MUTASI GEN-X
BAB 4
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novelet
Paparan sejak 30 November 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
665

Bacaan






Amir diganggu mimpi yang buruk.

Dia bermimpi dia memiliki kuasa luarbiasa dengan tubuh bersaiz seperti bangunan. Dia sedang mengejar semua orang yang pernah menyusahkan dirinya, termasuk pembuli dan mereka yang selalu mengejeknya di kolej. Tanpa belas kasihan manusia-manusia malang itu dipijak sesuka hati. Yang tinggal hanya tompokan daging dan darah di tempat dia berpijak.

Amir tercungap-cungap selepas sedar daripada mimpi itu. Peluh dingin memercik di dahi dan mengalir di balik baju yang dipakai.

Sejurus itu Aquilar tercongok di depannya.

"Kau bermimpi buruk?" Aquilar tersenyum.

Amir bingkas bangun, cuba menepis memori tentang mimpi yang menggerunkan itu.

"Kalau kau dah sedia, kita pergi sekarang." Ujar Aquilar sebelum beredar.

Buat pertama kali Amir dapat melihat kepak Aquilar sepenuhnya. Rupanya hampir sama seperti kepak kelawar, cuma kerangkanya lebih tegap seperti tulang manusia. Sayapnya seperti baldu berwarna hitam. Ia dilipat seperti payung yag kuncup. Melihat rupa Aquilar sudah cukup menimbulkan rasa gerun dan takjub pada masa yang sama.

'Macam mana kami nak ke sana? Berjalan dalam keadaan gelap gelita? Takkan Aquilar nak terbang dan aku berjalan?' Pelbagai persoalan menujah benak Amir.

"Kau pernah naik kuda?" Soalan Aquilar membuatkan Amir terpinga-pinga.

"Tak."

"Kapal terbang?"

"Belum." Amir semakin hairan.

"Malam ni kau akan rasa kedua-duanya sekali." Senyuman Aquilar sinis.

"Hah?!" Amir tidak faham.

"Kita akan terbang ke Gen-X." Kata-kata Aquilar menyebabkan Amir rasa kecut perut.

"Kau... nak aku naik atas belakang kau?" Amir terasa lututnya mula menggigil.

"Kau berani tak?"

"Be... berani." Amir rasa tercabar walaupun rasa cemas mula menular.

"Jangan risau. Aku tak akan terbang laju. Asalkan kau berpaut kuat pada leher aku. Tapi jangan sampai aku tercekik. Kalau tak, aku sendiri yang akan humban kau." Kata-kata gurauan Aquilar berbau ugutan.

"Aquilar, jangan takut-takutkan budak tu!" Zombion mencelah.

Aquilar hanya ketawa kecil.

"Pastikan kau cari jalan terbaik untuk kita lepas sistem sekuriti Gen-X." Pesan Zombion.

"Aku bukan budak kecil lagi. Aku tahu apa yang nak dilakukan. Kalau kau tak percayakan aku, kau boleh pergi sendiri." Aquilar rasa terganggu dengan kata-kata Zombion.

Zombion tidak menjawab. Sebaliknya dia hanya memerhatikan Amir yang terkial-kial mendapatkan posisi yang sesuai bertenggek di belakang lelaki dengan kepak gergasi itu.

"Sudah sedia?" Tanya Aquilar sambil berpaling melihat Amir di belakangnya.

"Dah." Jawab Amir. Tidak putus-putus dia berdoa supaya tidak terlepas dari belakang Aquilar.

Aquilar beraksi seperti melompat diikuti libasan kepaknya dan mereka berdua sudah berada beberapa meter di atas tanah. Angin menampar dingin wajah Amir ketika dia memerhatikan pepohon dan bangunan yang mereka tinggalkan di belakang. Rasa seriau perlahan-lahan hilang apabila dia sudah mula serasi dengan keadaan itu. Rasa teruja pula menguasai.

'Tak pernah seumur hidup aku terfikir akan dapat terbang seperti ini.' Amir memperkemaskan pautan di pangkal bahu Aquilar. Dia cula mengelakkan berpaut di leher Aquilar yang akan menyukarkan Aquilar untuk bernafas.

Libasan kepak Aquilar hanya dapat didengar dan dirasa dalam keadaan malam yang gelap pekat itu.

"Kau boleh nampak dalam gelap?" Soalan Amir naif.

"Kau tak belajar biologi. Kelawar boleh lihat dengan baik pada waktu malam. Ciri-ciri itu ada pada aku. Begitu juga pendengaran aku. Jangan cuba nak mengumpat aku." Aquilar berseloroh.

"Apa kisah silam kau?" Amir memberanikan diri bertanya.

"Aku adalah tentera semasa perang Malaysia-Amerika. Aku berpihak di sebelah Amerika. Aku berasal dari Filipina, sekutu Amerika. Datuk aku berasal dari Malaysia. Sebab tu aku boleh berbahasa Melayu."

Kata-kata Aquilar menjawab kemusykilan Amir tentang rupa Latino Aquilar.

"Macam mana kau boleh jadi macam ni?" Amir ingin tahu lebih lanjut.

"Aku dan adik aku Miguel dalam pasukan yang sama. Kami tertangkap masa serang hendap di Hutan Pahang. Kami dihantar ke Gen-X sebagai bahan ujikaji."

"Bila kali terakhir kau nampak adik kau?"

"Masa kami dibawa ke Gen-X. Selepas kami dikuarantin aku tak tahu apa yang dah terjadi pada dia."

"Aku harap adik kau selamat." Amir cuba mengambil hati.

"Apa kau buat di Gen-X? Macam mana kau dapat akses ke makmal rahsia tu?" Tanya Aquilar.

"Aku ikut rombongan kolej yang mengkaji tentang teknologi cross-DNA ke atas haiwan. Aku guna tandas staf sebab dah tak tahan. Aku pun hairan macam mana tak ada yang perasan aku ada dalam tandas tu. Kau rasa ini semua satu konspirasi?" Amir curiga.

"Entahlah. Mungkin juga. Tapi aku kenal sangat dengan Byron. Dia memang nak kami semua pulang ke Gen-X semula. Tak mustahil kalau ini adalah taktik dia."

Amir terdiam.

"Aku rasa dia tahu kami tak akan selamat di luar Gen-X. Sama ada kami balik melutut kepada dia, atau kami akan ditawan oleh agensi kerajaan sebagai bahan ujikaji." Sambung Aquilar.

"Kau pernah jumpa Byron?"

"Tak. Aku pernah dengar suara dia saja. Yang aku tahu dia tu tamak kuasa. Makmal Gen-X adalah sekadar alasan saja. Dia berselindung di sebalik kajian Cross-DNA untuk mencapai matlamatnya sendiri. Dia nak hasilkan bala tentera mutan untuk meluaskan jajahan takluknya. Mungkin juga untuk menakluki dunia seperti watak jahat dalam kisah fantasi. Cuma kali ini kisah fantasi telah menjadi realiti." Panjang lebar penerangan Aquilar.

Mereka sudah mula nampak cahaya yang menerangi kawasan Makmal Gen-X. Semakin lama semakin jelas bangunan di kawasan itu.

"Di mana makmal rahsia tu?" Tanya Aquilar setelah mereka bertenggek di kawasan berbukit tidak jauh dari makmal.

"Selepas masuk dari pintu depan, kena ikut laluan panjang di koridor sebelah kiri. Tempat tu hampir dengan hujung koridor."

"Sekuriti agak ketat. Kita tak boleh ikut laluan biasa. Aku rasa aku tahu jalan rahsia untuk ke sana." Ujar Aquilar.

"Macam mana?"

"Masa aku masih di Gen-X aku ada terdengar tentang terowong rahsia yang digunakan Byron untuk keluar dari kawasan ini tanpa pengetahuan umum. Tapi aku tak pasti kalau terowong itu masih boleh digunakan. Kalau boleh pun mungkin juga kawalan sekuritinya ketat. Jom."

Amir segera bertenggek di belakang Aquilar dan selepas menjunam turun, Aquilar meluncur naik seperti layang-layang ditiup angin kencang. Rasa gayat meresap di dada Amir ketika Aquilar meluncur laju.

Mereka mendarat di sebuah kawasan tinggi yang berbatu. Amir kehairanan. Dia menyangka kawasan yang dimaksudkan Aquilar adalah di lereng bukit, bukan di kawasan tinggi seperti ini. Namun dia hanya berdiam diri.

Di tengah-tengah kawasan berbatu itu ada sebuah rekahan yang agak besar. Sukar untuk Amir memerhatikan kawasan sekeliling dengan jelas. Dia hanya dapat mengagak dengan cahaya bulan yang samar-samar. Lereng bukit yang berbatu itu agak curam, menyukarkan untuk sesiapa mendakinya kecuali melalui udara.

Ada cahaya dari dalam rekahan itu. Aquilar dan Amir mengintai ke dalam. Kawasan itu seperti landasan pesawat udara. Tiada pengawal yang berjaga di kawasan itu. Ini memudahkan mereka berdua menjalankan intipan selanjutnya. Aquilar meluncur ke kawasan yang terlindung di bawah.

Setelah memastikan tiada yang sedar kehadiran mereka berdua, Aquilar bersuara. "Ada lubang udara dari terowong ke bangunan utama. Kita cuba ikut laluan tu."

Ruang sempit itu cukup selesa bagi Amir. Tetapi Aquilar terpaksa menguncupkan kepaknya seketat mungkin dan dia terpaksa berhati-hati. Deruman enjin bergema di terowong udara itu. Mungkin bunyi pendingin hawa berkuasa industri yang beroperasi untuk seluruh kawasan makmal.

Melalui lubang udara itu, mereka boleh melihat ke bawah menerusi jaringan udara. Setelah agak jauh merangkak, Amir dapat melihat koridor dengan pintu bertanda restricted access.

"Kita turun?" Amir berbisik, cuba mengagak langkah seterusnya.

"Tak payah. Kita patah balik." Jawapan Aquilar cukup difahami oleh Amir. Intipan mereka berakhir setakat itu.

Aquilar mendahului Amir. Daya pengesannya mampu memastikan tiada sesiapa yang menyedari kehadiran mereka di situ. Tiada apa-apa yang berlaku sehinggalah mereka meninggalkan terowong udara.

Dengan berhati-hati mereka menuju ke kawasan rekahan dari bukaan lubang udara. Kali ini ada dua orang pengawal yang berada di kawasan landasan. Mereka terpaksa bersembunyi di sebalik mesin yang ada di situ yang terlindung daripada cahaya.

Setelah pasti kedua pengawal itu telah beredar, Amir mengekori Aquilar yang bergerak pantas menuju rekahan.

Sebuah objek menarik perhatian Amir. Sebuah bebola kristal membiaskan cahaya akuamarin yang cukup memukau terletak di atas lantai berhampiran sebuah mesin. Aquilar sudah berada agak jauh di hadapan Amir menyebabkan Amir teragak-agak untuk mengambil bebola itu. Akhirnya dengan tindakan spontan dia mencapai kristal sebesar bola pingpong itu dan dimasukkan ke dalam kocek tanpa pengetahuan Aquilar.

Amir mempercepatkan langkah di belakang Aquilar. Mereka meluncur keluar dari kawasan rekahan itu tanpa sebarang masalah. Sekurang-kurangnya mereka tidak menarik perhatian sesiapa yang ada di situ.

Setelah berada jauh dari kawasan makmal, Amir bersuara. "Macam mana kau boleh bertukar menjadi seperti ni?"

"Byron menyuntik aku dengan sejenis cecair. Katanya ia adalah DNA kelawar yang akan diuji ke atas aku. Apa pilihan yang aku ada? Sama ada aku setuju atau aku akan dicampak ke dalam penjara tahanan perang. Aku fikir ini adalah peluang untuk aku bebas. Dan sememangnya aku bebas sekarang. Bebas terbang ke mana-mana. Tapi sedikitpun aku tak sangka rupa aku akan berubah jadi makhluk pelik seperti ni." Jawab Aquilar sambil mereka meredah langit malam yang dingin.

"Kau menyesal?"

"Pada mulanya ya. Tapi sekarang aku sedar, ini adalah kehidupan baru aku. Aku bukan Aquilar yang dulu. Aku adalah Aquilar baru. Manusia kelawar."

"Kau tak ada nama samaran? Macam yang lain?" Amir semakin ingin tahu tentang manusia luar biasa itu.

"Kau fikir semua ada nama samaran? Termasuk Halim? Kau patut berbual dengan mereka dulu." Jawab Aquilar. "Aku pun tak tahu kenapa aku tak ada gelaran. Mungkin sebab nama aku sudah cukup luar biasa. Atau mungkin adiwira yang satu spesis seperti aku sudah wujud. Seperti Batman."

"Atau Keluangman." Amir berseloroh.

Amir terfikir tentang rombongan bas yang datang ke situ bersamanya.

'Apalah agaknya nasib mereka semua? Ah! Yang pastinya aku perlu risaukan tentang nasib aku. Aku sudah jadi orang buruan sekarang. Manusia bukan mutan yang terpaksa hidup bersama sekumpulan mutan.'

Amir melayan fikiran sambil menikmati tamparan angin malam yang dingin di mukanya. Aquilar terus meluncur laju menuju ke tempat persembunyian mereka.


Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
PROLOG | BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku