Kan Aku Dah Kata!!!
Bab 3
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Disember 2013
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2143

Bacaan






Bab 3

Penerbangan yang dijadualkan untuk membawa kumpulan yang disertai oleh Datuk Aziz bagi menunaikan umrah di Mekah telahpun diumumkan sebentar tadi. Ellyssa yang ditemani Sarina terus mendapatkan ibu bapanya yang sedang sibuk menguruskan kemasukan beg dan membuat pengesahan tiket dengan ejen yang dilantik.

“Semuanya okey, daddy?” tanya Ellyssa dengan senyuman manis. Tahi lalat kecil di bahagian kanan atas bibir menambahkan keayuan anak tunggal mereka. Hari ini Ellyssa kelihatan sangat bergaya dengan blaus sendat berwarna hitam dipadankan dengan palazzo warna yang sama. Menambahkan lagi keanggunan fesyen Ellyssa pada hari itu adalah kimono cardi bercorak tribal warna hijau kuning air yang disarung sahaja ke tubuhnya yang langsing. Rantai manik kristal melingkar cantik di lehernya yang jinjang. Kasut tumit tinggi berwarna hijau muda pula cukup padan dengan pakaian dan aksesori yang dipilih pada hari itu. Rambutnya yang hitam dan lurus separas dada hanya dilepaskan bebas tanpa sebarang ikatan. Sekali pandang wajahnya tidak ubah seperti gadis berketurunan Arab kerana alis matanya hitam dan tebal, kulitnya putih kemerahan, hidungnya mancung dan matanya bulat bersinar.

“Semua ok sayang. Nak tunggu check in aje,” jawab Datuk Aziz kemudian terus memeluk bahu anak gadis kesayangannya itu.

“I will miss you both,” ujar Ellyssa dengan raut wajah sedih. Kepalanya terus dilentokkan ke bahu Datuk Aziz. Satu ciuman penuh kasih singgah di kepalanya. Sejak balik dari Paris setahun yang lepas, ini adalah perpisahan kali kedua mereka untuk jangka masa yang agak lama.

“Daddy dan mommy lagi lah akan rindukan Ell. Ell kena promise untuk jaga diri baik-baik ya,” pesan Datuk Aziz. Satu lagi kucupan hinggap di dahi Ellyssa. Sesungguhnya berat hendak meninggalkan permata hati mereka itu sendirian dengan jarak beribu-ribu batu. Walau Ellyssa telahpun dewasa, namun dia tetap anak kecil mereka sampai bila-bila.

Datin Aini pula terus memeluk Ellyssa dengan air mata yang mula mengalir. Berat pula hatinya ingin meninggalkan Ellyssa selama tiga minggu ini. Mereka memang telah mengajak Ellyssa untuk menyertai mereka tetapi Ellyssa menolak dengan alasan ingin menumpukan perhatian kepada butik “Ell Collection” yang baru sahaja dibukanya di KLCC.

“Mommy....jangan sedih-sedih. Mommy kan nak pergi buat umrah,” pujuk Ellyssa. Air mata ibunya disapu menggunakan tisu yang tersedia ada di dalam beg tangan Hermes yang baru dua minggu menjadi miliknya.

“Mommy suruh Ell ikut Ell tak nak. Mommy risau lah tinggalkan Ell sorang-sorang kat sini,” ujar Datin Aini dengan wajah sugul. Merah hidungnya akibat rasa sebak yang menebal.

“Tengok tu....kan hari tu Ell dah bagitahu mommy dan daddy kenapa Ell tak boleh join trip ni. Tak payahlah nak ungkit-ungkit pasal hal tu....” Ellyssa mula menunjukkan rajuknya kerana prinsipnya dilanggar pada masa itu. Memanglah pantang dirinya apabila sekali dia telah maklumkan, berkali-kali pula dia dipaksa mengubah keputusannya.

‘Okey, okey. Mommy minta maaf ya.” Cepat-cepat Datin Aini meminta maaf kerana sedar dia telah mengguris hati puteri mereka itu. Bimbang juga jika tiba-tiba Ellyssa balik begitu sahaja tanpa mahu menunggu sehingga mereka mendaftar masuk. Datin Aini lega apabila senyuman terukir semula di bibir Ellyssa. Sebagai anak tunggal, dialah madu dan dialah juga hempedu. Baik dan buruknya sikap Ellyssa terpaksa mereka terima kerana tidak mahu kehilangan kasih sayangnya.

Setelah selesai semua urusan pemeriksaan masuk, mutawwif meminta semua peserta kumpulan untuk masuk ke balai berlepas. Saat-saat perpisahan tiba juga. Datin Aini memeluk Ellyssa sekali lagi. Kali ini agak lama kemudian dia mencium pula kedua-dua pipi gebu Ellyssa.

“Jaga diri ya sayang. Apa-apa hal call aje mommy dan daddy kat sana,” pesan Datin Aini lagi seolah-olah Ellyssa masih lagi anak kecil berumur lima tahun yang perlu dipesan apa yang perlu dilakukan.

“Mommy...jangan risau okey. Ell dah besar lah. Mommy dan daddy lah yang kena make sure jaga diri kat sana sebab cuaca kat sana berbeza dari tempat kita. Ell risau kalau mommy tak tahan nanti,” jawab Ellyssa sambil menyeka air mata ibunya. Datin Aini mengangguk lesu. Jarinya berpaut kemas dengan jari jemari Ellyssa. Sebelum berpisah, Ellyssa mencium kedua-dua pipi ibunya.

Ellyssa dan Sarina melambai tangan kepada Datuk Aziz dan Datin Aini sehinggalah bayang mereka menghilang di sebalik pintu balai berlepas. Keadaan yang agak sesak sebentar tadi di luar balai berlepas semakin berkurangan. Pengumuman demi pengumuman yang disampaikan melalui pembesar suara adalah perkara biasa di perkarangan lapangan terbang di Malaysia ini. Bagi Ellyssa suasana di lapangan terbang adalah perkara yang biasa baginya kerana sejak kecil lagi dia memang telah dibawa oleh kedua ibu bapanya melancong ke luar negara.

Selepas semuanya selesai, mereka berdua mengorak langkah ke tempat parkir kereta untuk segera pulang ke butik. Jam sudah menunjukkan pukul 3.00 petang. Pada hari-hari minggu begini pasti pelanggan akan ramai di kedai mereka dan Ira pasti tidak mampu hendak melayan pelanggan berseorangan.

“Beb, kalau kau free, datanglah tidur rumah aku. Takut jugak duduk rumah sorang-sorang,” ujar Ellyssa semasa di dalam kereta. Sarina yang sedang memandu menoleh sekilas ke arahnya kemudian menumpukan perhatian semula kepada pemanduan.

“Heehehee....penakut jugak kawan aku ni ya,” usik Sarina tersengih-sengih.

“Tu la, anak tunggal tapi rumah punyalah besar macam ada sepuluh adik beradik. Bila daddy dan mommy tak ada, tinggal la sorang-sorang. Bibik kan ada.” Sarina macam biasa dan seadanya, selamba sahaja mengeluarkan kata-katanya tanpa sebarang tapisan keselamatan. Langsung tidak memikirkan perasaan orang yang dilawan bercakap.

Satu tamparan tiba-tiba hinggap di peha kecil Sarina. Terkejut Sarina tetapi kemudian dia mengekeh ketawa. “Sakitlah Ell…suka-suka hati je kau nak tampar ke..., cubit aku kan,” rungut Sarina dengan senyuman lebar. Namun matanya tidak lepas dari memandang ke hadapan, menumpukan perhatian ke arah jalanraya yang sesak. Berkali-kali dia menekan brek kemudian memberikan tanda isyarat apabila hendak membelok ke lorong kanan atau kiri. Cuaca juga semakin panas, nasib baik rayban hitam sentiasa ada menjadi penyelamat matanya dari sinaran yang terik.

“Beb....aku rasa kau kena beli insuran la untuk mulut kau tu sebab bisa sangat. Aku rasa kalau kau keep this attitude, satu hari ada orang yang akan cilikan mulut kau tu tau,” ujar Ellyssa kemudian mengerling Sarina dengan senyuman meleret.

“Hahahahaa.....” Sarina hanya ketawa mengekeh mendengar kata-kata Ellyssa. Bukan Ellyssa sahaja malah sudah ramai yang berkata begitu sehingga dia tidak kisah dengannya lagi. Dia tidak mahu hipokrit. Dia adalah dirinya sendiri dan dia tidak mahu bertukar personaliti hanya kerana ingin menjaga hati orang lain.

“Kau kena tapis sikit apa yang kau nak cakap la beb. Nanti tak ada lelaki yang berani nak dekat dengan kau tau.” Sengaja Ellyssa mengusik kerana selama ini Sarina sahaja yang selalu mengenakannya.

“Alaaa Ell. Aku tak heran lah. Jodoh tu kan di tangan ALLAH. Kalau tak ada lelaki yang nak kat aku, maknanya ALLAH tak sediakan jodoh aku kat dunia ni lah. Aku jumpa aje lah suami aku masa kat syurga nanti,” jawab Sarina selamba.

“Mana boleh redha aje macam tu lah beb. Kita kena usaha tau. Dan…satu lagi kau jangan nak memilih sangat. Hari tu si Zamarul tu dah beria-ria sukakan kau. Tapi kau jual mahal,” selar Ellyssa.

Kali ini Sarina mengerlingnya sekilas.

“Cik Ellyssa sayang. Mestilah kena jual mahal sikit. Aku ni bukan anak kucing. Anak orang tau…. Kalau nak tepuk tangan kasi berbunyi, dua-dua tangan kena main peranan kan. Ni soal hati dan perasaan la Ell. Masalahnya aku tak berminat dengan dia. Tapi dia ok apa sekarang….hari tu aku nampak dah berkepit dengan perempuan lain. Girlfriend baru la tu. Nampak sangat la dia tak la suka sangat kat aku. Tak frust menonggeng pun aku rejectdia. Cepat je dia cari pengganti,” jawab Sarina.

“Aik…macam frust je aku dengar?” usik Ellyssa dengan senyuman panjang.

“Tolong sikit beb. Tak main la nak cemburu tau.” Sarina cepat-cepat menjawab. Tidak mahu langsung dikaitkan dengan lelaki bernama Zamarul itu. Baginya Zamarul adalah satu kisah silam dan dia tidak mahu lagi mencipta kenangan baru dengannya.

Ellyssa menggeleng kepala lalu tersenyum. Selalunya begitulah pengakhiran perbualan mereka walau sehangat manapun pertikaian yang berlaku. Sikap redha dan sabar yang dimiliki oleh Sarina sentiasa membuatkan Ellyssa kalah akhirnya.

Ralit bersembang, mereka langsung tidak terasa panjangnya perjalanan yang dilalui. Nasib baik juga jalan tidak sesak pada waktu-waktu begini oleh itu perjalanan mereka lancar dari KLIA sehingga ke KLCC. Selepas memakir kereta ditempat parkir yang disewa khas, mereka melangkah menuju ke lif untuk naik ke bahagian pusat membeli belah di mana terletaknya butik Ell Collection. Seperti yang diduga, hari-hari minggu begini bilangan pengunjung ke KLCC sesak berbanding hari biasa.

Di dalam lif, mereka terpaksa berhimpit seperti ikan sardin yang mampat di dalam tin. Ellyssa merapatkan beg tangannya ke bahagian dada untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Apabila angka di dinding lif telah menunjukkan “3”, Ellyssa dan Sarina bersiap sedia di bahagian depan pintu lif untuk terus keluar apabila pintu terbuka.

Tetapi terkejut besar Ellyssa apabila belum sempat dia mengatur langkah pertamanya, tiba-tiba dia dirempuh oleh seorang pemuda yang kelam kabut masuk tidak menyempat ke dalam lif tersebut. Langkah Ellyssa mati di situ. Berderau darah panasnya naik sehingga ke kepala.

Excuse me.....you ni tak ada adab ke? Don’t you know kalau naik lif kena make sure orang kat dalam keluar dulu and then baru orang luar boleh masuk?” Bercekak pinggang Ellyssa marahkan lelaki tersebut yang sedang sibuk bercakap di telefon. Agaknya panggilan itu terlalu penting kerana lelaki itu masih terus bercakap dan tidak memperdulikannya walaupun anak mata Ellyssa hampir tersembul memandangnya.

“Awak ni memang kurang ajar kan. Dah lah langgar saya, lepas tu tak mintak maaf. Saya cakap pun awak tak peduli langsung.” Ellyssa rasa hendak rampas sahaja telefon bimbit itu kemudian memijak dengan kasut tumit tingginya. Biar berderai segala isi perut telefon tersebut. Tetapi niatnya tidak kesampaian kerana Sarina berjaya menarik tangannya keluar dari lif.

“Eh beb. Aku tak habis lagi dengan lelaki tu tau,” marah Ellyssa dengan tubuh yang menggeletar. Darahnya sudah menggelegak sehingga naik ke kepala. Kalau ada thermometer, sudah tentu paras darahnya lebih dari 100 darjah celcius sekarang.

“Beb, orang ramai tadi nak naik lif. Selagi kita tak keluar, lif tak boleh bergerak. Ramai dah bising-bising tadi lah Ell,” jawab Sarina. Walaupun dia sedar sikap lelaki itu memang salah tetapi keadaan pada masa itu tidak memungkinkan untuk mereka terus berada di dalam perut lif tersebut.

“Memang kurang ajar lah mamat tu. Sengal betul. Kalau aku jumpa dia lagi, tahulah aku nak ajar dia cukup-cukup.” Ellyssa membebel lagi. Sakit hatinya masih belum hilang terhadap lelaki tersebut. Sarina hanya tersengih memandangnya. Sikap keras hati Ellyssa memang tidak ada orang yang boleh lawan. Maklumlah anak tunggal dan anak orang kaya pula tu. Serba serbi serba mewah. Apa yang dia nak senang saja boleh dapat. Oleh itu jangan sesiapa berani melangkah lebih dari kawasan sempadannya. Memang itu “pantang” gadis manis itu dan Sarina cukup faham.

“Sudahlah beb. Kau marah-marah ni pun bukannya sampai kat dia pun. Silap-silap kau pulak yang sakit jantung. Entah-entah dia tu ada emergency apa-apa kot. Lantak dia la,” nasihat Sarina lagi lalu terus mengajak Ellyssa berlalu dari situ.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku