MUTASI GEN-X
BAB 2
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novelet
Paparan sejak 30 November 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
783

Bacaan






"Awak ke mana Amir? Awak tahu tak? Disebabkan awak rancangan kita dah tergendala!" Sergah Puan Sim sebaik sahaja dia ternampak Amir.

"Saya minta maaf Puan Sim. Saya tersesat tadi." Amir tunduk sambil memberi alasan.

"Awak memang. Dalam sekolah sendiri pun boleh sesat. Ini kan pula di tempat asing." Sindir guru pengiring rombongan itu.

Amir menyertai rombongan kolejnya yang dipandu oleh seorang saintis di makmal.

"Helo. Selamat pagi semua. Saya Profesor Borhan, ketua saintis di makmal ini. Siapa tahu apa yang dilakukan di tempat ini? Ada sesiapa yang boleh jawab?" Suara lelaki berkaca mata dalam lingkungan empat puluhan yang memakai kot makmal berwarna putih.

Amir hanya berdiam diri.

"Makmal ini menjalankan ujikaji cross-DNA di mana spesis pelbagai haiwan digabungkan untuk menjadi spesis baru." Jawab Mandy Lee dengan gaya skema bersama pelat Cina yang ketara. Sememangnya Mandy pelajar yang terpintar di dalam kelas Biologi.

"Selain itu, ada sesiapa lagi yang tahu?" Tanya Profesor Borhan.

Suasana sepi seketika. Amir masih berdiam diri.

"Baiklah, kalau tak ada sesiapa yang tahu, saya bagi petunjuk. Bagaimana sesumpah atau chameleon mampu menukar warna tubuhnya mengikut keadaan sekeliling?"

Pertanyaan Profesor Borhan masih belum dijawab, sehinggalah Mandy bersuara lagi.

"Melalui kawalan minda. Ia memilih bila dan warna apa yang ingin dipilih berdasarkan maklumat yang dihantar dari otaknya. Mungkin." Mandy masih ragu-ragu.

"Tepat sekali. Dan itulah jawapannya. Kawalan minda adalah ujikaji yang dilakukan di sini juga. Dengan kawalan minda kita boleh melakukan pelbagai perkara yang luar biasa, seperti telepathi, levitasi, berjalan atas air, dan mengawal fungsi tubuh badan kita. Contohnya suhu dan pernafasan. Sama seperti ahli silap mata."

"Bagaimana ujikaji kawalan minda boleh dijalankan?" Mandy bertanya.

"Di Makmal Gen-X, kita ada teknologi yang boleh mengkaji fungsi otak dengan mendalam. Setiap bahagian otak ada route masing-masing dengan pelbagai fungsi yang berlainan. Teknologi ini mampu mengenal pasti setiap fungsi itu dan cuba mengakses setiap tindakan yang selama ini dilakukan di bawah sedar oleh setiap hidupan. Kemampuan mengawal fungsi ini membolehkan sesuatu organisma melakukan perkara yang luarbiasa."

Perhatian pelajar sudah berbelah bagi. Ada yang sudah menunjukkan reaksi bosan dengan menguap dan berbual sesama sendiri. Hanya beberapa kerat yang masih memberikan tumpuan penuh, termasuk Mandy dan Amir.

"Adakah ujikaji ini dilakukan ke atas manusia juga di Gen-X?" Amir mengajukan soalan celupar tanpa menyedari implikasi soalannya.

Profesor Borhan terdiam dan merenung tajam wajah Amir. Kemudian dia tersenyum.

"Tidak mungkin. Manusia sepatutnya kekal sebagai spesis dominan dengan ciri-ciri seadanya . Berlainan dengan haiwan dan tumbuhan, kewujudan spesis baru mungkin lebih baik untuk kita."

Amir tidak bertanya lagi setelah melihat perubahan air muka Profesor Borhan. Dia juga khuatir sekiranya rahsianya menceroboh makmal rahsia itu terbongkar.

"Okey, kita akan pergi melihat beberapa spesis baru haiwan yang melalui proses cross-DNA. Kalau saya bercakap lebih panjang, nanti ada pulak yang tertidur kebosanan." Profesor Borhan mengakhiri taklimat dan mereka menuju ke ruangan kubah kaca yang kelihatan seperti bebola kristal gergasi.

Pelbagai jenis spesis haiwan ada di situ termasuk dari golongan mamalia, reptilia, unggas, serangga, krustasia dan amfibia. Terdapat juga haiwan yang terhasil daripada gabungan dua kelas yang berbeza. Contohnya kucing yang memiliki kepak seperti burung. Juga, monyet yang boleh berenang di dalam air seperti ikan. Ada juga burung yang mampu menangkap mangsa dengan lidah yang panjang seperti katak.

Rasa takjub jelas kelihatan di wajah para pelajar termasuk Puan Sim. Fenomena yang sukar digambarkan itu boleh menjadi kenyataan.

"Apa contoh haiwan yang mampu mengaplikasi teknologi kawalan minda?" Soal Mandy.

Profesor Borhan tidak menjawab. Sebaliknya dia membawa mereka ke sebuah habitat istimewa. Tiada haiwan di situ. Yang ada hanya beberapa bongkah batu dengan rupa yang serupa.

"Mana haiwannya profesor?" Tanya seorang pelajar.

Profesor menghubungi seseorang melalui fungsi telefon yang ada di jam tangan Rolex miliknya. Sejurus itu, pekerja di makmal membawa makanan ke dalam kurungan itu. Dengan serta-merta bongkah batu itu bertukar menjadi spesis badak sumbu.

Kedengaran riuh suara takjub rombongan kolej yang hadir. Fenomena itu tidak pernah terlintas di fikiran mereka.

"Dengan fungsi kawalan minda, badak sumbu air yang telah diubah suai DNA-nya bersama elemen berunsur tanah ataupun batu mampu menukar keadaannya menjadi kelihatan seperti batu. Sama seperti sesumpah yang menukar warna di tubuhnya."

"Menakjubkan," suara lirih Amir.

Selesai lawatan ke habitat pelbagai spesis hidupan yang baru, mereka dibawa ke kafeteria untuk makan tengah hari. Semasa menuju ke sana, Amir sempat melihat Profesor Borhan yang menerima panggilan. Kemudian dia beredar untuk menjawab panggilan. Amir terasa curiga apabila Profesor Borhan asyik memerhatikan wajahnya selepas menerima panggilan itu.

'Alamak. Jangan-jangan dia dah tahu.' Amir keresahan.

***

Selesai lawatan dan makan tengah hari, Amir meluru ke dalam bas bersama Idham dan Rama.

"Kenapa kau ni Amir? Macam nampak hantu aje?" Idham perasan perubahan sikap rakannya.

"Kau takut dengan siapa?" Rama menambah.

"Tak ada apa-apa. Cuma aku rasa tak sedap badan. Macam nak demam." Amir berdalih.

Tidak berapa lama kemudian, bas sudah mula dipenuhi penumpang. Setelah cukup bilangan ahli rombongan, bas pun mula bergerak.

'Fuh! Lega...,' Amir bersandar dengan relaks. Rasa cemas sudah mula sirna bersama suhu bas yang semakin dingin.

Perasaan tenang dan damai itu membolehkan Amir dijemput lena yang datang bertamu.

***

Amir dikejutkan oleh keadaan bas yang terhoyong-hayang. Bas begitu riuh dengan suara cemas pelajar perempuan yang ketakutan. Setelah terkeluar dari kawasan jalan raya, bas terhumban ke kawasan pinggir hutan.

Bas yang terbaring pada satu sisi menyebabkan ramai penumpang yang tercedera. Ada juga yang tersepit dan tidak sedarkan siri.

Amir mengalami pendarahan di kepala. Hentakan ke dinding gentian kaca lutsinar bas menyebabkan dia hilang pertimbangan buat seketika. Namun dia masih mampu memanjat keluar tingkap dan meninggalkan bas.

Tindakan spontan itu kemudiannya membuatkan Amir menyesal.

'Aku selamatkan diri aku tapi aku tak tolong rakan-rakan lain.' Fikir Amir.

Dia lantas cuba berdiri dengan tubuh yang lemah untuk menghampiri bas semula.

Ketika itu dia terlihat satu rombongan pasukan beruniform dengan motosikal dan kenderaan yang canggih. Sejenis gas berkabus disemburkan dan kawasan itu kelihatan putih seperti terkena semburan mencegah nyamuk Aedes.

Amir berselindung di sebalik pokok liar yang tumbuh merimbun. Dia memerhatikan pasukan beruniform pelik yang belum pernah dilihat sebelum ini.

'Apa yang mereka cari?' Hati Amir terdetik.

Amir memerhatikan bagaimana mereka menyelamatkan setiap yang ada di dalam bas termasuk pemandu yang sudah tidak sedarkan diri. Mereka mengecam setiap yang ada tetapi mereka masih tercari-cari, seperti ada yang tidak kena.

"Mereka cari aku ke?" Amir mula rasa bersalah. Mungkin dialah penyebab bas itu mengalami kemalangan yang disengajakan, setelah dia membongkar rahsia makmal sulit yang membuat ujikaji ke atas spesis manusia.

Amir berkira-kira untuk lari ke dalam hutan sebelum mereka menyedari kehadirannya. Namun baru beberapa langkah dia meninggalkan tempat itu, kedengaran suara di belakangnya.

"Itu dia! Dia lari ke hutan!"

Tanpa berlengah Amir memecut tanpa mengendahkan apa yang berlaku di belakang. Yang kedengaran hanya derap langkah yang pantas dan bunyi enjin yang semakin hampir dan nyaring.

Rasa cemas mula menular. Amir sedar bukan mudah untuk dia lolos daripada pasukan sebesar itu. Tambahan pula mereka dilengkapi dengan kenderaan yang dapat mengatasi kelajuan berlari.

Amir tiba di kawasan berbatu yang curam. Terlalu sukar untuk bersembunyi dalam keadaan begitu. Dia pasti akan dikesan dari jauh.

Derap langkah dan bunyi enjin semakin hampir. Hanya beberapa meter di belakang Amir. Amir pasrah. Mungkin dia akan menjadi tahanan pasukan itu.

'Apa yang mereka nak buat dengan aku? Jangan-jangan aku pun akan jadi mangsa ujikaji.' Tubuh Amir menggigil apabila memikirkan perkara itu.

Tiba-tiba tangannya disentap dengan lembut. Seorang gadis memakai jeket berkelubung. Sejurus itu gadis itu menanggalkan kelubung yang dipakai, menampakkan pakaian senyawa yang meliputi seluruh tubuhnya. Amir cuba mengalihkan pandangan agar tidak disalah sangka oleh gadis itu.

"Siapa awak?" Amir ingin tahu dalam keadaan kalut itu.

"Shhh...," gadis itu memberi isyarat kepada Amir. Dia menolak Amir ke bawah. Seperti mengerti, Amir membongkok di celah batu, walaupun dia sedar itu bukan tempat yang sesuai untuk bersembunyi. Mereka boleh dicam dari jauh. Namun dia akur.

Sejurus itu gadis itu mengepung tubuh Amir. Amir hampir terlopong apabila melihat gadis itu berubah. Rupanya sama seperti batu-batu yang ada di situ.

"Diam kalau nak selamat." Bisikan lirih gadis itu apabila derap langkah dan bunyi enjin motosikal semakin hampir.

Degupan jantung Amir begitu kencang kerana banyak sebab. Kerana berlari terlalu laju tadi, dia tercungap-cungap. Kemudian dia memikirkan nasib sekiranya menjadi tahanan pemburunya. Namun sebab utama adalah kerana berada terlalu hampir dengan gadis yang jelita itu. Yang kini memiliki rupa yang menggerunkan seperti batu.

Beberapa minit berlalu dan anggota pasukan itu berlegar-legar di kawasan berhampiran tempat Amir bersembunyi. Namun mereka tidak dapat mengesan Amir dan gadis misteri yang kelihatan seperti batu. Kemudian mereka berlalu dengan hampa.

Setelah pasti keadaan selamat, gadis itu bertukar kepada bentuk asal dengan wajah yang ayu. Amir berdiri sambil mencuri pandang melihat susuk tubuh gadis itu sebelum dia berkelubung semula.

"Saya Kamelia," gadis itu bersuara.

"Saya Amir. Amir Firdaus." Amir membersihkan tubuh yang diliputi tanah semasa bersembunyi tadi. "Awak mutan?"

Gadis itu mengangguk. "Awak?"

"Tak," jawab Amir ringkas.

"Kenapa mereka cari awak?"

"Entahlah. Saya rasa mereka syak saya tahu maklumat sulit tentang Makmal Gen-X."

"Maklumat apa?"

"Saya terjumpa makmal rahsia. Ada mutan di dalamnya. Saya curi masuk lepas terdengar perbualan tentang cara masuk ke situ dalam tandas."

"Berani betul awak ni. Mari kita pergi jumpa geng saya."

"Maksud awak... ada ramai lagi mutan macam awak?" Amir teragak-agak.

"Kenapa? Awak takut?" Kamelia tersenyum.

"Eh, taklah. Cuma...saya ni penyegan sikit." Dalih Amir. Hakikatnya dia belum bersedia melihat manusia yang kelihatan pelik seperti Kamelia.

"Awak bersembunyi dalam hutan?" Tanya Amir.

Kamelia mengangguk. "Awak pernah dengar tentang Kawah Maut?"

"Ada. Tempat ledakan nuklear lepas serangan Amerika dulu kan? Tak bahaya ke?"

"Itu dulu. Sekarang kawasan tu dah selamat. Tapi ramai yang takut nak datang balik ke sana. Namanya pun Kawah Maut." Ada nada berseloroh dalam kata-kata Kamelia.

"Kamelia... sedap nama tu." Amir sudah dapat menyesuaikan diri dengan kawan barunya.

"Itu bukan nama saya yang sebenar. Itu nama gelaran kepada mutan seperti saya. Macam chameleon atau sesumpah." Gadis itu menerangkan.

"Oh... baru saya faham. Nama awak yang sebenar?"

"Karmila. Memang hampir sama kan? Secara kebetulan." Senyuman gadis itu cukup menarik minat Amir.

"Dah lama awak jadi mutan?" Amir semakin berminat mengetahui latar gadis itu.

"Dah lama juga. Saya anak yatim piatu yang diambil oleh Byron. Saya dibela dengan kemewahan. Tapi saya tak sangka dia akan gunakan saya untuk ujikaji seperti ini. Sekarang saya tak boleh hidup macam manusia biasa lagi." Ada nada hampa dalam kata-kata Kamelia.

"Kasihan awak. Byron? Siapa tu?" Amir cuba menunjukkan rasa simpati. Namun hakikatnya dia kagum dengan kebolehan luar biasa gadis itu.

'Kalau aku ada kuasa macam tu, tentu hebat!' Amir melayan angan-angannya dalam hati.

"Byron adalah pengasas Gen-X. Dia bercita-cita untuk menubuhkan pasukan askar elitnya sendiri. Untuk meluaskan pengaruh dan kuasanya. Mungkin ke seluruh dunia. Macam watak antagonis dalam cerita filem. Yang ingin menakluki dunia." Terang Kamelia.

"Macam mana awak dan yang lain boleh lepas?" Tanya Amir.

"Sistem sekuriti Gen-X berdasarkan trial and error. Byron terlepas pandang kebolehan kami. Sebab tu saya dan yang lain dapat lepaskan diri. Zombion dan Aquilar yang rancang semua ni. Saya, Halim dan Seri Dewi adalah yang bernasib baik dapat lepas. Ramai lagi yang lain masih terperangkap dalam cengkaman Byron."

Penerangan Kamelia menimbulkan pelbagai emosi dalam diri Amir. Nama-nama itu cukup menguja Amir untuk tahu kebolehan masing-masing. Nama Halim membuatkan Amir tertanya-tanya kebolehan lelaki itu yang tidak digambarkan oleh nama yang biasa-biasa sahaja. Seri Dewi seperti nama zaman purba, mengingatkan kepada gelaran Seri Dewi Malam.

'Tak sabar rasanya aku nak jumpa mereka semua.' Bisik hati Amir sambil mereka terus menapak di denai yang menuju jauh ke dalam hutan. Untuk menuju ke tempat persembunyian di Kawah Maut.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku