Kan Aku Dah Kata!!!
Bab 16
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Disember 2013
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1330

Bacaan






Bab 16

Pagi ini keheningan subuh dikocakkan dengan gema suara Azrul di pembesar suara surau kampung mereka. Oleh kerana bilal surau mereka tidak berapa sihat, Haji Muiz yang merupakan imam di situ meminta Azrul bangun untuk melaungkan azan Subuh. Anak muda itu yang sudah biasa melaungkan azan tanpa banyak soal terus bangun melangkah ke bahagian hadapan surau yang mana terletaknya pembesar suara. Dengan berpakaian baju Melayu berwarna biru muda dan berkain pelikat, Azrul mula merapatkan bibirnya ke mikrofon. Dengan dimulai bacaan Bismillah…laungan azan bergema “Allahuakbar Allahuakbar….

Selesai azan, Haji Muiz mula bangun untuk memulakan solat subuh berjemaah. Para Jemaah juga turut bangun dan merapatkan saf. Di antara para jemaah yang hadir untuk solat Subuh, terselit wajah seorang lelaki yang bukan penduduk kampung ini yang turut sama bersolat di situ sejak tiga empat hari yang lepas. Selesai solat seperti biasa ada sedikit tazkirah Subuh yang disampaikan oleh Haji Muiz sebagai pengisian ilmu untuk dikongsi bersama.

Azrul turut menunggu sehingga tazkirah tersebut selesai. Sementara dia belum lagi mendapat sebarang pekerjaan dan tidak perlu terburu-buru balik untuk bersiap ke pejabat, apa salahnya jika dia menambahkan ilmu agama dengan mendengar tazkirah agama seperti ini. Bukannya lama pun, selalunya Haji Muiz hanya mengambil masa selama lima belas atau dua puluh minit sahaja kerana dia pun faham akan keperluan Jemaah lain untuk pulang ke rumah masing-masing untuk memulakan tugasan mereka.

Tepat pukul 7.00 pagi, Azrul sudah mula melangkah keluar dari surau. Tetapi baru sahaja dia hendak menyarungkan selipar getahnya, tiba-tiba seseorang memberi salam kepadanya dari belakang.

Azrul menoleh. Seorang lelaki bertubuh sederhana, berkulit sawo matang dan bermisai nipis sedang tersenyum melihatnya. Azrul tidak kenal lelaki tersebut tetapi dia perasan lelaki ini ada di surau mereka sejak dua tiga hari yang lepas.

“Waalaikummussalam,” jawab Azrul.

“Maafkan pakcik. Kalau tak keberatan pakcik nak berbual sekejap dengan anak ni boleh?” tanya lelaki itu lagi. Azrul mengagak umur lelaki itu dalam 50-an.

“Errr…berbual pasal apa ya pakcik?” Azrul agak keberatan memandangkan dia tidak kenal dengan lelaki tersebut. Kunci motor yang berada di tangannya di masukkan semula ke dalam poket bawah kanan baju melayunya. Haji Muiz yang baru keluar dari pintu hadapan surau disapanya dengan senyuman pendek sebelum lelaki itu balik menunggang motosikal Honda C70nya.

“Kita berbual kat dalam lah. Selesa sikit,” ujar lelaki itu lagi. “Tak pun kita pergi mana-mana kedai makan. Pakcik belanja anak hari ni,” pelawa lelaki itu lagi.

“Minta maaf pakcik. Saya bukan nak menolak. Tapi saya tak kenal pakcik ni siapa. Lagipun, kalau saya balik lambat nanti mak saya risau pulak. Selalunya lepas solat subuh, dalam pukul 7.30 macam ni saya dah sampai rumah,” maklum Azrul lagi.

“Azrul jangan risau. Pakcik bukan orang jahat. Lagipun sekejap saja. Sekarang baru pukul tujuh pagi. Dalam setengah jam Azrul boleh balik,” pujuk lelaki itu lagi.

“Eh, macam mana pakcik tahu nama saya ni?” Tanya Azrul agak pelik.

“Errr…pakcik dah tiga hari ada di kampung ni dan dah tiga hari juga solat subuh di surau ni. Tiap-tiap pagi Azrul pun ada. Jadi pakcik dengar la diorang panggil nama Azrul. Tu yang pakcik tahu,” jawab Mamat tersangkut-sangkut. Nasib baik cepat sahaja ideanya datang untuk menjawab kemusykilan yang bermain di hati pemuda tersebut. Kalau tidak hilang peluangnya untuk mendekati anak muda itu. Mamat lega apabila Azrul akhirnya mengangguk.

“Kalau macam tu baiklah.” Akhirnya Azrul mengalah. Mamat tersenyum lebar apabila pujukannya berjaya. Kalau tidak tentu Datuk Aziz bising kalau dia gagal mendapatkan maklumat selengkapnnya mengenai pemuda ini. Dia menyuruh Azrul mengekori keretanya dari belakang kerana Azrul menunggang motosikal.

Nasib baik awal-awal pagi ini ada sebuah kedai makan yang telah dibuka. Mamat segera memberikan lampu isyarat untuk berhenti di kiri jalan. Azrul yang mengekori di belakang turut melakukan yang sama.

“Azrul nak minum apa?” tanya Mamat sambil tangannya melambai anak gadis yang bertugas mengambil pesanan.

“Teh tarik saja.” Azrul memaklumkan kepada gadis itu dengan senyuman pendek.

“Tak nak makan?” Tanya Mamat lagi.

“Tak apa pakcik. Nanti saya makan di rumah. Mak dah buat nasi lemak pagi ni,” jawab Azrul dengan gelengan. Sesekali dia mengerling wajah lelaki di hadapannya. Perasaan bimbang masih bertamu di hatinya. Mana tahu lelaki ini kaki pukau ke. Tapi kalau lelaki ini mahu memukaunya pun, berapa sen lah yang dia boleh dapat pun. Dia bukannya orang kaya yang ada wang simpanan beribu-ribu ringgit. Buat rugi air liur sahaja membaca jampi serapah tetapi tidak mendapat hasil yang diinginkan.

“Nama pakcik Ahmad Mustaqim. Tapi orang panggil Mamat aje.” Mamat mula memperkenalkan dirinya walaupun Azrul langsung tidak bertanya. Mamat tahu Azrul masih sangsi dengan tujuannya ke sini.

“Pakcik sebenarnya kerja sebagai seorang driver aje. Nama boss pakcik Datuk Aziz. Daripada pakcik jadi spy terhendap-hendap depan rumah Azrul lepas tu dok mengekor Azrul ke hulu ke hilir, lebih baik pakcik cakap terus terang aje lah. Pakcik pun pening tak cukup tidur dah ni. Rindu isteri lagi. Rindu kat rumah pakcik lagi….” Seperti biasa, sebelum memberitahu tujuan sebenarnya, orang yang dilawan bercakap terpaksa rela mendengar mukadimahnya terlebih dahulu.

“Pakcik ni sebenarnya disuruh oleh Datuk Aziz untuk tahu latar belakang diri anak ni sebab dia tertarik dengan hati budi Azrul yang tolong orang buta melintas jalan tempohari. Datuk Aziz ni orangnya baik dan memang suka tolong orang. Pakcik rasa ada sesuatu dalam diri Azrul yang menarik minatnya dan sebab tu lah dia suruh pakcik siasat pasal diri Azrul. Pakcik ada lah jugak tanya dua tiga orang kampung sebelum ni. Dan diorang ada lah bagitahu yang Azrul ni baru aje habis belajar dan tengah cari kerja kan,” tanya Mamat lagi. Wajah Azrul yang melopong di hadapannya kerana terkejut dengan apa yang didengarnya direnungnya lama.

“Eh Azrul. Kenapa ni? Azrul tak percaya ke apa yang pakcik cakap ni? Betul…, pakcik tak tipu. Ni hah. Pakcik tunjuk gambar gambar Datuk Aziz ni. Ni rumah dia kat KL. Besar kan?” Mamat terus menghulurkan telefon bimbitnya ke arah Azrul untuk menunjukkan gambar-gambar yang ada di dalam telefonnya sebegai bukti kepada Azrul. Azrul hanya mengangguk sahaja dengan perasaan yang sangat keliru.

“Mana tahu nanti ada rezeki dia nak offer Azrul kerja ke,” sambung Mamat lagi cuba menyakinkan Azrul tentang hasrat Datuk Aziz. Cuma dia tidak maklumkan apakah kerja yang bakal ditawarkan oleh Datuk sahaja.

“Betul ke ni pakcik? Saya ni macam bermimpi aje ni. Sebab saya dah puas turun naik pejabat cari kerja dan tiba-tiba pakcik kata Datuk Aziz nak tawarkan saya kerja,” jawab Azrul setelah terdiam agak lama.

“Pakcik tak lah tahu samaada dia betul-betul nak bagi Azrul kerja atau tak. Tapi pakcik teka macam tu lah. Cuma pakcik tak boleh lah nak confirmkan pulak selagi Datuk tak confirmkan, betul tak?” ujar Mamat lagi.

Azrul mengangguk lagi. Walaupun hanya tekaan pakcik Mamat sahaja, tetapi alangkah bagusnya kalau tawaran itu betul-betul berlaku. Azrul teringat tazkirah yang disampaikan oleh Haji Muiz pada minggu lepas. Haji Muiz membacakan potongan ayat dari Surah Al-Baqarah ayat 245 yang bermaksud: Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipat gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

Selain itu Haji Muiz juga menyatakan bahawa Rasulullah (s.a.w) bersabda: "Ganjaran bagi tiap-tiap perbuatan bergantung kepada niat orang yang melakukannya. Tiap-tiap orang diberi ganjaran mengikut niatnya." Rasulullah s.a.w. juga bersabda: "Allah s.w.t. tidak pandang pada rupamu atau kekayaanmu, bahkan Allah pandang pada keikhlasan hatimu serta sifat amalanmu."

“Alamak…, maaf pakcik. Saya terlupa. Saya dah janji nak pergi berlatih silat pagi ni. Latihan mula pukul 8.30 pagi. Errr..ada apa-apa lagi yang pakcik nak tahu pasal saya ke?” Kelam kabut Azrul apabila baru dia teringat tentang janjinya dengan Opie semalam.

“Kalau macam tu tak apa lah. Esok pagi lepas solat Subuh pakcik jumpa Azrul semula ya. Ada beberapa perkara lagi yang pakcik nak tanya pada Azrul ni sebelum pakcik balik jumpa Datuk,” ujar Mamat.

“Baiklah pakcik. Esok pagi lah kita jumpa,” jawab Azrul sebelum dia pergi dari situ. Mamat tersenyum panjang. Esok hari terakhir dia perlu bertugas sebagai perisik. Hari keenam dia perlu mengadap Datuk Aziz untuk membentangkan maklumat yang telah dia perolehi. Kan senang kalau dari hari pertama lagi aku interview je budak tu. Tak ada la aku berperang dengan nyamuk duduk dalam kereta gelap-gelap hari macam tu, ish…,’ rungut hati Mamat. Bebal dengan fikirannya sendiri yang cetek berfikir.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku