Muffin untuk Bilal
Bab 15
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 02 Disember 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
771

Bacaan






Bab 15

“Ayahnya, saya rasa tak sedap hatilah,” ujar Puan Zaimah yang termenung di atas buaian di halaman rumahnya. Melihat anak-anak kecil yang bermain kejar-kejar di luar rumah dengan rasa kosong.

“Kenapa? Soal Sabrina? Kamu dah telefon dia?” tanya Encik Latip yang menyedar sejak kebelakangan ini isterinya tidak lekang dengan telefon bimbtnya, menunggu panggilan yang tidak berjawab.

“Sudah. Dia tidak pernah angkat telefon bimbitnya. SMS saya pun tak dibalasnya,” kata Puan Zaimah dengan nada risau. Anak perempuannya tidak pernah begitu. Selalunya dalam seminggu dia akan mnerima panggilan anaknya dalam dua tiga kali. Malah, akan memberitahu jika hendak ke mana-mana dan meninggakan rumah lebih daripada sehari. Sayangnya tidk pada kali ini.

“Rosak agaknya,” kata Encik Latip.

“Tidak. Saya dah ke rumahnya semalam, tak ada orang. Jirannya kata dan seminggu dia tidak nampak Sabrina. Mana dia pergi, bang?” Puan Zaimah seakan hendak menangis.

Encik Latip yang pada mulanya acuh tak acuh sahaja tiba-tiba turut berasa risau.

“Sudahlah tidak bersuami, bukannya sihat sangat, anak lelaki pula lasak. Mana dia bawa pergi anak-anaknya?” Encik Latip menggelengkan kepala.

Apa masalahnya anak perempuanku yang seorang ini? Dia mengusap janggutnya yang memutih. Memandang ke hadapan seperti orang sedang berfikir

“Ke mana dia pergi satu hal, tapi kenapa dia tidak beritahu kita jika hendak ke mana-mana? Macam orang ada masalah saja,” kata Puan Zaimah lagi yang kelihatan resah mengenang anaknya.

“Ini namanya lari dari masalah,” celah suaminya.

“Yalah, tapi masalah apa?” Puan Zaimah tertanya-tanya. Setahunya masalah kerimasan anaknya dengan gangguan Shukor dahulunya sudah selesai. Kini masalah apa lagi? Masalah wangkah?

“Kamu sudah tanya Raudah?” tanya Encik Latip yang tahu gadis itu teman rapat Sabrina.

“Sudah. Dia juga tidak tahu. Malah, dia pun cari Sabrina juga. Dia kan kawan baik anak kita,” Kata Puan Zaimah yang tidak senang duduk. Baju kurung kedah yang dipakainya kelihatan kepam semuram wajahnya. Raudah pula tidak menyatakan hal sebenar pada malam majlis kesyukuran di rumahnya. Baginya, itu hal peribadi Sabrina, jadi Sabrina yang berhak berterus-terang kepada orang tuanya bukannya dirinya.

“Ke mana pula dia pergi. Apa masalahnya? Tidak mungkin kena kejar dengan Along, dia bukannya tidak berduit. Kita pun bukannya tidak bantu dia.” Enck Latip pula gusar. Dia mundar-mandir ke kiri dan kanan.

“Kita lapor polis sajalah bang” kata Puan Zaimah.

“Jangan…! Abang tak rasa dia kena culik, mungkin dia cuma pergi bercuti ke mana-mana untuk menenangkan fikiran,” firasat Encik Latip sambil mengetuk-ketuk dagunya dengan jari.

Puan Zaimah memegang tangan suaminya dan merayu, “Carilah dia bang. Dia satu-satunya anak perempuan kita.” Dia tidak dapat membayangkan bagaimana Sabrina dapat mengawal anak lelaki yang hiperaktif itu selain dari dalam rumah.

“Yalah.. yalah.. nanti abang ikhtiarkan,” balas suaminya yang kini mengurut dahinya sendiri.

“Abang nak ikhtiar bagaimana?” tanya Puan Zaimah, ingin tahu.

“Jangan banyak tanyalah. Nanti saya fikirkan. Yang penting awak sebagai ibu, doa supaya Sabrina dan ank-anaknya selamat dan tergerak hati mahu hubungi kita. Doa ibu itu makbul,” sambungnya lagi.

Puan Zaimah mengangguk. Serentak itu juga dia menadah tangan. Dengan bersungguh dia berdoa,

“Ya Allah Ya tuhanku, yang maha pengabul doa, kumhon selamatkanlah anakku, Sabrina dan cucu-cucuku. Hantarkanlah perkhabaran berita mereka kepadaku dengan segera. Amin…”

“Lebih baik awak buat solat hajat,” tegur suaminya. Puan Zaimah menganguk lalu masuk ke dalam rumah.

@@@@@@

“Banyaknya muzium…” ucap. Sabrina apabila melihat brosur pelancongan negeri Melaka. AdaKompleks Muzium Stadthuys,Muzium Islam Melaka,Muzium Baba dan Nyonya,Muzium Rakyat,Muzium Alor Gajah,Muzium UMNO,Muzium Pemerintahan Demokrasi,Muzium Senibina Malaysia,Muzium Setem Melaka,Muzium Pertanian,Muzium TLDM,Muzium Yang di-Pertua Negeri Melaka,Jenjalan Muzium Mainan (Toy Museum) Melaka dan muzium permainan.

Oleh sebab bercuti sebenarnya untuk menceriakan anak-anak, dia pun memilih untuk melawat muzium permainan. Sekurang-kurangnya, anak-anaknya tidak cepat bosan. Bukankah kanak-kanak sukakan permainan kerana bermain adalah hak mereka.

“Mama, hari ni kita nak ke mana pula?” tanya Humaira yang teruja apabila melihat -lihat gambar-gambar di brosur pelancongan Melaka. Semenjak datang ke sana hanya hari pertama saja mereka berjalan-jalan sakan. Hari kedua Sabrina hanya membawa anak-anaknya menaiki river cruise dan membeli sedikit cenderahati. Itupun dia sudah cukup penat hendak mengawal Daniel. Empat hari berikutnya mereka berperap di dalam bilik kerana Sabrina tiba-tiba demam. Kemudian berjangkit pula kepada anak-anaknya. Sehingga hendak keluar beli makanan pun si ibu tunggal ini tidak larat. Lalu dia hanya memesan makanan hotel untuk mereka anak-beranak. Walaupun mahal, tetapi terpaksa. Tetapi hanya dua hari saja Sabrina bertahan dengan memesan makanan hotel yang ada sijil halal Malaysia itu. Dua hari berikutnya dia terpaksa mengupah seorang pekerja hotel membeli makanan di luar yang harganya lebih munasabah.

Mujur juga TV di dalam hotel itu ada siaran khas kartun. Jadi dapatlah mengurangkan kelasakan Daniel dengan sibuk menonton kartun. Humaira pula banyak menghabiskan masa dengan melukis dan mengaji. Kadang-kadang adiknya diajak sama. Tapi selalunya sebentar saja kerana Daniel memang sukar hendak duduk diam.

Hari ini mereka anak beranak sudah sihat. Sabrina terus membelek brosur pelancongan itu di tangannya.

“Kita ke muzium permainan,” jawab Sabrina akhirnya.

“Muzium permainan? Yeaa!” Humaira melompat riang. Adiknya turut melompat sama apabila melihat kakaknya melompat. Bezanya si kakak melompat spontan di atas lantai tetapi Daniel naik ke atas katil dahulu sebelum melompat. Sabrina tersenyum melihat keletah anak-anaknya.

“Sekarang, bersiap cepat!” kata Sabrina. Humaira lantas menukar pakaian ke sepasang gaun labuh berwarna oren, manakala Sabrina yang menyiapkan Daniel dengan sepasang baju-t berwarna biru.

“Mama, nak tudung,” pinta Humaira.

“Tak payah pakai pun tak apa, kakak kecil lagi,” ujar Sabrina.

“Kakak mahu pakai tudung juga mama,” rengek Humaira.

Serentak itu Sabrina bersyukur dalam hati, anaknya sendiri yang mahu bertudung. Tahu kewajipan menutup aurat tanpa perlu dipaksa-paksa.

Selesai bersiap dan bersarapan dengan bijirin coklat, mereka terus berjalan keluar dari hotel itu.

Sabrina memandu berdasarkan peta Melaka. Dia menuju ke Jalan Penghulu Abas, Bukit Baru. Tidak lama kemudian sampailah dia ke Muzium Permainan.

“Anak-anak kita sudah sampai,” ujar Sabrina seraya memarkir di tempat yang sesuai. Pemilik muzium itu, George Ang, menyewa rumah yang bernombor 5044, untuk meneruskan minat dan kesungguhan beliau mengumpulkan permainan. Bayaran masuk Dewasa sebanyak RM 5, dan kedua-dua anaknya RM3 seorang.

“Wow! Banyaknya mainan!” Humaira terjerit melihat pelbagai koleksi permainan di hadapan mata. Mata Daniel juga terbeliak dan tersenyum gembira hingga melompat dari dukungan ibnya. Namun Sabrina tetap memegang tangannya dengan erat.

Terdapat pelbagai koleksi mainan seperti Superman, Ultraman, Avatar, Star War, Bruce Lee, Michael Jackson dan Dinosaur.Terdapat 10 ribu permainan di situ.

Sabrina juga melopong melihat segenap ruang dalam rumah itu telah digunakan sepenuhnya oleh pemiliknya bagi menempatkan permainan. Dari hanya hobi membuat koleksi permainan, boleh bertukar menjadi sumber pendapatan. Di sana juga terdapat sudut mainan bercorak seram seperti dalam filem Nightmare Elm Street. Koleksi mainan yang banyak itu membuat Sabrina terleka sambil mengimbau kenangan lama...pada zaman kecilnya. Dia juga tertarik dengan idea susun atur mainan Avatar yang diletak bersama kayu di dalam akuarium, kelihatan kreatif sekali.

Bagi Sabrina, usaha pemiliknya adalah untuk membawa pengunjung kembali ke zaman silam bagi menghayati kenangan semasa menonton cerita fantasi pilihan di pawagam. Bahkan koleksi pelbagai mainan yang unik dan tersendiri pasti memberi perspektif baru kepada pengunjungnya.

“Puan, di sini juga ada koleksi mainan terpakai yang boleh puan beli dengan harga yang berpatutan,” kata penjual di situ.

“Oh, yakah?” Mata Sabrina bersinar, Humaira juga riang mendengarnya. Ketika itu Sabrina terlupa dengan pegangan tangannya pada Daniel sudah lama terlepas.

“Ada budak mengamuk!” Kedengaran jeritan seseorang. Sabrina terkejut, Hatinya terus berkata budak itu adalah anaknya lalu memandang di sebelah kiinya. Sah, Daniel sudah tiada.

“Mana budak tu? Mana budak tu?” jerit Sabrina cmas. Matanya tetrancap pada koleksi permianan diosour yang banyak. Daniel sedang merebahkan semua koleksi dinosaur dan membalingnya dengan kuat ke semua arah bersama pegerakan yang aktif memanjat ke rak- rak mainan yang ada.

“Daniel!” jerit Sabrina lantas meluru ke arah anaknya. Dia lantas merangkul anaknya yang kelihatan gembira dalam amukannya itu.

Pap! Pap! Pap!

Peha Daniel terpaksa dipukul. Sabrina malu apabila pengunjung lain memandangnya anaknya smabil mengglengkan kepala.

“Anak dia macam kena rasuk.” Ada yang kata demikian. Hati Sabrina pedih.

“Saya minta maaf.. saya minta maaf. Anak saya adhd, dan dia baru tiga tahun,” kata Sabrina kepada tauke kedai itu. Encik Georget tidak berkata-apa apa melainkan memandang ke arah koleksi dinosournya yang banyak dan sudah lintang-pukang dan bertebaran di mana-mana. Dengan rasa malu yang tidak terkira Sabrina mendukung Daniel dan menarik tangan Humaira keluar dari muzium itu. Di dalam kereta, Sabrina tidak dapat mengawal rasa amarahnya lalu lagi sekali memukul badan Daniel sekuat tenaga. Daniel menangis teresak-esak kemudian Sabrina tersedar apa yang dilakukannya.

“Astagfirullah….”

“Maafkan mama sayang.” Sabrina memeluk Daniel dan mengusap-usap tempat yang dipukulnya itu. Dia sedar anak itu tidak tahu apa yang dilakukannya tadi. Dia anak

adhd.

@@@@@

Dari Abul Laits Assamarqandi, Al-Qaasim melaporkan dari Abu Umamah al-Bahili r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“Diampunkan bagi MUAZZIN sepanjang jarak suaranya. Dia mendapat pahala sebanyak orang-orang yang solat kerana mendengar azannya tanpa mengurangi pahala mereka sendiri.”

Dari Abul Laits Assamarqandi, bersabda Rasulullah SAW:

“Diampunkan bagi MUAZZIN sepanjang suaranya dan dibenarkan oleh semua benda yang mendengarnya, sama ada benda basah atau kering (benda hidup atau mati).”

(tempat luas), maka azanlah dengan mengeras (menguat) suaramu, kerana saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak mendengar suara MUAZZIN oleh pohon, batu, pasir, manusia atau jin MELAINKAN semua itu menjadi saksi untuknya pada hari Qiyamat di sisi Allah SWT.”

Sampai di bilik hotel,, Sabrina memeluk Daniel seerat-eratnya, dia mencium pipi dan dahi anaknya bertalu-talu.

“Maafkan mama, sayang mama pukul sayang tadi, maafkan mama,” ucap Sabrina berkali-kali. Walaupun dia sedar jarang sekali seorang ibu memohon maaf pada anaknya, tapi dia sedar semua orang berbuat salah tidak kira apa pun status seseorang itu. Maka tidak salah, seorang ibu meminta maaf pada anaknya jika kena pada tempatnya.

“Allahu akhbar.. allahu akhbar…”

Azan berkumandang di skrin TV. Tangisan Sabrina terhenti. Dia mendukung Daniel lalu didudukkan di birai kail, tangan Humaira juga dicapai. Dia memeluk kedua-duanya meskipun Daniel masih menangis.

“Jangan menangis sayang, dengar azan baik-baik,” tegur Sabrina.

Si kecil yang tersedu-sedan tadinya tiba-tiba terdiam. Mereka bertiga sama-sama tidak bersuara mendegar laungan azan. Sabrina menjawabnya dalam hati. Sedudah itu, dia segera membersihkan diri lalu mengambil wuduk dan solat maghrib. Walaupun malam masih muda Sabrina terus melakukan solat sunat hajat. Dalam doanya dia meminta,

“Ya Allah… kasihanilah anakku , Daniel. Hilangkanlah sikap lasak dan hiperaktifnya, agar diriku tidak terus berasa bimbang, agar dia tidak terus menjadi sasasaran kebencian dan tohmahan orang. Tolonglah ya Allah. Daniel tidak bersalah. Dia sendiri tidak tahu apa yang terjadi pada dirinya. Pulihkanlah ahli syurga ini ya Allah. Jadikanlah dia anak yang baik dan mendengar kata, disenangi orang dan menyejukkan hati ibunya..” doa Sabrina.

Kemudian, Sabrina mengaji hingga waktu Isyak. Daniel sudah terlelap di atas katil kerana kepenatan. Humaira juga terbaring di sebelahnya.

Keesokan paginya, Sabrina sudah membeli sarapan sebelum anak-anaknya bangun dari tidur. Nasi lemak dan mi goring, juga kuih donat kegemaran Daniel.

Bangun saja anak-anaknya dari tidur, dia terus memandikan mereka. Daniel dimandikan dengan air dari satu baldi khas. Sebenarnya air dari dalam bali itu adalah tadahan dari air wuduknya pada malam dan subuh tadi. Dia akan terus berikhtiar agar anaknya berubah.

“Hari ni kita ada nak ke mana-mana?” tanya Humaira yang sebenarnya suka berjalan.

“Tidak, sayang. Hari ini kita duduk dalam bilik saja,” kata Sabrina.

“Duduk tengok TV?” tanya Humaira yang sudah menunjukkan wajah bosannya.

“Tidak. Hari ini mama nak ajar kamu berdua azan…”

Daniel mendongak muka.

“Macam papa Karim?” tanya Daniel tiba-tiba.

Hati Sabrina terus disentap. Sejak bila anak ini tahu lelaki itu juga bilal di surau kawasan perumahan mereka, dan sejak bila Daniel memanggilnya papa? Dia tidak pernah ajar pun.

“Dia bukan papa Daniel. Papa Daniel dah tak ada,” kata Sabrina menjelaskan keadaan. Memang sejak Abang Malik pergi meninggalkan mereka, dia tidak pernah membohongi anak-anaknya bahawa bapa mereka sudah tiada.

Daniel nampak bingung.

“Tak apa, sayang. Hari ni mama nak ajar Daniel azan.”

Daniel yang termangu-mangu pada mulanya, aktif kembali. Sabrina segera merangkul badan anak bongsunya. Dia membuka laptop… dan membuka video laungan azan. Ternyata Daniel diam dan terpinga-pinga.

“Daniel, cuba sebut Allahu akhbar”

“Allahu akhbar,” ucap Daniel separuh pelat. Humaira juga turut mengucapkan ayat itu dan dia tidak ada masalah mengucapkannya.

“Cuba ucapAsh-hadu allāilāha illallāh.” Tetapi Daniel tidak mahu pula bersuara. Dia memandang sekeliling dan mahu bergerak aktif semula.

“Kalau adik azan, adik dapat ni.” Humaira yang cerdik mula mengumpan adiknya dengan menunjukkan sebatang coklat. Mata Daniel terbeliak besar. Dia pun mula mengikut ajaran ibunya satu per satu. Untuk tidak membiarkan adiknya keseorangan Humaira turut member semangat dengan mengucapkan azan bersama. Daniel kelihatan gembira apabla mereka seperti bersaing.

“Siapa yang paling pandai azan nanti mama beri hadiah,” kata Sabrina lagi, memasang umpan. Setelah anak-anaknya Berjaya menghafal azan dan mengucapkannya dengan baik, dia pun cuba mengajar mereka melaungkannya dengan merdu, semerdu laungan azan yang pernah menyentuh hatinya.

Allahu Akbar

Allah Maha Besar

Ash-hadu allāilāha illallāh

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah

Ash-hadu anna Muhammadan rasūlullāh

Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah Pesuruh Allah

Hayya 'alas-salāt

Marilah menunaikan solat

Hayya 'alal-falāh

Marilah merebut kemenangan

Allāhu akbar Allāhu akbar

Allah Maha Besar

Lā ilāha illallāh

Tiada Tuhan selain Allah

“Mama penatlah,” adu Humaira yang mula menggosok lehernya.

“Baiklah, cukup pelajaran kita untuk hari ini. Anak-anak mama seronok tak?” tanya Sabrina. Kedua-duanya mengangguk serentak. Lagi sekali mereka dipeluk erat.

“Mama, macam mana azan boleh ada?” tanya Humaira.

“Apa?” Sabrina cuba menangkap maksud ayat anaknya. Kemudian dia menganguk faham.

“Haaa.. mari mama cerita,” kata Sabrina yang memberi dahulu anak-anaknya minum air mineral sebelum membawa mereka duduk di atas katil. Tetapi Daniel yang lama tidak bergerak aktif semasa belajar melaungkan azan tadinya. Mula resah. Sabrina melepaskan saja dia bermain dengan sebakul mainan di atas sofa. Kini tinggal Humaira berada di sisinya, tidak sabar mahu mendengar cerita.

“Ceritalah cepat, mama,” kata Humaira yang sudah berbaring di riba ibunya. Dahulu, dia sering brbaring di riba ayahnya yang suka bercerita tentang kisah-kisah nabi. Kini giliran ibunya pula, namun Sabrina tidak pernah marah.

“Azan mula diamalkan oleh orang-orang Islam pada tahun pertamaHijrah.Pada mulanya ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan sembahyang. Ketika itu tidak ada orang yang menyeru (melaungkan azan) untuk menunaikannya. Pada suatu hari Nabi telah mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat tentang cara bagi memberitahu masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai agar ke masjid melakukan solat jemaah.Dalam mesyuarat itu, terdapat beberapa cadangan. Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat, ada yang mencadangkan ditiup serunai ataupun trompet; dan ada yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng. Semua usul yang diajukan telah ditolak oleh Rasulullah.

“Pada suatu malamAbdullah bin Zaid telah bermimpi mengenai cara yang lebih baik untuk memberitahu solat dengan mengumandangkanlah Allahu Akbar... (dan seterusnya lafaz-lafaz azan)”. Pada pagi harinya, Abdullah bin Zaid menemui Rasulullah dan baginda bersabda: “Mimpimu itu mimpi yang benar”. Nabi memerintahkanBilal bin Rabah tersebut. Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar AL-khattab datang kepada Rasulullah dan menceritakan juga bermimpi sepertiAbdullah bin Zaid. Sejak itulah azan mula dikumandangkanbahawa beliau setiap kali masuk waktu solat,” ujar Sabrina mengakhirkan cerita. Ketika itua melihat mata anaknya sudah kuyu..

“Tidurlah sayang,” bisik Sabrina.

@@@@@@

“Sabrina.. Sabrina… merajuk sampai melarikan diri?” Raudah menggelengkan kepala apabila gagal menghubungi kawan baiknya.

Dia tahu Sabrina pasti sedih dan malu apabila mengetahui bilal yang dikasihinya sudah beristeri.

“Ini resam hiduplah, kecewa gembira, bukankah semuanya ujian?“ ngomel Raudah lagi yang sedang mencincing lobak merah. Dia berhajat mahu memasak sup sayur. Biar makanannya sihat dan dapat menjaga badan. Namun ketika memasak itupun fikirannya melayang memikirkan kawannya seorang.

Mengapa dia suka berkawan dengan Sabrina?

Jawapannya Sabrinalah membuatkan dia bertemu dengan Arslan jodohnya dari Iran. Sewaktu dia mula-mula mengenali Sabrina setelah berjaya menangkap Daniel yang berlari-lari, sebenarnya waktu itu dia sedang dirundung kesedihan. Sedih kerana sudah dua kali putus tuning atas sebab yang dia sendiri tidak tahu. Sewaktu meluahkan masalahnya pada Sabrina, wanita itu hanya menyebut satu perkara.

“Ramadan sudah dekat, doa di bulan Ramadan mustajab. Buatlah solat hajat mohon Allah temukan kau dengan jodoh yang lebih baik,” itu kata Sabrina.

Melalui Sabrina jugalah dia baru sedar yang dia adalah mangsa ilmu hitam. Sabrina jugalah yang membawanya bertemu dengan seorang perawat Islam di Pahang. Setelah berubat dengan zikir-zikir, dan mengamalkan doa, solat hajat, solat sunat taubat, dia pulih dari sihir tersebut dalam masa tiga bulan. Sabrina yang banyak memberinya semangat.

“Ingat Raudah, apabila kita dianiaya, segala dosa kita akan pergi pada sang penganiaya. Doa orang teraniaya dimakbulkan tuhan. Teruskan berdoa sebanyaknya,” kata Sabrina apabila dia mengadu susah hendak tidur malam, sakit-sakit badan dan seperti ada bisikan yang maki-maki tuhan di hatinya.

“Buka cd rukyah itu pada waktu malam. 24 jam pun tidak mengapa. Letakkan radio di atas kepala kau. Atau pakai headhone. Mula-mula badan kau akan terasa sakit-sakit tetapi selepas itu kau tak rasa apa-apa dan dapat tidur dengan mudah hingga ke pagi. Malah kau takkan bermimpi buruk,” ujar Sabrina memberi panduan.

Dia cuba melakukannya. Benar. Mula-mua badannya akan rasa sakit-sakit, bagaikan dihiris pisau, malah lebh daripada itu. Dia menangis-nangis. Tapi Sabrina di sisinya, malah sangup menghadiahkan bacaan yassin untuknya, membuatkan air bacaan yassin dan solat hajat untuknya. Bukan mudah untuk mendapat kawan yang begitu, yang sanggup mendoakannya.

Dia juga terkejut besar tanda dadanya sering berdebar, susah hendak tidur, badan sakit-sakit, bahu terasa berat bagaikan mengangkat beras berkilo-kilo dan selalu bermimpi buruk rupa-rupanya adalah tanda dia disihir. Oleh siapa? Hanya seseorang yang iri hati dengannya. Setiap kali dia bertunang, dia akan segera putus tunang, tunangannya tiba-tiba membencinya. Sehinggalah dia bergelar andartu.

“Sabrina, aku tak pernah kacau orang, tak suka mengumpat atau ambil kesempatan pada orang. Kenapa orang buat aku macam ni? Apa salah aku? Salahkah jadi orang baik?” rintihnya pada suatu hari.

“Inilah namanya ujan. Kita diuji bukan kerana kita baik atau kita jahat. Tetapi sudah tertulis ujian itu untuk kita. Ujian tanda Allah sayang, sakit tanda Allah sayang. Lihat Firaun bersin pun tidak pernah seumur hidupnya hingga mengaku diri sendiri Tuhan,” kata Sabrina.

“Sakit ini penggugur dosa, jangan mengeluh tapi teruskan doa.”

“Ingat, jangan balas dendam dengan membomohkan dia semula. Perbuatan perbomohan ini syirik dan tempatnya sah di neraka.”

“Kuatkan semangat, kau mesti lawan kejahatan dengan kalimah Allah. jangan mencaci maki nanti keadaan boleh menjadi lebih buruk.”

“Bersedekahlah. Kalau tak punya wang, dermakan sahaja baju-baju yang kau sudah tidak pakai lagi tetapi masih elok. SeAdekah selalu menjadi jalan keluar masalah.”

Begitulah antara nasihat Sabrina yang menguatkan dirinya. Dia tidak mahu lagi mana-mana yang akan menjadi pasanganya esok melihatnya bagaikan melihat alien atau makluk asing yang buruk dan aneh.

Alhamdulillah… berkat menjalani rawatan daripada perawat Islam itu dan mengamalkan amalan-amalan zikir, serta bacaan yassin setiap kali lepas solat sehingga dia sembuh daripada penganiayaan itu. Malah, orang yang menganiayanya sudah pun mendapat balasan daripada Allah. Kini dia hanya mengamalkan amalan agar dielak daripada disihir.

“Sabrina barulah aku sedar ilmu Allah maha luas bukan setakat ilmu yang dipelajari di universiti sahaja,” ujarnya ketika ke mengambil air di kolah masjid untuk dibuat mandi.

“Tentulah. Cuba kau bayangkan jika tidak dianiaya, pasti ibadahmu hanya solat lima waktu saja kan,” kata Sabrina. Raudah mengangguk laju. Rupa-rupanya hidup ini tidak cukup dengan ikhlas dan baik hati tapi harus sentiasa ingat Illahi.

Bawang dan halia sudah ditumis, kini Raudah memasukkan sayur-sayuran termasuk tauhu yang sudah digoreng terlebih dahulu.

Cuma seperkara yang tidak dapat dia cungkil daripada Sabrina iaitu kisahnya dianiaya dahulu, bagaimana ia berlaku, apa yang berlaku dan siapa punya angkara. Setiap kali diajukan pertanyaan, Sabrina hanya mengatakan tidak mahu membuka aib orang. Kalau dia jaga aib orang, Allah akan menjaga aibnya.

“Maafkan aku Raudah. Aku tak boleh cerita, tapi aku mengaku itu adalah ujian yang maksima dalam hidupku. Aku dianiaya bertalu-talu tapi aku bersyukur sangat aku hamba yang biasa-biasa, bukan alim dan tidak begitu solehah, tetap diselamatkan Allah dengan hanya berdoa,” kata Sabrina yang terus mengalirkan air mata.

“Allah sayangkan kita, Raudah. Terlalu banyak yang diberi, walaupun sedikit ibadah aku ketika itu, Allah tetap lindungi aku dan memanjangkan umurku,” ujar Sabrina lagi yang termenung jauh.

. Sebab lain dia amat menghargai kawan baiknya adalah nasihat dia membuat solat hajat setap malam di bulan ramadan mohon diberikan jodoh yang lebih baik. Habis saja Ramadan, ada seorang jejaka datang ke rumahnya, meminta izin mahu berkawan dengannya. Jejaka itulah Arslan, seorang penterjemah di sebuah universiti tempatan. Setelah tiga bulan berkawan, dia bertunang. Dan kini mereka hanya akan berkahwin lagi dua bulan. Tetapi di manakah Sabrina?

“Baliklah Sabrina. Tak seronok kalau kau tak ada,” gomelnya lagi lalu menutup api periuk. Sup sayurnya sudah siap. Masa untuk makan!

@@@@@

Di tangga surau, seorang lelaki menunggu kedatangan seorang demi seorang anak muridnya untuk belajar mengaji. Bilangan anak murid yang kebiasaannya 11 orang sudah seminggu hanya tinggal sepuluh orang. Humaira tidak lagi dihantar ibunya belajar mengaji. Malah, anak yang cerdik pandai itu bakal akan diajar mengaji al-quran pula. Dia sendiri takjub anak yang bersemangat menyelak helai demi helai ayat quran, membaca dan cuba menghafalnya sedikit demi sedikit.

“Ustaz, ajarlah saya surah yang lebih panjang.” Begitulah diminta Humaira setiap kali dia selesai membaca surah juz amma.

“Ustaz, saya dah hafal surah insyirah.”

“Ustaz saya dah hafala surah al-fil.”.

Menakjubnkan anak yang diajar mengaji di rumah dengan gaya iqra’ kini sudah lancar mengaji hingga mampu menghafal hampir searuh dari surah-surah juz amma.

Barangkali ibunya merajuk atau kecewa dengan aku.

Sebagai bilal dan seorang ustaz merangkap guru mengaji, da harus menjaga pergaulannya agar menjadi contoh kepada masyarakat. Apatah lagi dia sudah punya isteri yang dicintai.

Dia hanya mengasihani Sabrina. Ibu yang berpenyakit, kelam-kabut menguruskan anak-anak, ada pula yang hiperaktif. Selalu buat bisnes pada waktu malam sesudah anak bongsunya tidur. Berapa jam sangatlah rehat yang didapatinya. Dia masih ingat betapa matangnya Humaira yang mencari inhaler ibunya dan diberi kepada ibunya sewaktu diserang lelah. Paling tidak dapat dilupakan ketika Sabrina sakit dan lelahnya menyerang secara tiba-tiba di dalam kereta dalam hujan lebat. Mujur ditakdirkan dia ada di situ untuk membantu.

Memang wanita itu perlukan seorang suami, tapi aku tak boleh bersama dia. Aku ada Salsabila, mata air air syurga yang amat kucintai yang tidak sanggup kulukai hatinya.

Hari makin redup, cuaca begtu mendamaikan, baru enam anak murid yang datang. Dia perlu menunggu lagi tiga orang. Lagipun ada lagi lima minit sebelum pukul lima petang.

“Ustaz pakai songkok senget,” tegur Aisyah

“Oh yakah. Terima kasih ya beritahu ustaz,” balasnya lalu mengambil songkoknya dari atas kepala. Terasa ada sesuatu yang terkeluar dari lipatan tepi songkoknya. Ada tiga kad kecil. Hatinya berasa lain macam. Tiga kad itu tidak berbaur cinta namun ia daripada Sabrina yang dikepilkan bersama muffin coklat dan muffin blueberry yang pernah diberikan kepadanya.

Dia membaca kad pertama

Gurindam kerinduan Bilal bin Rabah,

Duhai malangnya aku, akankah suatu malam nanti
Aku bermalam di Fakh, dikelilingi pohon idzkhir dan jalil
Akankah suatu hari nanti aku minum air Mijannah
Akankah aku melihat lagi pegunungan Syamah dan Thafil.

Dia membaca pula kad yang kedua,

Ucapan bilal menjelang kewafatannya

“Esok kita bersua dengan orang-orang terkasih…
Muhammad dan sahabat-sahabatnya
Esok kita bersua dengan orang-orang terkasih…
Muhammad dan sahabat-sahabatnya”

Dia fikir aku ini Bilal bin Rabahkah? Ustaz Karim menggelengkan kepala. Aku hanya bilal biasa Sabrina. Tidak setaraf langsung dengan sahabat Rasulluah. Kad yang ada nama Sabrina di bawahnya terpaksa direnyukkan olehnya kerana bimbang dijumpai isteri tercinta. Dia tidak mahu ada curiga bersarang di hati isterinya.

Kad ketiga;

Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah ia berkata; Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Orang yang memberi kecukupan kepada para janda dan orang-orang miskin, maka ia seperti halnya seorang mujahid di jalan Allah atau seorang yang berdiri menunaikan qiyamullail dan berpuasa di siang harinya."

“Fuh..” si Bilal mengeluh nafas panjang. Dia memejamkan mata.isi kad ketiga itu membuatkan hatinya terasa berat, seperti merasai beratnya tanggungjawab. Meskipun dia mampu berpoligami tapi dia tidak mampu menyakiti hati Salsabila Fitri, bidadari hati. Dia tidak mampu menduakan cinta yang mengiringi nafas hidupnya.

Apabila dibuka matanya kemerahan. Biarpun berat, namun dia perlu melakukannya sebelum ada fitnah yang memburu datang. Kesemua kad itu yang tertulis nama Sabrina di bawahnya, direnyukkan dan dibuang ke dalam tong sampah.

Apapun dia mengaku, Sabrina adalah wanita yang baik.

Moga-moga dia ketemu pengganti suaminya. Yang jauh lebih baik berbanding aku.

“Ustaz, marilah mula mengaji,” desak Shukri.

“Maafkan ustaz, kita mula sekarang.”

“Nanti dulu ustaz,” tegur Siti yang bertudung ungu.

“Ya, kenapa?”

“Songkok ustaz terbalik lagi,” kata Shukri pula..

“Eh,” Karim terasa malu ditegur anak muridnya. Oh, beginikah penangan ditinggal Sabrina?

Baik aku lupakan dia. Dia bukan siapa-siapa.

Dari luar surau, Raudah memerhati dari dalam kereta. Tiada kelibat Humaira datang mengaji. Dia menghela nafasnya. Dia turut kecewa apabila bilal itu tidak berterus-terang sejak awal tentang statusnya sehingga Sabrina menyimpan harap, menyemai impian tak kesampaian. Akhirnya rasa malu kawannya itu yang huru-hara sedangkan si bilal ini mungkin tidak berasa apa-apa.

“Sabrina, mana kau pergi, anak kau pun dah seminggu tak mengaji,” kata Raudah yang merindui sahabat baiknya.

Apa kata aku tanya bilal ini? Raudah tergigit jari. Tak mungkin. Bilal ini tak mungkin tahu.

.

@@@@@

Keesokan harinya , Sabrina keluar dari bilik hotel untuk mencari makanan. Sebaik saja keluar dari pintu bilik, dia berdoa sebanyaknya agar Daniel tidak lasak hari itu. Ayat kursi dibaca tujuh kali dan diniatkan minta Allah melindungi mereka sekeluarga.

“Ya Allah.. selamatkanlah kami sekeluarga dari segala kejahatan dan malapetaka”

Sabrina mendukung Daniel serapi mungkin. Humaira yang cerdik memegang baju ibunya dari sisi kanan. Dia amat memahami ibunya kadang-kadang kelam-kabut dengan adiknya yang lasak itu. Jadi, dia mesti jadi budak baik bagi menyenangkan ibunya.

Sabrina menuju ke sebuah restoran ikan bakar.

“Kita makan ikan hari ni mama?” tanya Humaira yang sudah dapat mengeja perkataan ikan di papan nama restoran itu.

“Yalah. Semalam kita sudah makan ayam hari ini kita makan ikan pula. Jangan risau, ikan bakar di sini sedap,” ujar Sabrina yang mahu menyedapkan hati anaknya. Sebenarnya dia sudah terlalu lapar dan tidak sanggup membuang masa mencari restoran yang lain.

Dia memesan ikan pari bakar. Untuk anak-anaknya dia memilih ikan merah bakar kerana ikan itu tidak banyak tulang, dan sesuai untuk kanak-kanak. Dia turut memesam asam pedas dan sup sayur. Humaira menyuap makan sendiri, tetapi Daniel tetap disuapkan makan oleh ibunya. Jika dibiarkan suap sendiri, pasti makanan lebih banyak jatuh ke lantai berbanding masuk ke dalam mulut.

Kemudian, Daniel tiba-tiba membaling sudu di meja sebelah.

“Sayang jangan baling!” kata Sabrina lantas memukul kecil tapak tangan kiri anaknya. Serentak itu juga Daniel sengaja menolak air sirap limau hingga jatuh cawannya itu lalu air pun tumpah. Sabrina tersandar di kerusi, dia menggelengkan kepala. Dia sempat memandang sekilas pada pelayan restora itu yang datang membersihkan meja dengan wajah yang masam.

“Maaf ya dik, anak akak ni memang nakal,” ucap Sabrina. Dia pun segera menghabiskan makanannya. Mujur di restoran itu ada kerusi kanak-kanak yang bertali pinggang. Jadi, Daniel tidak mudah melepaskan diri dan menunjukkan aksi aktifnya.

“Assalamualaikum.. dik,” tegur serang wanita yang bertudung biru.

“Waalaikumussaam..” jawab Sabrina. Dia mendongak ke arah wanita itu.

Siapa ya? Aku tak kenal pun wanita ini. Tak mungkn peminta sedekah, pakaiannya nampak lawa.

` Wanita itu menghulurkan tangan mereka berjabat tangan. Humaira yang sudah siap makan menyaksikan adegan itu dengan mulutnya yang comot, manakala adiknya buat tidak tahu sahaja.

“Saya, Masyitah. Kelmarin saya ternampak anak puan di muzium permainan. Masa dia berkelakuan aktif itu.”

Sabrina menelan air liur. Dia hanya mengangguk sambil memandang kepada anak bongsunya yang tidak bersalah itu.

“Emm… kenapa ya?” tanya Sabrina perlahan.

“Hari ini pun Allah takdirkan untuk saya terserempak dengan puan juga.Jadi, saya rasa saya mahu bantu puan,” kata wanita itu dengan senyuman ikhlasnya. Sabrina terpinga-pinga. Bantu? Apa yang kau boleh bantu?

Wanita itu menyeluk beg tangannya dan mengluarkan tiga kotak kecil berwarna pink.

“Ini adalah tablet bleh kunyah glukosa dan sudah menjalani terapi tenaga hayat. Insya-Allah berkesan untuk meredakan anak hiperaktif dan meningkatkan upaya minda mereka,” jelas Masyitah bersungguh.

“Berkesankah?” tanya Sabrina berminat. Memang dia akan melakukan apa sahaja demi kemaslahatan anaknya.

“Insya-Allah kita berikhtiar dan Allah yang menentukan. Tablet ini insya-Allah akan menyeimbangkan aura anak puan. Tapi ia tidak berlaku sekelip mata. Amalkan dahulu nanti akan nampak perubahannya sedikit demi sedikit.”

Sabrina tersenyum apabila wanita itu sebut nama Allah. Hatinya lapang.

“Berapa harganya kak?” tanya Sabrina.

“Akak beri percuma saja tiga kotak ini. Akak kesian tengok kamu kelam-kabut menguruskan anak-anak. Kalau tablet ini sudah habis dan mahu mendapatkannya lagi, boleh hubungi akak, akak bagi harga diskaun,” kata wanita itu lagi seraya menghulurkan kad bisnesnya.

Alhamdulillah… ada juga orang yang prihatin dengan masalah Daniel, bukan terus membencinya.

Sabrina hampir menangis apabila menerima kotak tablet itu

“Terima kasih banyak-banyak, kak. Tidak sangka ada juga yang prihatin dengan anak saya. Selama ini orang asyik pandang serong saja pada kami dan membenci dia,” kata Sabrina sambil mengusap rambut Daniel manakala Humaira menggosok-gosok bahu adiknya dengan lembut.

“Sama-sama. Hidup di dunia ini memang untuk saling membantu. Lagipun anak puan tidak bersalah. Dia hanya ujian untuk orang lain,” kata wanita itu sebelum memberi salam lalu beredar dari situ. Malah, dia sempat mencium dahi Daniel dan Humaira. Sabrina berasa terharu… dia segera memebuka bungkusan kotak itu dan memberi Daniel makan tiga biji tablet itu. Dia turut memberi pada Humaira agar tidak kempunan.

“Kita mesti balik sekarang ini,” kata Sabrina apabila melihat jam di tangan sudah pun menunjukkan jam 3 petang. Selesai makan Sabrina memesan lagi nasi bungkus untuk makanan malam nanti kerana dia sudah tidak larat mahu keluar lagi.

Tetapi semasa sampai ke kereta, semasa membuka pintu kereta, sesuatu yang tidak disangka berlaku. Dia didatangi seorang pemuda berkemeja-t biru dengan wajah yang baik.

“Assalammalaikum Sabrina…” Serentak itu Sabrina sudah dapat meneka apa tujuan lelaki itu datang kepadanya. Akhirnya hasratnya mahu menjauhkan diri daripada orang lain terbantut.

“Waalaikummussalam…. Dol, buat apa kat sini?” tanya Sabrina, yang tahu Dol itu adalah pembantu di kedai runcit ayahnya.

“Sabrina, baliklah… ibu bapa kamu risaukan kamu. Rindukan kamu anak-beranak. Sudahlah kamu matikan telefon bimbit dan tidak maklumkan pada mereka kamu ke mana. Orang tua mana yang tidak risau,” kata Dol lagi.

Sabrina terdiam. Dia menunduk sambil memasukkan kedua-dua anaknya ke dalam kereta. Kedua-dua mereka duduk di tempat duduk belakang. Daniel mula melompat-lompat, tapi pahanya segera dicubit kakaknya.

“Duduk diamlah, adik!” marah Humaira yang mahu menghormati ibunya yang sedang berbual dengan Dol.

“Sabrina tidak kira apa pun masalah kamu. Jangan ketepikan ibu bapa. Kamu tak bimbang sekiranya orang tua kamu meninggal dunia tetapi kamu langsung tidak dapat dihubungi?” tanya Dol,

Sabrina tekejut. Dia mendongak. Tak terfikir pula sampai ke situ.

“Janganlah cakap begitu,” kata Sabrina yang mula rasa bersalah.

“Jadi, baliklah. Jangan merajuk lama-lama,” kata Dol lagi Sabrina terdiam. Dia mengangguk. Mana dia tahu aku merajuk?

Sebelum Dol beredar, dia sempat berpesan,

“Hidupkan telefon bimbit kamu, kalau kamu masih sayangkan orang tua kamu,” kata Dol lagi. Sabrina terpempan.

Balik ke bilik hotel dia termenung.

Sampai bila aku mesti jadi begini? Aku mahu lari dari apa? Lari dari masalah yang tidak mungkin selesai? Aku cuma malu saja, tapi dah seminggu lebih aku bawa lari anak-anak kononnya hendak bercuti. Mak, ayah. ampunkan Mina. Ya Allah ampunkan aku!

Sabrina berfkir-fikir sekiranya dia pulang nanti, apa alasan hendak dia beritahu orang tuanya mengenai permergiannya yang sebentar itu? Pasti mereka mahu dia berterus-terang, tetapi dia tidak mampu dan tersangat malu hendak memberitahu. Tetapi jika berbohong itu dosa.

Sabrina menggelengkan kepala. Perniagaannya pun tergendala. Mesti ramai pelanggan yang cuba menghubunginya tetapi tidak dapat kerana dia tidak online langsung sepanjang ‘bercuti’ itu. Dia benar-benar cari nahas sedangkan menjadi pengedar online jamu susuk dara adalah satu-satunya mata pencariannya.

“Mama… kakak dah tolong mama,” ujar Humaira nyaring. Sabrina menoleh ke kanan. Dia terkejut melihat anak sulungnya sedang mengecaj telefon bimbitnya. Humaira kelihatan mahu menghidupkan telefon bimbitnya, tapi dia segera menghalang.

“Nanti dulu kakak. Malam nanti biar mama yang hidupkan sendiri telefon itu ya,” kata Sabrina lalu mengucup dahi anaknya. Telefon itu disorok di belakang beg tangannya. Dia masih berlum bersedia untuk menelefon ahli keluarganya. Dia perlu memikirkan jawapan kepada soalan yang bakal ditanya.

“Nanti kasi kakak cakap dengan nenek ya,” pinta Humaira yang mulai rindu pada neneknya. Dia juga sudha rindu dengan rumah, tadikanya juga dengan kelas mengajinya. Bilalah mama nak balik….



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku