MUTASI GEN-X
BAB 1
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novelet
Paparan sejak 30 November 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
638

Bacaan






BAB 1

Bas model terkini milik Kolej Asia Tech meluncur di jalan raya bersama dua puluh lima orang penumpang. Bas dengan teknologi gentian fiber lutsinar yan meliputi bas itu membolehkan mereka yang berada di dalam melihat pemandangan di luar tanpa halangan. Lapisan khas melindungi penumpang daripada pancaran mentari di luar. Lapisan yang sama mengelakkan mereka yang berada di luar daripada melihat keadaan di dalam bas.

"Mandy Lee."

"Saya."

"Adri Wafiq."

"Sini."

"Rozana Khalid."

"Yuhu."

"Linda Danker."

Tiada jawapan, hanya tangan yang diangkat tinggi.

"Ahmad Fahimi."

"Saya."

"Ramachandran"

"Saya."

"Ahmad Idham."

"Kat sini."

"Amir Firdaus."

Suasana sepi seketika.

"Amir Firdaus!"

Masih tiada jawapan.

"Yang itu." Suara salah seorang penumpang bas sambil menuding ke arah seorang pemuda yang sedang bersandar di cermin. Kedengaran halus dengkuran yang keluar dari mulutnya.

"Amir Firdaus!" Suara wanita yang memegang fail keras berwarna kuning di hadapan. Cermin mata yang melorot dibetulkan.

Bas riuh dengan derai tawa mereka yang ada.

Mendengar suara yang bergema, Amir Firdaus tersentak dari tidur. Dia mengelap air liur yang terkeluar sedikit di hujung bibir.

"Amir Firdaus! Dah nak hilang suara saya panggil nama awak! Awak sedap berdengkur di belakang tu ya?!" Wanita bercermin mata itu bersuara lantang.

"Maaf Puan Sim." Pelajar bernama Amir Firdaus itu tampak gelabah. Derai tawa pelajar-pelajar di dalam bas membuatkan dia terasa kelam-kabut.

"Kenapa kau tak kejut aku tadi, Rama?" Amir Firdaus menampar bahu rakan yang duduk di depannya.

"Mana aku perasan kau tengah lena. Puan Sim panggil nama kau baru aku perasan. Takkan kau nak salahkan aku sorang saja. Idham pun sama." Pelajar yang bernama Ramachandran itu menyahut.

"Eh, jangan nak libatkan aku pulak!" Idham yang duduk di sebelah Ramachandran masih tergelak dengan nasib malang Amir.

Amir Firdaus memerosokkan badannya ke bawah kerusi di depan. Sekurang-kurangnya dia boleh 'menghilangkan diri' buat seketika dalam derai tawa yang gamat di dalam bas.

'Aduh... malu betul aku dibuatnya!' Amir Fidaus menggerutu dengan peristiwa yang berlaku sebentar tadi.

"Engkau ni tak habis-habis buat perangai lah Amir. Sebab tu kau selalu kena buli di kolej." Idham bersuara selepas tawanya sudah tidak bersisa.

"Betul kata Idham tu. Cubalah senonoh sikit perangai kau tu. Barulah budak lain respect dengan kau. Aku tengok muka kau selamba je kena buli. Aku dengan Idham yang beria-ia bela kau. Sampai bila Amir? Kami pun dah penat asyik nak ambil tahu hal kau." Rama pula menjawab, seperti memprotes.

"Macam ni ke kawan?" Rungut Amir.

"Sebab kawanlah aku tegur macam ni. Kalau tak aku biarkan aje. Lantak kau lah!" Jawab Rama. Idham mengangguk.

Amir memejamkan mata mendengar kata-kata Rama sambil berpura-pura tidur. Sememangnya ada kebenaran dalam kata-kata itu, namun dia sendiri telah buntu dengan sikapnya sendiri. Dia sendiri telah bosan menjadi bahan buli pelajar-pelajar lain, tetapi bukan mudah untuk berubah.

'Mungkin aku kena tunggu sesuatu yang akan mengubah hidup aku ni.' Amir menyedapkan hati yang terguris dengan kata-kata Rama.

***

Perjalanan menuju ke Makmal Gen-X umpama perjalanan di tengah-tengah kawasan gurun yang tandus, jauh dari tamadun manusia. Lokasi yang terletak di pinggir hutan Pahang itu telah menjadi buah mulut ramai tentang kecanggihan teknologi yang dihasilkan.

Makmal Gen-X terletak beberapa kilometer dari kawasan Kawah Maut. Makmal itu beroperasi dengan aktif selepas tercetusnya perang kecil yang melibatkan Malaysia dan Amerika satu ketika dulu.

Tujuan utama makmal itu diwujudkan adalah untuk mengkaji kesan bom nuklear yang melibatkan berpuluh ribu penduduk tempatan. Ada yang terkorban dan ada yang terpaksa berpindah. Kejadian ngeri itu telah mengorbankan nyawa ramai manusia dan memusnahkan kawasan hutan simpan yang suatu masa dahulu begitu jauh daripada pencemaran. Kejadian itu masih menghantui rakyat Malaysia yang selama ini hidup dalam keadaan aman dan damai.

Makmal Gen-X membuat kajian tentang kesan radiasi nuklear ke atas DNA manusia. Tempat itu telah menjadi satu fenomena apabila ia berjaya dalam pelbagai kajian cross-DNA melibatkan pelbagai spesis haiwan dan tumbuhan.

Rombongan Kolej Asia Tech tiba lebih kurang jam sebelas pagi.

"Sila beri perhatian semua." Suara Puan Sim memberi arahan kepada pelajar yang teruja melihat kecanggihan bangunan Makmal Gen-X.

Kelihatan dua buah bangunan yang berbentuk seperti bebola Kristal gergasi yang dibentuk dengan kerangka besi dengan gentian kaca meliputi seluruh bentuk itu. Di belakang bebola kaca itu adalah bangunan utama makmal kajian Gen-X.

"Puan Sim!" suara Amir dari belakang.

"Saya mahu semua pelajar berkumpul...," suara Puan Sim lantang tanpa mengendahkan panggilan Amir.

"Puan Sim!"

"Ada apa Amir?! Saya tengah bercakap ni!" Wanita itu rasa terganggu.

"Saya tak tahan ni. Nak terkencing." Amir mengerutkan dahi sambil mengepit peha. Aksinya mengundang derai tawa yang bergema di dalam bas.

Puan Sim mendengus sambil menggeleng. "Kamu ni tak habis-habis buat hal Amir! Tak boleh tunggu ke?"

"Tak boleh puan. Saya takut nanti...," Kerut dahi Amir semakin ketara.

"Pergilah cepat! Hish! Tunggu kami di lobi nanti." Puan Sim terpaksa mengalah.

Tanpa mengendahkan tawa dan usikan rakan-rakan lain, Amir meluru keluar meninggalkan bas.

Idham dan Rama saling berpandangan. Kemudian Idham menggeleng. Rama menundukkan kepala dengan tawa rakan-rakan lain yang masih bergema.

***

Amir berlari menuju ke meja penyambut tetamu di lobi.

"Cik, boleh saya tumpang tandas. Saya dah tak tahan ni." Amir bersuara tanpa rasa malu. Baginya itu tidaklah memalukan sangat jika dibandingkan dengan 'kemalangan' sekiranya dia lambat ke tandas.

"Tandas pelawat ada di belakang bangunan. Keluar ikut pintu, kemudian terus pusing ke belakang ikut sebelah kanan." Jawab penyambut tetamu wanita yang ada di situ.

"Jauh tu cik. Tak ada yang dekat ke?"

"Ada, tapi itu untuk staf."

"Tolonglah cik. Saya dah tak tahan sangat ni."

Wanita itu kelihatan serba salah. Namun setelah berfikir sejenak dia bersuara, "Ikut saya."

Setibanya di hujung koridor, wanita itu membuka pintu setelah mengimbas kad ID. "Dah selesai nanti terus keluar." Pesan wanita itu.

Amir hanya mengangguk dalam keresahan. Kesabarannya sudah tiba di penghujung. Sebaik sahaja dia dapat meredakan kesesakan ini, wajahnya menampakkan kelegaan yang jelas tergambar.

'Fuh! Nasib baiklah perempuan tu baik hati izinkan aku gunakan bilik air ni. Kalau tak, entah apalah yang dah jadi.' Amir melayan perasaan sambil menyelesaikan urusannya.

Sejurus itu dia terdengar pintu bilik air dibuka. Kedengaran tapak kaki bersama suara orang berbual.

"Mike, macam mana aku nak masuk bilik makmal tu? Aku dah lupa." Suara lelaki pertama.

"Jeff, kalau Byron tahu kau masih tak ingat, aku rasa kau memang tak lama kerja di sini." Suara lelaki kedua bernama Mike.

"Tolonglah Mike. Ini kali terakhir aku tanya." Kata Jeff.

"Okey, lepas ni jangan tanya aku lagi, tau. Kau pergi bilik dengan tulisan Restricted Access. Lepas tu...," Suara lelaki bernama Mike terhenti. Amir mengagak mungkin dia sedang memastikan tiada sesiapa di situ. "... kau tekan kod akses 747212. Kau boleh ingat tak? 747212. Jangan lupa, tak semua staf boleh masuk ke situ. Hanya yang berkenaan saja."

'Takkan dia tak perasan pintu tandas ni berkunci?' Amir cuba membuat deduksi sendiri.

Setelah kedua-dua lelaki itu meninggalkan bilik air, Amir menjengah keluar. Dia ingin memastikan tiada sesiapa lagi yang ada di situ.

Setelah membasuh tangan di sinki, Amir meninggalkan bilik air. Dalam perjalanan keluar dari koridor itu, dia terpandang pintu dengan tulisan Restricted Access. Hatinya meruntun untuk mencuba apa yang dia dengar tadi.

'Kalau aku kena tangkap macam mana? Bahaya!' Sisi berhati-hati Amir cuba menghalangnya.

'Alah, siapa yang tahu pun? Aku jengah sekejap lepas tu keluarlah.' Sisi berani Amir cuba memujuknya.

Setelah memastikan tiada sesiapa yang tahu kehadirannya, Amir menaikkan hud jeket yang dipakai. Kemudian dia menekan kod akses seperti yang dia dengar tadi. '747...212.'

Lampu merah di pintu bertukar hijau. Dengan bunyi isyarat, pintu itu terbuka. Setelah melihat ke kiri dan kanan, Amir masuk dan menutup semua pintu. Laluan koridor serba putih itu begitu dingin, seperti peti sejuk. Ada tangga curam yang membawa Amir ke satu lagi koridor yang sama seperti tadi. Kedinginan menyebabkan Amir menarik zip jaket yang dipakai hingga ke atas.

'Kenapa aku berani sangat buat kerja gila ni?' Amir menyelar dirinya sendiri.

Dia terus melangkah dengan berhati-hati. Di penghujung laluan itu ada ruang terbuka yang hanya ditabirkan dengan jaluran plastik atau getah tebal lutsinar.

Di dalam ruang seperti gudang bersuhu rendah itu terdapat beberapa silinder kaca yang tinggi. Alat itu disambung ke panel kawalan yang kelihatan agak kompleks.

Apa yang mengejutkan Amir adalah lembaga yang ada di dalam silinder itu. Ada yang memiliki ciri-ciri manusia yang sempurna. Namun ada juga yang memiliki ciri-ciri fizikal yang belum pernah dia lihat. Seolah-olah mereka digabungkan dengan elemen lain. Ada yang kelihatan berbulu seperti singa. Ada juga yang kelihatan berkulit seperti pokok kayu.

Amir sedar kesilapannya masuk ke kawasan larangan itu. Dengan segera dia meninggalkan tempat itu. Sebelum tiba di lobi, dia menanggalkan jeket yang dipakai dengan harapan dia tidak dapat dikesan oleh kamera litar tertutup.

"Kenapa lama sangat? Profesor Borhan dah tunggu awak dan ahli rombongan lain di makmal. Nah, ini kad pelawat awak." Suara wanita yang ada di meja penyambut tetamu. Sekeping kad putih bersalut plastik bertali biru diserahkan kepada Amir. Amir menyarungkannya ke leher.

"Terima kasih," suara Amir sambil tersenyum ketika dia meninggalkan lobi. Rasa lega memenuhi dada.

'Harap-harap tak ada yang perasan aku masuk ke makmal tu. Tapi apa sebenarnya kajian yang dibuat di sini?' Kemusykilan mula menular di hati Amir.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku