Kan Aku Dah Kata!!!
Bab 11
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Disember 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1402

Bacaan






Bab 11

“Abang rasa jalan terbaik untuk ubah cara hidup Ell adalah dengan carikan dia suami yang baik dan beriman. Yang boleh membimbing dia ke jalan yang benar,” ujar Datuk Aziz semasa berbual dengan isterinya di halaman rumah mereka. Alunan merdu ayat-ayat suci al-Quran yang dipasang di ruang tamu mendayu menusuk sanubari mereka. Perubahan hidup memang ketara di dalam diri mereka suami isteri sejak pulang dari menunaikan umrah di Mekah yang lepas.

Datin Aini juga telah bertudung dan tidak pernah membukanya melainkan di kalangan mahramnya sahaja. Banyak aktiviti-aktiviti sosial yang telah mereka tinggalkan kerana mereka mahu lebih menghadiri majlis-majlis agama. Dato Aziz benar-benar bersyukur kerana dia telah diberikan petunjuk dan hidayah oleh ALLAH (s.w.t) untuk berubah menjadi insan yang lebih baik pada hari ini. Walaubagaimanapun, ada satu perkara yang sangat-sangat dibimbanginya iaitu satu-satunya anak mereka, Ellyssa.

Mereka sedar kesalahan turut terletak di bahu mereka kerana memang mereka telah membesarkan Ellyssa dengan penuh kemewahan sehingga anak gadis itu terikut-ikut dengan cara hidup sosial mereka. Jika Ellyssa masih lagi berumur 4 tahun, mungkin masih boleh dilentur tetapi anak gadis mereka telahpun menjangkau umur 24 tahun. Sudah jadi buluh....., salah lentur boleh patah batangnya.

Datin Aini merenung lama wajah suaminya yang lebih tenang dan bersih. Dia bersetuju dengan cadangan suaminya. Bukan bermakna mereka hendak melepaskan tanggungjawab mendidik Ellyssa kepada orang lain tetapi mereka akur bahawa pada umur sekarang, mereka memang tidak akan mampu melembutkan hati anak gadis itu lagi. Silap-silap haribulan memang Ellyssa akan memulangkan paku buah keras kepada mereka dan menyalahkan mereka atas apa yang dialaminya pada masa sekarang.

“Siapa bang? Mana kita nak cari lelaki yang jenis macam tu?” tanya Datin Aini dengan wajah kelat. Wajahnya merenung jauh. Satu persatu kawan lelaki Ellyssa yang pernah dilihatnya seolah berbaris panjang di hadapannya untuk dinilai. Si Eddry kurus kering sangat walaupun anak orang kaya. Tentu cucunya nanti juga akan kurus kering macam ayahnya. Reject! Bisik Datin Aini. Adam pula…handsome juga orangnya tetapi kaki kelab juga. Tiap-tiap malam pasti akan berdansa di kelab-kelab malam bertemankan gadis-gadis kelab. Reject! Kata hati Datin Aini lagi. Danial….boleh tahan. Tubuhnya sederhana. Wajah sedap mata memandang tetapi dia tahu Ellyssa tidak ada sebarang perasaan cinta kepada lelaki itu juga. Dan dari gayanya, Datin Aini rasa Danial lebih cenderung kepada lelaki juga. Huh!!! Rejectjuga nampaknya. Tidak sedar, Datin Aini mengeluh panjang.

Terkejut Datik Aziz dengan kelakuan tiba-tiba isterinya itu.

“Eh, kenapa tiba-tiba awak mengeluh ni?”

Datin Aini malu sendiri. Dia menggeleng kepala dengan senyuman di bibir.

“Saya tengah berangan siapa yang layak nak jadi menantu kita. Hmmm…tapi semua reject lah bang. Tak sesuai. Tak ada seorang pun yang boleh membawa anak kita ke arah kebaikan sebab diri sendiri pun tak terurus,” jawab Datin Aini dengan wajah kelat.

“Siapa?” tanya Datuk Aziz ingin tahu.

“Si Eddry, Adam, Danial… semua tu kan kawan Ell. Tapi semuanya tak ada tokoh pun nak jadi suami yang dapat membimbing isteri dan keluarga,” komen Datin Aini dengan wajah yang semakin risau. Semakin hari jika dibiarkan semakin banyak dosa-dosa yang mereka akan tanggung jika Ellyssa masih lagi dengan sikap dan cara hidupnya sekarang. Sedangkan dosa-dosa mereka sendiri tinggi menggunung, inikan pula hendak menerima lagi bebanan dosa anak mereka.

Datuk Aziz juga termenung panjang. Mana nak cari calon menantu yang menepati kehendak mereka? Bukannya dia nak cari menantu yang tampan persis peragawan, tetapi biarlah sedap mata memandang. Tetapi kriteria utama lelaki itu mestilah cukup ilmu agama di dada supaya boleh membimbing Ellyssa ke arah menjadi wanita Muslim yang lebih baik.

“Maaf cakap lah Aziz. Aku nampak macam kau nak lari dari tanggungjawab kau mendidik Ell sedangkan mungkin tanpa kita sedar Ell membesar begitu kerana didikan kita. Aku takut nanti jadi macam kata pepatah nak lari dari mulut harimau masuk pula mulut buaya,” ujar Zamri memberikan pandangannya. Sebagai seorang sahabat yang paling rapat dengan Aziz, memang mereka boleh berbincang apa sahaja masalah tanpa sebarang rasa marah.

“Kau cakaplah apa saja Zamri. Sekarang ni aku tak kisah. Apa yang aku utamakan adalah untuk melihat Ell berubah dan aku tak kisah bagaimana caranya. Kalau orang cakap aku nak jual anak ke, nak lari dari tanggungjawab aku ke…, aku tahu aku tak boleh menutup mulut orang dari terus mengata. Kalau kita asyik je nak ambil peduli kata-kata orang, Ell akan terus hanyut dan kami berdua juga akan terus berdosa. Jadi sekarang lebih baik aku cari jalan yang sebaiknya untuk selesaikan masalah ni,” jawab Datuk Aziz penuh yakin dengan keputusannya.

Zamri mengangguk. Memang ada benarnya kata-kata Aziz. Jika asyik mendengar kata-kata orang pasti semua kerja akan terbengkalai. Apa yang penting adalah usaha kita untuk mengubah dan menjayakan sesuatu.

“Aku dan isteri aku banyak berdosa. Kami lalai dalam mengerjakan solat. Pernah masa bulan puasa kami pergi ke luar negara hanya kerana ingin mengelakkan dari berpuasa. Umur kami semakin meningkat. Banyak amalan yang kami perlu lakukan sekarang untuk menebus segala dosa-dosa kami dulu. Aku bersyukur Zam sebab ALLAH s.w.t telah memberikan aku dan isteri petunjuk dan hidayah semasa kami masih sihat dan boleh lagi membuat amal ibadah. Kalau dibuatnya aku hanya sedar masa umur 70 tahun atau masa dah nazak, bagaimanakah aku nak menebus segala dosa-dosa aku yang tak terkira banyaknya ni?” keluh Datuk Aziz dengan pandangan mata yang redup.

“Sebab tu lah aku perlukan orang lain membantu kami untuk mendidik dan mengubah hidup Ell supaya kami boleh beramal dan beribadah tanpa risau memikirkan mengenai diri Ell. Aku dah puas berfikir. Jalan yang aku nampak sekarang adalah untuk mencari seorang lelaki yang boleh mengahwini Ell dan seterusnya membimbing Ell untuk lebih menjalani kehidupan beragama,” ujar Datuk Aziz lagi.

“Jadi kau dah jumpa calon yang sesuai?” Tanya Zamri lagi. Dia turut termenung seolah-olah sedang memikirkan untuk mencari lelaki yang sesuai untuk mengahwini Ell. Datuk Aziz menggeleng beserta keluhan.

“Bukan senang nak mencari lelaki seperti itu sekarang,” luah Datuk Aziz perlahan. Dia merenung sekilas wajah sahabat baiknya itu. Kalau lah Zamri ada anak lelaki kan senang sudah pasti akan dijodohkannya sahaja anak-anak mereka kerana dia sudah tahu latar belakang diri Zamri. Tetapi Zamri mempunyai tiga orang anak yang semuanya perempuan.

“Kau kenal sapa-sapa?” tanya Datuk Aziz. Zamri tersenyum kemudian ketawa kecil.

“Kalau aku jumpa lelaki macam tu, lebih baik la aku jodohkan dengan Sofia,” jawab Zamri sengaja mengusik. Senyuman terpamer di wajah Datuk Aziz juga. Sofia adalah anak sulung Zamri dan baru sahaja pulang dari luar negara selepas selesai pengajian di peringkat Sarjana jurusan perubatan.

“Sofia dah mula bekerja ke?” Datuk Aziz menukar subjek perbualan mereka apabila nama Sofia ditimbulkan.

“Belum lagi. Nak rehat dulu katanya. Asyik belajar aje. Lepas degree hari tu dia terus sambung Master. Sekarang ni dia nak rehat dalam dua tiga bulan baru nak apply kerja,” jawab Zamri.

“Senang aje dia nak dapat kerja tu. Doktor pakar memang sangat diperlukan di negara kita ni. Demand tinggi,” ulas Datuk Aziz.

“Harap-harap begitulah,” doa Zamri.

“Eh, aku masuk bilik dululah. Lain kita sembang lagi,” ujar Zamri setelah agak lama juga mereka berbual sedangkan kerja-kerjanya di bilik masih banyak lagi yang belum diselesaikan. Datuk Aziz hanya mengangguk.

Apabila bersendiri semula, pantas sahaja ingatannya melayang semula ke arah Ellyssa. Siapakah agaknya yang boleh aku jodohkan dengan Ell? Datuk Aziz masih tidak henti berfikir perkara yang sama…



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku