Sayang Awak, Mr. Bear
Bab 3
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Kategori: Novel
Paparan sejak 18 Disember 2013
Kerana satu peristiwa, Edzuary Safuan dan Nur Edleen hidup dalam dunia ciptaan mereka sendiri.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1738

Bacaan






“HAHAHA… baru padan muka dia. Dia belum kenal siapa aku lagi,” tawa Nur Edleen.

Ezzura yang berada di sebelah sudah berkerut dahi. Entah apa yang merasuk Nur Edleen, dia sendiri tidak tahu. Adakah meeting petang tadi membuatkan kawan baiknya jadi begitu? Apa yang terjadi semasa meeting tadi? Walaupun mereka satu pejabat, tetapi dia di bahagian lain. Nur Edleen di bahagian pengurusan manakala dia di bahagian operasi. Nur Edleen di level tiga manakala dia di level dua. Satu bangunan, satu pejabat berlainan department.

“Yang kau termenung ni kenapa, Zura? Teringatkan boyfriend kau yang jauh tu ke?” tegur Nur Edleen tatkala menyedari kebisuan Ezzura. Matanya diluruskan pada pemanduan.

“Eh… mana ada. Aku tengah fikirkan pasal kau lah Leen,” bidas Ezzura, laju.

“Aku? Pasal aku? Apa yang tak kena dengan aku? Aku okey aje.”

“Yang kau gelak macam hantu pontianak tu tadi, kenapa? Jin mana yang merasuk badan kau tu?” tanya Ezzura, prihatin.

“Jin tanah, jin api, jin air, jin angin dan segala macam jinlah yang merasuk aku sekarang ni Zura. Itu yang terlebih ketawa mengalahkan mak bapak pontianak,” jawab Nur Edleen, selamba. “Aduh! Sakitlah. Kau ni Zura, aku kan tengah memandu.”

“Orang tanya elok-elok, yang kau pergi jawab merapu tu, kenapa? Sendiri cari pasal.”

Nur Edleen hanya ketawa. Hatinya berbunga riang. Mana tidaknya, sudah dikerah otaknya merencana rancangan jahat dan akhirnya dia berjaya mengenakan bos besarnya.

“Tengok tu, ketawa lagi. Apa yang kau ketawakan tu, Leen? Kongsilah dengan aku. Aku pun nak tahu juga,” desak Ezzura.

“Alah, tak payah tahulah Zura. Bukan bestmana pun cerita ni.”

Besttak best, aku nak tahu juga.”

Nur Edleen berfikir sejenak. Berkira-kira untuk berkongsi cerita dengan Ezzura.

“Aku takut jantung kau tak tahan dengarnya. Kang tak pasal-pasal kena tampal jantung kau tu. Susah aku nanti nak jahitnya, Zura.”

“Kau ni kan Leen!” geram Ezzura tatkala dirinya dipermain-mainkan oleh Nur Edleen.

“Okey.. okey… sorry. Aku tak main-main. Kau betul-betul nak tahu?” kata Nur Edleen.

Gerun pula dia melihat wajah tegang Ezzura. Kawannya itu kalau dah dapat marah, mahu terbalik dunia dibuatkannya.

“Kalau kau nak tahu, hari ni aku kenakan bos kau,” mulai Nur Edleen, tersengih. Otaknya ligat mengimbas semula peristiwa yang berlaku di dalam bilik Edzuary.

“Bos aku? Encik Hairudin ke?” tanya Ezzura, berkerut.

“Erk, bos kau Hairudin ke namanya, bukan Edzuary Safuan?” tanya Nur Edleen pula. “Hisy, tergeliat lidah aku nak sebut nama dia tu. Dah tak ada nama lain lagi ke nak pakai.”

“Oh, Encik Edzuary tu bukan bos aku, dia pengurus besar Pelangi Holdings dan bos kau. Bos aku Hairudin. Kau dan aku kan tak sama department,” terang Ezzura, jelas dan nyata.

Nur Edleen mengangguk faham. Barulah dia tahu kenapa Ezzura tidak hadir sama di dalam mesyuarat tadi sedangkan jawatan yang dipegang oleh Ezzura lebih kurang sama dengannya, Eksekutif Operasi. Ezzura juga yang merekomenkan dia bekerja di Pelangi Holdings pada Encik Hamid selaku Pengurus Sumber Manusia. Alhamdulillah, temuduganya berjaya dan kini dia bekerja di bawah satu bumbung dengan Ezzura.

So, apa cerita?” tanya Ezzura menghalau lamunan pendek Nur Edleen.

Nur Edleen tersenyum. Ingatannya kembali memutarkan peristiwa di bilik Edzuary. Serta-merta ketawanya pecah dek ingatannya itu.

“Dia buat balik dah,” keluh Ezzura, menggeleng kecil.

“Okey.. okey.. sorry. Aku tak gelak dah. Tapi, aku memang tak tahan bila teringat kes kat officedia tadi,” balas Nur Edleen dan masih ketawa.

“Kes apa?”

Nur Edleen masih lagi ketawa. Dibiarkan sahaja Ezzura terteka-teki sendiri. Jika Ezzura tahu akan kisah sebenar, pasti Ezzura turut sama ketawa. Tidak semena-mena, wajah Edzuary yang merah menahan malu menyapa di tubir mata. Dia tersenyum tatkala mengingati wajah itu.


EDZUARY menghumbankan dirinya ke atas katil. Terasa penat badannya itu. Seharian bekerja, begitu memenatkan. Bukan sahaja dari segi fizikal, mental dan emosi juga turut merasa penat. Jika bukan kerana tuntutan keluarga, tidak ingin dia menguruskan Pelangi Holdings. Abangnya lebih layak untuk menguruskan syarikat itu berbanding dirinya yang masih muda. Dia juga perlu banyak belajar daripada orang-orang yang berpengalaman seperti abangnya.

“Nur Edleen,” ujar Edzuary, lembut.

Entah kenapa nama itu boleh terpacul keluar daripada bibirnya. Adakah disebabkan peristiwa siang tadi membuatkan hatinya terdetik dengan nama itu? Peristiwa yang tidak mungkin akan dilupakan seumur hidupnya.

“Encik ke tepi!” suruh Nur Edleen, lembut.

Bunyi dari arah pembersih hampagas menyukarkan Edzuary mendengar permintaan Nur Edleen. Dikerutkan dahi sambil cuba memahami kata-kata Nur Edleen.

Hisy, pekak betullah mamat ni. Aku kata ke tepi, tepilah. Ini tidak, boleh pulak buat muka bodoh kat situ, geram Nur Edleen.

Kau ni pun satu Leen, manalah dia nak dengar suara kau kalau dah bunyi pembersih hampagas tu mengalahkan suara kau, kata akal Nur Edleen pula.

Ya tak ya juga. Apalah kau ni Leen? Bodoh sangat, kutuk Nur Edllen pada diri sendiri.

“Encik, ke tepi!” ulang Nur Edleen sedikit meninggi. Masih tiada tindak balas daripada Edzuary. Dengusan kecil terlepas daripada bibir.

“Awak kata apa Nur Edleen?” tanya Edzuary turut sama meninggi.

“Aku kata tepilah!” geram Nur Edleen.

“Apa?” ulang Edzuary, sengaja. Bukannya dia tidak dengar, tapi pura-pura tidak dengar.

Oh, sengaja cari pasal dengan aku ya. Dahlah aku buat kerja free, dia pulak duduk selamba badak kat sofa tu. Siap kau aku kerjakan sekejap lagi, bebel Nur Edleen dalam hati.

“Saya ke sana ya, Encik Edzuary Safuan Erizal Hanif,” pinta Nur Edleen, tersenyum.

Edzuary sekadar mengangguk. Matanya mengekori tingkah Nur Edleen yang sedang menarik wayar pembersih hampagas. Tersenyum kecil dia melihat gelagat Nur Edleen. Dalam kedegilan, ada kelembutan pada gadis itu.

Nur Edleen menyandarkan pembersih hampagas ke sofa. Tepat ke arah Edzuary. Sengaja dia membiarkan pembersih hampagas itu berbunyi. Senyuman nakal sudah terbias di wajah. Dengan perlahan, dia menarik hos anjal yang menyambungkan kepada pembersih lalu dihalakan ke arah Edzuary.

Tersentak Edzuary dengan tingkah Nur Edleen. Dia bingkas bangun dari duduk dan cuba untuk mengelak daripada mengenai hos anjal itu. Nasibnya malang tatkala kakinya tersadung di wayar pembersih hampagas itu dan jatuh tersembam ke lantai.

Nur Edleen yang melihat membeliakkan mata. Serta-merta hos anjal itu dilepaskan. Apa yang membuatkan matanya terbuntang, baju kemeja Edzuary. Terhambur ketawanya melihat baju kemeja Edzuary itu. Malah, keadaan Edzuary yang sudah pun terduduk di atas lantai menambahkan rasa geli di hati.

“Nur Edleen!!” jerit Edzuary, meninggi.

Terhenjut tubuh Nur Edleen mendengar jeritan Edzuary. Terhenti ketawanya dek kerana jeritan itu. Lantas, dimatikan suis pembersih hampagas dan membatukan diri di situ. Matanya menjamah wajah tegang Edzuary.

Edzuary bingkas bangun daripada jatuhan. Dibetulkan kedudukan diri dan memperkemaskan baju kemeja serta rambutnya yang sedikit kusut.

“Erk… encik…” seru Nur Edleen, lembut.

What?!” tanya Edzuary, masih meninggi.

Nur Edleen menggaru kepalanya yang bertudung. Lagak seperti orang tidak bersalah sahaja. Dia tersengih buat seketika tatkala terlihat baju kemeja Edzuary yang terkoyak sehingga menampakkan susuk tubuh Edzuary. Malu dirasakan ketika ini.

“Encik…” seru Nur Edleen, sopan. Kakinya menguis-nguis permaidani dan menunduk. Malu untuk menyatakan hasrat di hati.

“Apa encik… encik… awak nak buat apa lagi kat saya?” marah Edzuary tidak tertahan.

“Itu… itu….” kata Nur Edleen sambil mengunjuk ke arah baju Edzuary yang terkoyak. Dia sudah pun tersipu-sipu malu. Berbahang pipinya juga.

“Itu apa? Yang awak ni tergagap-gagap nak cakap, kenapa?” jerkah Edzuary pula.

Hisy mamat ni. Nak tengking-tengking aku ni, kenapa? Kira baik jugalah aku ni nak bagitau kat dia tentang baju dia tu. Kalau tidak, lantak dialah malu sendiri, kutuk Nur Edleen dalam hati. Tapi, seksi juga tubuh dia tu, puji Nur Edleen pula. Sengihan terbias di wajah.

“Yang awak tersengih macam kerang busuk tu, kenapa? Awak gelakkan saya lagi, kan?” geram Edzuary sambil mengepal tangan. Nur Edleen di hadapannya bukan calang-calang orang dan dia perlu berhati-hati dengan gadis itu.

“Eh… tak ada. Saya sengih sebab sengih tu kan satu sedekah,” sengih Nur Edleen.

“Jap.. jap.. sengih tu satu sedekah juga, kan?” tanya Nur Edleen sambil menggaru kepalanya yang bertudung.

“Nur Edleen Haji Marwan!” panggil Edzuary tidak tertahan. Geram dirasakan ketika ini. Hidup-hidup dia dipermainkan oleh Nur Edleen.

Gulp!! Nur Edleen menelan liur. Kelat! Dipahatkan mata ke wajah tegang Edzuary. Kelihatan merah wajah itu menahan kemarahan. Sudah pastilah Edzuary geram dan marah terhadapnya ketika ini.

“Awak boleh keluar sekarang!” arah Edzuary, lantang.

Jika berlama, makin geram dia terhadap Nur Edleen. Rasa malu semakin menebal. Malu apabila terjatuh di hadapan Nur Edleen. Cukuplah pertama dan terakhir dia jatuh di hadapan perempuan. Malunya usahlah nak dikata. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaannya ketika ini.

Nur Edleen mengangguk lemah. Dia sedar, yang dia sudah melampaui batas. Dengan lemah longlai, dia menapak keluar dari bilik itu. Rasa berdosa kerana memperlakukan Edzuary sebegitu. Seminit kemudian, langkahnya terhenti dan menoleh ke arah Edzuary .

“Nak apa lagi?” tanya Edzuary, keras.

Nur Edleen tersenyum manis.

“Apa?” ulang Edzuary, menekan. Sakit matanya melihat senyuman di bibir Nur Edleen.

“Erk… saya nak puji, boleh?” Penuh cermat Nur Edleen bertanya.

Edzuary berkerut dahi.

“Tubuh encik tu seksi lah. Kalau perempuan lain, dah lama tergoda. Tapi, nasib baik saya ni kuat iman orangnya. Kalau encik nak tahu, saya ni ada ilmu kebal. Segala macam hantu, jin dan syaitan, tak boleh tembus dalam badan saya. Disebabkan itulah saya tak tergoda dengan tubuh encik yang seksi tu,” cerita Nur Edleen, bersungguh.

Bertambah kerutan di dahi Edzuary. Kurang faham dengan kata-kata Nur Edleen itu.

“Baju encik tu koyak,” beritahu Nur Edleen, perlahan.

“Koyak?” ulang Edzuary, terkejut.

Nur Edleen mengangguk. Dia tersenyum simpul memandang wajah kalut Edzuary.

Edzuary memerhatikan segenap inci bajunya. Alangkah terkejutnya dia melihat koyakan di baju kemejanya itu. Serta-merta wajahnya memerah. Malu tatkala ditegur Nur Edleen.

“Jangan seksi-seksi tau, encik. Gugur iman saya nanti,” usik Nur Edleen.

“Alahai, kurang pahala saya hari ini, encik,” keluh Nur Edleen dan beredar dari bilik itu.

Seminit kemudian, terhambur ketawa yang sedari tadi ditahan-tahan. Tidak menyangka dia akan dihidangkan dengan peristiwa ini pada hari pertama dia bekerja di Pelangi Holdings. Pengalaman yang cukup manis dalam kamus hidupnya itu.

Edzuary masih menahan malu. Mahu sahaja disorokkan muka ke dalam baju. Silap dia juga kerana terambil baju itu. Jika ingatannya masih kuat, ada sehelai baju yang memang koyak dan menunggu masa untuk dibuang. Sehingga ke hari ini dia tidak membuangnya. Disebabkan keengganannya itu, maka dia terpaksa menahan malu di hadapan Nur Edleen.

Edzuary mengeluh ringan. Mujurlah dia memakai blazer ketika bermesyuarat tadi. Jika tidak, bertambah malu jika pekerja bawahan menegur bajunya itu. Jika bukan kerana kuah laksa, mustahil juga dia akan mengalami situasi hari ini. Hisy, buat malu ajelah kau ni Ary. Mana kau nak letak muka kau tu depan Nur Edleen, kutuk Edzuary pada diri sendiri.

Getaran telefon menyentak lamunan Edzuary. Diseluk poket seluar dan mengeluarkan telefon bimbit. Nafas dihela ringan tatkala nama Aimanuddin tertera di screentelefon.

“Kenapa Aiman?” tanya Edzuary sebaik sahaja salam berjawab.

Lunch hour esok kita jumpa. Ada perkara nak bincangkan dengan kau.”

“Perkara apa?”

“Esok aku bagitau pada kau. Tempat biasa. Kau jangan lambat pula,” pesan Aimanuddin.

“Insya-Allah, aku cuba,” balas Edzuary.

Thanks!” ucap Aimanuddin dan mematikan talian.

Edzuary mengeluh ringan. Tanpa membuang masa, dia bingkas bangun dari pembaringan dan menapak ke almari pakaian. Tuala dicapai lalu ke bilik air. Dia perlu menyegarkan badan sebelum mengadap Ilahi. Semoga hari esok lebih baik daripada hari ini.


“HAHAHAHA… kau biar betul Leen? Kau tak tipu aku, kan?” tanya Ezzura ketawa besar.

Geli hati mendengar cerita Nur Edleen itu. Begitu sekali Edzuary dikenakan oleh Nur Edleen. Kalau dia di tempat Edzuary, sudah pastilah dia tidak akan bertemu pandang dengan Nur Edleen lagi. Tapi, nak buat macam mana. Nur Edleen merupakan orang bawahan Edzuary.

“Muka aku ada macam penipu ke?” soal Nur Edleen tidak berpuas hati.

“Eh… mana ada. Tapi, iras-iras tu adalah,” jawab Ezzura, tersengih.

“Aduh! Macam ketamlah kau ni,” rungut Ezzura pula.

“Tau pun sakit,” ejek Nur Edleen.

“Lepas tu apa dia buat?” tanya Ezzura. Berminat dengan cerita Nur Edleen itu.

“Aku ni kan perempuan melayu terakhir. So kenalah tunggu kemarahan dia reda. Kasi kenyit mata aje, terus cair,” cerita Nur Edleen, bersungguh.

Ezzura yang sedikit teruja sudah menegakkan badan. Benarkah apa yang diperkatakan oleh Nur Edleen itu?

“Yalah tu. Kasi kenyit mata aje, terus cair. Perempuan melayu terakhir konon. Nak termuntah aku dengarnya,” cebik Ezzura, meluat.

“Betul apa. Aku ni kan perempuan melayu terakhir. Kalau tidak, tak adalah mamat tu boleh terkejut tengok aku masa kami jumpa kat Jusco sebulan yang lepas,” beritahu Nur Edleen.

“Maksud kau Leen?”

“Dialah yang aku terserempak dekat Jusco hari tu. Yang panggil aku mak cik?”

“Oh, dia ke? Tak sangka kan, dia yang jadi bos kau sekarang. Jangan kau tergoda dengan kekacakan dia, sudahlah,” kata Ezzura.

Nur Edleen mencebik. Tergoda dengan kekacakan Eduzary? Kacak ke dia tu?

“Yang kau termenung ni, kenapa? Kau teringat kat dia ke?”

“Hisy, tak ada maknanya aku nak teringat kat dia. Aku sendiri pun tak terurus, ini kan pula nak uruskan orang lain,” bidas Nur Edleen, laju.

Mustahil dia akan jatuh cinta pada Edzuary. Hatinya sudah lama diserahkan pada seseorang. Seseorang yang belum pernah berjumpa. Seseorang yang pernah membuat hatinya berdegup dengan kencang. Siapa orang itu? Dia masih lagi mencari-cari orang tersebut.

Tetapi, kenapa setiap kali dia berhadapan dengan Edzuary, jantungnya berdegup kencang. Pandangan mata Edzuary yang redup seolah-olah menceritakan sesuatu. Seolah-olah dia mempunyai kaitan yang kuat dengan Edzuary. Mungkinkah dia sudah lama mengenali Edzuary atau perasaannya sahaja?

“Termenung lagi,” keluh Ezzura.

Sorry.. aku teringatkan sesuatu tadi,” balas Nur Edleen.

“Apa yang kau ingatkan?”

“Tentang seseorang yang pernah hadir dalam hidup aku dahulu.”

“Siapa?” tanya Ezzura, ingin tahu.

Nur Edleen menjungkitkan bahu. Dia sendiri tidak tahu siapa yang pernah hadir dalam hidupnya dahulu. Apa yang dia tahu, dia mengalami kemalangan ngeri lima tahun yang lepas sehingga memaksa dia menjalani beberapa pembedahan. Pembedahan apa? Dia sendiri tidak tahu. Kata Haji Marwan, pembedahan membuang darah beku yang terdapat di kepalanya akibat kemalangan itu. Untuk tidak bertanya lebih, dibiarkan sahaja peristiwa itu berlalu pergi. Hidupnya kini bebas daripada sebarang masalah. Dia bersyukur dengan kehidupannya sekarang.

“Aku dah mengantuklah Leen. Aku masuk tidur dulu. Kau jangan lupa lunch hour kita esok,” suara Ezzura dan bangun.

Lunch hour? Maksud?” tanya Nur Edleen kurang mengerti.

“Kau ni bengap sangat, kenapa? Kan kita nak jumpa Eka dengan Azie lunch houresok.”

Nur Edleen menepuk dahi. Hampir, dia terlupa dengan perjumpaan itu. Dia juga terlupa dengan perjumpaan keluarga yang diadakan pada setiap hari Jumaat. Semenjak dia mengambil keputusan untuk duduk di rumah sewa Ezzura, jarang sekali dia pulang ke rumah parentsnya. Jika ada pun, pertemuan keluarga yang diadakan setiap dua kali sebulan.

“Ya, aku pun ingat yang aku ada family gathering malam esok. Kau nak join sekali tak?”

“Aku rasa tak kut. Sampaikan salam aku pada abah dan ummi sajalah. Aku masuk bilik dululah. Dah mengantuk sangat-sangat ni,” pamit Ezzura dan berlalu.

Nur Edleen hanya mengangguk. Seminit kemudian, dia bingkas bangun dan menapak ke bilik. Pelbagai persoalan bersarang di kepala ketika ini. Siapa yang berada di hatinya itu? Kenapa setiap kali berada di sisi Edzuary, rasa selamat dan tenang? Adakah Edzuary mempunyai hubungan kuat dengannya? Untuk tidak menyesakkan nafas, dia segera berbaring di atas katil dan cuba untuk melelapkan mata. Semoga tidur malamnya itu dapat mengusir segala keresahan di hati.



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku