Kan Aku Dah Kata!!!
Bab 12
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Disember 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1437

Bacaan






Bab 12

“Abang nak ke Kuala Lumpur lagi ke esok?” tanya Rahimah kepada anak sulungnya yang kelihatan sedang mencatatkan sesuatu di dalam suratkhabar di atas meja. Pen merah di tangan Azrul memang akan sentiasa ada apabila suratkhabar di bahagian belakang itu dibuka olehnya. Azrul mengangkat wajahnya kemudian mengangguk.

“Ada beberapa temuduga terbuka esok mak. Abang nak cuba. Mana lah tahu ada rezeki nanti,” jawab Azrul dengan senyuman pendek. Emaknya yang baru datang dari dapur sedang menatang dulang berisi teko dan dua buah cawan berisi teh O panas. Goreng cempedak juga turut ada di dalam dulang itu. Baunya sangat menyelerakan.

“Kerja apa?” Rahimah bertanya lagi sekadar ingin tahu. Selepas meletakkan dulang di atas meja, dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi rotan yang sudah agak lusuh lapiknya. Peluh di dahinya dilap sahaja dengan hujung baju kurung kedah yang dipakai.

“Yang abang pergi dulu tak dapat lagi ke keputusannya. Terima ke tak?” tanya Rahimah lagi.

“Belum lagi mak. Dia orang cakap dalam tempoh sebulan,” jawab Azrul lagi. Pen di tangan telah diletakkan ke atas meja. Wajah emak di hadapannya di renung dengan senyuman. Tiba-tiba dia teringat sesuatu.

“Eh, mak tak pergi cuci buah pinggang ke hari ni?” tanya Azrul kemudian dia terus melihat kalendar kuda yang tergantung di dinding rumah mereka.

“Esok. Hari ni mesin penuh. Semua orang pun macam tu,” jawab Rahimah. Air teh dituang ke dalam cawan sehingga hampir penuh. Berkepul-kepul asap menerawang keluar dari mulut cawan. Aroma teh uncang jenama Boh menyucuk deria bau Azrul. Wangi! Getus hati Azrul. Pada waktu-waktu petang begini dia memang suka menghirup teh O panas, lebih-lebih lagi apabila emak sendiri yang menyediakannya.

“Esok tak dapat lah abang tunggu mak pergi sebab awal-awal pagi abang nak ke KL. Temuduga mula pukul 9.00 pagi. Satu lagi tu nasib baik petang. Jadi lewat jugak abang balik nanti,” maklum Azrul sambil tangannya panjang mencapai cempedak goreng hasil dari pokok cempedak yang ditanam oleh arwah ayah.

“Mak tak makan?” pelawa Azrul apabila dilihatnya emak hanya bersandar sahaja di kerusi.

Rahimah menggeleng.

“Masa kat dapur tadi, sementara menggoreng mak dah makan dah dua tiga ketul. Tak boleh banyak-banyak. Nanti semput pulak,” jawabnya.

“Buah cempedak kat belakang tu banyak lagi. Alhamdulillah tak putus-putus berbuah. Nanti kalau abang senang, pergi hantar kat rumah Makcik Wa. Natrah pun suka sangat dengan buah cempedak ni,” maklum Rahimah lagi.

Azrul tersenyum apabila nama Natrah disebut. Mendengar namanya sahaja sudah cukup menyejukkan hati. Apatah lagi kalau melihat wajahnya yang ayu. Serba serbi tentang Natrah amat menyenangkan hatinya.

“Apa yang abang senyumkan tu?” tanya Rahimah dengan nada mengusik. Azrul tersentak. Dia hanya menggeleng dan terus mengunyah cempedak goreng.

“Tu lah…cari kerja cepat-cepat. Boleh mak hantarkan rombongan meminang. Lagipun dah lama abang dengan Natrah berkawan. Semua orang dah tahu. Mak pun berkenan dengan Natrah tu. Baik, ada asas agama, menghormati orang tua.” Rahimah turut tersenyum melihat gelagat Azrul yang malu-malu apabila perihal Natrah ditimbulkan.

“InsyaAllah mak. Abang juga berniat baik dengan dia. Mak doakan lah abang dapat kerja yang baik supaya abang dapat menjalankan tanggungjawab abang dengan baik nanti.”

“InsyaAllah abang. Mak memang sentiasa mendoakan yang terbaik untuk abang dan adik. Mak yakin abang akan menjadi seorang suami yang bertanggungjawab sebab abang banyak mewarisi sikap arwah ayah. Seorang lelaki yang baik, dan bertanggungjawab,” ujar Rahimah dengan pandangan berkaca. Sebak. Memang begitulah perasaannya apabila arwah suaminya dimasukkan di dalam perbualan mereka.

“Terima kasih mak. Pujian sebenarnya harus diberi kepada mak sebab mak lah yang membesarkan abang. Hasil dari didikan mak lah yang membentuk siapa abang pada hari ni. Dan…, mak jangan lupa doa banyak-banyak untuk abang ya untuk temuduga esok. Semoga ada rezeki abang nak dapat kerja yang baik, dan seterusnya dapat membantu ringankan bebanan kewangan keluarga kita. Abang nak belikan mak rumah yang lebih baik, rumah baru,” ujar Azrul sambil memandang tepat ke wajah emaknya.

Rahimah terdiam. Rasa sebak semakin menguasai dirinya. Azrul memang seorang anak yang baik. Selama 24 tahun membesarkannya Azrul memang tidak banyak kerenah. Sejak kecil Azrul memang seorang anak yang mendengar kata dan tidak melawan walaupun pernah dirotan oleh ayahnya kerana balik lewat ke rumah. Sejuk perutnya selama mengandungkan Azrul.

“Mak tak harapkan semua tu. Sebab apa yang mak lakukan selama ini disebabkan menjalankan amanah yang diberikan oleh ALLAH s.w.t. Alhamdulillah…kalau ditakdirkan ALLAH memanggil mak sekarang ni pun mak sudah bersedia kerana mak tahu abang dan adik akan sentiasa mendoakan mak nanti.” Nada suara Rahimah bergetar. Keadaan kesihatannya yang tidak menentu menyedarkannya bahawa dia perlu bersedia untuk menyahut panggilan Ilahi.

“Jangan cakap macam tu mak. Abang dan adik masih perlukan mak. Abang juga masih belum lagi berpeluang nak balas segala pengorbanan mak semasa membesarkan abang dan adik. Mak kena kuat berjuang. Mak kena yakin untuk sembuh. Abang akan cuba sedaya upaya abang untuk biayai perubatan mak.” Azrul terus bangun lalu duduk di sebelah Rahimah. Tangan emaknya digenggam erat. Ada getaran hebat di ruangan hatinya. Ya Allah…kau panjangkanlah umur ibuku…., rintih Azrul dalam hati.

“Assalamualaikum…” Tiba-tiba satu suara memberi salam.

Kedua-dua Rahimah dan Azrul terus menoleh ke muka pintu. Rahimah cepat-cepat menyeka air mata yang bertakung.

“Eh Natrah. Masuk masuk…,” ajak Rahimah apabila dilihatnya gadis manis itu sedang tersenyum di pintu dengan memegang beg plastik berisi sesuatu.

Azrul mengubah semula duduknya. Dia bergerak semula ke kerusi yang didudukinya sebentar tadi. Suratkhabar yang berselerak di atas meja cepat-cepat dikemasnya. Walaupun tangannya laju mengemas tetapi anak matanya sempat mengerling wajah ayu Natrah yang sedang bersalaman dengan emaknya.

“Natrah dari mana ni?” Tanya Rahimah selepas anak gadis itu duduk di sebelahnya.

“Dari rumah, makcik. Mak suruh hantar kan pulut kuning dan rendang ayam ni,” jawab Natrah kemudian menghulurkan bungkusan plastik itu kepada Rahimah.

“Buat susah susah aje mak kamu ni. Selalu sangat bagi macam-macam tambah-tambah sejak Azrul ada kat rumah ni.” Sengaja Rahimah menekankan penghujung ayat kemudian mengerling ke arah Azrul yang hanya tunduk tidak berkata apa-apa. Tetapi apabila emak menyindirnya, pandangan matanya terus menangkap pandangan malu di wajah Natrah.

“Mak pergi ambil cawan lain kejap,” maklum Rahimah tetapi cepat-cepat dihalang oleh Natrah.

“Tak apa makcik. Nartah kejap aje ni. Dah nak dekat pukul tujuh dah. Natrah nak minta diri ni,” ujar gadis berwajah ayu itu. Kulit putih bersih, berpakaian menutup aurat dan bertudung menepati kehendak syariat membuatkan Azrul sangat menyenangi gadis itu.

“Kalau macam tu, nanti kirim salam kat mak Natrah ya. Dan cakap makcik ucap terima kasih,” pesan Rahimah. Natrah mengangguk kemudian bersalam dengannya.

Azrul seperti biasa akan mengiringi Natrah hingga ke kereta Kancilnya.

“Esok abang nak ke KL lagi. Ada dua temuduga terbuka,” maklum Azrul apabila Natrah sudah berdiri di tepi keretanya. Natrah memandang ke arah Azrul sebentar kemudian berpaling kerana setiap kali wajah itu direnung, debaran di dadanya berdegup terlalu kencang sehingga dia rasa lemas. Wajah tampan di hadapannya ini dengan lekuk dalam di bahagian tengah dagu memang sentiasa dirinduinya lebih-lebih lagi apabila Azrul berjauhan menyambung pengajiannya selama empat tahun di Universiti Teknologi Malaysia, Johor Baharu. Apabila Azrul menghabiskan pengajiannya sebulan yang lepas barulah mereka dapat bertemu lebih kerap tetapi selalunya pertemuan mereka akan ditemani oleh Melati, iaitu adik Azrul.

“Pergi lagi?” tanya gadis itu perlahan.

“Abang kena cuba sampai dapat. Mak perlukan duit untuk rawatan di hospital. Adik nak pakai duit untuk sekolah. Tambah-tambah tahun ni nak exam SPM. Banyak buku rujukan nak kena beli,” jawab Azrul. Dia tidak dapat mengawal pandangan matanya dari mencuri pandang wajah ayu itu.

“Natrah doakan abang berjaya dapat kerja yang baik.”

“Terima kasih,” balas Azrul dengan senyuman. Natrah membalasnya.

“Errr…, Natrah balik dulu. Dah nak Maghrib. Assalamualaikum,” ucap Natrah sebelum dia masuk ke dalam kereta.

“Waalaikummussalam…,” jawab Azrul. Pintu kereta ditolaknya rapat. Dia masih menunggu sehinggalah bayangan kereta Natrah hilang dari pandangan matanya.

“Amboiii…kemain lagi abang hantar kak Natrah sampai hilang bayang kereta baru nak masuk ya. Kenapa tak tunggu sampai hilang bau asap kereta aje,” usik Melati yang sedang duduk di tangga.

“Oooo…mengintip ya. Ni dah mandi ke belum. Sah baru bangun tidur. Tak baik tau anak dara asyik tidur petang. Lepas tu duduk kat tangga macam ni waktu waktu senja,” usik Azrul kemudian terus menolak bahu Melati. Melati pula seperti biasa pantang diusik. Tapak tangannya sempat singgah di betis Azrul sebelum abangnya itu melompat masuk ke dalam rumah.

“Abang!” panggil Melati apabila Azrul ketawa besar dengan tindakannya.

Azrul tidak menghiraukan sebaliknya terus duduk di kerusi. Surat khabar yang telah dilipat tadi diletakkan semula di atas meja. Dia mendongak sekejap apabila Melati duduk berhadapan dengannya. Cempedak goreng yang masih ada di dalam pinggan dihabiskan terus oleh gadis itu.

“Bangun tidur je makan. Lepas makan je tidur. Nanti cepatlah gemuk jawabnya. Tahun depan kalau gemuk sangat, tak ada orang nak masuk meminang,” usik Azrul lagi membuatkan Melati membulatkan matanya.

“Gemuk pun comel…cantik,” balas Melati sambil tersengih memandang abangnya yang kelihatan sibuk melihat iklan kerja kosong di dalam surat khabar. Azrul hanya mencebikkan bibirnya.

“Abang! Semalam kak Natrah ada bagitahu dia risau la bila abang dapat kerja nanti.” Kata-kata Melati kali ini berjaya membuatkan Azrul mendongak dan memandangnya lebih lama. Ada rasa ingin tahu yang menebal di wajah abangnya itu. Melati senyum mengejek. Sengaja dia tidak terus memberitahu abangnya apa yang diberitahu oleh Natrah.

“Cepatlah bagitahu. Jangan main-main. Kenapa pulak dia risau?” Tanya Azrul tidak sabar. Pen merah di tangan diletakkan terus di atas meja.

“Dua puluh sen!!! Hehehehe….” Kali ini giliran Melati mengenakan abangnya.

Azrul memberikan renungan tajam. “Cepat cakap. Kalau tak nanti abang bagitahu mak yang adik dah ada boyfriend.” Azrul terus mendesak. Segala-galanya tentang Natrah membuatkan jiwanya hilang sabar.

“Hahahaha…pamdai lah abang nak reka-reka cerita kan. Ingat orang takut?” Melati ketawa lagi tetapi akhirnya dia terus mengalah apabila Azrul mula melangkah ke arahnya. Dia tahu kalau dia tidak mengalah sekarang, Azrul akan terus menggeleteknya hingga dia penat.

“Okey okey...orang cakap. Abang pergi duduk balik. Jauh!!” jerit Melati rasa geli walaupun Azrul belum pun lagi menyentuhnya.

Azrul cuba mengawal ketawanya. Dia memang cukup tahu kelemahan Melati. Sebab itu lah dia tidak kisah jika Melati cuba mengumpannya dengan apa sahaja perkara. Kerana dia ada senjata untuk mengorek rahsia tersebut dengan mudah.

“Kak Natrah risau kalau abang kerja nanti ada perempuan lain yang akan suka dan jatuh cinta dengan abang,” jawab Melati sambil memegang cawan berisi teh suam.

“Kenapa pulak dia cakap macam tu?” Tanya Azrul hairan.

“Elleh…saja je kan nak dengar orang cakap dia tu handsome, badan pun macam model,” jawab Melati dengan bibir mencebik. Kata-kata Melati membuatkan Azrul tersenyum panjang. Keningnya diangkat-angkat sengaja hendak mengusik adiknya.

“Habis tu tak kan nak suruh abang menyamar…pakai selekeh-selekeh. Pakai cermin mata bingkai besar macam nerd. Minyak kan rambut dan sikat belah tengah kot,” tingkah Azrul. Melati hanya menjungkit bahu mendengar kata-kata abangnya.

“InsyaAllah…nanti adik cakap la dengan kak Natrah. Dia tak perlu risau. Kami bukannya berkawan sebulan dua tapi sejak sekolah menengah lagi. Abang pun masa belajar kat universiti dulu, tak ada pun sangkut kat siapa-siapa pun. Masih lagi ingat pada dia seorang. Kalau adik jumpa dia cakaplah macam tu. Yang penting dia mesti yakin dengan abang,” jelas Azrul dengan wajah yang serius. Dia mahu Melati faham dan yakin dengan keikhlasan hatinya supaya apa yang akan disampaikannya kepada Natrah nanti benar-benar jelas dan difahami. Melati hanya mengangguk. Di dalam hatinya, dia sangat kagum dengan kesetiaan abangnya terhadap kak Natrah.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku