berbaring di atas sofa itu.

“Eh, kenapa awak tidur di sofa? Tak pe, awak sebagai tetamu saya, awak tidur di atas katil ni. Biar saya tidur di sofa,” kataku cepat-cepat bangun dari duduk di bibir katil. Dia merenungku.

“Tak apalah, biar aku yang tidur di sofa. Awak kan mengandung,” katanya mengalah dan sudahpun mengangkat bantal dan selimut nipis di atas katilku. Mahu sahaja aku meraung yang memberitahu aku telah difitnah namun suaraku aku padam dan aku menjadi seperti tikus di depan kucing!

“Tak! Tak boleh! Awak tidurlah atas katil. Memang hari-hari saya tidur atas sofa, tak apa,” kataku tidak mahu mengalah. Aku memberi penghormatan kepadanya sebagai tetamu.

Aku tidak sedar, aku sudah menarik tangannya dan menghantar dia untuk tidur di atas katil. Dia sudah tercengang memandangku. Aku pula selamba badak sahaja. Entah di mana kekuatanku menarik tangannya.

Aku tahu dia tidak biasa tidur di atas sofa di bilikku yang agak lapuk dan dimamah usia itu. Aku sedar dia anak orang berada. Walaupun emaknya adik-beradik dengan emakku namun kehidupan mak long cukup berbeza selepas menikahi ayahnya.

Kasihan pula aku kepadanya. Kalau aku tidak apalah, aku sudah biasa susah, lagipun aku tidak mengandung seperti yang diwar-warkan. Dia pun tidur di atas katil sedangkan aku menghabiskan buku cerita terbaru tulisan Acik Lana. Aku tidak sabar menghabiskannya. Malah, aku terasa bertuahnya Adara, kerana dilantik menjadi setiausaha kepada Tuan Putra dalam novel tersebut. Ceritanya amat bertentangan dengan diriku.

Ya Allah, kenapa aku bernasib begini? Aku ingin sekali mempunyai seorang suami yang mencintaiku setulus jiwa dan menemaniku sehingga ke syurga. Namun, apa yang berlaku kepadaku amat bertentangan dengan kemahuanku.

“Eh, awak tak tidur lagi?” soalnya yang terbangun tiba-tiba. Novel cinta yang kubaca baru sahaja habis kubaca. Kulihat jam di dinding sudah menunjukkan pukul 2.40 pagi. Aku berniat hendak menunaikan solat tahajjud.

“Eh, tak lagi! Mata saya ni belum mengantuk lagi!” kataku memberikan alasan. Buku cerita itu kuletakkan di bawah bantal.

“Awak biasa tak tidur malam?” aku menggeleng, mengangguk kemudiannya. Serba-salah aku dibuatnya.

“Tak, saya terbangun tadi,” aku mengatur alasan lagi. Dia sudah duduk di bibir katil. Sebenarnya aku belum tidur mengenangkan solatku yang belum lengkap untuk malam ini. Aku ingin merafakkan rasa syukurku.

“Awakkan mengandung! Tak baik tidur lambat, tak baik untuk kesihatan!” ah, lagi-lagi mengandung! Bosannya! Bisikku dalam hati. Tetapi kenapa dia terlalu prihatin dengan kandunganku? Kalau dia tahu aku tidak mengandung, apakah dia akan prihatin kepadaku? Aduhai!

“Tak apa, awak tidur dulu. Itu bukan urusan awak! Urusan awak dengan saya sudah selesai, menutup aib keluarga mak ngah awak kan! Nanti saya akan tidur. Saya tak solat Isyak lagi!” aku mencipta alasan lagi.

Akhirnya dia tertidur semula setelah mendengus dengan kuat. Aku berasa lega kerana dapat membalas kata-katanya dan terus menuju ke pintu bilik air.

Dalam solatku aku bersyukur dengan apa yang telah berlaku sepanjang hari ini bersama lelaki yang sudah menjadi suamiku itu. Aku bersyukur kerana dia sudah menjadi imamku sepanjang tiga hari pernikahan kami di kampung ini. Tetapi aku tiba-tiba berasa takut jika hari keempatnya dia akan melafazkan cerainya pula kepadaku.

Ya Allah ampunilah aku dan rahmatilah aku bersama suamiku, aku memohon lagi. Jika pun dia menceraikan aku, aku akan bersyukur juga sekurang-kurangnya dia sudah menutupi aibku dan keluargaku kerana aku difitnah oleh Amri bekas tunangku. Syukur, syukur, tetap banyak syukurku kepada Allah pada hari ini.


teruskan bacaan di http:putrimanasuha.blogspot.com



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku